Oleh: ANUWA JAMALULLAIL
SELALU disebut orang bahawa sejarah mungkin akan
berulang. Ada yang berulang itu dinisbahkan kepada kesan dan akibat sesuatu
aktiviti manusia, seperti kejayaan atau kekalahan, kebaikan atau keburukan. Ada
juga yang mengaitkan pengulangan sejarah itu dengan pencapaian atau untung
nasib menimpa sesuatu kaum, kumpulan, keluarga atau keturunan.
Contohnya, apabila seseorang pernah menjadi pemimpin
kepada masyarakat di sesuatu tempat suatu ketika dulu, tiba-tiba 50 tahun
kemudian giliran cucunya pula secara tidak semena-mena muncul memainkan peranan
serupa dengan apa yang pernah dibuat arwah datuknya dulu, maka orang secara
spontan akan menyifatkan perkara itu sebagai sejarah yang berulang kembali.
Itulah persis apa yang diperkatakan sesetengah kalangan
kini mengenai pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu. Kononnya ia merupakan
pengulangan sejarah di tempat datuknya, Allahyarham Datuk Onn Jaafar setengah
abad lalu.
Dalam Pilihan Raya Umum 1959, yang pertama selepas negara
mencapai kemerdekaan, Presiden Parti Negara itu memenangi kerusi Parlimen Kuala
Trengganu Selatan. Kepimpinan Datuk Onn yang diterima masyarakat Kuala
Terengganu ketika itulah yang kini cuba disamakan dengan penerimaan Umno
Terengganu terhadap pelantikan Hishammuddin.
“Saya mengalu-alukan pelantikan berkenaan kerana beliau
(Hishammuddin) sememangnya mempunyai “sentimental value” tersendiri bagi rakyat
negeri ini kerana arwah datuknya, Datuk Onn Jaafar yang mewakili Parti Negara
pada pilihan raya 1959 memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu (Selatan)”,
ulas Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, Isnin (27 April) lalu.
Ya, sepintas lalu orang berhak menyamakan untung nasib Hishammuddin
kini dengan kejayaan arwah datuknya itu. Bagaimana pun terdapat perbezaan amat
ketara antara kehadiran beliau ke Terengganu kini jika nak dibandingkan dengan
kemenangan Datuk Onn, 50 tahun lalu.
Aspirasi perjuangan yang menjulang kedua-dua mereka di
Terengganu adalah pada landasan yang bertentangan.
Jika dikatakan orang Terengganu dapat menerima Datuk Onn,
maka ucapan terimakasih di atas penghargaan diberikan kepadanya itu sepatutnya
ditujukan kepada PAS. Dalam cakap berlapiknya, jika tidak kerana kesediaan PAS
memberikan laluan selesa kepada Datuk Onn berhadapan satu lawan satu dengan
calon Umno-Perikatan, maka pada adatnya agak sukar bagi pengasas Umno itu
mencapai kemenangan.
Wajar diambilkira bahawa proses pilihan raya pada 1959
diadakan secara berasingan antara negeri-negeri dan juga Parlimen. Pilihan raya
negeri Terengganu diadakan pada 20 Jun 1959, manakala pilihan raya Parlimen
pula pada 19 Ogos tahun yang sama. Ertinya, sewaktu Datuk Onn bertanding di
Kuala Trengganu Selatan itu, negeri itu sudah dua bulan diperintah PAS.
Penerimaan kepimpinan Datuk Onn di Terengganu ketika itu
adalah atas perjuangan menentang Umno-Perikatan. Ia tentu sekali dari posisi
amat bertentangan dengan apa yang dilalui cucunya kini. Ertinya, agak tidak
kena jika mahu dikatakan Hishammuddin kini mengulangi sejarah arwah datuknya
iu.
Ada pula yang menyamakan pelantikan bekas Ketua Pemuda
Umno itu dengan apa yang pernah dilalui bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah
Ahmad Badawi. Kata mereka, ini bukan kali pertama Umno Terengganu diterajui
seorang pemimpin “luar”.
Selepas Terengganu jatuh ke tangan PAS dalam pilihan raya
1999, Abdullah dilantik menjadi Pengerusi Umno Terengganu menggantikan Tan Sri
Wan Mokhtar Ahmad.
Sepertimana pelantikan Abdullah ketika itu diterima baik
seluruh peringkat partinya di Terengganu dan akhirnya membuahkan hasil sangat
positif bagi Umno dalam pilihan raya berikutnya, maka orang-orang Umno Terengganu
kini juga meletakkan harapan serupa terhadap pelantikan Hishammuddin.
Malangnya, mereka lupa bahawa situasi dihadapi Umno dan
realiti politik Terengganu yang memaksa Abdullah menerajuinya ketika itu tidak
serupa dengan apa yang ada kini. Ketika itu tidak ada perebutan kuasa antara
sesama Umno negeri. Parti itu hanya memerlukan perubahan pucuk pimpinan.
Maka tugas Abdullah bukan mendamaikan antara puak-puak
bersengketa atau melakukan agihan kuasa secara adil antara kumpulan yang saling
berebut-rebut. Sedangkan itulah situasi terpaksa dihadapi Hishammuddin kini.
Sedekad lalu juga Umno adalah parti kalah. Ia menjadi
pembangkang di Terengganu. Maka apabila bercakap mengenai memperkasa dan
memulihkan Umno ketika itu, ia turut meletakkan sasaran kerja untuk merampas
kembali pemerintahan negeri.
Kini, Umno Terengganu turut menganggap pelantikan Hishammuddin
bakal memulih dan memperkasakan kembali parti itu. Namun pemerkasaan itu
bukannya untuk merampas kuasa dari parti lawan. Umno sudah jadi parti yang
memerintah di Terengganu. Ertinya, pelantikan Hishammuddin tidak juga boleh
diibaratkan mengulangi sejarah dilalui Abdullah sedekad lalu.
Cuma seperkara yang pernah dilakukan bekas Perdana Menteri
itu yang barangkali akan turut dibuat Hishammuddin. Persamaan nyata antara
mereka ialah kedua-dua mereka tidak menetap di Terengganu.
Mereka juga pemimpin tertinggi negara yang ada tugas
lebih besar. Sebagaimana Abdullah tidak mampu menyertai urusan partinya di
Terengganu secara seratus-peratus, maka begitulah diandaikan situasi bakal
dihadapi Hishammuddin.
Mahu tidak mahu, mereka terpaksa menyerahkan sebilangan
urusan parti kepada timbalannya. Abdullah pengerusi pada nama, tetapi urusan
parti dikendalikan Datuk Seri Idris Jusoh. Begitu juga, Hishammuddin hanya pengerusi
pada nama, tetapi akhirnya Ahmad juga yang mentadbir Umno Terengganu.
(Artikel ini
disiarkan tabloid mingguan Siasah, 3-9 Mei 2009 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment