oleh: Mat Zain Mat Isa
Agak kerap parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) terjebak ke dalam pertikaian dalaman kebelakangan ini. Ada ketika masing-masing terpaksa berhempas pulas menangani krisis sesama anggota parti. Di ketika lain pula terdengar kritikan dan asakan dari parti rakan yang mempersoalkan prestasi mereka.
Suasana itu pernah tidak padam, sekejap kendur kemudian tegang kembali. Tumpuan media arus perdana talibarut BN pula ada ketikanya terpaksa beralih arah daripada kebiasaan menghentam dan mendedahkan kelemahan pembangkang kepada membicarakan perkembangan panas dalam rumah tangga BN sendiri.
Segalanya ekoran prestasi buruk sebilangan besar parti komponen BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), lebih dua tahun lalu. Kegagalan parti pemerintah itu memperolehi majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan beberapa kerajaan negeri kepada pembangkang meletakkan BN dalam keadaan amat goyah.
Ia turut memberi kesan amat ketara kepada hubungan dan setiakawan di kalangan komponen BN sendiri. Masing-masing saling menyalahkan antara sesama mereka di atas prestasi paling buruk parti penguasa negara itu.
Hampir semua parti utama BN dilanda krisis. Kekusutan dalaman Parti Progresif Penduduk (PPP) menyebabkan seorang pemimpin utamanya yang juga anggota Kabinet tersisih keluar.
MCA juga dilanda krisis kepimpinan dan terpaksa berhempas pulas lebih setahun menyelesaikannya. Pertembungan antara dua pemimpin utamanya berakhir dengan satu ‘turnover’ politik yang agak di luar dugaan.
PRU-12 juga menyaksikan MIC mula hilang bisanya. Masyarakat India secara terbuka menolak parti itu dan mengecam kepimpinannya. Ia kalah di enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) ditandinginya.
Berikutan itu, MIC berdepan kecaman hebat dari pelbagai peringkat BN. Prestasi buruk parti itu dikatakan antara punca BN gagal memperolehi majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Sementara MIC terpaksa menerima kemunculan parti baru kaum India ekoran kegagalannya memulihkan sokongan kaum itu terhadap BN, Umno pula menghadapi pergeseran dalaman yang makin menebal terutama di beberapa negeri.
Namun parti yang menghadapi kemerosotan imej paling teruk dalam sejarah kewujudannya tentulah parti Gerakan. Ia bukan sahaja terlepas genggaman ke atas kerajaan Pulau Pinang, satu-satunya negeri yang diterajuinya sejak 1969, tetapi turut dikuburkan tanpa nesan di situ. Kesemua calonnya yang bertanding di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan empat kerusi Parlimen di negeri itu tewas.
Tidak lama selepas kekalahan memalukan itu, seorang bekas pemimpin kanan Gerakan meninggalkan parti untuk menerima tawaran berkhidmat kepada kerajaan negeri pimpinan DAP.
Seorang lagi bekas pemimpin kanan parti itu bersama ratusan pengikutnya kemudiannya mengisytiharkan menyertai Parti Cinta Malaysia (PCM), sebuah parti baru berasaskan kaum Cina.
Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dikecam ahlinya sendiri kerana gagal memperbaiki imej parti. Kemuncak perasaan kecewa itu terserlah dua minggu lalu apabila Penasihat Gerakan, Tun Dr Lim Keng Yaik berhasrat melepaskan jawatan itu lantaran putus harapan dengan kepimpinan penggantinya itu.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dato’ Dr Teng Hock Nan juga didesak berundur, sehingga membawa parti itu kepada mesyuarat agung khas memutuskan perkara tersebut, minggu lalu.
Setiap parti komponen BN mengikuti perkembangan rakan-rakan dengan penuh teliti. Namun parti paling bertuah di kalangan mereka sudah tentunya Umno. Selaku parti paling berjaya berdasarkan jumlah kerusi yang mampu dipertahankannya dalam pilihan raya lalu, Umno lebih lantang menentukan hala tuju dan mencatur langkah BN seterusnya.
Di atas alasan memantapkan prestasi BN terutama untuk memulihkan kedudukannya dalam pilihan raya umum nanti, apa juga yang dicadang dan dilaksanakan Umno seakan dipaksa diterima oleh rakan-rakan lain dalam BN.
Sebelum ini Umno Pulau Pinang tergamak menuntut jawatan Pengerusi BN negeri yang diperuntukkan kepada Gerakan diserahkan kepadanya, demi kebaikan BN. Permintaan itu dianggap wajar memandangkan Umno Pulau Pinang mempunyai 11 Adun dan dua Ahli Parlimen berbanding parti komponen lain yang tidak ada wakil rakyat di negeri itu.
Isu itu ditolak keras oleh Gerakan. Ia reda, namun tidak begitu lama Umno bersuara lagi. Ia menuntut sebahagian kerusi ditandingi Gerakan diagihkan kepada parti komponen BN lain.
Cadangan ini disuarakan Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Dato’ Zainal Abidin Osman, bulan lalu. Minggu lalu ia kedengaran semula dari pemimpin lebih tinggi. Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, dalam konteks lebih umum melontarkan pandangan agar pengagihan kerusi di kalangan parti komponen BN dikaji semula, juga demi kebaikan BN.
Mengambilkira prestasi setiap parti dalam BN, sudah tentu cadangan Umno itu tidak bermaksud memberi laluan kepada parti lain bertanding di kerusi dimilikinya. Sebaliknya, parti itu tidak mustahil cuba menggambarkan ia parti diterima sebagai wakil semua kaum dan layak bertanding di mana-mana kerusi pun di negara ini.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1581, 18 Oktober 2010 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment