oleh: Mat Zain Mat Isa
Negeri Kelantan dibidas lagi. Ia didakwa gagal mewujudkan persekitaran mesra pelabur, sekali gus membantutkan perkembangan ekonomi lebih positif. Kononnya kerajaan negeri ditadbir PAS itu mengabaikan prasarana penting diperlukan para pemodal mempertingkatkan operasi mereka.
Dalam kenyataan terbarunya minggu lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustafa Mohamed, merujuk secara spesifik kes yang dikatakan berlaku di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu.
Beliau mendakwa menerima aduan daripada sebuah syarikat besar yang beroperasi di kawasan berkenaan yang sehingga kini belum mendapat sebarang keputusan untuk memiliki tanah bagi membolehkannya menaik taraf kilangnya.
“MITI meminta kerajaan negeri terutama agensinya supaya bersungguh-sungguh menarik pelabur asing bertapak di negeri ini dengan menyediakan kemudahan prasarana terbaik kepada pihak berkenaan termasuk memudahkan pemilikan tanah,” akhbar pada Selasa (19 Oktober) memetik katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu memberi perhatian serius terhadap keperluan pelabur kerana sekiranya gagal menyediakan prasarana seperti tanah, mereka mungkin memindahkan operasi ke negeri lain sekali gus akan merugikan negeri serta rakyat.
Sepintas lalu, kenyataan itu menggambarkan kesungguhan menteri yang juga anak kelahiran Kelantan itu melihat kemajuan negerinya. Sejauh manakah kebenaran permasalahan didakwanya itu mungkin elok diperjelaskan kerajaan negeri, terutama kepada pihak syarikat dimaksudkan itu.
Bagaimana pun, kita tidak sukar mengakui bahawa ia satu lagi kenyataan dibayangi manipulasi politik kepartian yang sangat tebal. Ia wajar dibaca beriringan dengan beberapa fakta politik dan perkembangan ekonomi negara.
Jangan lupa hakikat bahawa Mustafa adalah Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, parti yang menjadi pembangkang di negeri itu sejak dua dekad lalu. Selaku ketua sebuah pasukan yang sudah kehabisan daya usaha berhempas pulas merampas negeri daripada PAS, apakah sayugia kita mengharapkan kenyataan muluk dan ikhlas terhadap kerajaan Kelantan daripada beliau?
Lagi pun ini bukan kali pertama dakwaan sebegitu dilontarkan para pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan pimpinan PAS itu.
Kenyatan itu juga tidak boleh dibaca secara terpisah dengan perkembangan politik semasa. Kelantan bakal menghadapi satu pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas, Gua Musang, minggu depan. Sebagai makhluk politik, apakah tidak ada kemungkinan Mustafa berharap kenyataannya itu sedikit sebanyak mendedahkan kelemahan PAS mentadbir negeri, sekali gus memulihkan kepercayaan rakyat kepada partinya, BN?
Dalam skop lebih luas, kenyataan Mustafa itu bagaimana pun ibarat satu eskapisme dari permasalahan lebih teruk dialami negara. Menteri itu seakan mahu menutup malunya sendiri atas kemerosotan pelaburan diterima negara. Lalu ia mahu mengalih perhatian umum kepada masalah pelaburan dialami kerajaan dipimpin pembangkang.
Malaysia dilaporkan mengalami kejatuhan yang sangat ketara dalam sektor pelaburan asing. Ia menyusut sebanyak 80 peratus. Negara menerima pelaburan asing sebanyak RM23 bilion pada 2008, tetapi merosot kepada hanya RM4.4 bilion pada 2009.
Selain tidak mampu menarik pelabur asing, negara kita juga gagal meyakinkan rakyatnya sendiri untuk terus menanam modal dalam negara. Tidak sedikit pemodal tempatan dikatakan mengalihkan pelaburan mereka ke luar negara. Ada yang telah bertahun menjalankan perniagaan di dalam negara, kini memindahkan operasi mereka ke negara lain.
Kilang ditutup, perniagaan mereka dibungkus, para pekerja diberhentikan. Selaku menteri bertanggungjawab secara langsung menarik pelaburan asing dan merancakkan sektor industri negara, bagaimanakah Mustapa mahu menerangkan sebab-musabab keadaan itu berlaku?
Apakah Ahli Parlimen Jeli itu mahu menafikan ia juga ada kaitan sedikit sebanyak dengan soal ‘tidak mesra pelabur’? Dengan keadaan dialami negara itu, menteri berkenaan tidak sepatutnya masih selesa untuk sekadar melihat kelemahan berlaku di negeri diperintah parti lawan.
Ibarat kata pepatah, mengata dulang paku serpih. Seronok mengata kepada Kelantan, sedangkan prestasi pelaburan negara di bawah jagaan kementeriannya sendiri menerima nasib lebih teruk.
Suasana mesra tidak semata-mata berdasarkan layanan, taraf istimewa dan lain-lain keutamaan diberikan kerajaan kepada pelabur. Ia juga berhubung kait dengan perkembangan politik, kestabilan ekonomi dan keselamatan sosial.
Statistik rompakan, jenayah dan tahap keselamatan yang meragukan juga menjadi ukuran yang diambilkira pemodal. Indeks rasuah negara yang tidak menampakkan langkah konkrit ke arah memperbaikinya juga membunuh keyakinan pelabur. Kita percaya suasana sosio-ekonomi tidak kondusif ini menghalau pelabur dari terus menanam modal di negara kita.
Mahu tidak mahu, perlu diakui bahawa kemerosotan jumlah pelaburan asing diterima negara adalah berpunca suasana tidak mesra. Justeru, apa rasional Mustapa selaku menteri bertanggungjawab berkaitan perkara itu mahu menuding jari kepada sebuah negeri juzuk kecil sebuah Persekutuan?
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1583, 25 Oktober 2010 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment