Oleh: Anuwa Jamalullail
ADA benarnya apa yang sering disebut orang bahawa ramai
di kalangan para pemimpin Barisan Nasional (BN) memiliki sifat tidak tahu
berterimakasih atau mengenang jasa orang lain. Bahkan layanan pucuk pimpinan
parti pemerintah itu terhadap beberapa parti komponennya kadangkala disifatkan
ibarat ‘habis manis sepah dibuang’.
Sikap sebegitu makin terserlah apabila satu demi satu
episod melanda gabungan itu mutakhir ini yang dikaitkan dengan perasaan tidak
puas hati kalangan kerabat BN sendiri terhadap pucuk pimpinan parti itu.
Apabila keadaan sudah tidak terkawal, para pemimpin BN tampil senada merelakan
pihak yang dianggap bermasalah terhadap gabungan itu meninggalkan BN.
Terbaru ialah kenyataan Perdana Menteri merangkap
Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang seolah-olah mengalu-alukan
ugutan bersyarat Parti Progresif Penduduk (PPP) untuk keluar dari gabungan itu.
Pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat
Dewan Tertinggi BN, 9 Disember lalu, Abdullah menegaskan, kerajaannya tidak
bercadang meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti disyaratkan PPP
untuk ia kekal sebagai parti komponen BN.
Sehubungan itu, Abdullah berkata PPP kini bebas untuk
meninggalkan BN jika pemimpinnya mahu berbuat demikian.
“Kalau itu pilhan mereka (untuk keluar BN), apa yang
boleh kita buat”, katanya.
Abdullah mengulas kenyataan Presiden PPP, Datuk M.
Kayveas, akhir bulan lalu bahawa partinya akan meninggalkan BN jika kerajaan
tidak membuat pindaan bersesuaian terhadap ISA sebelum Pilihan Raya Umum ke-13
nanti.
Dengan kenyataan terbuka itu, Abdullah bagaikan tidak
memberikan pilihan kepada Kayveas melainkan mengotakan apa yang telah
dikatakannya. Cabaran itu sekaligus menggambarkan seolah-olah kehadiran PPP sudah
tidak diperlukan lagi dalam BN.
Parti itu bagaikan melukut di tepi gantang. Adanya tidak
menambahkan sukatan, ketiadaannya pula tidak menjejaskan keadaan.
Apatah lagi kenyataan Abdullah itu bukan yang pertama
seumpamanya diucapkan para pemimpin BN terhadap parti komponennnya itu. Lebih setahun
lalu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam pernah meminta PPP
meninggalkan BN semata-mata kerana parti itu menuntut bilangan kerusi lebih
banyak untuk pilihan raya lalu.
MIC juga pada November 2007 dilaporkan pernah
mencadangkan agar BN mengusir keluar PPP ekoran pertelagahan antara Kayveas dan
Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu mengenai isu kemunduran kaum India negara
ini.
Dalam satu kenyataan kerasnya, Samy Vellu dengan tegas
menolak kemungkinan partinya akan berdamai dan kembali menjalin hubungan baik
dengan PPP. Beliau malah membandingkan parti itu dengan DAP dan PAS.
“Bolehkah DAP berbaik dengan BN? Saya nak tanya, bolehkah
Umno berbaik dengan PAS? Ia (PPP) adalah lebih teruk daripada PAS”, kata Samy
Vellu.
Turut menyuarakan rasa tidak senang dengan gelagat PPP
ialah Gerakan. Presidennya, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik sering terlibat dalam polemik
dengan Kayveas sehingga mengundang hubungan amat keruh antara kedua-dua parti
itu. Ekoran krisis berpanjangan antara kedua-dua parti itu, Gerakan juga pernah
mengesyorkan agar PPP keluar daripada BN.
Kini, gesaan sama bagaikan diulang kembali Perdana Menteri
sendiri. Apa yang kini dialami PPP mengingatkan kita kepada episod hampir sama
yang dialami Parti Maju Sabah (SAPP) kira-kira tiga bulan lalu.
Parti itu yang sejak pertengahan tahun ini mengumumkan
hilang kepercayaan terhadap Abdullah sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi BN,
secara rasmi mengisytiharkan keluar daripada BN, 17 September lalu.
Presidennya, Datuk Yong Teck Lee malah menyatakan hasrat
partinya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Abdullah sebagai Perdana
Menteri menerusi dua wakil rakyatnya di Dewan Rakyat. Meski pun hingga kini hasrat
itu belum menjadi kenyataan, SAPP kekal dengan komitmennya menyokong usul
tersebut sekiranya ia dibentangkan mana-mana pihak.
Reaksi para pemimpin BN terhadap keputusan SAPP
meninggalkan gabungan itu bagaimana pun sudah diduga. Sebagaimana PPP, parti
itu juga dianggap rakan-rakan sudah tidak sesuai untuk terus berada dalam BN.
“BN akan terus kukuh dan mantap, biar pun SAPP sudah
keluar”, kata Samy Vellu.
Abdullah selaku Pengerusi BN malah mengalu-alukan
tindakan SAPP itu.
“Dia (SAPP) merupakan masalah kepada parti (BN). Dia
pengacau, biarlah dia pergi, tak apa”, katanya.
Nasib menimpa bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Zaid Ibrahim juga tidak kurang pentingnya untuk diperhatikan, terutama
jika mahu dinilai cara para pemimpin BN melayan seseorang rakan mereka yang
dianggap sudah tidak bermanfaat untuk parti.
Semua telah maklum betapa kehadiran Zaid dalam kabinet
lebih banyak diwarnai dengan kontroversi. Percanggahan pendapat dan pendirian
beliau dengan anggota kabinet lain sering mencetuskan polemik di kalangan
pemimpin BN sendiri.
Setelah gagal mencari titik pertemuan dengan
rakan-rakannya, Zaid meletak jawatannya dari kabinet pada 15 September. Tidak
mengejutkan apabila tindakannya itu dialu-alukan para pemimpin BN.
“Baguslah dia letak jawatan, kerana sebagai ahli kabinet
yang dilantik oleh Perdana Menteri beliau tidak layak untuk mempertikai kerja
orang lain”, bidas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Ada pula yang menyifatkan Zaid sebagai satu liabiliti
kepada kerajaan kerana banyak mencetuskan kontroversi.
“Sekiranya itulah pilihan dia yang tegas hendak letak
jawatan, silalah letak jawatan, saya tidak ada komen apa-apa”, kata Abdullah.
Berbekalkan layanan sebegitu, tidak ada lagi apa yang
positif dapat diharapkan apabila Majlis Tertinggi Umno pada 2 Disember lalu
memutuskan memecat Zaid dari parti tanpa dibenarkan membuat rayuan. Tiada lagi
yang baik mengenai beliau. Kesemua komen disiarkan media menyifatkan beliau
seumpama ‘duri dalam daging’ atau ‘kudis’ bagi partinya.
Kini, gambaran awal sudah terbayang bahawa layanan buruk
BN terhadap Zaid dan SAPP itu bakal berulang terhadap PPP pula.
“Dulu ketika PPP parti yang kuat, kami diminta menyertai
BN, tetapi selepas itu apabila lemah sedikit kami ditinggalkan begitu saja. BN
perlu beri perhatian, tidak patut lupakan PPP kerana parti ini ada lebih
setengah juta ahli yang juga pengundi. BN kena ingat persahabatan itu”, kata
Kayveas, pada Oktober 2007.
Keluhan itu diluahkannya tatkala kecaman pelbagai pihak
dalam BN terhadap PPP memuncak ekoran tuntutan parti itu agar beberapa kerusi
yang pada asalnya miliknya dikembalikan semula.
Dengan perkembangan mutakhir kini, sudak tidak ada apa
yang boleh diharapkan PPP daripada BN. Barangkali sudah sampai giliran parti
itu pula mengikuti jejak yang telah diambil oleh Zaid dan SAPP untuk
benar-benar meninggalkan BN.
(Artikel ini
disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 21 Disember 2008 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment