Oleh: Mohd Nasir Awang
Akhir-akhir ini, kemelut kepimpinan semakin manjadi isu
yang hangat diperkatakan. Pertikaman
lidah, tuduh menuduh, cabar mencabar berlaku secara terang-terangan. Malah ada
yang menawar diri menjadi pemimpin dengan menikam lawan dari belakang.
MUSLIMAH berasa terpanggil untuk mengupas persoalan ini. Wakil
MUSLIMAH, Mohd Nasir Awang telah berkesempatan menemubual Ketua Pegawai
Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Dr. Johari Mat
dalam satu wawancara eksklusif yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan.
Al-Muslimah: Maksud kepimpinan dari sudut bahasa
dan istilah syarak.
Dr. Johari: Kepimpinan berasal dari perkataan ‘pimpin’. Memimpin bererti mengurus,
mendidik, menunjuk jalan kepada kebaikan dan pada waktu yang sama memberitahu
perkara tidak baik supaya dijauhi. Sebab itu, Nabi s.a.w sebagai pemimpin,
kepimpinannya adalah (berteraskan) dua perkara. Dia tunjuk apa yang baik dan
dia suruh buat. Baginda juga menjelaskan perkara yang buruk, dia sendiri
menganjur supaya tidak melakukan dan mencegahnya supaya tidak berlaku. Itu
maksud kepimpinan. Dia (Rasullullah) menjadikan dirinya sendiri sebagai contoh
kepada umatnya.
Al-Muslimah: Bagaimana dengan tanggungjawab seorang
pemimpin?
Dr. Johari: Dalam qiyadah (kepimpinan), ada kewajiban, ada tanggungjawab dan haknya. Hak
yang dia perlu dapat dan kewajiban yang dia kena laksanakan.
Kewajibannya ialah dia kena memberi perhatian sepenuh
masa untuk memimpin masyarakat yang dia dapat amanah dalam bentuk yang besar
atau kecil, mengikut ukuran dia. Jadi kepimpinan ini bukan sahaja di waktu
rasmi. Tidak! Ia berterusan, 24 jam, dalam bahasa mudahnya.
Apabila dia menjadi pemimpin, maka dialah orang pertama
akan disoal dan ditanya di hadapan Allah dan juga masyarakat manusia. Kedua-dua
soalan ini sangat besar dan berat kepada seorang pemimpin.
Boleh tawar diri jika
layak jadi pemimpin
Al-Muslimah: Bolehkah jawatan pemimpin itu
diminta?
Dr. Johari: Dalam hadis Rasullullah s.a.w menyebut, maksudnya, sesiapa yang meminta
untuk sesuatu jawatan atau pemimpin, Allah Ta’ala akan serah kepadanya dan
Allah tidak akan bantu. (Ertinya) kalau
dia tidak layak dan meminta, Allah Ta’ala akan beri juga (tetapi) ketika itu
Allah tidak akan bantu.
Sebaliknya, orang yang layak dan diberi kepercayaan oleh
orang, (sedangkan) dia tidak minta (jawatan) tetapi dia ditunjukkan, dilantik,
Allah akan bantu dia. Sebab itu kita tengok, sekiranya seseorang itu meminta
untuk menjadi pemimpin, dan dia tidak layak, kemungkinan dia dapat menjadi
pemimpin dan Allah serah kepadanya untuk jadi pemimpin, tapi Allah tidak
tolong.
Al-Muslimah: Bagaimana dengan trend sekarang ini menawarkan diri
untuk dipilih? Bukankah itu meminta untuk dipilih?
Dr. Johari: Itu tidak menjadi halangan sekiranya dia seorang yang layak. Misalnya, dia
tengok keadaan masyarakat yang tidak menentu dan dia rasa dia bertanggungjawab,
lalu dia menawarkan diri, itu tidak jadi masalah.
Al-Muslimah: Sebagaimana dalam kes Nabi Yusof
a.s?
Dr. Johari: Ya, Nabi Yusof, dia tidak jadi masalah. (Ataupun) dia boleh terima kalau
orang yang nak calonkan dia, sebagaimana berlaku kepada Saidina Ali k.a.w dan
Saidina Osman r.a. Kerana orang tanya,
bersedia tak (untuk dipilih)? Kalau bersedia, okay.
(Atau) kalau dia tengok orang dalam suasana kekalutan dan
mungkin jawatan (kepimpinan) itu akan terlepas kepada orang yang tidak
munasabah, boleh membawa kepada rosak (masyarakat) dan dia rasa dia lebih baik,
dia boleh menawarkan diri.
Al-Muslimah: Hujah inilah yang selalu digunakan
pemimpin politik. Dia rasa orang lain tak berapa layak, kalau diberikan
kepimpinan kepada orang lain, akan rosak binasa. Jadi dia menawarkan diri. Ukuran
kelayakan kepimpinan itu seolah-olah sudah diambil mudah. Apakah kecenderungan
itu baik untuk masyarakat?
Dr. Johari: Sebenarnya kepimpinan ini kita ukur dengan agama. Ramai orang ukurnya
dengan ukuran yang berbagai. Pemahaman itu perlu kita perbetul semula dengan
kefahaman Islam, agama kita. Islam ada syaratnya sendiri. Yang pertama orang
berilmu, yang kedua berakhlak, yang ketiga takwa, yang keempat amanah, yang
kelima jujur, ikhlas. Bukan mengukur dengan perasaan.
Sekarang mungkin ramai orang yang melihat dari sudut yang
berbeza dari yang dikendaki oleh agama Islam.
Mungkin setiap orang rasa dia berhak, dia rasa dialah paling amanah, dia
paling bagus. Yang itu perasaan kita sahaja. Kita kena tengok, ukur diri kita
dengan agama.
Dan orang yang memahami Islam, dia merasakan (kepimpinan)
ini adalah satu tugas dan ibadatnya kepada Allah. Jadi apabila dia diberi
tampuk pemerintahan, kuasa, dia akan jadikan dengan kuasa itu dia boleh masuk
syurga, di samping ibadat lain.
Apabila perasaan ini ada, orang (pemimpin) akan jadi
betul dengan Allah. Sebab itu seorang yang jadi pemimpin, sebagaimana dia nak
masuk syurga dengan sembahyang dia, maka dia tempel satu lagi, masuk syurga
dengan memerintah. Selama mana orang itu merasai dia nak masuk syurga sebagai
pemimpin, dia akan memastikan apa yang dia buat kena dengan kehendak Allah. Kalau
kita boleh pacak di situ, selesai amanah kepimpinan kita.
Pilih pemimpin
berdasarkan harta adalah khianat
Al-Muslimah: Ada kecenderungan masyarakat kini
menentukan kelayakan seseorang pemimpin yang nak dipilih itu berdasarkan
keupayaan material. Orang yang ada kekuatan kewangan, orang itulah yang
cenderung dipilih.
Dr. Johari: Ini pun telah diberi amaran oleh Rasullullah s.a.w. Pilih pemimpin jangan
berdasarkan kepada anak-beranak, jangan berdasar kepada harta dan kedudukan,
tetapi berdasarkan pada kelayakan. Kalau kita berdasar kepada anak-beranak, itu
tidak diterima sebagai kelayakan.
Malah Rasullullah s.a.w sebut, (apabila) ada orang yang
lebih berwibawa untuk memimpin, mempunyai syarat yang baik dan lebih baik
daripada orang lain, tiba-tiba kita tak pilih dia kerana dia tiada duit, tidak
ada kedudukan, tak ada apa-apa dan kita pilih orang lain yang ada duit, ada
harta dan pangkat atau keturunan, maka pemilih-pemilih itu telah mengkhianati
Allah dan Rasul. Mereka bukan
mengkhianati orang itu, tetapi mengkhianati Allah dan Rasul.
Kepimpinan ini bukan benda main-main. Kerana itu
dikatakan jika pemimpin itu baik, masyarkat akan turut baik. Kalau pemimpin
rosak, masyarakat akan turut punah. Pemimpin merupakan nadi kepada sesebuah
tempat atau negara.
Al-Muslimah: Konteks hadis tadi hanya tertakluk
untuk individu atau boleh diaplikasi terhadap pertembungan antara organisasi
atau kumpulan?
Dr. Johari: Boleh semua, kerana yang dikehendaki ialah siapa yang diredhai Allah dan
Rasul. Orang yang diredhai Allah dan
Rasul mestilah dia berdasarkan kepada agama, kepada Islam. Dalam konteks kita sesama kumpulan Islam pun
kena cari orang yang paling layak berdasarkan kepada ilmu, kepada kewarakan,
keupayaan pentadbiran dan kepintaran. Kalau kita tidak ambil benda ini, kita
ambil unsur-unsur kewangan, kekayaan, kepimpinan akan menjadi rosak.
Kerana itu Nabi s.a.w ada sifat ‘fatonah’ (kebijaksanaan), dia pintar dalam menyelesaikan semua
masalah. Sama ada dia selesai sendiri atau minta tolong orang, itu terpulang. Dia
pentadbir.
Sifat-sifat Nabi yang lain ialah sidiq, amanah dan tabligh.
Dia tak sebut (sifat) harta di sini.
Sebab itu mudah saja kita nak tahu sifat pemimpin. Tengok sifat Nabi, sidqun, amanah (jujur), tabligh, dan fatonah (bijaksana).
Kena ada unsur-unsurnya. Apabila unsur itu ada, baru dia
boleh jadi pemimpin. Kalau sidiq (jujur)
ada, tapi tabligh tak ada, tak
menyampaikan mesej, tak menyampaikan peraturan, tak boleh juga. Tablighnya ada tapi tak cerdik, tiada fatonah, pun tidak boleh juga. Mesti ada
keempat-empat itu, mengikut kadar masing-masing.
Sebenarnya empat sifat Nabi itu adalah sifat pemimpin. Kalau
kita hendak pilih pemimpin, begitulah sifatnya. Tapi kalau tidak ada (sifat
itu) turunkanlah, tapi jangan sampai tak ada langsung.
Umat Bani Israel pernah komplen kepada nabi mereka. Mereka
kata tolonglah beri kepada kami seorang pemimpin, untuk berperang. Lalu Allah
kata, ‘Thaluta malika’- nak lantik
Thalut sebagai pemimpin.
Mereka komplen, macam mana nak lantik Thalut sebagai
pemimpin, dia orang sesak (miskin)?
Ertinya, masalah kewangan ini sudah jadi teras pemikiran
manusia di zaman Bani Israel dulu. Nak
jadi pemimpin mesti orang kaya. Jadi perangai ini perangai Bani Israel!
Al-Muslimah: Akhir sekali apa nasihat Dr. kepada
masyarakat umum terutama tanggungjawab memilih pemimpin?
Dr. Johari: Pertama, orang Islam hendaklah pilih pemimpin sebagaimana yang dikehendaki
atau diajar oleh Allah SWT. Untuk mengetahui atau mengenali sifatnya, maka kita
kena belajar, kena membaca dan kena ada pengetahuan. Jangan kita utamakan
kehendak kita, kerana pemimpin yang kita pilih akan membawa kita sama-sama di
akhirat kelak.
Jika dia tidak selesai urusan dunia maka kita sebagai
orang memilihnya akan ditanya Allah di akhirat nanti, mengapa kita memilih si
polan. Orang yang silap memilih akan menyesal tidak habis-habis, manakala orang
yang betul memilih akan gembira sepanjang masa.
Kita perlu ingat, memilih pemimpin bukan perkara
main-main atau suka-suka, tetapi kita memilih untuk kita menuju ke akhirat dan
melibatkan persoalan syurga dan neraka. Tak guna kita memilih orang yang tidak
diredhai Allah.
(Artikel ini
disiarkan majalah Al-Muslimah, Bil: 210, Disember 2008 di ruangan ‘TOPIK’
dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment