Sunday, April 26, 2009

Mengapa Adun BN Terengganu tak dilabel derhakakan istana?


Oleh: ANUWA JAMALULLAIL

MEMANG benar kata orang, dalam politik Malaysia ini, apa saja yang dibuat Barisan Nasional (BN) akan digambarkan baik dan dianggap betul. Sebaliknya, jika perkara sama dilakukan parti-parti pembangkang, ia dengan mudah bertukar menjadi suatu yang negatif dan dijadikan bahan kecaman.

Ingat lagi apabila ada pihak mempertikaikan pelantikan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak, selepas BN “merampas kuasa” awal Februari lalu? Di antara tuduhan dan label diberikan kepada kumpulan pembantah ini ialah “derhaka” terhadap perkenan istana.

Yang memberikan label itu ialah para pemimpin BN dan pihak-pihak yang sealiran dengan parti itu. Kata mereka, oleh kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor itu telah menerima perkenan Sultan Perak, maka mempertikaikan pelantikannya adalah seumpama mempertikaikan Sultan yang memperkenankan pelantikannya.

Tidak ditimbulkan langsung hakikat bahawa pertikaian itu ada hubungkait dengan cara dan kaedah digunakan BN untuk mengambilalih kuasa. Sedangkan apa yang menjadi asas bantahan ialah letak duduk perkara berkenaan dari sudut undang-undang yang masih tertakluk kepada penafsiran berbeza.

Maka, sepatutnya dalam keadaan begitu, pertikaian terhadap pelantikan Zambry dan enam anggota Exconya itu tidak wajar sebegitu mudah dinisbahkan kepada menolak perkenan istana.

Namun itulah tabiat dan kegemaran BN, terutama apabila ia merasakan akan dapat mengutip sokongan dan keuntungan atas dakwaan sebegitu. Ia tidak kekok memutarbelit fakta. Di masa sama, ia mengharapkan palitan dengan label menderhakai istana akan mendatangkan kesan buruk dan negatif kepada pembangkang.

Sebagai parti pemerintah negara, banyak kelebihan memihak BN. Ia bukan sahaja ada kekuatan kewangan, ia juga mengawal media massa dan segenap saluran propaganda, bahkan minda sebahagian rakyat.

Maka apa saja yang dituturkan para pemimpinnya segera dipanjangkan saluran komunikasi dalam bentuk positif dan menjamin keuntungan buat BN. Perkara sebaliknya diputarbelit ke atas pembangkang secara negatif.

Sebab itu setakat ini tiada media utama menggunapakai segala label dan palitan terhadap kumpulan penentang kerajaan BN Perak itu dalam kes pergolakan kerajaan BN Terengganu. Sedangkan jika perkenan istana yang dijadikan asas penderhakaan, pelantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu juga di bawah perkenan institusi berkenaan, bukan?

Terbukti betapa para pemimpin BN Terengganu masih belum mahu melupakan detik tegang pergolakan dalaman partinya ekoran krisis pelantikan itu, Mac 2008. Walau pun sudah lebih setahun ia berlalu, kedua-dua pihak bertelagah setakat ini gagal menunjukkan kompromi.

Yang menang dikatakan sukar memaaf dan memanfaatkan rakan-rakan dari kem berlawanan secara ikhlas, adil dan saksama. Yang kalah pula, meski pun pada mulut mereka mengaku akur kepada kehendak takdir, patuh kepada keputusan parti dan tidak derhaka kepada perkenan istana, tetapi tidak pada tindakan mereka. Ikrar taat setia mereka serta akuan menerima pelantikan Ahmad sebagai menteri besar tidak ubah sekadar “menanam tebu di pinggir bibir”.

Segala babak hangat ekoran ura-ura usul undi tidak percaya terhadap Ahmad di sidang Dun Terengganu dua minggu lalu mengulangi kemuncak krisis tahun lalu. Kumpulan penentang diketuai Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid, sekali lagi menjadi pemain utama.

Setelah berbalas kenyataan pedas dan tajam dengan Ahmad menerusi media, Rosol mengetuai sekumpulan 10 Adun BN memboikot sidang Dun Terengganu, 14 April. Mereka ialah Abd Halim Jusoh (Permaisuri), Zakaria Ariffin (Paka), Din Adam (Bukit Besi), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zawawi Ismail (Kuala Berang), Ramlan Ali (Jabi), Muhammad Ramli Nuh (Tepoh), Muhammad Pehimi Yusof (Kota Putera) dan Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih).

Dalam kenyataannya kepada media Rosol mendakwa bekas menteri besar, Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih), Rosli Othman (Kemasik) dan Nawi Mohamad (Hulu Besut) turut menyokong tindakan itu.

Ertinya, Rosol sekali lagi menjadi jurucakap kepada majoriti Adun BN yang didakwanya tidak sealiran dengan Ahmad.

Meski pun ada ketikanya Rosol mengatakan dia tidak pernah berhasrat menjatuhkan Ahmad, ada juga ketika lain beliau mengakui memang sudah tidak dapat menerima Ahmad sebagai pemimpin.

Akhbar tempatan di Terengganu minggu lalu melaporkan Adun Ajil itu sebagai berkata pihaknya sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Ahmad. Katanya, terlalu banyak masalah yang mencerminkan kelemahan menteri besar diperkenan istana itu dalam mentadbir negeri dan ada juga masalah yang tiada penghujung.

Kenyataan itu dan seluruh episod tegang sebelumnya mendapat liputan media. Malangnya setakat ini tiada suara teguran dari para pemimpin tertinggi BN terhadap mereka.

Ke mana pula para cendikiawan dan pembela hak ketuanan Melayu yang kononnya lantang mempertahankan kedaulatan istana? Mengapa Adun-Adun BN yang mempertikaikan menteri besar dilantik istana itu tidak dilabelkan sebagai derhaka terhadap perkenan Tuanku Sultan Terengganu?

Jangan lupa sehingga kini belum ada mana-mana individu dilaporkan didakwa di atas insiden menghina Sultan Terengganu ekoran krisis Mac tahun lalu. Sedangkan semasa kemelut tersebut memuncak, beberapa pihak di negeri itu dilaporkan bukan sekadar telah mengadakan tunjuk perasaan membantah pelantikan Ahmad, malah telah mengungkapkan kata-kata yang amat tidak selayaknya, termasuk yang ditafsirkan sebagai ditujukan kepada pihak istana.

Mengapa semua ini terjadi begini? Bagai disebutkan, asal saja BN yang buat, semuanya tidak mengapa!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah, 26 April-2 Mei 2009 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment