Muqoddimah
Mahkamah Tinggi
Syariah Kuantan, 20 Julai lalu, menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan
denda RM5,000 terhadap model sambilan dari Sungai Siput, Perak atas kesalahan
meminum arak di sebuah resort di negeri itu. Keputusan itu mengundang perbahasan
pro dan kontra. Polemik spontan itu turut membuka mata masyarakat untuk
mengetahui lebih dekat Kanun Jenayah Syariah yang ada di negara kita. Wakil
al-Muslimah, Mohd Nasir Awang, menyelongkar ilmu dan harapan peribadi Ketua
Hakim Syarie Kelantan, Dato’ Aria D’Raja Haji Daud bin Mohamad mengenai isu ini
serta pelaksanaan hukum Islam sepenuhnya di negara ini.
***
Mohd Nasir Awang
(MNA): Ekoran kes di Kuantan tempohari, ramai ingin tahu lebih lanjut mengenai
peruntukan sebat dalam undang-undang syariah negara ini. Dalam konteks
Kelantan, apakah peruntukan sebat juga ada?
Dato’ Aria D’Raja
(DADR): Dalam Kanun Jenayah Syariah Kelantan, kita memang ada peruntukan sebat
untuk kesalahan-kesalahan jenayah syariah seperti minum arak, zina, muqoddimah
zina dan liwat. Hukuman maksimumnya dipanggil 356, (iaitu) tiga tahun penjara,
lima ribu (RM) denda dan enam sebatan.
Ini ada dalam
Kanun Jenayah Syariah Kelantan sejak 1985 lagi. Ia sudah diluluskan dalam Dewan
(Undangan Negeri), tapi penguatkuasaannya hanya setelah Pindaan Perlembagaan
Akta 612A dikuatkuasakan pada 1 Januari 1986.
Sejak itu kita
dah ada kaedah sebatan syariah. (Ia) dilaksanakan di Penjara Pengkalan Chepa.
MNA: Perbezaan
antara sebatan syariah dengan sebatan sivil?
DADR: Sebatan
syariah ini sebenarnya dari segi ukuran rotan, saiznya sebenarnya jauh berbeza
dengan sebatan sivil. Dan cara sebatan juga berbeza jauh. Maknanya enam sebatan
itu tidak begitu terasa sangatlah, berbanding dengan sivil. Kalau sivil, enam
itu sudah parah, berat.
Saya pun melihat
kes-kes sivil yang disebat di sana. Memang dari segi syaraknya tidak
membenarkan cara itu (sebat sivil).
Sebab itulah bagi
saya kalaulah kita kata di Kelantan ini berjalan hukuman hudud, sebat katalah
100 rotan, tidak (akan) sampai kepada kecederaan parah. Ia (hudud) boleh
dilaksanakan. Sebat syariah ini tidak mencederakan, cuma untuk beri pengajaran,
keinsafan kepada pesalah.
MNA: Barangkali
perbezaan kaedah hukuman ini tidak difahami masyarakat, terutama bukan Islam,
sehingga mereka menentang pelaksanaan hukum Islam?
DADR: Memang.
Sebab itu pada permulaan Kelantan nak laksana hukuman sebat dulu, tahun 1986,
Pemuda MCA bantah. Saya dijemput oleh Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) supaya
hadir memberi penerangan kepada Pemuda MCA yang nak mendapat penjelasan tentang
hukuman sebat ini.
Jadi saya beritahu
Pemuda MCA bahawa hukuman sebat di Kelantan ini tidak melibatkan bukan Islam. (Pelaksanaannya)
hanya kepada pesalah-pesalah Islam sahaja dan kalau lah tuan-tuan tahu sebatan
Islam ini adalah ringan, tidak sama dengan sebatan sivil, sudah tentulah
tuan-tuan akan minta di mahkamah sivil supaya sebat ikut hukuman syariah. Ia
ringan, tidak menyeksa, tidak mencederakan pesalah.
MNA: Kelantan
telah ada pengalaman laksanakan hukum sebat?
DADR: Ada. Kes-kes
arak, muqoddimah zina, liwat dan sebagainya. Kes-kes yang patut dihukum di
bawah hudud, yang ada bidang kuasa mahkamah syariah, kita adakan hukum sebat.
Itu pun hanya boleh setakat enam sajalah. Sebab bidang kuasa jenayah diberikan Parlimen
kepada negeri hanya tiga tahun penjara, (RM) lima ribu (denda) dan enam
sebatan.
MNA: Bukankah
enam sebatan untuk kesalahan minum arak itu masih jauh dari hukum Islam sebenar?
DADR: Ya,
sebabnya dari segi kuasa kita (mahkamah syariah) tidak sampai kepada tahap itu
(hukum Islam sepenuhnya). Kalau dari segi Islamnya 40 sebatan dan memang itulah
yang muktamadnya. Ada juga pendapat yang kata 80, tapi kita ambil yang jumhur. Ulama
yang ramai mengatakan 40 sebatan untuk arak.
MNA: Pun begitu,
apabila hukum ini tercetus di Kuantan, kita nampak satu kegerunan dalam masyarakat.
Apakah ini bukti kehebatan hukum Islam?
DADR: Sebenarnya
hukum Islam ini apabila kita laksanakan sepenuhnya, terutama sekali hudud ini,
Tuhan telah jamin sekiranya kita laksanakan hukum Allah ini, pencegahan itu akan
datang daripada Allah. Pencegahan ini sebenarnya dari sudut khalayak ramai, dia
akan rasa gerun atau takut dan sebagainya.
Jaminan Allah
akan berlaku pencegahan itu mungkin dengan cara memberi hidayah, memberi
inayahNya dan sebagainya kepada manusia supaya tidak menghampiri, tidak mendampingi
lagi kesalahan-kesalahan itu semua apabila kita laksanakan hudud.
Sedangkan hukuman
lain daripada hukum Allah ini kadang-kadang sampai mati sekali pun kita lihat
tidak memberi kesan (kepada pesalah), sebab ia tidak ada jaminan daripada
Allah. Manusia ini kadang-kadang makin berani, makin tak takut kepada hukuman-hukuman
yang berat itu.
MNA: Dalam kes
di Kuantan ini, pengakuan daripada pesalah itu sendiri turut menarik perhatian
kita. Dia mahu hukuman sebat disegerakan, dia insaf dan bertaubat. Dia menyeru pula
kepada semua pihak supaya mengambil pengajaran daripada kes dialaminya. Ini hasil
pelaksanaan baru secebis dari hukum Islam, Dato’?
DADR: Ya lah,
tidak lengkap. Sebenarnya kalau hukum Allah, minum arak ini memang seperti saya
sebut tadi, 40 rotan. Maknanya yang kita laksana itu belum lagi sampai ke tahap
hukum Allah, tetapi barangkali oleh kerana hukuman itu terbit daripada mahkamah
syariah dan sebatan pun tidak sama dengan hukum sivil, secebis hukuman
membayangkan ada sedikit ke arah hukum syarak itu, maka adalah kesan dalam hati
mereka yang dilaksanakan hukum tersebut, keinsafan dan kesedaran seperti merayu
supaya orang ramai merasa takut dan sebagainya, sepertimana dia juga rasa.
Sedikit sebanyak barangkali (dia) mendapat pertolongan daripada Allah.
MNA: Apakah kes
ini satu titik positif ke arah masyarakat lebih memahami dan menerima
pelaksanaan hukum Islam sepenuhnya?
DADR: Ya, saya
sentiasa menyeru kepada semua pihak dalam masyarakat, terutama pemerintah. Apabila
bercakap tentang Islam, kita nak laksanakan Islam, kita menyeru supaya
masyarakat ini kembali kepada ajaran Allah, selalu kita buat tilawah al-Quran,
menggalakkan orang baca al-Quran, tetapi setengah perkara (tuntutan al-Quran)
itu kita tidak cuba laksanakan.
Ada setengah masyarakat
itu kita lihat merasa takut, kalau laksanakan hukum Allah ini (negara) menjadi
huru-hara, menjadi kelam kabut, akan menjadi macam-macam perkara yang negatif. Jadi
saya rasa ini semua perkara yang tidak ada asas. Sepatutnya kalau kita sedar dan
jaminan Allah sendiri akan mencegah, maka saya rasa benda ini (hukum Islam) sepatutnya
kita orang Islam laksanakanlah.
Kita laksanakan
hukuman di Malaysia, hukuman bunuh pun banyak. Dalam Islam kalau kita katakan
hukum qisas, jika sabit kesalahan berlaku pembunuhan dan dilaksanakan (hukuman),
ketika itu ada tiga pilihan (menurut qisas), sama ada bunuh balas atau pun
bayar diat atau pun keluarga si mati memberi maaf. Tapi dalam undang-undang
sivil kini, sabit kesalahan bunuh tak ada pilihan, mandatorinya bunuh balas.
Inipun kalau kita lihat dari segi Islamnya sudah jauh beza.
Saya rasa kalau
kita laksanakan qisas, sudah ada tiga pilihan hukuman. Kalau dia nak terima
diat, bayaran diat yang kita tetapkan, (dia boleh) pilih. Dengan itu masyarakat
bukan Islam pun boleh nampak Islam ini tidak sangat nak laksanakan bunuh itu.
Tidak semestinya bunuh balas.
Begitu juga kes
sariqah, pencurian misalnya, kalau kita laksanakan hukum Allah sudah tentu masyarakat
bukan Islam pun merasa aman. Apabila Tuhan jamin, maka orang kena satu dua kes
laksanakan hukum potong tanganlah katakan, dengan sendiri masyarakat,
penjenayah dan sebagainya akan rasa takut, gerun, tidak akan menghampiri lagi
(kesalahan itu). Ini membawa keselamatan kepada masyarakat dan juga tidak ada
kes ragut dan sebagainya.
Kita ni kelam-kabut
sekarang, makin hari makin bertambah (kes jenayah). Makin hari makin manusia
terutama sekali penjenayah sudah tidak takut, tidak gerun kepada hukuman-hukuman
yang macam-macam dilaksana seperti penjara dan sebagainya.
MNA: Kesimpulannya,
Dato’ yakin pelaksanaan hukum Islam boleh menyelamatkan negara ini?
DADR: Ya, ia
menyelamatkan manusia dan menyelamatkan wang negara. Sekarang kalau kita hukum
penjara, dia habis wang negara lagi. Keluarga dia, siapa nak tanggung? Tak ada
siapa nak tanggung, tapi kalau kita laksanakan hukum Allah, kita laksanakan
saja hukum dia boleh balik bersama keluarga dia, boleh bekerja, boleh bantu
keluarga. Wang negara pun tak habis biayai makanan, minuman dan sebagainya di
penjara.
Profil
Nama: Dato’ Aria
D’Raja Dato’ Haji Daud bin Mohamad
Lahir: Kg Pantai
Sabak, Sering, Kota Bharu, Kelantan, 1937.
Isteri: Datin
Hajjah Halimah bte Hussin.
Anak: Mohd Hilmi,
43, (pegawai Petronas); Mohd Hayazin, 39 (swasta); Mohd Haris, 32 (peguam di
Zaid & Co); Huda Syafinaz, 28 (Bank Negara).
Pendidikan:
Sekolah Rendah Al-Falah & Sek. Men. Maahad Al-Ilmu as-Saudi di Mekah (1952-58);
Universiti Al-Azhar, Mesir (Ijazah Syariah wal Qanun dan Diploma Perpustakaan,
1958-64).
Kerjaya: Pegawai
di Pejabat SUK Kelantan (1964-65); Penolong Nazir Guru-Guru Agama Kelantan di
Sekolah Kebangsaan (1965-69); Kadhi Jajahan Kota Bharu (1969-80); Ketua
Penyelia Agama & Pendakwa Jenayah Syariah (1980-88); Timbalan Kadhi Besar
Negeri (1988-90); Kadhi Besar Negeri (1990-98) dan Ketua Hakim Syarie Kelantan
(1998-sekarang).
(Wawancara ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, April 2010 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment