Oleh: Nuwa Aitawa
TERPESONA dengan
keilmuan, sikap kebapaan dan hemah tinggi seorang tok guru pondok menjadi
pendorong utama dia akhirnya memeluk Islam. Namun setelah bergaul dengan
orang-orang Melayu yang Islam sejak lahir memaksanya menerima hakikat bahawa
tidak semua individu bergelar Muslim layak ‘ditumpanginya’ untuk lebih
mendekati agama suci ini.
Itulah gambaran
percanggahan dua perasaan atau tanggapan yang mewarnai kehidupan Mat Husin bin Mohamad,
50, sejak lebih 26 tahun bergelar Muslim.
Dilahirkan
sebagai Sowadh Khieu Kham di Haatyai, Thailand, pada 1959, personaliti ruangan
Hidayah kali ini mengakui ibu bapanya merupakan penganut agama Buddha yang
sangat kuat.
Namun
penghijrahannya ke Narathiwat kerana mencari pekerjaan menjadi titik pusing
yang mengubah seluruh hidupnya. Tidak pernah diduganya tindakannya menyewa
rumah bersebelah sebuah perkampungan pondok di daerah bermajoritikan penduduk
Melayu-Islam itu akhirnya menyeret beliau mendekati Islam.
Gara-gara
pegangannya yang sangat kuat terhadap ajaran agama asalnya, Mat Husin yang
lebih mesra dipanggil Abe Sin memberanikan diri bersemuka dengan ‘Baba’ (panggilan
bagi tok guru pondok di sana) dan berbahas mengenai Islam.
“Masa tu kita
(saya) umur 21 tahun. Kerja hotel di Narathiwat. Tengok pelik orang Islam
sembahyang, tapi Tuhan tak dak di depan. Tak nampak Tuhan, sembah lagu (macam)
mana? Kita (penganut) Buddha, kita sembah tuhan sungguh, ada duduk depan kita,”
cerita Abe Sin serius.
Hujah itu
dikemukakannya kepada Baba. Hujah balas tok guru itu bagaimana pun membuatkan
Abe Sin tergamam.
“Baba tanya kita
balik, mu tahu dak api (elektrik) ada? Memang api ada, sebab bila buka suis,
nyala (lampu). Ada mu nampak api? Tak nampak pun kena percaya api ada,” Abe Sin
mengimbau salah satu sessi perbahasannya dengan Baba itu.
Sejak itu banyak
perkara yang tidak difahaminya berkaitan Islam dipersoalkannya, sambil di masa
sama cuba membuktikan bahawa ajaran agamanya adalah lebih baik.
Sessi-sessi
perbahasan itu berlanjutan hampir tiga tahun. Namun, kata Abe Sin, tidak pernah
walau sekali pun Baba mengajaknya memeluk Islam. Dia hanya menerangkan kebaikan
dan kelebihan Islam.
“Dah dekat tiga
tahun, kita rasa nak masuk Islam. Royat (beritahu) kat Baba, dia kata, mu kalau
nak masuk Islam baik pergi duduk di Malaysia. Di sana Islam bagus. Mu duduk
sini kerja hotel, makan belaka, minum belaka, tak boleh jadi Islam baik,”
cerita Abe Sin lagi.
Baba turut
menguruskan pembikinan pasport untuknya. Tok guru itu juga memberikan sejumlah
wang untuk tambang dan perbelanjaannya di Malaysia. Sifat kebapaan Baba itu
kekal mengusik perasaan Abe Sin hingga kini.
Beliau datang ke
Kuala Besut, Terengganu. Seorang penduduk tempatan bermurah hati mengambilnya
sebagai anak angkat. Belum genap seminggu berada di negara ini, Abe Sin
melafazkan syahadah.
Detik penting
pada 1983 itu memulakan episod baru hidupnya sebagai seorang Muslim. Ia juga
sebenarnya permulaan satu kepayahan baginya mendalami dan menghayati ajaran
Islam dalam kehidupannya.
“Tak leh (boleh)
tumpang... setengah tu (orang Melayu) berat (teruk) daripada kita lagi,” luah
Abe Sin penuh kecewa.
Beliau maksudkan
sebilangan orang-orang Melayu yang menjadi rakan atau hidup di sekelilingnya yang
lebih buruk perangai mereka daripada dirinya yang baru memeluk Islam.
Penghayatan Islam mereka, sama ada pada memberati ibadat wajib atau suruhan dan
larangan agama, sangat mendukacitakan.
Maka jangan
dikatakan untuk Abe Sin menumpang belajar dari mereka, untuk mengurus diri
mereka sendiri agar mematuhi Islam pun mereka tidak mampu.
Ditanya, tidakkah
ada pertubuhan khusus dinaungi kerajaan untuk membimbing dan menunjuk ajar
saudara baru Islam, beliau tanpa ragu mengakui itulah pihak yang paling mendukacitakannya.
Menurut pengakuan
Abe Sin, setelah sekian lama mengikuti sessi pengajian dikendalikan pertubuhan
tersebut, beliau dapati penekanan tidak diberikan agar saudara baru Islam
benar-benar memahami dan mengamalkan Islam.
“Contohnya, dia
(tenaga pengajar) tanya kita berapa rukun sembahyang, ambil air sembahyang lagu
mana. Sembahyang Zohor berapa rakaat, Asar berapa rakaat. Itu je, macam jawab periksa.
Dia tak suruh kita buat (praktikal), lepas tu tegur betul ke tak betul,”
katanya.
Menurut Abe Sin,
hal itu menyebabkan ada di kalangan saudara baru Islam masih tidak betul
mengambil wuduk, mengerjakan solat atau membaca al-Fatihah, walau pun sudah
lebih 10 tahun memeluk Islam.
Mahu tidak mahu
beliau terpaksa mengambil inisiatif sendiri mencari orang yang boleh mengajarnya
secara terperinci dan berkesan. Mujur juga seorang imam di Masjid Kuala Besut
menawarkan diri mengajar Abe Sin tentang Islam, terutama berkaitan pengetahuan
asas fardhu ain.
Di situlah beliau
diajar secara teori dan amali cara-cara mengambil wuduk, cara mandi junub,
mengerjakan solat dan berbagai lagi.
Meski pun belum
berpeluang mengkhatam al-Quran, Abe Sin bersyukur kerana ditetapkan iman. Beliau
tidak jemu mendalami agamanya menerusi ceramah dan kuliah agama di sekitar
kampungnya.
Di rumahnya di Kampung
Pengkalan Nyireh, Besut, Abe Sin adalah bapa dan juga ibu kepada sembilan
anaknya. Isterinya, Sharifah binti Mohamad baru meninggal dunia Februari lalu
akibat komplikasi darah tinggi dan serangan jantung.
Anak sulungnya,
Mariam, 24, kini bertugas sebagai guru di Kuala Lipis. Anak kedua, Aminah, 23,
seorang pembantu tadbir di Kuala Terengganu. Ahmad Fadli, 21, pula seorang
askar wataniah di Besut.
Anak-anaknya yang
lain ialah Ahmad Israk, 20; Mohd Ehsan, 18; Norhanani, 17; Nor Aisyah, 14; Mohd
Shafawi, 12 dan Mohd Alif Firdaus, 8 tahun.
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah,
April 2010 di ruangan 'Hidayah' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment