oleh: Mat Zain Mat Isa
Nampak sangat Barisan Nasional (BN) ketandusan modal mendepani kekuatan pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang sedang berlangsung. Sehinggakan parti yang hampir rebah itu kini terpaksa kembali kepada modal dan isu lapuk, termasuk memanipulasi perkara yang bercanggah dengan amalan tradisi dan prinsip dipegang BN sendiri.
BN terpaksa buat tebal muka memainkan semula lagu pembangunan dan kembali kepada taktik lama mencurahkan projek segera ke kawasan pilihan raya itu. Sebaik sahaja penyandang kerusi Hulu Selangor dari Keadilan, Dato’ Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia, secara tiba-tiba seluruh perancangan segenap kementerian kerajaan Pusat tertumpu ke situ.
Alasan klise kedengaran lagi. Beberapa menteri dan timbalan menteri yang hadir mendakwa kononnya kelulusan segala projek yang tak semena-mena mereka umumkan di Hulu Selangor itu “telah dirancang lebih awal” oleh kementerian masing-masing.
Ia dikatakan “kebetulan” berada dalam kalendar kementerian pada waktu bakal berlangsungnya pilihan raya kecil di situ. Apakah BN fikir rakyat tersangat bangang untuk sebegitu mudah percaya dengan “kebetulan” itu?
Itu juga nampaknya belum cukup meyakinkan BN untuk memastikan kemenangannya. Selain taburan kebendaan, isu-isu berkaitan peribadi calon juga dimanipulasi BN. Sedari awal Pakatan Rakyat (PR) telah menguar-uarkan beberapa nama yang bakal diisytiharkan sebagai calon.
Disedari atau tidak nama-nama itu banyak membantu BN menghidu sesuatu yang dirasakan dapat memberikan kelebihan kepadanya. Sebahagian besar nama itu, termasuk Dato’ Zaid Ibrahim yang diisytiharkan sebagai calon Keadilan, adalah pemimpin politik bukan anak tempatan Hulu Selangor.
Sebab itu isu anak tempatan telah mula kedengaran disebut para pemimpin BN sejak awal. Ia dijangka bakal dimanipulasi secukupnya jentera saraf dan kempen rumah ke rumah BN. Setiap penduduk dan pengundi yang ditemui akan diterjah dengan isu tersebut.
Lebih-lebih lagi BN dijangka menamakan seorang tokoh politik tempatan sebagai calonnya mewakili MIC. Sehingga rencana ini ditulis, perisytiharan calon BN belum berlangsung. Namun kriteria anak tempatan itu telah acapkali diulangsebut hampir setiap pemimpin utama BN, sama ada peringkat nasional mahu pun negeri Selangor sendiri. Malah beberapa nama yang disenarai pendek BN itu kesemuanya melibatkan anak tempatan daerah tersebut.
Lalu bagi memperlihatkan pilihan calon BN itu ada kelebihan berbanding calon parti lawan, BN tidak silu mengutarakan hujah berbaur kedaerahan. Hampir setiap pemimpin BN yang bercakap mengenai calon menyelitkan sama faktor anak tempatan. Satu sentimen sengaja dibentuk kononnya hanya anak tempatan yang akan dapat memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat di Hulu Selangor.
Inilah silapnya BN. Pertama, keghairahannya memanipulasi isu ini melupakannya kepada amalan tradisinya sendiri. Sebegitu ramai pemimpin parti itu sendiri, terutama tokoh-tokoh ternama yang menduduki kabinet Pusat, menjadi wakil rakyat bukan di kawasan kelahiran mereka.
Kita sebutkan beberapa contoh. Antara mereka ialah Dato’ Lew Sip Hon, pemimpin
MCA yang pernah menjadi timbalan menteri dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat. Beliau menjadi Ahli Parlimen Shah Alam selama tiga penggal bermula 1974, sedangkan beliau anak kelahiran Sungai Petani, Kedah.
Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai, adalah Ahli Parlimen Bentong, Pahang. Walau pun berasal dari Jasin, Melaka, tidak pula berbangkit soal tidak mampu memberikan khidmat kepada masyarakat Bentong. Buktinya beliau terus dipilih untuk penggal ketiga kini.
Begitu juga seorang lagi anggota kabinet dari MCA, Dato’ Donald Lim Siang Chai. Beliau lahir di Sungai Bakap, Pulau Pinang, tetapi mewakili Petaling Jaya Selatan selama tiga penggal bermula 1995.
Malah perjalanan politik beberapa bekas ahli Parlimen Hulu Selangor sendiri boleh direnungi. Tan Sri Michael Chen menjadi wakil rakyat di situ selama dua penggal pada 1974 dan 1978. Sebelumnya beliau ahli Parlimen Damansara, manakala pada 1982 mewakili Beruas, Perak.
Kes serupa berlaku terhadap Dato’ Lee Kim Sai, ahli Parlimen Hulu Selangor pada 1982. Lee selepas itu berpindah ke Parlimen Hulu Langat selama dua penggal bermula 1986.
Tanpa perlu menyelidiki apakah mereka ini anak tempatan Hulu Selangor atau tidak, yang pasti mereka pernah mewakili lebih daripada satu kawasan pilihan raya. Sudah tentu tidak semua masa mereka berkhidmat selaku anak tempatan kawasan yang mereka wakili.
Ertinya amalan menggunakan calon bukan anak tempatan sebenarnya menjadi tradisi BN sendiri sejak dulu hingga kini. Jadi mengapa di Hulu Selangor kini BN beriya-iya memainkan isu tersebut?
Apatah lagi keghairahan itu bersipongang di celah hebatnya BN mencanangkan slogan 1Malaysia. Konsep bertunjangkan kefahaman Malaysia untuk semua itu sepatutnya mengajar kita bahawa tidak ada lagi soal remeh-temeh kedaerahan di dalam memilih pemimpin.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1532, 19 April 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment