Oleh: Mohd Nasir Awang
Ada beberapa persoalan yang serta-merta mengasak benak
fikiran penulis tatkala tercetusnya pertikaian mengenai tindakan seorang
pemimpin bukan Islam membaca ayat al-Quran. Kesangsian itu tambah kusut apabila
satu demi satu percanggahan pandangan oleh sebilangan ulama’ dan agamawan
dipaparkan lewat media massa.
Isunya bermula dari ucapan seorang Ahli Parlimen di Perak
yang membacakan sepotong ayat al-Quran dalam ceramahnya semasa kempen Pilihan
Raya Kecil bagi Parlimen Bukit Gantang, awal April lalu.
Kegagalannya menyebut ayat itu dengan betul dijadikan
alasan kononnya dia telah mempersendakan ayat al-Quran. Ada juga yang
mempersoalkan niat sebenar pemimpin itu memetik ayat suci itu, kononnya
bertujuan memperalatkannya bagi kepentingan politik.
Ekoran episod itu beberapa pihak sealiran dengan parti
pemerintah mengemukakan bantahan. Ada
yang membuat laporan polis terhadap pemimpin pembangkang itu. Beberapa tokoh
agama juga disorot pandangan mereka. Secara mudah mereka menghukumkan
(berdasarkan apa yang dilaporkan media) apa yang dibuat pemimpin berkenaan
suatu persendaan terhadap ayat al-Quran.
Reaksi berbeza diluahkan para pemimpin pembangkang. Mereka
menganggap apa yang dibuat pemimpin tadi tidak salah. Islam tidak menghalang
orang bukan Islam membaca ayat-ayat suci al-Quran.
“Sesiapa pun boleh baca al-Quran sama ada orang Islam
atau bukan Islam, dan al-Quran bukan hak orang Melayu atau Arab, cuma bahasa al-Quran
kebetulannya bahasa Arab, maka kelihatan ganjil jika dibaca orang bukan Islam
yang biasanya tidak tahu bahasa Arab”, kata seorang ulama’ terkemuka sebuah
parti pembangkang.
“Kalau nak kira tak betul, kita orang Melayu (Islam)
sendiri masih ramai tak betul (bacaan).
Kalau tak betul, perbetukanlah bacaannya, bukannya dikecam”, katanya
lagi.
Pandangan serupa turut diajukan seorang pemimpin partinya
di Perak. Baginya usaha pemimpin bukan Islam itu mempelajari al-Quran
sepatutnya digalakkan.
“Apa yang berlaku ialah intonasi dia dan cara sebutan
tersalah. Itu bukannya isu besar (penghinaan). Kalau salah betulkanlah. Kalau
salah baca dan terus suruh hentikan, bila seseorang itu nak fasih dan nak jadi
pandai?” soalnya, yang juga bertaraf ulama’.
Malangnya rasional ini nampaknya amat sukar diterima para
pemimpin Melayu/Islam dari kalangan parti lawan. Mereka bukan sahaja terus
menghukum pemimpin bukan Islam tadi sebagai cuba mempersendakan ayat suci dan
memperalatkannya untuk tujuan politik, malah seolah-olah cuba menutup terus
peluang dan ruang kepada mana-mana orang bukan Islam mendekati al-Quran.
Ada pemimpin tinggi agama malah mempersoalkan, apa hak
pemimpin politik bukan Islam itu membaca ayat al-Quran dalam ceramah politiknya
sedangkan dia sendiri tidak beriman kepada Islam?
Di sinilah timbul persoalan demi persoalan. Sebagai
anggota masyarakat yang bagaikan tersepit di tengah-tengah pandangan
bertentangan antara dua golongan ulama’ dan pemimpin, kita berhak dijelaskan
apa pendirian sebenar dalam perkara ini yang bertepatan dengan hukum Islam dan
prinsip dakwah Islam.
Dalam dunia serba maju dan terbuka kini, masyarakat tidak
lagi gemar dipaksa untuk menerima bulat-bulat sesuatu penjelasan atau “hukuman
sembrono”, terutama yang dirasakan dibuat atas kepentingan politik mana-mana
pihak. Masyarakat sudah mampu berfikir dan merasional sendiri sesuatu
perkembangan yang berlaku.
Untuk berlaku adil, penulis meringkaskan pendapat
peribadi dalam pertikaian ini. Cuma di sini disenaraikan beberapa persoalan
berkaitannya. Terpulang kepada para pembaca untuk mencari dan memikirkan
jawaban-jawabannya, berbekalkan keimanan dan keikhlasan kepada agama ini.
Pertama, apakah semua umat Islam sendiri (terutama para
pemimpin politik Islam) membaca al-Quran? Jika jawabannya tidak, maka bukankah
satu tamparan apabila seorang bukan Islam bersedia mempelajari al-Quran,
kemudian menjadikannya sandaran hujah dalam mengingatkan umat Islam?
Kedua, apakah semua orang Islam yang membaca al-Quran itu
menjaga segala adabnya, sama ada lahir atau batin? Apakah mereka melafazkannya
dengan betul?
Ketiga, apakah semua yang membaca dengan betul itu faham
isu dan makna al-Quran itu?
Keempat, apakah semua yang faham makna itu membaca dengan
niat betul? Bukan niat mempertandingkannya, atau mencari keuntungan duniawi
darinya?
Kelima, jika dipersoalkan tentang keimanan seseorang yang
membaca al-Quran, apakah yang betul bacaan, faham makna dan betul niatnya itu
benar-benar beriman dan beramal dengan ayat-ayat yang dibaca?
Bukti keimanan ialah melaksanakan apa yang dititahkan
Tuhan dalam al-Quran. Apakah umat Islam sendiri mengamalkan segala suruhan itu?
Ataukah mereka sekadar tahu membacanya sahaja. Ertinya,
jika di atas sandaran itu, bukan sahaja pemimpin politik bukan Islam tadi yang
wajar dipersoalkan atas keimanan terhadap al-Quran.
Kemudian persoalkan juga, jika bukan Islam dilarang dari
membaca dan memahami al-Quran, sama ada disebabkan ketiadaan iman atau
ketidaksucian jasad mereka, bagaimana mereka mahu faham dan mendalami Islam,
serta mendekati Islam?
Kita pernah didedahkan dengan kisah sebegitu ramai tokoh
terkemuka bukan Islam yang akhirnya memeluk Islam selepas mengkaji al-Quran. Bagaimana
mereka berkesempatan mengkajinya sekiranya sedari awal mereka dihalang memegang
atau membaca kitab suci itu?
“Saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang
cuba mengenal al-Quran melalui kitab berkenaan, cuba dihalang”, akhbar memetik
ulasan pemimpin bukan Islam itu, sekaligus menerangkan niatnya atas tindakan
itu.
Maka persoalan besar yang memerlukan penjelasan ialah
salahkah bagi orang bukan Islam membaca al-Quran?
(Artikel ini
disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Mei 2009 di ruangan ‘Pendapat’ dengan
tajuk sama)
No comments:
Post a Comment