Friday, October 29, 2010

‘Sentuhan ajaib’ BN di Galas sudah boleh diduga

oleh: Mat Zain Mat Isa

Sehingga rencana ini ditulis (Isnin), proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Kelantan, belum berlangsung. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Oktober sebagai hari penamaan calon, manakala pembuangan undi pada 4 November nanti.

Sama ada ia bakal menyaksikan pertandingan lebih daripada dua penjuru atau tidak, yang pastinya fokus pertarungan akan tetap tertumpu kepada dua kelompok parti utama, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Bahkan, kedua-dua pihak telah pun mengumumkan calon masing-masing. BN mempertaruhkan Setiausaha Umno Bahagian Gua Musang, Abdul Aziz Yusof, untuk merampas semula kerusi itu. Beliau adalah bekas Pengurus Pejabat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

PR pula menyerahkan mandat kepada PAS untuk mempertahankan kerusi dimenangi parti itu dalam pilihan raya umum lalu. Untuk itu, PAS menamakan Pemangku Yang Dipertua Kawasan Gua Musang, Dr Zulkifli Mohamad sebagai calonnya.

Biar pun tempoh sebenar kempen secara rasminya belum bermula, perang psikologi dan gerakerja turun padang antara BN-PR sudah pun berlaku. Ia bukan sekadar melibatkan kerja-kerja perancangan dan penyusunan jentera serta petugas, tetapi telah terzahir menerusi tindakan dan gerakerja di peringkat akar umbi.

Dalam hal itu, BN kelihatan lebih terkedepan menzahirkan sikap tidak sabarnya memulakan kempen. Beberapa perkampungan Orang Asli dikatakan antara lokaliti paling awal dilihat mengibarkan bendera BN. Program jabatan-jabatan juga telah pun bermula. Manakala pengumuman projek mega bernilai jutaan ringgit turut mengisi jadual kempen awal BN.

Bagai diuar-uarkan lebih awal, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hadir ke Gua Musang pada Ahad (24 Oktober). Beliau bukan sahaja mengumumkan calon BN, tetapi turut melancarkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) khusus untuk penduduk dalam Dun Galas.

Biar pun BN mendakwa projek bernilai RM180 juta dibiayai Kerajaan Pusat itu bukan didatangkan sebagai projek memancing undi, apa yang pasti ia menjadi titik mula paling menyerlah kepada gerakerja kempen parti itu di Galas.

Apatah lagi hakikat itu agak jelas terzahir dari ucapan Muhyiddin ketika mengumumkan projek berkenaan. Beliau tanpa selindung mengaitkan pelaksanaannya dengan keprihatinan BN terhadap keperluan penduduk. Di masa sama, beliau mengambil kesempatan melemparkan gambaran buruk terhadap kerajaan negeri dipimpin PAS, kononnya gagal memenuhi keperluan hidup rakyat.

Kenyataan itu sendiri membuktikan bahawa projek dilancarkan itu tidak boleh dipisahkan dengan agenda politik BN. Lebih-lebih lagi bagi menghadapi pilihan raya kecil yang sdeang berlangsung kini.

Sebab itu Muhyiddin tanpa selindung menegaskan, mengambil kira BN begitu bersungguh membela nasib rakyat, maka adalah tidak keterlaluan untuk beliau meminta rakyat terus memberi sokongan kepada partinya pada pilihan raya kecil Galas nanti.

“Saya berharap jentera Pemuda, Wanita, Puteri turun padang menemui lebih 11,000 pengundi kerana sudah ada yang menunggu sentuhan ajaib BN,” media pada Isnin memeti kata Muhyiddin.

Apa agaknya ‘sentuhan ajaib’ yang bakal digunapakai BN di Galas? Menilai pengalaman berdepan parti itu dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini, ia bukan lagi suatu yang terlalu sukar ditelah. BN dijangka akan terus menggunakan taktik dan strategi yang selama ini memberikan jaminan kejayaan kepadanya.

Antara yang sering dijadikan ‘sentuhan ajaib’ BN ialah penggunaan jentera kerajaan, media dan wang, atau apa yang sering diistilahkan sebagai 3M (merujuk kepada Missionaries, Media and Money).

Setakat ini jentera kerajaan telah dikerah turun padang dan dipaksa menyusun atur program mendekatkan pengundi dengan BN. Keadaan itu dijangka lebih dipergiatkan lagi dalam seminggu mendatang.

Wang rakyat, terutama yang dimiliki kerajaan Pusat juga telah mula disalurkan ke Galas menerusi berbagai projek dan gerakerja, untuk kepentingan politik BN. Tidak mustahil selepas ini wang itu akan diturunkan dalam bentuk lebih ‘berketul’.

Manakala media massa dan elektronik talibarut BN semakin galak memanipulasi apa jua isu yang dirasakan boleh memberikan gambaran buruk terhadap PAS dan di masa sama mendatangkan keuntungan kepada BN.

Calon PAS siang-siang lagi menjadi sasaran fitnah media siber milik Umno. Media cetak arus perdana pula saban hari menyiarkan sorotan kehidupan masyarakat di sekitar Galas. Orang Asli dikatakan tidak berpuas hati terhadap kerajaan negeri, termasuk apabila kawasan mereka dibangunkan dengan berbagai projek pertanian.

Sentimen penduduk pedalaman itu sengaja diapi-apikan untuk membenci kerajaan PAS. Sehinggakan segala yang dibuat demi memajukan negeri sengaja digambarkan sebagai mendatangkan kesan negatif kepada penduduk.

Bahkan, usaha menghulurkan bantuan kepada penduduk Cina juga diputarbelit media talibarut BN. Kononnya penggunaan beg plastik berlogo bulan adalah sesuatu yang tidak dapat diterima penduduk. Ia digambarkan seolah-olah perkara serupa tidak pernah dilakukan BN.

Mengenali tabiat BN sejak dulu, sepatutnya 11,553 pengundi di Galas sudah dapat menduga ‘sentuhan ajaib’ yang akan terus diperturunkan BN.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1584, 29 Oktober 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment