Tuesday, April 30, 1991

Berminat Mengenali Tokoh Sanjungan


Pengantar Penulis

APABILA Angkatan Perpaduan Ummah yang disertai bersama oleh PAS, Parti Semangat 46, Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) berjaya menyapu bersih kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Oktober 1990 (PRU ‘90) lalu, rakyat Malaysia seluruh negara mula memberikan perhatian yang lebih serius terhadap gabungan parti-parti pembangkang  tersebut. Mereka yang dahulunya tidak berminat terhadap gabungan itu, kini telah mulai meninjau-ninjau. Semakin ramai antara mereka yang ingin mengenali lebih dekat siapakah para pemimpin dan penggerak utama Angkatan Perpaduan Ummah.

Di antara pemimpin politik negara ini yang menjadi fokus berbagai pihak selepas PRU ‘90 lalu ialah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bukan kerana beliau adalah Ketua Dewan Ulama PAS Pusat atau kerana beliau adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan. Kedua-dua jawatan itu telah beliau sandang sejak lebih 10 tahun yang lalu.

Bukan juga kerana Tuan Guru diisytiharkan menjadi Menteri Besar Kelantan. Sebelum daripada beliau mengambil alih jawatan tersebut, sudah pun ada empat tokoh politik lain menduduki kerusi tertinggi dalam pentadbiran negeri itu.

Sebab utama kepada fokus yang begitu hebat terhadap Tuan Guru ialah kerana beliau seorang Menteri Besar daripada parti pembangkang PAS, dan beliau adalah juga seorang ulama yang sudah bertekad akan melaksanakan Islam dalam pentadbiran kerajaan pimpinan beliau.

Sudah agak ramai para penulis yang cuba menyentuh tentang perkembangan mutakhir politik di negeri Kelantan Serambi Mekah ini. Namun, rasanya tidak ramai antara mereka yang cuba menyelami secara lebih mendalam asam-garam kehidupan Menteri Besar Kelantan Kelima ini, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Maka melalui buku ini, saya cuba membawa para pembaca menuju ke destinasi tersebut.

Menulis tentang riwayat hidup seseorang yang tidak dikenali bukanlah suatu kerja yang senang. Sepanjang hidup saya, baru tiga kali saya sempat menyapa ‘sepatah-dua’ dengan Tuan Guru. Kali pertama menemui beliau ialah pada tahun 1985 di Pusat Islam Tulsa, Oklahoma, Amerika Syarikat.

Kali kedua, sewaktu saya mempengerusikan majlis ceramah beliau di Besut pada tahun 1989. Manakala kali ketiga sewaktu beliau sedang menjamu selera bersama pimpinan PAS Pusat di bilik tetamu Markas Tarbiyah PAS Pusat awal tahun 1990 lalu.

Namun, bak kata orang, untuk mengenal Tuhan tidak semestinya dengan melihat-Nya. Begitulah juga dengan diri saya dalam mengenali Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Boleh dikatakan sebahagian besar perkara berkaitan diri Tuan Guru yang saya paparkan dalam buku ini adalah hasil daripada correspondence yang sekian lama saya buat dengan kaset-kaset ceramah dan kuliah beliau. Tiada satu bahagian pun daripadanya hasil temubual atau pertemuan eksklusif antara saya dengan Tuan Guru sendiri.

Justeru, saya memohon ampun dan maaf terlebih dahulu daripada pihak Tuan Guru sekiranya terdapat mana-mana bahagian dalam persembahan buku ini yang keterlanjuran atau tidak menepati keadaan sebenar. Tiada lain tujuan saya dalam menghasilkan buku ini, kecuali bagi memenuhi keperluan masyarakat negara dan rakyat negeri Kelantan kini, khususnya ahli-ahli PAS dan penyokong-penyokong Angkatan Perpaduan Ummah yang sangat berminat mengenali tokoh pemimpin dan ulama sanjungan mereka ini.

Kepada Allah jua saya pohon hidayah dan nusrah.

MOHD NASIR AWANG
Jabatan Penerangan PAS Pusat,
Kuala Lumpur.
30 April 1991

(Artikel ini adalah bab pendahuluan atau kata pengantar oleh penulis buku ‘Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat - Inspirasi Kebangkitan Ummah Serambi Mekah’ yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan, 1991)

No comments:

Post a Comment