oleh: Mat Zain Mat Isa
Pepatah Melayu ada menyebut, “anjing biasa makan tahi; jika tidak dimakan, mencium ada juga”. Peribahasa ini ditujukan kepada golongan manusia yang buruk perilaku. Maksudnya, seseorang itu kalau sudah biasa jahat, walau pun ada ketikanya dia berhenti dari perbuatan itu, sekali-sekala diulanginya juga.
Sudah menjadi kebiasaan orang dahulukala mencipta bahasa kiasan sebegitu bagi memudah dan mengindahkan komunikasi mereka. Perbandingan itu bagaimana pun bukan di atas status atau taraf hina binatang mughalazah itu, tetapi lebih ditujukan kepada perangai atau perilakunya.
Dalam kes pepatah tadi, tabiat anjing yang suka memakan tahi menjadi fokus kiasan. Maka yang dikeji dari anjing itu bukan kerana ia adalah binatang najis, tetapi kerana perangai buruknya yang suka membuat kerja kotor dan jijik, termasuk sanggup memakan bahan buangan dubur manusia.
Bahkan, intipati utama pepatah ini ialah ketidakbolehpercayaan terhadap jaminan anjing akan berubah dari perangai jahatnya itu. Tabiat jahat sudah sebati dengan dirinya dan sukar ditinggalkan terus.
Sebab itu ditekankan dalam pepatah ini bahawa jika tidak dimakan tahi itu, anjing tetap juga mahu menciumnya.
Apa pun, wajar diakui hakikat bahawa pepatah itu memang tepat dengan tabiat semulajadi manusia. Dapat kita lihat dalam kehidupan seharian bagaimana seseorang yang terbiasa dengan tabiat jahat sukar meninggalkan kebiasaan itu, sekali pun dicemuh orang atau ada ketikanya dia sendiri menyatakan hasrat mengubah tabiat itu.
Maaf cakap, bukan mahu menyamakan sekumpulan khalayak politik kita dengan binatang menyalak itu, tetapi sekadar memanfaatkan peribahasa ciptaan nenek-moyang kita. Kebetulan pula tabiat yang dimaksudkan pepatah tadi memang nampaknya bersebati dengan kumpulan manusia ini.
Contohnya, Perdana Menteri pernah mengakui secara terbuka bahawa zaman media massa perlu sentiasa tunduk kepada kemahuan kerajaan telah berlalu. Beliau turut meminta dihapuskan tanggapan kononnya kerajaan lebih tahu segalanya daripada rakyat.
Laungan itu diuar-uarkan sebagai menggambarkan polisi terbuka kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya terhadap kebebasan media. Kononnya BN sudah belajar dari kesilapan lalu. Bahawa manipulasi bersangatannya terhadap media secara berat sebelah demi kepentingan BN menyebabkan rakyat mual dan jijik terhadap parti itu.
Banyak kritikan sebelum itu mengaitkan salah guna kuasa BN yang keterlaluan terhadap media massa sebagai antara punca kebencian rakyat terhadapnya. Akibatnya BN ditolak rakyat sehingga kerajaannya tumbang di beberapa negeri dan ternafi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Malangnya, komitmen mahu berubah itu tidak begitu boleh dipercayai. Ia seakan-akan tabiat binatang dalam pepatah tadi. Oleh kerana terbiasa dengan tabiat manipulasi itu, BN seakan tidak selesa jika tidak mengulanginya.
Keghairahan mencipta kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang bakal diadakan 25 April nanti seolah melupakan BN terhadap prinsip keterbukaan terhadap media.
Lalu dapat kita lihat bagaimana media cetak arus perdana dan media elektronik dikuasai kroni BN kembali berpadu tenaga dengan cara gaya lama. Mereka tidak dapat bertahan lama dengan polisi yang kononnya “terbuka dan bebas”. Mereka seakan tidak dapat mengawal ketagihan untuk mengganyang parti-parti lawan.
Belum pun berlangsungnya penamaan calon dan belum pun bermula tempoh sebenar kempen, media massa itu sudah kembali menjadi medan liputan terperinci aktiviti kempen BN di Hulu Selangor.
Para pemimpin BN pula turun lebih awal ke kawasan berkenaan dan sudah mula menabur janji serta meluluskan berbagai projek segera. Berjuta-juta untuk projek tebatan banjir, berjuta lagi untuk perumahan warga Felda. Berbagai kemudahan dan jaminan untuk penduduk perkampungan Orang Asli juga sudah disebutkan pemimpin BN.
Seruan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tiada mana-mana parti politik memulakan kempen sebelum proses penamaan calon selesai tidak diendahkan. BN menjadikan SPR bagaikan lelaki yang tidak ada “telur”.
Peraturan yang selalunya amat ketat terhadap parti-parti pembangkang itu kini dipermainkan BN sewenangnya. Seolah-olah parti itu ada pengecualian khas dan kebal dari dipersalahkan di sisi peraturan itu.
Bukankah itu juga manipulasi kuasa secara tidak demokratik? Itu juga sebelum ini pernah dilaungkan BN untuk diubahnya. Namun apa yang berlaku mengesahkan bahawa rakyat tidak boleh terlalu percaya BN akan berubah dari tabiat jahatnya.
Sebelum ini BN juga telah dipukul dan terpukul dengan taktik pelaksanaan ‘projek segera’ di setiap kali berlangsungnya pilihan raya. Dengan tak semena-mena seluruh kementerian secara “kebetulan” ada program yang kononnya telah masing-masing rancang sekian lama di kawasan pilihan raya berkenaan.
BN pernah menyesali taktik itu, terutama setelah ia gagal memperbodohkan rakyat di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Ia menyatakan hasrat tidak mengulanginya. Kata mereka, rakyat kini sudah cerdik dan mampu menilai niat sebenar BN mengadakan projek seumpama itu ketika kempen sedang memuncak.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1529, 9 April 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment