Oleh: ANUWA JAMALULLAIL
JIKA tinjauan pendapat yang dilakukan sebuah akhbar
tempatan Terenganu boleh dijadikan asas dan sandaran dalam menyimpulkan pandangan
rakyat umum negeri itu terhadap pergolakan politik yang masih berterusan, maka
tidak salah jika diandaikan bahawa Menteri Besar, Datuk Ahmad Said masih
mempunyai pengaruh dan penerimaan yang tinggi di kalangan masyarakat umum.
Sebaliknya, timbul juga tanda tanya mengenai fakta
sebenar penerimaan rakyat terhadap pelantikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri
Hishammuddin Hussein sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri. Persoalan mengenai
kemampuannya menjernihkan kembali hubungan keruh antara para pemimpin parti itu
bagaikan terjawab apabila rakyat sepakat mengatakan mereka sudah tidak dapat
didamai dan disatukan.
Akhbar berkenaan dalam beberapa keluarannya sepanjang
minggu lalu melontarkan beberapa soalan panas berkaitan pergolakan dalaman
Barisan Nasional (BN) Terengganu. Dalam ruangan tetapnya yang meninjau pendapat
pembaca mengenai sesuatu isu, akhbar itu mengajak para pembacanya mengemukakan
pandangan maisng-masing menerusi undian sistem mesej singkat (sms).
Tidak dinyatakan secara terperinci jumlah undian diterima
dan mekanisme digunapakai pihak urusetia dalam memastikan ketelusan proses
undian tersebut. Bagaimana pun, demi menyemarakkan perbahasan mengenai topik
politik Terengganu, kita andaikan sahaja keputusan yang disiarkan akhbar
berkenaan melepasi tahap kebolehpercayaan yang munasabah.
Pada edisi Sabtu (23 Mei), akhbar berkenaan melontarkan
soalan yang sangat panas dan menjadi bualan seluruh rakyat. Ia bertanya pendapat
pembaca, “wajarkah jawatan yang dipegang Menteri Besar, Datuk Ahmad Said
diganti supaya kemelut politik di Terengganu berakhir?”
Keputusan soalan itu disiarkan pada edisi 26 Mei. Ia menunjukkan
peratusan yang seimbang (50-50) antara yang bersetuju dan tidak bersetuju
dengan soalan tersebut.
Bagaimana pun, satu soalan yang lebih kurang sama telah
diajukan pada edisi 21 Mei. “Wajarkah jawatan Menteri Besar Terengganu yang
kini disandang Datuk Ahmad Said digantikan dengan pemimpin lain yang lebih
berkelayakan?”
Keputusan tinjau pendapat itu yang disiarkan pada edisi
24 Mei menunjukkan hanya 40 peratus pengundi mengatakan “ya”, manakala 60
peratus lagi “tidak”.
Ertinya, dapat disimpulkan dari dua soalan tadi bahawa
lebih ramai pembaca akhbar tadi cenderung melihat Amad dikekalkan sebagai
Menteri Besar, meski pun mengharapkan kemelut politik negeri mereka berakhir.
Satu soalan yang menanyakan “mampukah Pengerusi Badan
Perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjernihkan
kembali hubungan pemimpin Umno Terengganu?”, bagaimana pun sehingga kini tidak
disiarkan keputusannya.
Ia menimbulkan tanda tanya memandangkan keputusan untuk
soalan pada hari selepas itu telah pun tersiar. Tindakan akhbar itu “menyembunyikan”
keputusan soalan mengenai kemampuan Hishammuddin itu dipercayai bagi
mengelakkan tanggapan lebih negatif terhadap usaha dibuatnya dalam menjernihkan
suasana politik negeri itu.
Andaian tentang itu dibuat setelah meneliti pendangan
negatif masyarakat umum mengenai keupayaan Umno menyelesaikan perbalahan
dalaman parti itu. Satu soalan berkaitan itu telah dikemukakan lebih awal. Ia berbunyi,
“perpecahan dalaman Umno Terengganu benar-benar berlaku dan kedua-dua puak
sudah tidak dapat bersatu dan menjalinkan kerjasama demi kebaikan parti”.
Menurut keputusan yang disiarkan, seratus-peratus
pengundi mengatakan “ya”. Ertinya, rakyat mengakui wujud perpecahan di kalangan
para pemimpin Umno dan BN. Meski pun mereka menafikannya dan dikatakan jalan perdamaian
masih terbuka untuk mereka, rakyat nampaknya sudah terlalu pesimis terhadap
usaha itu.
Orang yang sedang mengepalai usaha memperdamai dan
mempersatukan para pemimpin bertelagah dalam BN Terengganu sekarang ialah
Hishammuddin. Beliau sendiri telah mengadakan pertemuan demi pertemuan dengan
kedua-dua puak bertelagah untuk mencari penyelesaian.
Satu perjumpaan melibatkan kesemua pemimpin utama negeri,
termasuk Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN dan ketua-ketua Umno
bahagian juga dibuat baru-baru ini. Malangnya, sehingga kini belum ada kata
putus dari Hishammuddin sebagai kesimpulan usaha penyelesaiannya.
Keadaan itu mengundang berbagai persepsi dan tanda tanya
dalam masyarakat. Apatah lagi di masa sama, beberapa pemimpin BN Terengganu
melontarkan berbagai pandangan dan andaian masing-masing berhubung perkara itu.
Antara mereka menyatakan keyakinan bahawa keputusan perjumpaan
itu akan mengubah suasana politik Terengganu. Ia menggambarkan seolah-olah
hasrat sebahagian besar Adun BN mendesak agar Ahmad digantikan akan menjadi
kenyataan.
“Kita tidak boleh lagi nak menarik rambut terlalu lama
dan terlalu panjang kerana yang terlibat itu pemimpin dan semuanya wakil
rakyat. Mereka tahu kepentingan rakyat dan juga parti”, ujar Timbalan Ketua
Umno Bahagian Dungun, Datuk Zaabar Mohd Adib, sepertimana disiarkan akhbar, 24
Mei.
Kenyataan anggota Exco kerajaan negeri itu mungkin
dinilai tidak memihak dan hanya mengharapkan penyelesaian segara terhadap
kemelut politik Terengganu. Bagaimana pun, pendirian sebahagian besar Adun BN
dikatakan masih kekal menolak kepimpinan Ahmad.
Jika pun pendapat dikemukakan pembaca akhbar tadi tidak
mewakili keseluruhan rakyat Terengganu, ia sekurang-kurangnya boleh dijadikan
sampel kajian dan asas perbincangan mengenai kemelut tersebut.
Isyarat yang jelas dari mereka ialah rakyat tidak
berkongsi pendirian dengan Adun-Adun BN mengenai kedudukan Ahmad sebagai
Menteri Besar.
(Artikel ini
disiarkan tabloid Siasah, edisi 6-12 Jamadilakhir 1430/31 Mei-6 Jun 2009 dengan
tajuk ‘Rakyat Terengganu sanggah hasrat BN tukar Ahmad’)
No comments:
Post a Comment