Setelah lebih setahun bertarung melawan barah usus dihidapinya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas dari PAS, Chek Hashim Sulaima, akhirnya tunduk kepada suratan takdir. Petang Isnin, 27 September lalu, beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Pada pilihanraya lalu, Chek Hashim memenangi kerusi Galas dengan majoriti 646 undi selepas menumpaskan penyandang dari Barisan Nasional (BN), Mohamad Saufi Deraman.
Allahyarham memperolehi 4,399 undi manakala calon BN itu, yang juga adik kepada mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abdul Aziz Deraman, memungut 3,753 undi.
Allahyarham disahkan mengidap barah paru-paru pada Mei tahun lalu. Sejak itu beliau mengusahakan rawatan di beberapa tempat, termasuk ke Beijing, China tahun lalu. Beliau juga pernah beberapa kali dirujukkan ke pusat perubatan dalam negara untuk rawatan susulan.
Disebabkan tahap kesihatannya yang tidak begitu memuaskan, khabar angin mengenai kemungkinan berlakunya pilihan raya kecil di Galas sering menjadi bahan tutur khalayak politik negara ini. Ada yang sebelum ini mengandaikan Allahyarham akan mengosongkan kerusi berkenaan untuk memberi laluan kepada pemimpin lain menggalas tanggungjawab berat itu.
Bahkan, hanya beberapa minggu selepas bergelar Yang Berhormat, Allahyarham menggemparkan negara apabila terbabit kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai. Media melaporkan beliau cedera parah bersama salah seorang isterinya.
Berita kecederaan beliau tersebar begitu cepat disusuli khabar angin lebih buruk. Ia ditokok-tambah seolah-olah akan berlaku satu pilihan raya kecil paling singkat selepas pilihan raya umum lalu.
Barangkali pihak yang begitu beriya-iya mengidamkan satu pilihanraya kecil di Galas kini boleh tersenyum puas. Apa jua tujuan mereka mengimpikan berlakunya pertarungan politik di situ, kini Allah Ta’ala berikan peluang untuk mereka mencapainya.
Kematian Chek Hashim membuka laluan kepada satu lagi pilihan raya kecil. Ia bakal menjadi yang kedua di Kelantan dan ke-12 di seluruh negara sejak Pilihan Raya Umum 2008.
Julai tahun lalu, Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai diadakan ekoran kematian wakilnya daripada PAS, Ismail Yaakob. Ia dimenangi calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah.
“Saya menyifatkan kita kehilangan orang muda yang bekerja sukarela. Dia tidak banyak ilmu tetapi menyokong Islam, walau pun sebelah Hulu (Kelantan) tidak banyak maklumat,” media pada Selasa memetik ulasan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Che Hashim mendapat pendidikan agama di Sekolah Menengah Agama Tarbiah Mardhiah, Panchor, Pengkalan Chepa, sebelum melanjutkan pengajian ke Pakistan. Beliau menyertai PAS sebaik pulang dan memegang jawatan utama di Kawasan Gua Musang.
Penyertaan beliau dalam pilihan raya lalu adalah percubaan keduanya. Kali pertama pada 2004 lalu, beliau bertanding di Galas berdepan calon sama. Nasib tidak menyebelahinya apabila kalah dengan lebih 1,700 undi.
Biar pun hayat perkhidmatannya selaku wakil rakyat hanya tidak sampai 30 bulan, Chek Hashim sebenarnya telah melakar sejarah tersendiri di kawasan berkenaan. Anak kelahiran Kuala Betis, Gua Musang itu telah berjaya menamatkan penguasaan BN di kerusi berkenaan sejak 44 tahun (1964), sekali gus menghidupkan kembali sinar harapan buat PAS bertapak lebih kukuh di kawasan Parlimen tersebut.
Galas adalah salah satu daripada tiga Dun terletak dalam Parlimen Gua Musang yang merupakan kubu tradisi BN. Sejak pilihan raya pertama pada 1955, kerusi Parlimen itu boleh dikatakan milik Umno.
Meski pun dalam dua penggal pada 1990 dan 1995, ia terlepas ke tangan Parti Melayu Semangat 46 (S46), ia hanya melibatkan pertukaran nama parti. Sedangkan penyandang kerusi tersebut adalah tokoh sama, iaitu Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah (Ku Li).
Berdasarkan catatan sejarah, Dun Galas mula wujud dengan nama Ulu Kelantan Barat. Ia terletak di bawah Parlimen Ulu Kelantan, bersama dua lagi Dun, iaitu Ulu Kelantan Timor dan Machang Selatan.
Hanya pada pilihan raya pertama selepas negara mencapai kemerdekaan (1959), Dun berkenaan berjaya ditawan PAS. Calonnya, Ustaz Khaidir Khatib mengalahkan calon BN, Wong Yeow Wye. Kemenangan itu bagaimana pun gagal dipertahankan pada 1964.
Persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 1974 menyaksikan sedikit perubahan. Nama Dun Ulu Kelantan Barat ditukar kepada Gua Musang. Manakala dua lagi Dun di bawah parlimen sama turut berubah. Ia melibatkan Jeli dan Manek Urai.
Dalam pilihan raya itu, PAS bertanding di atas tiket BN. Calonnya Nik Mustafa @ Jek diletakkan bertanding di Jeli dan tidak menghadapi masalah memenanginya.
Pada 1986, nama Parlimen Ulu Kelantan ditukar kepada Gua Musang, manakala Dun Gua Musang menjadi Galas. Ia bagaimana pun tidak pernah berjaya ditawan PAS. Di antara pemimpin tersohor PAS yang pernah bertanding di situ ialah Allahyarham Ustaz Buniyamin Yaakob (1982).
Sepertimana yang berlaku terhadap kerusi parlimennya, kerusi Dun berkenaan juga pernah “terlepas” dari penguasaan Perikatan/BN selama dua penggal, iaitu pada 1990 dan 1995, apabila ia dimenangi calon S46. Selepas itu ia kembali menjadi milik BN.
Asas kekuatan utama BN di situ dikatakan berpaksikan kepada pengaruh peribadi Ku Li. Anak raja Kelantan itu sendiri memulakan karier politiknya di kerusi berkenaan (Dun Ulu Kelantan Barat) pada 1969.
Sebab itu kejayaan Allahyarham merampas kerusi Galas dari tangan BN adalah suatu yang mengagumkan. Barangkali komposisi pengundi Cina sebanyak 22.3 peratus ikut membantu kejayaan itu.
(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0220, 3 Oktober 2010 dengan tajuk sama. Ia juga tulisan terakhir di tabloid berkenaan sebelum mengambil keputusan tawakuf. Tabloid Siasah kemudiannya turut memberhentikan penerbitannya bberapa edisi selepas itu)
No comments:
Post a Comment