oleh: Mat Zain Mat Isa
Ada sekurang-kurangnya dua faktor utama yang memungkinkan terbuaknya serakah Umno meletakkan calonnya mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang bakal diadakan.
Meski pun suara-suara menuntut kerusi berkenaan diserahkan kepada parti tua itu disusuli berbagai rasional yang kebanyakannya bersandarkan perkiraan kaum, dorongan sebenar tuntutan itu tidak dapat lari daripada persoalan mengembalikan imej politik dan menyerlahkan manipulasi kuasa Umno selaku parti pembuli utama dalam BN.
Pilihan raya kecil di Hulu Selangor akan diadakan tidak lama lagi ekoran kematian wakil rakyatnya dari Keadilan, Dato’ Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak, 25 Mac lalu. Pada 2008, Allahyarham mengalahkan Timbalan Presiden MIC, Dato’ Palanivel a/l K. Govindasamy dengan majoriti tipis 198 undi. Dr Zainal Abidin memperolehi 23,177 undi, manakala Palanivel mendapat 22,979 undi.
Kemenangan itu menamatkan penguasaan BN (sebelumnya Perikatan) di kerusi tersebut sejak separuh abad lalu. Namun kejayaan pakatan pembangkang merampasnya tidak begitu mengejutkan memandangkan fenomena serupa bukan hanya berlaku di situ. Angin perubahan sikap pengundi yang menghasilkan tsunami politik dua tahun lalu menyaksikan banyak kerusi tradisi BN tumbang ke tangan Pakatan Rakyat (PR).
Bagaimana pun, catatan lebih mengaibkan Umno ekoran kemenangan Allahyarham di Hulu Selangor sebenarnya ialah apabila buat pertama kalinya kawasan bermajoriti Melayu itu memiliki wakil rakyat berbangsa Melayu.
Sejak pilihan raya pertama 1959, kerusi berkenaan dimenangi Perikatan. Untuk enam penggal pertama ia diwakili silih berganti oleh empat pemimpin MCA. Bermula penggal 1986, kerusi berkenaan diserahkan kepada MIC, sehingga ia dirampas Allahyarham pada 2008.
Dr Zainal Abidin bukan sahaja Ahli Parlimen bukan BN/Perikatan pertama bagi Hulu Selangor, malah juga Ahli Parlimen Melayu pertama dalam sejarah kewujudan kawasan itu. Hakikat itulah sebenarnya yang amat memalukan Umno. Meski pun perjuangannya dipenuhi sentimen kemelayuan yang membuak-buak, parti itu belum pernah walau pun sekali berjaya meletakkan calonnya mewakili BN di kawasan bermajoriti Melayu itu.
Mengikut perangkaan 2008, komposisi pengundi di kawasan berkenaan mengikut kaum adalah 53.9 peratus Melayu, diikuti Cina (26.7), India (19.0) dan lain-lain kaum (0.4). Kesemua mereka membentuk 63,593 pemilih berdaftar.
Bagi parti-parti PR yang tidak berjuang di atas landasan kaum, soal kaum tidak menjadi nilaian utama meletakkan calonnya. Namun bagi Umno yang mendakwa juara pejuang Melayu, kegagalannya memiliki kerusi dengan komposisi sebegitu memang sesuatu yang mencalarkan dasar perjuangannya.
Kini Umno bagaikan baru tersentak dari lena yang panjang. Fakta sejarah memalukan itu telah menghantui tidurnya selama ini. Ia menjadi faktor pertama mendorong Umno kini bingkas dalam mamai, lalu merenyam-renyam mahukan kerusi Hulu Selangor diserahkan kepadanya.
Maka terhamburlah segala macam alasan dan sandaran mewajarkan tuntutan itu. Kononnya hanya calon daripada Umno yang mampu memastikan BN dapat merampas semula kerusi berkenaan.
Serakah Umno mewajarkan tuntutannya itu tidak terhenti setakat itu. Ia malah sudah mula melancarkan perang psikologi. Bukan terhadap parti lawan, tetapi terhadap parti rakannya sendiri, MIC.
Selaku penyandang kerusi berkenaan sejak lima penggal sebelum 2008, MIC merasakan adalah wajar status quo itu dikekalkan. Presiden MIC, Dato’ Seri S. Samy Vellu, siang-siang lagi menuntut kerusi itu dikekalkan sebagai milik partinya.
Umno bagaimana pun tidak mengendahkan pendirian rakannya itu. Semakin lantang kedengaran suara-suara mendesak MIC bersikap terbuka dan berlapang dada demi kepentingan BN. Kononnya parti itu sudah ditolak rakyat, termasuk kaum diwakilinya sendiri. Sedangkan Umno masih bersemayam gagah di tampuk kuasa.
Hakikat itu dikatakan bakal memudahkan BN merampas Hulu Selangor, sekiranya calon Umno yang bertanding. Bahkan ia sudah pun secara terbuka melontarkan beberapa nama pemimpin utamanya yang digambarkan amat bersesuaian dijadikan calon BN. Kononnya nama-nama itu menjadi sebutan akar umbi.
Di situlah terserlahnya satu lagi faktor pendorong Umno membuat tuntutan kerusi Hulu Selangor. Bahawa parti itu mahu menzahirkan sikapnya sebagai pembuli utama dalam BN. Kononnya ia lebih berhak menentukan sesuatu pembahagian atau pengagihan kuasa politik dalam gabungan pemerintah itu.
Sikap Umno yang meremehkan status MIC semakin terserlah. Bukan hanya ekoran tuntutan kerusi pilihan raya itu, tetapi lebih disebabkan prestasi buruk parti kaum India itu dalam pilihan raya umum lalu. Keadaan MIC sejak itu bagaikan sudah jatuh, ditimpa tangga.
Umno mengambil kesempatan atas kecederaan MIC, bukan menghulurkan tangan membantu, sebaliknya terus melanyak maruah parti itu. Di ketika MIC berhempas pulas mencari formula terbaik memulihkan sokongan kaum India kepadanya, tergamak Presiden Umno selaku Pengerusi BN secara terbuka mengalu-alukan penubuhan parti Makkal Sakti sebagai alternatif memaut sokongan kaum India terhadap BN.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1527, 2 April 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment