oleh: Mat Zain Mat Isa
Kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Kelantan, Chek Hashim Sulaima, pada 27 September lalu membuka laluan kepada satu lagi pilihan raya kecil. Ia bakal menjadi yang ke-12 di seluruh negara dan kedua di negeri itu sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
Pada Julai 2009, Kelantan menghadapi pilihan raya kecil pertamanya di Dun Manek Urai. Ia diadakan ekoran kematian wakilnya daripada PAS, Ismail Yaakob.
Meski pun menang, PAS memperolehi pengajaran amat berguna dari pertarungan amat sengit itu. Kemerosotan majoriti agak ketara diperolehi parti itu dikatakan berpunca daripada taktik dan strategi BN mengumpan penduduk dengan habuan kebendaan.
Manek Urai membuktikan betapa ungkapan yang selama ini menjadi kebanggaan rakyat Kelantan bahawa mereka akan menerima apa juga dihulurkan BN, tetapi tetap memangkah PAS dalam pilihan raya, kelihatannya semakin berubah. Dakwaan kononnya rakyat Kelantan ada prinsip dalam berpolitik dan tidak mudah dibeli dengan projek atau wang ringgit nampaknya tidak begitu boleh dipegang lagi.
Beberapa pemimpin PAS, termasuk dari Kelantan sendiri, dalam analisa selepas pilihan raya kecil itu sepakat menyimpulkan bahawa umpan pemberian wang oleh BN menjadi senjata paling berkesan memesongkan kesetiaan pengundi terhadap PAS, terutama di kalangan pemilih muda.
Tidak syak lagi BN juga banyak belajar dari Manek Urai. Tidak mustahil juga taktik dan strategi yang hampir memenangkannya tahun lalu itu akan diulanginya lagi di Galas nanti, sudah tentu dalam bentuk lebih mantap dan tersusun.
Apatah lagi mengambil kira fakta geografi dan demografi kedua-dua kawasan tersebut tidak banyak berbeza. Mereka berada di bawah kawasan Parlimen bersebelahan. Manek Urai di bawah Kuala Krai, manakala Galas di bawah Gua Musang.
Secara luarannya apa jua isu masyarakat yang laku dan termakan oleh penduduk di Manek Urai, juga mungkin menjadi perhitungan pengundi di Galas. Namun, apakah momentum yang dirasakan positif di Manek Urai itu sudah cukup untuk BN mengembalikan penguasaannya di Galas kali ini?
Galas adalah salah satu daripada tiga Dun terletak dalam Parlimen Gua Musang. Kawasan parlimen berkenaan, termasuk Dun itu sendiri merupakan kubu tradisi BN. Sejak pilihan raya pertama pada 1955, kerusi Parlimen itu boleh dikatakan milik Umno setiap masa.
Faktor utama kekuatan BN di kawasan berkenaan sejak empat dekad lalu lebih tertumpu kepada ketokohan individu, iaitu Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah (Ku Li).
Bahkan, Dun Galas yang dulu dikenali sebagai Ulu Kelantan Barat adalah tapak kemunculan pertama anak raja Kelantan itu dalam pentas politik tanahair. Di situlah beliau mula menjadi wakil rakyat, pada 1969.
Biar pun selepas itu Ku Li beralih ke kerusi Parlimen, kekuatan pengaruhnya kekal mencengkam di Dun berkenaan. Hakikat itu tidak sukar diakui apabila penguasaan kesemua kerusi di parlimen berkenaan bagaikan mengikuti jejak politik bekas menteri Kabinet itu.
Ia dikuasai Perikatan/BN ketika Ku Li berada di dalam parti itu. Ia juga disapu bersih Parti Semangat 46 (S46) selama dua penggal ketika Ku Li terbuang dari Umno/BN.
Hakikat sejarah ini benar-benar difahami BN. Sebab itu biar pun secara jelas kepimpinan tertinggi parti itu sekian lama telah meminggir dan menyisih Ku Li dari peranan penting dalam parti mahu pun kerajaan, akhirnya anak raja itu juga yang terpaksa dijulang bagi menghadapi pertarungan di Galas. BN tanpa tangguh mengisytiharkan beliau sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya parti itu bagi pilihan raya kecil tersebut.
Sementara BN kelihatannya amat bergantung harap kepada faktor kekuatan peribadi Ku Li, rekod prestasinya berbanding pakatan pembangkang menerusi sebelas pilihan raya kecil sebelum ini pula tidak begitu menyebelahinya.
Amat ketara kegugupan BN setiap kali berhadapan pembangkang, terutama di kawasan di mana peratusan pengundi Cina yang agak besar.
Biar pun ia boleh mendakwa kawasan Dun yang berpusat di Bandar Gua Musang itu sebagai kubu kuatnya, terutama menilai sejarah penguasaan hampir mutlak parti itu sebelum 2008, perkembangan politik negara mutakhir ini tidak menjamin BN mengembalikan kekuatannya di situ.
Pada pilihanraya lalu, Chek Hashim memenangi kerusi Galas dengan majoriti 646 undi selepas menumpaskan penyandang dari BN, Mohamad Saufi Deraman. Allahyarham memperolehi 4,399 undi manakala calon BN itu memungut 3,753 undi.
Pada 2004, Chek Hashim memungut hanya 2,455 undi, sedangkan Mohamad Saufi mengutip 4,184 undi. Mengambilkira Dun berkenaan sebagai kubu tradisi BN, banyak pihak meletakkan faktor membantu melonjakkan undi PAS ialah komposisi pengundi Cina yang agak tinggi, iaitu sebanyak 22.3 peratus di situ. Sokongan mereka diandaikan menyebabkan undi PAS bertambah sebanyak 1,944 undi.
Andaian itu agak sealiran dengan kecenderungan ditunjukkan pengundi kaum berkenaan di seluruh negara sejak 2008. Ia kelihatan kekal, bahkan semakin memihak pakatan pembangkang dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini, terutama sebagaimana dibuktikan menerusi peti undi dalam pilihan raya kecil di Hulu Selangor dan Sibu.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1577, 4 Oktober 2010 di ruangan 'kolumnis', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment