“Tarik balik ‘sekatan’ ke atas Kelantan, Terengganu sejak
2000”
Oleh: Anuwa Jamalullail
TERNYATA akhirnya para pemimpin Umno terpaksa akur kepada
hakikat bahawa pendekatan bermusuhan dan mengkhianati negeri-negeri yang
diperintah parti pembangkang tidak menambahkan kekuatan kepada parti itu.
Sebaliknya, pendirian itu hanya memburukkan imej Umno
yang telah sedia dikenali gemar menindas dan membuli parti-parti lain, tidak
terkecuali rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) sendiri. Bukankah kita
pernah mendengar luahan parti-parti komponen BN yang mendakwa dijadikan ‘pak
turut’ kepada kehendak para pemimpin Umno?
Menyedari hakikat itu barangkali menyebabkan para
pemimpin parti itu kebelakangan ini kelihatan berusaha memperbetulkan kesilapan
dan keterlanjuran mereka.
Selain memperbaiki sikap dan layanannya terhadap rakan
komponen BN, parti itu turut dipaksa oleh keadaan untuk mengkaji semula
beberapa pendirian dan tindakannya yang dianggap “melampau” terhadap parti
lawan. Penarikan balik dua ‘sekatan’ yang dikenakan dua kerajaan dikuasai Umno
ke atas dua kerajaan diperintah PAS pada 2000 lalu boleh dijadikan contoh
perubahan positif itu.
Pada 12 Disember lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri
Mohd Ali Rustam, tidak semena-mena menarik balik arahannya yang melarang
kakitangan agensi dan jabatan kerajaan negeri itu mengadakan lawatan rasmi ke
Kelantan. Arahan yang dibuat pada April 2000 itu turut membabitkan negeri
Terengganu yang pada ketika itu diperintah PAS. Ia bagaimana pun terbatal
dengan sendiri pada 2004, setelah negeri itu kembali diperintah BN.
Menurut Mohd Ali, penarikan balik larangan itu adalah
kerana orang Kelantan kini tidak lagi melabelkan orang Umno sebagai tidak Islam.
Meski pun itu sahaja sebab yang diberikan, kita percaya
tindakan Naib Presiden Umno itu didorong beberapa perkiraan lain. Rakyat umum
dapat menilai betapa sekatan itu sebenarnya tidak realistik dan tidak
dipedulikan orang. Malah jika diteruskan pun, ia hanya memalukan diri Mohd Ali
sendiri.
Pertama, perlu diakui jumlah yang terlibat dalam lawatan
rasmi agensi kerajaan Melaka ke Kelantan tidak lah begitu besar berbanding jumlah
keseluruhan pelancong ke negeri itu. Apatah lagi jumlah daerah di Melaka
bukanlah sebanyak di Selangor, Perak atau pun Johor. Maka jumlah jabatan dan
agensi kerajaan negerinya tidaklah sebesar mana.
Bagi rakyat Kelantan pula, sekatan dibuat Mohd Ali itu
tidak memberi apa-apa kesan sedikit pun, sama ada bagi sektor perhotelan dan
penginapan, perniagaan mahu pun pengangkutan. Ibarat kata orang negeri itu, ia “tidak
menjadi kudis gatal”.
Kedua, sekatan itu hanya terbatas kepada lawatan rasmi
agensi kerajaan negeri sahaja. Ada pun rakyat negeri itu (dan jabatan-jabatan Persekutuan
di negeri itu?) tidak tertakluk kepada arahan tersebut.
Sebab itu saban musim cuti persekolahan,
berbondong-bondong rakyat dari Melaka menerjah ke Kelantan. Secara tidak
langsung ia menggambarkan rakyat tidak berkongsi pendirian “primitif” ketua
menteri mereka itu.
Ketiga, oleh kerana sekatan itu pada asalnya ditujukan
kepada negeri-negeri diperintah PAS, perubahan geopolitik negara selepas
pilihan raya umum lalu menjadikannya sudah tidak relevan. Melainkan sekiranya
Mohd Ali mahu mengembangkan arahan sama kepada empat lagi negeri yang baru
jatuh ke tangan parti-parti lawannya, Mac lalu.
Jika itu yang dilakukannya, nescaya yang akan merasai
kesan negatifnya ialah Melaka sendiri. Bayangkan apa jadi sekiranya kelima-lima
negeri diperintah Pakatan Rakyat itu bertindak balas dan sepakat memboikot
sebarang lawatan ke negeri bersejarah itu?
Akhirnya, mahu tidak mahu, Mohd Ali terpaksa mengalah. Meski
pun amat memalukan, beliau tiada pilihan melainkan menarik balik arahan “primitif”
itu.
Kebetulan atau tidak, keesokan hari selepas pengumuman
beliau itu, giliran Timbalan Presiden Umno pula mengumumkan pembatalan satu
lagi sekatan dicetuskan Umno, juga pada 2000 lalu.
Dalam lawatannya ke Terengganu pada 13 Disember lalu, Datuk
Seri Mohd Najib Razak secara rasmi mengisytiharkan bahawa sekatan pembayaran royalti
minyak kepada negeri itu telah berakhir. Beliau turut mengesahkan Kerajaan
Pusat menghormati hak rakyat Terengganu terhadap royalti berkenaan.
“Kerajaan Pusat mengembalikan hak rakyat Terengganu
dengan menyerahkan wang royalti kepada kerajaan negeri sebanyak RM408.6 juta. Dengan
itu kerajaan Terengganu sudah cukup pitih
(duit) untuk melaksanakan pelbagai pembangunan yang dirancang selama ini”,
katanya.
Isu perampasan hak rakyat Terengganu terhadap royalti
minyak dihasilkan di luar pantai negeri itu tercetus sebagai manifestasi
kekecewaan Umno di atas kekalahan mereka dalam Pilihan Raya Umum 1999. Mereka
merasakan mustahil mendapat balik kuasa pemerintahan negeri dari tangan PAS
sekiranya duit royalti minyak dimiliki kerajaan dan rakyatnya.
Mereka inilah yang mula-mula membuka laluan jahat dengan mengisytiharkan
duit itu hanyalah ehsan Kerajaan Pusat, bukannya royalti. Oleh kerana ia
semata-mata ehsan, maka terpulang kepada Kerajaan Pusat sama ada untuk
meneruskan pembayarannya atau menghentikannya.
Dokumen perjanjian berkaitan royalti berkenaan yang
ditandatangani antara Petronas dengan Kerajaan Terengganu pada 22 Mac 1975
turut dipertikaikan. Seorang menteri Kabinet yang berpendidikan undang-undang
menyifatkan dokumen itu hanya sebuah MoU (memorandum persefahaman), bukannya
perjanjian. Oleh itu, menurutnya, ia tidak ada kedaulatan dan tidak perlu
dipatuhi.
Apa pun hujah ‘loyar
buruk’ diberikan para pemimpin Umno, rakyat maklum tindakan menyekat pembayaran
royalti itu adalah semata-mata atas serakah politik parti itu. Ia bertujuan
menghukum dan mensabotaj kerajaan pimpinan PAS.
Malangnya, mangsa utama pengkhianatan itu ialah sejuta
rakyat Terengganu dari pelbagai lapisan hidup. Fakir-miskin, orang kurang
upaya, murid sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara,
penjawat awam negeri mahu pun petani dan nelayan telah dinafikan pelbagai hak
yang sepatutnya mereka nikmati.
Kesulitan mendapatkan semula hak itu akhirnya turut
ditanggung kerajaan BN selepas 2004, apabila kes itu telah dibawa ke mahkamah.
Setelah mengalami dan melihat sendiri kerugian terhadap negeri akibat perbuatan
mereka, akhirnya pemimpin Umno Terengganu sendiri menuntut Kerajaan Pusat
mengembalikan hak pengurusan wang tersebut kepada rakyat dan kerajaan mereka.
Dua minggu lalu, tuntutan itu menjadi kenyataan. Najib yang
juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Pusat menghormati perjanjian yang
termaktub dengan kerajaan Terengganu berhubung pembayaran royalti.
Kedua-dua peristiwa tadi membuktikan bahawa tindakan
memboikot dan mensabotaj negeri-negeri diperintah parti lawan bukan sahaja
menambah buruk imej dan reputasi Umno sebagai peneraju negara, bahkan turut
merugikan kehidupan rakyat keseluruhannya.
(Artikel ini
disiarkan tabloid Mingguan Wasilah, edisi 27 Disember 2008-3 Januari 2009 dengan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment