Oleh: Mohd Nasir Awang
Sehingga rencana ini ditulis (pagi Selasa, 13 April) belum ada mana-mana pihak membuat pengumuman rasmi nama calon yang bakal mereka pertaruhkan dalam Pilihan Raya Kecil P094-Hulu Selangor nanti. Sama ada Barisan Nasional (BN) mahu pun Pakatan Rakyat (PR), bagaimana pun telah melontarkan beberapa nama yang berkemungkinan disahkan sebagai calon masing-masing.
Sehingga rencana ini ditulis (pagi Selasa, 13 April) belum ada mana-mana pihak membuat pengumuman rasmi nama calon yang bakal mereka pertaruhkan dalam Pilihan Raya Kecil P094-Hulu Selangor nanti. Sama ada Barisan Nasional (BN) mahu pun Pakatan Rakyat (PR), bagaimana pun telah melontarkan beberapa nama yang berkemungkinan disahkan sebagai calon masing-masing.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 17 April sebagai tarikh penamaan calon. Sekiranya ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 25 April nanti.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, pada Sabtu (10 April) lalu mengesahkan setakat hari itu sembilan borang pencalonan dibeli dari pihaknya. Jumlah itu dijangka bertambah menjelang hari penamaan calon.
Meski pun ada kemungkinan borang berkenaan turut dipungut individu yang bercadang bertanding sebagai calon Bebas, pertarungan sebenar nanti hanyalah di antara dua pihak, iaitu BN dan PR. Namun jalan ditempuh kedua-dua gabungan itu dalam menentukan parti mana ditugaskan memikul cabaran masing-masing amat berbeza.
Di pihak PR, sedari awal telah ditentukan tanpa pertikaian bahawa kerusi Hulu Selangor adalah milik Parti Keadilan Rakyat (PKR). Memandangkan bekas penyandangnya, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad mewakili parti itu, maka tiada sebab wajar untuk parti-parti rakan lain mengendeng kerusi tersebut.
Memang diikutkan catatan sejarah, Hulu Selangor secara tradisi bukan milik PKR. Ia pernah ditandingi kesemua parti pembangkang, iaitu PAS, DAP, Semangat 46, Front Sosialis (SF) dan Parti Sosial Demokratik (SDP) lama sebelum wujudnya PKR. Bahkan parti paling kerap bertanding di situ ialah DAP, iaitu sebanyak lima kali sejak 1969 lagi.
Namun perkiraan sejarah dan nilaian setiakawan di dalam PR tidak sebagaimana tergambar dalam BN. Serakah memenangkan ego politik parti masing-masing di dalam gabungan BN mendorong Umno membangkitkan berbagai hujah mewajarkannya menuntut kerusi itu dari MIC.
Itulah bezanya BN dengan PR. Walau pun BN sangat gemar melabelkan parti-parti PR sebagai “tidur sebantal tetapi mimpi berlainan”, yang lebih menzahirkan hakikat itu ialah BN.
Itulah juga bezanya Umno dengan parti-parti lawan, terutama DAP dan PAS. Sementara dua parti PR itu sebegitu mudah memberi laluan kepada rakan mewakili pakatan mereka, Umno pula cuba mengungkitkan sejarah kononnya kerusi Hulu Selangor pada asalnya miliknya. Kononnya ia telah berkorban selama lebih 55 tahun memberi laluan kepada parti-parti rakannya bertanding di situ.
Malah dalam usaha mewajarkan tuntutannya, Umno tergamak mendedahkan kelemahan parti rakannya, MIC selaku penyandang kerusi itu sejak 1986. Kemenangan PKR pada 2008 yang tidak sealiran dengan keputusan di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) diperbesarkan.
Ketiga-tiga kerusi Dun di bawah Parlimen Hulu Selangor dimemangi BN. Dun Hulu Bernam dimenangi calon Umno dengan majoriti 3,549 undi, Kuala Kubu Baharu (MCA – 448) dan Batang Kali (Umno – 2,179). Logiknya, jika tidak berlaku pemecahan undi di peringkat Parlimen, BN sepatutnya menang di Hulu Selangor dengan majoriti lebih 6,000 undi.
Fakta itu dimanipulasi Umno menuntut kerusi itu. Kononnya pemecahan undi di Parlimen itu semata-mata kerana calonnya dari MIC. Kata mereka nasib BN tentu berbeza sekiranya Umno yang bertanding.
Lalu kedengaranlah ungkapan “hanya Umno mampu mengembalikan Hulu Selangor kepada BN”. Agak lantang suara-suara mendesak MIC bersikap terbuka dan berlapang dada demi kepentingan BN. Kononnya parti itu sudah ditolak rakyat, termasuk kaum diwakilinya sendiri. Sedangkan Umno masih diterima rakyat.
Saya mengikuti keghairahan pejuang-pejuang Melayu itu menyuarakan tuntutan mereka dengan penuh sinikal dan pesimis. Sedari awal lagi saya menjangkakan akan berlaku ‘pusingan-U’ dalam sikap kemelayuan yang membuak itu.
Telahan itu tidak banyak menyimpang. Sebaik Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN dan timbalannya, senada mengesahkan kerusi Hulu Selangor kekal milik MIC, suara lantang mewajarkannya diserah kepada Umno segera menghilang.
Semangat berkobar pejuang Melayu itu tidak ubah seumpama resmi air Coke. Ketika mula dibuka botolnya dan kandungan gasnya masih kuat, membuak-buak buih melonjak naik ke permukaan air. Tetapi selepas digoncang dan dibiar terdedah seketika, buih hilang entah ke mana. Malah, diminum pun sudah tidak terasa ‘kick’ nya.
Bukankah suara lantang Umno menuntut kerusi Hulu Selangor itu kini berpatah arah? Umno berlumba pula merasionalkan mengapa kerusi itu patut dikekalkan untuk MIC.
Gelagat ini tidak ubah seperti kisah musang dengan buah anggur. Binatang itu memang sangat terliur memakannya dan melompat beberapa kali cuba mencapai gugusan buah anggur yang terjuntai dari pokok.
Setelah kepenatan mencuba, ia tetap gagal mencapai buah itu. Lalu bagi menenangkan perasaan sendiri yang kecewa serta menyembunyikan kegagalannya, si musang itu dengan penuh ego berkata, “aku bukan nak makan sangat pun anggur itu. Kalau dapat pun aku tak akan makan, aku memang dah tahu ia masam”.
Malah perangai buruk Umno tidak terhenti di situ. Ego politiknya beserta busuk hatinya terhadap kawan dan lawan menukarnya menjadi batu api pula. Apabila sudah sah terlepas peluang meletakkan calon di Hulu Selangor, ia menghasut pula PR supaya turut meletakkan calon India, bukan calon Melayu sepertimana diura-urakan.
Umno mahu menutup kegagalannya. Nantinya mudah baginya mengubati kekecewaan hatinya bahawa bukan BN saja yang tidak memilih calon Melayu, parti lawan juga berpendirian serupa.
(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0196, 18 April 2010 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment