Oleh: MOHD NASIR AWANG
SEPERTIMANA telah digembar-gemburkan sejak pertengahan April
lalu, Barisan Nasional (BN) akhirnya mengesahkan pendiriannya untuk tidak
meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti,
hujung bulan ini. Keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Dewan Tertinggi
BN di Kuala Lumpur, 18 Mei.
Pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan
kata sepakat itu mengulangi pendapat yang pernah diutarakannya sebelum ini
bahawa kekosongan kerusi Dun berkenaan bukan berasaskan peruntukan
Perlembagaan, tetapi lebih kepada faktor masalah dalaman parti pembangkang. “Ia
juga permainan politik pembangkang dan tidak ada kena-mengena dengan Perlembagaan.
Kita (BN) tidak mahu menari ikut rentak orang lain”, ujarnya.
Saya kira tidak ada pihak yang ‘terperanjat beruk’ dengan
pendirian BN itu. Ia telah dapat diduga. Najib sendiri telah membayangkannya
ketika mengulas tindakan wakil rakyat Dun Penanti, Mohamad Fairus Khairuddin,
mengosongkan kerusinya, 16 April lalu. Di samping menyifatkannya sebagai mainan
politik, Najib juga mengaitkan pilihan raya kecil itu dengan pembaziran.
“Terlalu banyak masa, tenaga dan wang ringgit
dibelanjakan untuk pilihan raya yang tidak perlu sebenarnya”, kata Najib,
sepertimana disiarkan media cetak, 18 April.
Kenyataan itu disambut reaksi bercampur-campur oleh para
pemimpin dan penyokong BN sendiri. Ada yang senada seirama dengan beliau, ada
juga yang tidak bersetuju.
Bagi yang bersetuju, mereka menyifatkan pilihan raya semula
ini menyusah dan membosankan rakyat. Dalam keadaan kini segala tumpuan
sepatutnya dihalakan kepada usaha memantapkan ekonomi rakyat dan negara.
Bagi yang tidak bersetuju pula, ketiadaan BN dalam mana-mana
pilihan raya adalah satu keaiban. Belum pernah dalam sejarah pilihan raya
negara ini parti pemerintah itu tidak ikut serta secara sengaja, melainkan
penyertaan calonnya dibatalkan di atas sebab teknikal.
Ada juga yang menganggap ketidaksediaan BN menyertai
pilihan raya di Penanti ibarat memberikan kemenangan percuma kepada Pakatan
Rakyat, khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ia umpama menyerah kalah sebelum
masuk gelanggang. Lebih tidak menyenangkan, tindakan itu bagaikan menyumbang
moral politik kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Apa pun hujah BN, di luar sana rakyat telah ada nilaian
tersendiri. Alasan dan rasional dikemukakan BN tidak dapat lari dari strategi
dan kepentingan politik parti itu.
Saya telah mengulas percaturan itu di kolum ini dalam Siasah edisi 26 April. Bagi saya, BN sudah
menerima hakikat sukar baginya menang di Penanti. Sebab itu meski pun berbagai alasan
cuba dimunasabahkannya, rakyat tetap berpandangan alasan sebenar BN bukan
mengelakkan pembaziran wang, tenaga dan masa.
Mereka sebenarnya takut akan kalah lagi. Lebih
dibimbangi, BN akan kalah lebih teruk, sepertimana berlaku dalam empat pilihan raya
kecil sebelum ini. Parti itu sebenarnya sudah trauma dengan kekalahan demi
kekalahan dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini.
Pengalaman pahit di Permatang Pauh, Kuala Terengganu,
Bukit Gantang dan Bukit Selambau menghantui BN. Bagi mengelakkan terus
dimalukan dengan rekod kekalahan berturut, maka jalan keluar terbaik buat BN
ialah tidak bertanding di Penanti.
BN sebenarnya amat kepingin memenangi mana-mana pilihan
raya, terutama untuk memadamkan rekod kemenangan berturut oleh Pakatan Rakyat. Namun,
setelah berusaha berhempas pulas, segala kesungguhan itu tidak berbalas. Maka bagi
menutup rasa malu itu, BN kini memberikan gambaran buruk terhadap pilihan raya
kceil.
Sikap BN itu mengingatkan kita kepada cerita seekor
musang yang kepingin memakan buah anggur. Dengan segala kekuatan dan
ketangkasan yang ada padanya, binatang itu tidak pernah terfikir sukar baginya
mendapatkan buah yang bergugusan dari julai pokoknya. Dia lalu melompat cuba
mendapatkannya sambil air liurnya sudah meleleh mengidamkan buah yang manis dan
lekang itu.
Malang baginya, setelah berkali-kali melompat sehingga
kepenatan, tiada sebiji pun buah anggur yang dapat dicapainya. Lalu bagi
mengelakkan rasa malu atas kegagalannya itu, si musang dengan angkuh berkata, “aku
memang tidak berminat mendapatkan buah anggur itu. Rasanya sangat masam”.
Lebih kurang cerita itu jugalah keadaan dihadapi BN dalam
kes Penanti kini. Parti itu tidak akan memboikotnya jika ada harapan untuknya
menang. Lalu digambarkan kononnya jika ikut serta dalam pilihan raya itu,
seolah-olah BN “menari ikut rentak pembangkang”. Maka mengulaslah berbagai
pihak bahawa keputusan diambil BN itu satu tindakan bijak.
Namun, apakah kepastian BN tidak akan langsung terlibat
di Penanti? Dalam politik, bila masa pernah sebuah parti pemerintah mengambil
sikap tidak memberikan sebarang reaksi terhadap apa yang dilakukan parti
lawannya?
Selepas ini pun saya pasti BN tidak akan berdiam diri
membiarkan parti lawannya menghentamnya di medan pilihan raya itu. Dapat dibayangkan
jentera propaganda dan kempen BN tetap akan berada di Penanti, sama ada secara
rasmi atau berselindung di sebalik segala macam penampilan, meski pun parti itu
tidak akan bertanding dalam pilihan raya itu.
Paling tidak pun, selepas ini kita tidak akan sunyi
daripada siri ulasan dan penjelasan oleh para pemimpin BN mengenai mengapa
mereka berkeputusan untuk tidak ikut serta memeriahkan ‘pesta demokrasi’ di
Penanti. Akan ada ulasan berjela-jela, sama ada menerusi majlis penerangan khas
anjuran parti itu, mahu pun kenyataan media memperjelaskan pendirian BN itu.
Jika benar BN sudah anggap segala yang berlaku di Penanti
itu adalah rentak gendang dipalu pembangkang, mengapa tidak dia membisu dan
buat tak kisah saja? Akuilah, walau sekadar mengulas dan mengikuti
perkembangannya dari jauh sekali pun, BN tetap dianggap ‘ikut menari mengikut
rentak pembangkang’.
(Artikel ini
disiarkan tabloid Siasah, edisi 29 Jamadilawal-5 Jamadilakhir 1430/24-30 Mei
2009 di kolum ‘perspektif’ dengan tajuk ‘BN
akan menari juga ikut rentak pembangkang’)
No comments:
Post a Comment