Sunday, May 31, 2009

‘Prinsip’ Najib bercanggah pendirian dua ‘bapa’


Oleh: MOHD NASIR AWANG

BELUM terlambat untuk dihulurkan sekalung takziah buat pendukung PAS dan Pakatan Rakyat, khususnya anggota keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manek Urai, Haji Ismail Yaacob.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai ‘Paksu Will’ meninggal dunia pada Subuh, Jumaat (22 Mei) di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Beliau dirujukkan ke hospital itu dari Hospital Kuala Krai sejak 26 April untuk rawatan sakit gout. Allahyarham turut didiagnosis dengan masalah jantung dan tekanan darah tinggi. Laporan media mengenai kematiannya pula mengaitkan ia dengan serangan jantung.

Sementara anggota keluarga dan rakyat diwakilinya selama lima penggal masih mengimbau saat manis bersama Paksu Will, pihak yang tinggal terpaksa juga menyusun atur agenda mencari penggantinya.

Kerusi Dun Manek Urai yang kosong perlu diisi. Mengambilkira pendirian Barisan Nasional (BN) yang beriya-iya memboikot Pilihan Raya Kecil Dun Penanti di atas alasan pembaziran, maka PAS secara sinis meminta BN berpegang kepada “prinsip” sama dalam kes Manek Urai ini.

“Belum tentu mereka (BN) menang dalam pilihan raya itu nanti. Daripada malu lebih baik tidak meletakkan calon mereka di kawasan berkenaan”, cubit Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Saranan sinis itu siang-siang ditolak BN. Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan partinya akan bertanding di situ. Katanya, BN berpegang kepada prinsip bahawa kekosongan kerusi itu adalah kerana kematian, bukan kerana wakil rakyatnya meletak jawatan untuk selesaikan masalah parti.

“Dun Penanti kita tak bertanding atas sebab yang telah kita sebutkan, tapi kekosongan ini (Manek Urai) adalah kerana kematian. Jadi kita akan bertanding”, katanya.

Beliau merujuk kepada kes peletakan jawatan bekas Adun Penanti, Muhammad Fairus Khairuddin, 16 April, yang memaksa pilihan raya kecil kawasan itu sekarang. Ia dikaitkan dengan persoalan dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, 18 Mei memutuskan tidak ikut serta di Penanti. Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menegaskan BN berpegang kepada prinsip bahawa kekosongan kerusi Dun berkenaan bukan berasaskan peruntukan Perlembagaan, tetapi lebih kepada faktor masalah dalaman pembangkang.

Telah banyak ulasan dibuat mengenai pendirian BN itu. Saya juga tidak ketinggalan melontarkan perspektif sendiri berhubung perkara itu. Namun, seperkara yang sukar difahami ialah apakah asas BN mempertahankan “prinsip” tadi? Apakah para pemimpinnya tidak menyingkap sejarah pilihan raya kecil terdahulu, terutama yang dicetuskan mereka sendiri?

Maksud saya, apa rasioanalnya BN terus berpegang kepada “prinsip” itu sekiranya mereka tahu beberapa pilihan raya kecil dalam sejarah negara juga angkara peletakan jawatan wakil rakyat parti itu?

Saya menemui sekurang-kurangnya dua kes di mana pilihan raya kecil diadakan bagi menyelesaikan masalah dalaman BN (Perikatan) membabitkan pertukaran menteri besar. Satu kes berlaku di Terengganu pada 1971 dan satu lagi di Selangor pada 1997. Kedua-dua pilihan raya kecil itu diadakan bukan kerana kematian wakil rakyat, tetapi ekoran peletakan jawatan penyandangnya.

Di Terengganu, apabila timbul krisis keyakinan terhadap keupayaan Menteri Besar, Datuk Mahmood Sulaiman, kerajaan Perikatan gagal mencari pengganti yang layak di kalangan 12 Adunnya yang ada.

Mahmood dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu ke-8 pada Oktober 1970 menggantikan Tan Sri Datuk Ibrahim Fikri Mohamad yang meninggal dunia akibat kecelakaan jalan raya. Kebuntuan menyelesaikan masalah dalaman memaksa Perikatan memanggil pulang Datuk Nik Hassan Wan Abdul Rahman yang tinggal di Kuala Lumpur. Beliau bukan Adun. Maka seseorang perlu mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepadanya bertanding.

Adun Batu Rakit, Datuk Mansor Mohamed melepaskan jawatannya pada 17 Julai 1971 dan pilihan raya kecil diadakan pada 21 Ogos. Ingat! Ia bukan kerana kematian, tetapi kerana agenda Perikatan yang mahu menyelesaikan masalah dalaman partinya. Datuk Nik Hassan menang dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu ke-9 pada 5 September 1971.

Kes kedua juga ekoran masalah serupa. Pada 22 Disember 1996, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ditahan pihak berkuasa Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane kerana gagal mengisytiharkan wang asing dibawanya berjumlah A$1.2 juta (RM2.4juta).

Ekoran kes itu Muhammad dipaksa melepaskan jawatannya. BN gagal mencari penggantinya di kalangan Adun yang ada. Yang terpilih ialah Datuk Seri Abu Hassan Omar. Beliau melepaskan jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Turut melepaskan jawatan ialah Adun Permatang, Jamaluddin Adnan. Kedua-dua mereka bertukar kerusi bagi memberi ruang kepada Abu Hassan menjadi Adun.

Pada 29 Mei 1997, dua pilihan raya kecil di Dun Permatang dan Parlimen Kuala Selangor diadakan serentak. Abu Hassan menang dan dilantik menjadi Menteri Besar Selangor, sekaligus menyelesaikan agenda politik BN.

Ertinya, sejarah mencatatkan bahawa apa yang dilakukan PKR di Penanti bukan julung kali seumpamanya. Demi menyelesaikan masalah dalaman parti, BN sendiri pernah melakukan perkara sama. Maka apakah yang menjadi asas “prinsip” dipegang BN diketuai Najib kini?

Perlu diingat, kes di Terengganu itu berlaku di bawah era pemerintahan Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri. Kes di Selangor pula di zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kedua-dua negarawan ini adalah ‘bapa’ kepada Najib. Tun Razak ‘bapa biologi’ beliau, Tun Mahathir pula ‘bapa politik’ atau mentornya.

Kedua-dua mereka merestui pilihan raya kecil atas peletakan jawatan penyandang kerusi bagi menyelesaikan masalah dalaman parti. Dari perspektif itu, ‘prinsip’ dipegang Najib amat bercanggah dengan kedua-dua ‘bapanya’ itu!

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 6-12 Jamadilakhir 1430/31 Mei-6 Jun 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment