oleh: Mat Zain Mat Isa
Bagai diduga, Barisan Nasional (BN) Kelantan akan mengguna pakai modul di Manek Urai pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas nanti. Taktik dan strategi yang hampir memenangkan parti itu tahun lalu akan diulanginya lagi dalam bentuk lebih mantap dan tersusun.
Pengakuan mengenainya dibuat Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato’ Dr Awang Adek Hussein, pada Ahad (3 Oktober). Baginya, modul gerak kerja dan kempen yang dilaksanakan BN semasa berdepan PAS di Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai, Julai 2009, adalah yang terbaik pernah dicapai oleh partinya dalam kesemua pilihan raya kecil sebelum ini.
Apa agaknya resepi atau formula istimewa menjadikan kempen BN di Manek Urai yang terbaik bagi parti itu? Apa lagi jika bukan habuan kebendaan yang ditaburkan dalam pelbagai bentuk kepada seluruh kawasan pilihan raya berkenaan.
Pelbagai pihak yang membuat analisa keputusan pilihan raya kecil itu sebelum ini tidak menolak bahawa umpan pemberian wang oleh BN, selain janji pembangunan, menjadi senjata paling berkesan memesongkan kesetiaan pengundi terhadap PAS.
Kecenderungan mengalih selera politik itu dikatakan paling menyerlah di kalangan pengundi muda. BN memanipulasi kesusahan mereka dengan berbagai cara sehingga meninggalkan mereka tanpa pilihan, melainkan mencuba menyokong parti itu.
Kita tahu BN amat pakar dalam menggodek perasaan dan pemikiran rakyat. Berbagai taktik dan strategi dipelajarinya daripada pakar putar belit tersohor dunia membolehkan BN dengan mudah ‘menyintuk limau’ para pengundi sehingga melihat parti itu sebagai terbaik. Manakala apa juga kebaikan dan kebenaran di pihak parti lawan dengan mudah diselindung atau dipadamkan dari pemikiran rakyat.
Bukankah hakikat itu turut terserlah menerusi mainan sentimen agama oleh Umno Pulau Pinang di kalangan warga emas negeri itu minggu lalu? Mereka yang didakwa penerima wang ihsan RM100 sumbangan kerajaan negeri pimpinan DAP itu bagaikan dirasuk untuk memulangkan kembali wang tersebut, kononnya kerana ia hasil wang judi.
Sudah tentu penerima itu bukan dari kalangan yang berkehidupan mewah. Para pemimpin Umno/BN bukan sahaja meniupkan sentimen agama dan perkauman sempit di kalangan mereka, malah secara tidak bertanggungjawab memanipulasi kesusahan hidup mereka demi kepentingan politik parti yang sukar menerima kekalahan itu.
Kita tidak tahu berapa banyak dihabiskan BN untuk menjayakan usaha mensensasikan isu itu. Namun mengenali tabiat dan hati busuk BN selama ini, kita tidak akan percaya orang-orang tua itu bertindak secara sukarela dan tanpa menerima sebarang ganjaran dari Umno.
Paling tidak pun, Umno akan pastikan bahawa mereka yang terbabit itu akan terus menyokong Umno dan mengundi BN nanti. Apa lagi umpan paling baik mengikat kesetiaan mereka itu, jika tidak menggunakan kebendaan?
Akuilah betapa sejak sekian lama BN amat bergantung harap kepada kekuatan kebendaannya sebagai senjata paling berkesan membeli hati rakyat, terutama di saat penentuan pilihan raya.
Satu pengajaran paling berguna ialah BN tidak akan berhenti mengeksploitasi naluri rakyat agar gemarkan taburan kebendaan. Sebab itu biar pun pernah beberapa ketika parti itu seakan-akan serik menabur janji pembangunan dan menganjurkan projek segera di tengah-tengah kesibukan kempen pilihan raya, ia tidak akan dapat meninggalkan tabiat yang sudah bertradisi itu sepenuhnya.
Pernah suatu ketika, terutama ekoran kekalahan memalukan BN di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, pelbagai pihak termasuk para pemimpin BN sendiri mendesak parti itu mendalami mesej dari rakyat. Mereka seakan sepakat bahawa BN perlu melakukan perubahan.
Perubahan utama ialah berkaitan taktik dan strategi, pendekatan kempen dan manipulasi isu. Terbukti kempen BN masih ditakuk lama dengan modal basi seperti isu pembangunan, kemiskinan dan kebajikan. Sedangkan minda rakyat sudah beranjak.
Rakyat sudah tahu soal kemiskinan dan pembangunan adalah isu nasional dan tidak tertakluk di sesuatu kawasan diwakili pembangkang sahaja. Lainlah kalau di negeri diperintah BN dan kawasan diwakili BN segala aspek pembangunan sudah selesai dan sudah tidak ada orang miskin.
Malangnya, mengharapkan kesedaran itu benar-benar mengubah tabiat BN adalah ibarat menunggu buah yang tak gugur. Sebab itu belum pun kempen di Galas bermula, bahkan belum pun sempat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting pilihan raya kecil itu, kempen mengaitkan projek tajaan BN sudah pun kedengaran.
Media arus perdana tali barut BN pada Isnin (4 Oktober) misalnya memetik kenyataan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Makhtar Mustapha, yang secara jelas cuba mengaitkan pengoperasian hospital baru Gua Musang dengan jasa dan keprihatinan BN terhadap kepentingan rakyat Kelantan, khususnya di Dun Galas.
Kita percaya kenyataan yang menjulang bakti dan budi BN menerusi kerja buat Kerajaan Persekutuan seumpama itu akan bersusun paku menyusul selepas ini. Entah apa-apa lagi projek yang telah lama dilaksanakan di kawasan pilihan raya itu akan diungkit dan dihebahkan semula bagi menzahirkan kebaikan BN.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1578, 8 Oktober 2010 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment