Oleh: Mohd Nasir Awang
Rutin hariannya agak tetap. Bermula seawal 6.30 pagi,
ketika sebahagian penduduk sibuk mempersiapkan diri untuk memulakan hari
masing-masing, lelaki berusia 60 tahun ini sudahpun memulakan tugasnya.
Pada waktu itu Mohamad bin Mat Hassan telah berada di
rumah salah seorang pembekal kuih-muih dan makanan yang akan dijajanya. Beliau
tidak mengambil masa lama untuk mengangkut barangan jualan yang telah ditempah
lebih awal itu, sebelum beredar ke rumah dua lagi pembekal di lokasi berbeza.
Setiap pagi Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Tam
Mat Husin di kalangan masyarakat setempat, membawa makanan dengan nilai jualan
antara RM100 hingga RM200. Berbekal sebuah beca roda tiga yang agak uzur,
beliau akan menjelajah dan menyelinap ke hampir setiap jalan dan lorong di
beberapa kampung sekitar tempat tinggalnya.
Pak Tam berasal dari Kanpung Air Tawar, Besut,
Terengganu. Kedua ibu bapanya sudah lama meninggal. Beliau ada beberapa adik
beradik, termasuk yang berlainan emak. Antara mereka ada yang tinggal sekampung
dan sedaerah, ada juga yang menetap di beberapa daerah lain di Terengganu.
“Isteri dah lama cerai. Anak ada lima orang, semua sudah
berumah tangga, duduk di tempat lain”, cerita Pak Tam mengenai latar belakang
keluarganya.
Kisah itu menjelaskan mengapa beliau hidup sebatang kara
di sebuah rumah tinggal di kawasan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pengkalan
Nyireh.
“Rumah ini tuan dia bagi saya duduk free (percuma). Air, api (elektrik) tumpang rumah sebelah”, jelas
beliau.
Di usia mudanya, Pak Tam pernah menjadi nelayan. Beliau
kemudian beralih kerjaya sebagai pegawai keselamatan di salah sebuah pusat
beli-belah di Kuala Terengganu.
“Tahun 2007, saya balik ke kampung. Mula-mula kutip
(beli) besi buruk. Ketika itu harganya masih tinggi”, cerita Pak Tam ketika
penulis berkunjung ke rumahnya.
Menurutnya, selepas harga besi di pasaran menjunam tahun
lalu, beliau beralih kerjaya berjaja kuih-muih pula.
“Dari sini (RAKR), saya round (pusing) ikut Pengkalan Nyireh, masuk Air Tawar, Taman
Noryanti, Alik Naik (Tanjung Demong). Patah balik ke Alik Jatuh (Kampung Baru),
Seberang Kastam, masuk Pengkalan Nyireh semula. Ada ketika tu kalau makanan
belum habis, terus ke Limbungan dan Tok Fakir”, cerita Pak Tam mengenai
lokasi-lokasi laluan penjajaannya.
Menurut hitungan penulis sendiri, berdasarkan segenap
jalan dan lorong dilaluinya di beberapa kampung itu, Pak Tam membuat jumlah
kayuhan tidak kurang daripada 30 km setiap pagi.
Menariknya, di sebalik kerahan keringat itu, jadual
ketibaannya ke setiap lokasi hampir tetap di setiap hari. Hal itu memudahkan
para pelanggan tetapnya yang juga sibuk menguruskan rumah di waktu itu. Sekurang-kurangnya
mereka tidak perlu menunggu lama di luar rumah untuk berurusan dengan Pak Tam.
Bagi dirinya pula, Pak Tam tidak pernah rasa rendah diri
dengan apa yang dilakukannya. Beliau malah menganggap kerjanya itu satu bentuk
khidmat yang memberi kemudahan kepada masyarakat, terutama suri rumah.
Upah 30 sen bagi setiap jualan RM1 adalah cukup memadai
baginya. Apatah lagi beliau tidak perlu bersusah payah membuat sendiri makanan
yang dijual. Yang tidak habis dijual pula dipulangkan kepada pembekal
masing-masing.
“Saya selesa (hidup) macam ini. Anak memang ada ajak
duduk sekali (tinggal bersama mereka).
Tapi (saya) malaslah nak susah mereka”, ujar Pak Tam menutup perbualan.
(Artikel ini
disiarkan majalah bulanan Al-Muslimah, Mei 2009 di ruangan ‘Syukur Ada Mereka’
dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment