Oleh: Mohd Nasir Awang
DALAM salah satu hadisnya yang masyhur berkaitan
keutamaan menuntut ilmu, Rasulullah saw menggalakkan umatnya memburu ilmu
pengetahuan walau pun terpaksa mengembara ke negara sejauh China.
Meski pun perjalanan antara Semenanjung Tanah Arab dengan
negara itu kini memakan masa hanya beberapa jam, hakikat hadis tersebut
hendaklah difahami dalam konteks zaman Baginda saw lebih 1400 tahun lalu. Dengan
menyarankan umat Islam bermusafir hingga ke China itu, Rasulullah saw mungkin
bermaksud menggambarkan bahawa tuntutan mencari ilmu tidak mengenal batas
sempadan negara mahu pun kepayahan perjalanan.
Dari perspektif berbeza, hadis itu juga mengajak kita
berfikir bahawa tentu tersirat suatu hikmah sangat besar mengapa Baginda saw
memilih untuk menyebut negeri China sebagai destinasi yang wajar
dipertimbangkan umatnya untuk mencari ilmu. Sedangkan di zaman itu sudah ada
puluhan negeri lain serata dunia yang dianggap maju dan bertamadun.
Apakah mungkin Rasullullah saw sudah dapat mencium
kehebatan bangsa berkenaan, terutama dalam membekalkan ilmu-ilmu yang dapat
dimanfaatkan umat Islam? Dinilai dari sudut itu, bermakna hadis tersebut adalah
satu pengiktirafan Baginda terhadap kemajuan ilmu dimiliki China ketika itu.
Atau mungkinkah sedari kala itu Rasullullah saw sudah
melihat bangsa Cina sebagai kaum yang sangat berpotensi didampingi dan
dijadikan sasaran dakwah Islam?
Jika gesaan mendampingi kaum Cina itu dianggap satu
cabaran buat umat Islam, kita di Malaysia agak beruntung kerana sudah tidak
perlu mengembara ke negara itu untuk berbuat demikian. Di negara kita sendiri,
kaum Cina membentuk lebih sepertiga komposisi penduduk.
Cuma agak malang, kaum majoriti Melayu bukan sahaja
ketinggalan di belakang mereka dalam perlumbaan duniawi, malah turut gagal
dalam misi dakwah menyampaikan kebaikan Islam kepada kaum Cina. Selepas sudah
hampir satu abad berinteraksi dan hidup bersama, kita masih gagal memanfaatkan
peluang itu untuk mempesonakan mereka dengan kehebatan agama Islam.
Salah satu punca dikenalpasti ialah kekurangan mekanisme
dakwah yang mantap khusus untuk kaum tersebut. Sebab itu agak kena pada masanya
apabila akhir Oktober lalu, Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Zulkifli Nordin,
mencadangkan agar kerajaan membina sebuah masjid khusus untuk Cina Muslim di
pusat bandar Kuala Lumpur. Segala aktivitinya termasuk kuliah dan khutbah
Jumaat dicadangkan menggunakan bahasa Mandarin.
Bagi Zulkifli, langkah itu akan dapat menarik masyarakat
Cina yang menghuni kota raya mendekati Islam serta akhirnya memeluk agama suci
ini.
Cadangan itu bagaimana pun dipertikaikan. Ada yang
menganggap ia menggalakkan sifat perkauman apabila dikhususkan kepada sesuatu
kaum sahaja. Dalam Islam, kata mereka, masjid adalah tempat untuk menyatukan
semua bangsa.
Ada pula yang mempertikaikan dari sudut penggunaan bahasa
pengantarnya. Kononnya penggunaan bahasa Mandarin membelakangkan bahasa
kebangsaan yang sepatutnya difahami setiap warga negara ini.
Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) bagaimana pun ada
pendirian berbeza. Naib Presidennya, Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata,
usaha membina masjid Cina sebenarnya amat penting dalam konteks negara ini. Kewujudannya
akan dapat mengubah fahaman sempit dan persepsi salah kebanyakan rakyat
Malaysia bahawa agama Islam hanya milik orang Melayu, atau hanya boleh
dikembangkan menggunakan bahasa Melayu.
“Dengan (pembinaan masjid) itu, usaha dakwah lebih mudah
dijalankan kepada kaum Cina kerana terdapat tempat rujukan bagi mereka
mendapatkan gambaran Islam yang sebenar”, katanya.
Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin turut bersetuju
dengan cadangan pembinaan masjid itu. Baginya usaha itu akan membantu golongan
Muslim bukan Melayu mendalami agama Islam dengan lebih berkesan.
Baginya, penubuhan masjid itu adalah langkah terbaik
kerana pengurusan masjid yang dikendalikan golongan tersebut sendiri lebih
memahami masalah yang dihadapi komuniti Cina Muslim. Bahkan, pengembangan agama
Islam menjadi lebih mudah melalui penggunaan bahasa yang mudah mereka fahami.
Sebenarnya masjid pertama seumpamanya di negara ini sudah
pun terbina di Rantau Panjang, Kelantan. Menggunakan sebahagian besar seni bina
Cina sebagai terasnya, masjid pelbagai budaya yang dikenali juga dengan Masjid
Beijing itu dianggarkan menelan kos RM9 juta. Ia sudah hampir siap dan telahpun
digunakan bermula Ramadhan lalu. Seorang imam dari China didatangkan khas untuk
mengimani solat terawih di situ.
Ia bagaimana pun turut tidak terlepas daripada nilaian
negatif kalangan tertentu. Ada yang mengkritik reka bentuknya sebagai satu
kecelaruan seni bina yang menyimpang dari tradisi dan meminggirkan akar umbi
tradisi Melayu yang berkait rapat dengan Islam di negara ini. Ia dianggap
terasing dari seni bina setempat dan terasing dari persekitaran di
tengah-tengah masyarakat Melayu tradisional.
Bagi kita, itulah sebenarnya punca utama kegagalan dakwah
Islam kepada kaum bukan Melayu. Kita
terlalu mengagungkan fahaman kemelayuan itu sehingga seolah-olah menetapkan
Islam di Malaysia mestilah berindentitikan Melayu sahaja.
Demi kebaikan dakwah Islam, fahaman salah itu mesti
dihapuskan. Sudah sampai masanya kita melihat secara positif kewujudan masjid
Cina sebagai pemangkin kepada usaha dakwah lebih efektif.
Kewujudan masjid beridentitikan Cina di tengah-tengah
persekitaran Melayu juga sebenarnya memancarkan lagi bahawa Islam itu agama
universal. Akan terasa Islam itu dipunyai seluruh komuniti tanpa mengira
perbezaan bahasa mahu pun budaya. Mudah-mudahan hakikat itu akan memecahkan
benteng perkauman yang sangat kebal di negara ini selama ini.
(Artikel ini
disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Bil: 210, Disember 2008 di ruangan ‘Pendapat’
dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment