oleh: Mat Zain Mat Isa
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor telah melabuhkan tirainya, Ahad (25 April) lalu. Selepas berhempas pulas dengan segala taktik dan strategi, termasuk memanipulasi segala kekuatan dan kekuasaan dimilikinya, Barisan Nasional (BN) akhirnya berjaya menawan kembali kerusi yang terlepas ke tangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) pada pilihan raya umum, 2008 itu.
Calon BN, Kamalanathan a/l Panchanathan dari MIC mengenepikan tentangan Dato’ Zaid Ibrahim (KeADILan) dengan majoriti 1,725 undi. Beliau memperolehi 24,997 undi berbanding Zaid yang mendapat 23,272 undi.
Jumlah dipungut Kamalanathan itu merupakan peningkatan 2,018 undi berbanding 22,979 undi dikutip Dato’ Palanivel a/l Govindasamy pada 2008. Manakala undi diperolehi Zaid juga menunjukkan penambahan, biar pun hanya 95 undi berbanding 23,177 undi diperolehi Allahyarham Dato’ Dr Zainal Abidin Ahmad.
Perolehan lebih 2 ribu undi tadi membolehkan BN menimbus kemenangan KeADILan dengan majoriti hanya 198 undi pada pilihan raya lalu. Meski pun menang, pencapaian BN itu jika dinilai dari berbagai sudut tidak melambangkan kejayaan membanggakan. Berbanding segala macam tindakan politik yang difokuskannya ke Hulu Selangor bermula sebaik kematian Allahyarham Zainal, 25 Mac lalu, jumlah perolehan undi sebanyak itu amat tidak berbaloi.
Pertama, ia terlalu tidak setanding dengan peruntukan segera berjumlah puluhan juta dilulus dan dijanjikan BN untuk berbagai projek pembangunan bertujuan memancing sokongan penduduk setempat. Hampir tidak ada sektor masyarakat di Hulu Selangor yang tidak terlibat dengan taburan “gula-gula pilihan raya” BN itu.
Peneroka Felda menerima pampasan, sekolah Cina dijanjikan peruntukan pembangunan. Masjid dan kuil dihulurkan bantuan kewangan, manakala pengguna lebuh raya juga ada bahagian dalam janji pembangunan dibuat BN.
Malangnya, di sebalik segala “kemurahan hati” itu, BN hanya berupaya menambat lebih 2 ribu pengundi tambahan kepadanya. Ia sebaliknya gagal mengurangkan jumlah undi dipungut parti lawan.
Kedua, apa yang dicapai BN juga tidak memadai berbanding segala bentuk manipulasi media cetak dan elektronik dikuasainya untuk memburukkan parti lawan. Laporan media-media itu hampir tepu dengan paparan amat berat sebelah, yang sengaja diolah demi keuntungan BN.
Menambah kesengetan keadaan itu ialah apabila media siber pro-BN turut melacurkan kebebasan mereka untuk menyebarkan fitnah terhadap Pakatan Rakyat (PR), khususnya KeADILan.
Ketiga, pencapaian BN itu tidak sepadan dengan dosa dan kesan negatif jangka panjang yang bakal diterimanya hasil manipulasi jahat isu-isu melibatkan peribadi beberapa pemimpin PR, terutama Penasihat KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Zaid sendiri.
Umpamanya, rakyat dapat melihat bagaimana isu peribadi Zaid yang dikatakan kaki botol dan tahi judi akhirnya menikam diri BN sendiri. Pihak paling terpukul dengan isu itu rupa-rupanya ialah para pemimpin Umno. Banyak bukti dan fakta tak semena-mena tertonjol ke pengetahuan umum menerusi media alternatif berhubung penglibatan sebilangan pemimpin utama parti tua dan nazak itu dengan dua dosa besar di sisi agama Islam, iaitu arak dan judi.
Keempat, taktik dan strategi BN mendalangi beberapa siri pengumuman keluar parti oleh kumpulan pengkhianat KeADILan juga tidak memberikan kesan signifikan terhadap jumlah sokongan kepada parti itu.
Rakyat Hulu Selangor agak bijak untuk tidak melayan taktik lapuk BN itu. Sebab itu kita lihat jumlah undi diperolehi KeADILan bukan sahaja tidak merosot, sebaliknya semakin bertambah.
Secara numerikal jika diteliti fakta-fakta PRK ini dan dibandingkannya dengan fakta pilihan raya lalu, dapat kita andaikan kemungkinan dari mana datangnya perolehan 2,018 undi tambahan kepada BN itu.
Tidak syak lagi pertambahan peratusan keluar mengundi menjadi dorongan utama. Jumlah 48,935 keluar mengundi dalam PRK ini merupakan peningkatan sebanyak 1,313 pemilih berbanding 47,622 pada 2008. Jumlah itu mungkin termasuk kesemua 108 pemilih baru dan selebihnya adalah mereka yang tidak keluar mengundi pada 2008.
Ia bagaimana pun tidak semua pergi kepada BN, mengambilkira 95 undi tambahan diperolehi KeADILan. Ertinya kita andaikan BN berjaya memanfaatkan 1,218 pengundi tambahan untuk memihaknya.
Jumlah kertas undi rosak juga menampakkan kemerosotan. Jika pada 2008, jumlahnya ialah 1,446, pada PRK ini undi rosak dicatatkan hanya 731. Ertinya, sebanyak 735 pemilih telah berjaya “dididik” untuk mengundi dengan betul. Malangnya, besar kemungkinan juga kesemua jumlah itu memihak BN.
Kedua-dua angka tadi (1,218 dan 735) menghasilkan 1,953 undi tambahan kepada BN. Baki lagi 65 undi dikatakan hasil peningkatan undi pos untuk BN.
Berdasarkan fakta itu dapat kita simpulkan bahawa kekalahan Zaid tidak melambangkan rakyat Hulu Selangor termakan dengan propaganda tidak bermaruah oleh jentera kempen BN.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1535, 30 April 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment