Oleh: Anuwa Jamalullail
Keputusan pengharaman senaman yoga oleh pihak
bertanggungjawab berkaitan hal ehwal agama Islam negara ini baru-baru ini
nampaknya mengundang lebih banyak reaksi negatif berbanding positif.
Ada yang meminta Majlis Fatwa Kebangsaan memberi fokus
kepada isu lain yang lebih utama dan serius, bukannya mengharamkan yoga yang
pada mereka hanya satu jenis senaman.
Ada yang mengemukakan ‘testimoni’ bahawa dirinya tidak
merasakan terpesong akidah meski pun telah mengamalkan senaman itu bertahun
lamanya. Amalan yoga yang disifatkan mereka sebagai senaman menyihatkan tidak
pernah menyebabkan pengamalnya menukar agama daripada Islam kepada Hindu atau
mengancam kedudukan Islam.
Bahkan, ada yang berhujah, berbekalkan kesihatan tubuh
hasil senaman yoga itulah menyebabkan dia semakin selesa beribadat dan mendekatkan
diri kepada Allah.
Pandangan yang lebih mirip kepada sanggahan itu disiarkan
media sebagai reaksi pihak-pihak tersebut terhadap keputusan muzakarah Majlis Fatwa
Kebangsaan (MFK) mengharamkan umat Islam mengamalkan senaman yoga secara
sistematik. Pengumuman keputusan tersebut dibuat Pengerusi MPK, Prof. Datuk Dr.
Abdul Shukor Husin, 22 November lalu.
Menurutnya, amalan senaman yoga secara sistematik
membabitkan gerakan fizikal, bacaan mantera dan matlamat penyatuan diri dengan
tuhan adalah bertentangan dengan syariat Islam. Justeru, mengamalkannya
dibimbangi akan menghakis akidah umat Islam.
“Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta
pandangan, senaman yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu sejak Sebelum Masehi
itu yang menggabungkan amalan fizikal, unsur keagamaan, mantera dan pemujaan bagi
tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya penyatuan diri
dengan tuhan, adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah”, kata Abdul
Shukor.
Justeru katanya, ahli muzakarah MFK memutuskan apa juga
jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang
dan bertentangan dengan syariat Islam.
Yoga adalah amalan kesihatan yang diperkenalkan sejak
3,300 Sebelum Masehi. Ia dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan,
mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan
jantung.
Amalan senaman harian itu bagaimana pun kebanyakannya
mempunyai pergerakan berdasarkan unsur dalam agama Hindu. Ia termasuk
konsentrasi, posisi tubuh dan tangan yang dilakukan sambil membaca mantera.
Sebab itu umat Islam dinasihatkan agar menjauhi amalan
yoga meski pun sekadar mempraktikkan pelbagai variasi senaman fizikalnya tanpa
membaca mantera atau pemujaan, kerana ia adalah sebahagian daripada keseluruhan
sistem senaman tersebut.
“Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan
hanya menjaga kepentingan dan akidah umat Islam dan pada peringkat ini kita
menggunakan pendekatan menasihat dan memaklumkan kepada umat Islam tentang
pandangan Islam terhadap yoga,” ujar Abdul Shukor lagi.
Amat menyedihkan apabila ada pihak, terutama dari
kalangan umat Islam sendiri mempertikaikan fatwa yang diputuskan MFK itu.
Adalah wajar diingat bahawa fatwa ini bukan dibuat secara main-main, sembrono
atau sewenang-wenang.
Sebagaimana ditegaskan Pengerusi MFK, keputusan itu
adalah hasil kajian dan penelitian terhadap segala hujah dan pandangan
berkaitan yoga. Ia akhirnya diputuskan demikian semata-mata demi memelihara
akidah umat Islam.
Ada pun alasan kesihatan yang dikemukakan beberapa pihak
bagi merasionalkan tindakan mereka mengamalkan yoga adalah semata-mata berlandaskan
ukuran dan pemikiran akal. Wajar difahami bahawa tidak semua ajaran dan
larangan Islam itu boleh dinilai mengikut kefahaman akal. Apatah lagi jika
seseorang itu tidak begitu mahir atau mendalam ilmunya berkaitan ajaran Islam.
Itulah masalah utama umat Islam dewasa ini. Mereka
cenderung menggunakan pertimbangan akal tanpa pengetahuan jelas mengenai hukum
Islam. Kejahilan akhirnya mendorong mereka melakukan perkara-perkara yang
terlarang dalam Islam tanpa mereka sedari.
Contoh kes-kes sebegini amat banyak. Masakan anda tidak
pernah mendengar cerita pasangan yang dicekup berdua-duaan di tempat sunyi
dalam aksi mencurigakan? Antara mereka masih sempat berhujah balas kepada
pegawai agama yang menahan mereka, “apasal pula marah kami, kami bukan buat
apa-apa pun!”
Ternyata orang itu mengira tidak ada salahnya berpegangan
tangan atau berpelukan antara lelaki dan wanita bukan mahram. Barangkali
menurut kefahamannya operasi pencegahan maksiat hanya bagi pasangan yang
melakukan persetubuhan haram.
Begitu juga hukum meminum arak. Ia adalah haram kerana
sifatnya yang memabukkan. Katakanlah ada seorang yang sangat terbiasa meminum
arak. Disebabkan terlalu biasa dengan tabiat itu, maka sekadar dua tiga gelas
arak sudah tidak memberi apa-apa kesan kepada mentalnya.
Jika logik akal digunakan, maka bolehkah bagi orang
seumpama itu mengatakan arak tidak haram baginya kerana ia sudah ‘hilang’ sifat
memabukkan itu?
Di sinilah perlunya bagi umat Islam ingat bahawa agama
ini bukan tertegak dengan akal atau logik. Banyak hukum dan ketetapan dalam
Islam tidak mampu digarap semata-mata dengan akal.
Tindakan terbaik bagi mereka ialah cuba mematuhi dan
menghormati keputusan dibuat MFK selaku badan berotoriti dalam hal ehwal Islam.
Apatah lagi jika keputusan itu membabitkan amalan yang berkemungkinan
memesongkan akidah, sedangkan menurut ukuran akal ia tidak sebegitu.
Kebelakangan ini juga semacam ada kecenderungan di kalangan
masyarakat bukan Islam tampil lebih berani mengusik sensitiviti khalayak
majoriti negara ini, termasuk mempertikai keputusan MFK. Baru-baru ini ada NGO
bukan Islam mengadakan demonstrasi membantah keputusan MFK mengharamkan
perlakuan perempuan yang menyerupai lelaki atau ‘pengkid’.
Dalam kes pengharaman yoga ini pula, kedengaran suara ‘sumbang’
dari beberapa pihak bukan Islam, terutama kalangan penganut Hindu. Presiden
Persatuan Malaysia Hindu Sangam, Datuk A. Vaithilingam menyifatkan langkah MFK
mengharamkan yoga sebagai menghina komuniti Hindu di negara ini.
Nada tidak senang sebegitu turut disuarakan Presiden MIC,
Datuk Seri S. Samy Vellu. Beliau mendakwa fatwa itu telah menimbulkan
kebimbangan dan kekeliruan di kalangan rakyat bukan Islam, terutama penganut
Hindu.
Di sinilah perlu difahami bahawa fatwa dikeluarkan itu
bukan bertujuan mencerca, memperkecilkan atau menghina agama lain, termasuk
Hindu. Sebaliknya ia sebagai panduan agar umat Islam tidak melakukan amalan
yang dilarang agama.
“Setiap fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan adalah
panduan kepada umat Islam saja. Hukum itu tidak membabitkan penganut agama lain
dan semua pusat yoga boleh meneruskan operasi senaman itu untuk penganut bukan
Islam,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi, mengulas kebimbangan khalayak bukan Islam mengenai fatwa berkenaan.
(Artikel ini
disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 7 Disember 2008 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment