Monday, November 1, 2010

BN terbelit oleh isu kempen dicetus sendiri

Biar pun Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin cuba menggambarkan kononnya PAS ketandusan isu dalam menghadapi kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas kini, keadaan yang berlaku di sana adalah sebaliknya.

Beberapa isu dilontar dan cuba dimanipulasi Barisan Nasional (BN) kelihatan tidak membuahkan hasil sepertimana diharapkan. Ia bukan sahaja gagal memburukkan imej dan reputasi PAS selaku peneraju kerajaan negeri, malah kembali menjadi ‘senjata makan tuan’ buat BN.

Seperti diduga, penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu, 26 Oktober, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Pakatan Rakyat diwakili PAS dengan BN, diwakili Umno. Ia sekali gus memadamkan desas-desus sebelum ini kononnya akan ada calon-calon lain selain mereka.

PAS menamakan Pemangku Yang Dipertua Kawasan Gua Musang, Dr Zulkifli Mohamad sebagai calon, manakala BN mempertaruhkan Setiausaha Umno Bahagian sama, Abdul Aziz Yusof, untuk merampas kerusi berkenaan pada 4 November nanti.

Perang psikologi antara kedua-dua pihak bagaimana pun telah bermula lebih awal. Beberapa isu mula dimainkan jentera kempen masing-masing, terutama sebaik nama-nama bakal calon diumumkan.

Tidak sebagaimana pilihan raya umum, dalam sebuah pilihan raya kecil soal kewibawaan peribadi calon memainkan peranan sangat penting. Sebab itu sedari awal BN meuar-uarkan rekod khidmat masyarakat oleh calonnya di kawasan itu.

Khidmat Abdul Aziz sebagai bekas pegawai penting dalam Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dijadikan sandaran utama. BN membandingkan rekod khidmat itu dengan apa yang dimiliki calon PAS. Ia mendakwa rakyat Galas lebih kenal dan lebih menerima Abdul Aziz berbanding Dr Zulkifli.

Sebagai ‘counter-attack’, PAS menjulang calonnya sebagai lebih berkelayakan. Antara sandarannya ialah kelulusan akademik dimiliki Dr Zulkifli berbanding Abdul Aziz.

BN/Umno menjadi sangat defensif, sehingga mati hujah mempertahankan kelayakan akademik calonnya. Lalu ia mengalih nada dan menuduh PAS tidak adil memainkan soal kelulusan akademik sebagai kriteria utama kelayakan seseorang pemimpin.

Bahkan, sebagai hujah justifikasi pemilihan Abdul Aziz, ada pemimpin BN mengakui bahawa tidak semua pemimpin PAS berkelulusan tinggi, tetapi mereka terbukti boleh menjadi wakil rakyat yang berjaya.

Nah! Bukankah itu suatu kenyataan yang mengakui kesilapan sendiri? BN jangan fikir rakyat negara ini, terutama di Kelantan sudah lupa bagaimana ia begitu galak memanipulasi isu kelayakan akademik calon ketika Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai, tahun lalu.

Oleh kerana di situ kelulusan calonnya lebih tinggi berbanding calon PAS, BN berhabisan memainkan isu tersebut. Di Galas kini, apabila kelulusan akademik calon-calon adalah sebaliknya, BN bagaikan dibelit isu yang pernah dicetuskannya sendiri.

Isu pembangunan turut menjadi bahan utama kempen dan propaganda BN. Telah sekian lama, bahkan setiap masa sejak Kelantan diterajui PAS, ia digambarkan sebagai negeri paling mundur. Pemerintahan PAS didakwa gagal membawa pembangunan menyebabkan negeri itu terkebelakang dari aspek kemajuan berbanding negeri-negeri lain diperintah BN.

Barangkali keghairahan BN memanipulasi isu pembangunan itu melupakannya daripada hakikat bahawa Dun Galas dan keseluruhan Parlimen Gua Musang adalah milik BN secara tradisi. PAS hanya pernah menang sekali di Dun berkenaan, di atas nama Ulu Kelantan Barat, pada 1959, sebelum menang semula pada 2008. Ada pun Parlimen Gua Musang selama ini tidak pernah jatuh ke tangan PAS.

Dengan kuasa dimiliki BN di peringkat Pusat, beserta kuasa autonomi diberikan kepada Kesedar sebagai agensi Persekutuan, parti itu sepatutnya sudah tidak ada alasan dan halangan memajukan kawasan berkenaan. Bukankah jabatan yang menjaga Orang Asli, jabatan yang membina sekolah, hospital dan rangkain telekomunikasi, semuanya di bawah kerajaan Pusat?

Ia tidak lagi boleh menyalahkan PAS. Apatah lagi PAS hanya menguasai Galas dua tahun lalu. Ertinya, jika Galas tidak membangun, tanyalah parti mana yang selama ini menguasai kawasan itu.

Malangnya, hakikat itu gagal difahami BN. Ia berterusan memainkan isu kemunduran kawasan itu.

BN bagaimana pun tersilap lagi. Bagi menggodek sentimen pengundi pedalaman, terutama masyarakat Orang Asli yang bergantung harap kepada hasil hutan dan sumber air dari sungai, BN cuba memainkan isu penerokaan hutan. Kononnya kerja-kerja pembangunan di kawasan hutan menyebabkan kemusnahan ekologi dan sumber hutan. Ia juga dikaitkan sebagai punca pencemaran sungai.

Kerajaan negeri pimpinan PAS dipersalahkan. Ia digambarkan sebagai tidak prihatin terhadap kepentingan hidup Orang Asli, semata-mata kerana mahu membangunkan kawasan hutan.


Disedari atau tidak, dakwaan BN bertujuan memburukkan PAS itu dengan sendirinya menjawab tuduhan yang satu tadi. BN mendakwa air sungai kotor dan tercemar akibat kerja-kerja di hutan yang dilulus dan dilaksanakan kerajaan negeri.

Secara tidak sengaja ia mengakui aktiviti pembangunan sedang rancak berjalan di kawasan itu. Pengakuan itu sendiri mengesahkan bahawa tuduhan BN kononnya Kelantan tiada pembangunan adalah suatu fitnah semata-mata.

Nampaknya BN makin terbelit oleh isu kempen dicetusnya sendiri.

(Artikel Mat Zain Mat Isa ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1585, 1 November 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment