Tuesday, April 30, 1991

Hidup, Pemikiran, Sikap dan Pendiriannya


SEBAGAI seorang ulama dan juga pemimpin yang telah mewakafkan diri kepada perjuangan Islam, kehidupan seharian bagi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dipenuhi dengan aturcara yang agak padat. Jadual hariannya bermula daripada mengimamkan sembahyang Subuh di masjidnya di Kampung Pulau Melaka, dan berakhir kadang-kadang hingga jam 1:30 pagi. Ada yang disudahi dengan ceramah, dan ada kalanya disudahi dengan mesyuarat dan sebagainya.

Sebaik sahaja selesai sembahyang berjamaah Subuh, Tuan Guru akan menyampaikan kuliah Subuh di masjidnya itu. Kemudian beliau akan terus ke pejabat atau menemui masyarakat. “Selalunya pukul 7:30 pagi, sebaik sahaja selesai memberi kuliah Subuh di masjid, Ustaz dah keluar. Kadang-kadang tu dia tidak sempat bersarapan pagi (di rumah)”, cerita isterinya, Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz melangsungkan perkahwinannya dengan Tuan Sabariah ketika usianya 34 tahun. Isterinya di ketika itu baru menjangkau umur 14 tahun. Hasil perkongsian hidup selama hampir 30 tahun itu, mereka dikurniakan sepuluh orang cahayamata.

Anak pertama mereka, Nik Aini berumur 27 tahun dan kini tinggal di Kuala Lumpur. Anak kedua bernama Nik Omar, 25, masih menuntut di Mesir. Adiknya, Nik Adli yang berumur 23 tahun juga masih menuntut, di salah sebuah pusat pengajian tinggi di Pakistan.

Anak Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang keempat ialah Nik Abdul Rahim, 21, yang kini masih menuntut di Universiti Al-Azhar, Mesir. Sementara anaknya yang kelima, Nik Abduh, 20, sedang menuntut di India.

Anak yang seterusnya bernama Nik Adilah, berumur 19 tahun, sedang menunggu jawaban untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir. Manakala adiknya, Nik Mohd Asri yang berumur 17 tahun, sedang belajar di Tingkatan Empat di Maahad Muhammady (Lelaki), di Kota Bahru. Begitu juga dua lagi adiknya, Nik Amani, 15, dan Nik Amalina, 13, yang masing-masing dalam Tingkatan Tiga dan Satu di Maahad Muhammady (Perempuan).

Sementara yang kesepuluh dan paling kecil bernama Nik Asma Salsabila. Dia kini berumur enam tahun dan baru sahaja menamatkan pengajian pra-sekolahnya di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

Di rumahnya di Kampung Pulau Melaka, yang memakan masa perjalanan kira-kira setengah jam dari bandar Kota Bharu, Tuan Guru bukan sahaja seorang ayah yang dipatuhi oleh anak-anaknya. Beliau juga pembimbing, guru, imam sembahyang dan tempat tumpuan kasih-sayang anak-anaknya.

Bagaimana pun disebabkan tugas beliau yang berat sebagai seorang ulama, sejak dari dahulu (sebelum daripada menjadi Menteri Besar) lagi Tuan Guru sudah lebih banyak menghabiskan masanya di luar rumah bersama masyarakat, di samping mengadakan kuliah atau ceramah di merata-rata tempat. Maka tugas mendidik anak-anak lebih banyak diserahkan kepada isterinya.

Kehidupan mereka sungguh sederhana. Sebuah rumah kayu binaan kampung sudah cukup selesa bagi mereka. Ruang tamu rumahnya pula “kosong” sahaja, tanpa dihiasi almari perhiasan atau set kerusi kusyen yang menjadi suatu kebiasaan di rumah mana-mana pembesar negara. Apa yang ada hanyalah sebuah almari yang dipenuhi dengan kitab-kitab agama.

Begitu juga dengan pakaian isteri dan anak-anaknya. Sebagaimana diceritakan oleh isterinya, Tuan Sabariah, bahawa Tuan Guru tidak membenarkan isterinya itu memakai gelang, rantai leher atau apa-apa perhiasan.

“Pada diri Kak Yah, cincin ini (pada jarinya) satu-satunya yang dibenarkan oleh Ustaz untuk dipakai. Begitu juga dengan anak-anak. Sejak dulu lagi, kasut anak-anaknya jarang sekali (tidak sekerap orang lain) dibelikan yang baru. Manakala untuk belanja sekolah anak-anak pula memadai dengan 30 sen sahaja sehari”, terang Tuan Sabariah.

“Kadang-kadang Ustaz marah juga bila hendak beli pakaian baru untuk anak-anak. Katanya, banyak baju-baju lama yang masih boleh dipakai”, sambung beliau lagi.

Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarganya itu dilakukan sendiri oleh Tuan Guru. Pakaiannya hampir tiada perbezaan langsung antara dahulu dengan sekarang (setelah menjadi MB). Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pulikat beserta lilitan serban di kepala sudah menjadi semacam pakaian rasmi beliau. Ke mana pun beliau pergi, majlis apa pun yang beliau hadiri, itulah pakaian yang Tuan Guru selalu pakai.

“Soal pakaian ni, teringat saya suatu cerita lucu sewaktu saya menjadi Ahli Parlimen dulu. Satu kali saya ada pergi berceramah ke Perak, bersama seorang Ketua Kampung. Dia tu pakai kemas dengan bush-jacket dan bawa beg James Bond pula. Sedangkan saya macam inilah (berkain pulikat dan berserban). Seelok kereta saya tiba di tempat majlis, orang ramai berpusu pergi bersalam dengan kawan saya tadi. Mereka sangka itulah Ahli Parlimen PAS. Rupa-rupanya Ahli Parlimen yang sebenarnya berkain pulikat, baju Melayu dan berserban”, cerita Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dalam salah satu ceramahnya di Besut, dua tahun lalu.

Peristiwa tersebut, menurut Tuan Guru lagi, mengingatkan beliau kepada peristiwa yang berlaku ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar r.a., ketika mereka berdua disambut oleh masyarakat Madinah dalam peristiwa Hijratur Rasul. Di mana melihatkan kesegakan pakaian Saidina Abu Bakar yang melebihi pakaian Rasulullah SAW itu, masyarakat Madinah telah berpusu-pusu untuk bersalam dengan Saidina Abu Bakar, menyangkakan itulah Rasulullah SAW yang mereka tnggu-tunggu.

Sebagai seorang yang menjadi pemimpin kepada dua buah organisasi yang berbeza, Kerajaan Negeri Kelantan dan parti politik PAS, Tuan Guru juga turut membezakan tugas-tugas dan undangan-undangan yang diterimanya. Dengan itu, beliau tidak akan menyalahgunakan harta rakyat Kelantan dan kerajaan negeri untuk kepentingan PAS atau dirinya sendiri.

Menjadi kebiasaan kepada sesiapa jua yang berusaha menegakkan kebenaran, akan menghadapi bermacam-macam halangan, tohmahan dan fitnah-fitnah. Begitu juga dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Terlalu banyak tidak tersenarai fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepada beliau.

Sejak beliau mula memberikan kuliah-kuliah agama yang menyentuh aqidah masyarakat dan adat resam yang karut-marut, seterusnya memimpin Dewan Ulama PAS sehinggalah kini menjadi menteri besar yang tabah melaksanakan peraturan Islam, satu persatu tohmahan dan fitnah tidak henti-henti datang kepadanya.

Sikap Tuan Guru terhadap segala karenah dan fitnah sebegitu adalah jelas. Sekiranya beliau mendengar orang mengata-ngata atau memburuk-burukkan dirinya, beliau akan segera membuang perkara itu jauh dari fikirannya. “Jangan difikir-fikirkan sangat. Akhirnya, masalah itu berlalu dengan begitu sahaja”, tegas beliau tentang sikapnya.

Sememangnya trend/aliran yang dibawa oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam pengajarannya amat berbeza dengan cara pengajaran bawaan tok-tok guru lain yang selama ini wujud di Kelantan. Kelantangan beliau dalam menyuarakan kebenaran ajaran Islam benar-benar mengejutkan masyarakat dari buaian pengaruh adat resam yang karut-marut.
                                                                                                                       
Semenjak beliau mula mengambilalih tugas memberikan kuliah agama dari ayahnya, beliau secara tegas mengecam dan mengutuk amalan-amalan khurafat yang pada ketika itu bermaharajalela dalam masyarakat. Budaya-budaya khurafat seperti, misalnya, Semah Kuala – upacara menyembelih kerbau balar bagi dihias indah dan dihanyutkan ke laut sebagai hadiah kepada “Penunggu Laut” atas kemurahan hatinya mengurniakan rezeki dari laut (ikan dan sebagainya) kepada masyarakat – sememangnya menjadi kepercayaan dan amalan tradisi masyarakat Pantai Timur, khususnya di negeri Kelantan danTerengganu.

“Oleh kerana kerja ini (Semah Kuala) dilakukan sendiri oleh Tok Imam dan Tok Lebai, maka apabila kita kata ia (upacara Semah Kuala itu) tidak betul dan ia merupakan suatu perbuatan syirik keada Allah, datanglah bertaku-talu salah anggapan dan cemuhan dari masyarakat terhadap pengajaran kita”, terang Tuan Guru dalam salah satu kuliah beliau.

Begitu juga dalam hal mengadakan jamuan atau kenduri arwah besar-besaran. Menjadi tradisi masyarakat untuk menepati adat resam menyediakan kuih-muih tertentu untuk bilangan hari kematian tertentu. Misalnya, kuih serabai untuk jamuan hari ketiga; hari ketujuh disediakan tepung ‘karas’, dan hari ke 40 pula disediakan tepung apam. Sehinggakan keluarga atau waris si mati sanggup bergolok-bergadai bagi memenuhi tuntutan mengadakan jamuan sedemikian.

Di kalangan Tok-tok Guru dan Tok Lebai yang begitu kuat berpegang kepada adat resam dan tradisi masyarakat, pengajaran dan teguran dari seorang alim yang baru pulang dari pengajian sememangnya dirasakan amat berat untuk diterima.

Apatah lagi perkara yang ditegur itu benar-benar mencabar kewibawaan mereka sebagai guru dan penganjur kepada upacara-upacara “keagamaan” sedemikian rupa. Sedangkan perkara itu sudah menjadi amalan tradisi mereka puluhan tahun lamanya. Dan di majlis-majlis atau upacara sebegitulah Tok-tok Guru dan Tok Lebai menjadi ‘orang penting’.

Ekoran dari kelantangan Tuan Guru menegur dan memperbetulkan masyarakat dalam hal adat resam yang karut-marut itu, maka bermacam-macam label dilontarkan kepada Tuan Guru. Beliau pernah dilabelkan sebagai pembawa Ajaran Wahabi (ajaran yang menjadi anutan rasmi kerajaan Arab Saudi), penganut fahaman Kaum Muda dan sebagainya, semata-mata kerana pengajaran Islam yang dibawanya itu bercanggah dengan apa yang pada waktu itu menjadi traidisi masyarakat.
                                                
“Tapi alhamdulillah, disebabkan ada di kalangan para alim ulama yang tekun dan buat tebal muka (tidak mengendahkan celaan dan cemuhan orang yang mencela), maka lama kelamaan penyakit masyarakat itu kita dapati hari ini sudah tidak lagi menjadi amalan tradisi. Orang sudah meninggalkan kerja Semah Kuala dan tradisi karut-marut itu”, ujar Tuan Guru.

Belia berkeyakinan bahawa tiada penyakit yang tidak boleh diubati, termasuk apa yang beliau sendiri istilahkan sebagai “penyakit masyarakat”. Termasuk di dalam senarai penyakit masyarakat yang selalu beliau sebutkan ialah upacara Semah Kuala, Menghantar Sangkak (hidangan) ke tepi hutan dan sebagainya.

Menjadi pegangan perjuangan beliau juga bahawa untuk merubah sesuatu yang sudah terlembaga di dalam masyarakat memerlukan masa yang panjang.

“Sebagaimana menanam kelapa tidak sama dengan menanam ‘ubi setelor’ (keledek); ubi setelor kita cangkul lebih kurang, tiga-empat puluh hari kita boleh dapat hasil. Tetapi untuk mendapatkan hasil kelapa, kita terpaksa menunggu bertahun-tahun baharulah dia berbuah. Cumanya, apabila ia (kelapa) mulai berbuah, maka hasilnya akan diperolehi berpanjangan berpuluh-puluh tahun lamanya. Padanlah dengan penungguan sekian lama itu”, begitulah perumpamaan mudah yang diberikan oleh Tuan Guru sebagai bandingan kepada sesuatu kerja memperbetulkan aqidah dan kepercayaan masyarakat. Ia memakan masa untuk dikikis buang daripada masyarakat, sebagaimana ia juga mengambil masa yang lama sebelum itu untuk terlembaga dalam masyarakat.

Di antara banyak pihak yang kelihatan sering menimbulkan ketegangan dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz ialah pihak institusi pondok di negeri Kelantan. Bermacam-macam cerita dapat didengar, daripada berbagai-bagai sumber, tentang pertelingkahan pendapat antara Tuan Guru dengan Tok-tok Guru pondok di Kelantan. Antaranya, dalam persoalan yang terkenal beberapa tahun lalu sebagai ‘Isu Tupai dan Biawak’. Sehinggakan ada pihak pondok tertentu mengeluarkan risalah-risalah mengutuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz secara totok dan hentam keromo.

Bagaimana pun, menurut satu cerita lagi, persoalan sebenar di sebalik pertelingkahan antara Tuan Guru dengan pihak pondok timbul ekoran pendirian Tuan Guru yang mengecam amalan mengambil upah membaca Yasin atau Sembahyang Mayat. Kebetulan pula pihak yang sering dijemput mengadakan kedua-dua majlis tersebut ialah para pelajar pondok. Melalui majlis-majlis tersebutlah mereka selalunya menerima sedikit sumber kewangan.

Apa pun cerita tentang pertelingkahan ‘Nik Aziz-Pondok’ itu, yang nyata ialah Tuan Guru sendiri sentiasa bersikap positif terhadap institusi pondok.

“Saya sendiri berasal dari sistem pendidikan pondok. Dan saya tahu di segi pembentukan kerohanian seseorang itu sistem pendidikan pondok adalah amat berkesan sekali. Saya tidak nampak mengapa sistem pendidikan pondok tidak harus diperkembangkan. Saya sendiri akan mengambil perhatian serius terhadap perkembangan sistem pendidikan pondok ini”, terang Tuan Guru memperjelaskan sikap dan visinya terhadap institusi pendidikan tradisional itu.

Lebih memperjelaskan lagi keterbukaan dan sayangnya beliau kepada institusi pondok di Kelantan ialah apabila beliau melantik Tuan Guru Atikullah, Mudir Pondok Bunut Payong, Kota Bharu sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan. Bahkan, difahamkan bahawa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sendiri turut mencadangkan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan, agar menjadikan salah satu acara dalam Pesta Puja Umur Baginda nanti ialah acara melawat pondok-pondok, terutamanya Pondok Pasir Tumboh, yang merupakan pondok yang terbesar di negeri Kelantan sekarang.

Satu sikap yang jelas beliau tunjukkan dalam menangani berbagai-bagai karenah politik ialah sikap tidak suka mencari musuh. Tuan Guru lebih memilih untuk berdiam diri dalam banyak hal. Beliau hanya akan berhujah atau memberikan komentar jika beliau rasakan perlu, terutama dalam memperjelaskan sikapnya.

Dalam krisis yang berlaku antara bekas Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Haji Mohd Asri Haji Muda dengan PAS dalam tahun 1982/83 dahulu misalnya, Tuan Guru yang pada waktu itu sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dan juga Pesuruhjaya PAS Kelantan dikatakan lebih banyak berdiam diri. Hanya apabila Dato’ Asri telah bertindak agak “keterlaluan”, barulah suara beliau dapat didengar tentang apa yang berlaku itu.

Begitu juga sewaktu menghadapi kekecohan ‘Kumpulan Islah PAS’ atau yang disebutkan sebagai ‘PAS 51’ tahun lalu. Ternyata Tuan Guru adalah antara pemimpin tertinggi PAS yang paling berlembut dengan mereka itu. Sehingga agak menghairankan banyak pihak, di atas kapasitinya sebagai pemimpin tertinggi PAS di peringkat Pusat dan negeri Kelantan, Tuan Guru tidak pula menjadi sasaran utama kecaman dan kritikan ahli-ahli Kumpulan Islah itu.

Walau pun ada juga kenyataan-kenyataan daripada kumpulan tersebut yang memburuk-burukkan Tuan Guru, tetapi pada banyak masa yang lain Tuan Guru dianggap sebagai tempat rujukan dan ‘pengantara’ bagi kumpulan itu dengan ‘sasaran-sasaran utama’ mereka yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin PAS yang lain.

Di pihak Tuan Guru pula, tindakan segelintir ahli PAS itu dianggapnya tidak lebih daripada suatu latahan ekoran perkembangan politik negara secara mendadak. Suatu perumpamaan indah yang diberikan oleh Tuan Guru dalam menggambarkan suasana ketika itu ialah seperti berikut:

“PAS ini ibarat sebuah tasik yang tenang. Manakala kehadiran (Parti Semangat) 46 adalah ibarat humbanan seketul batu besar ke dalam tasik itu. Kehadiran secara mendadak sebegitu tentu sekali mengejutkan hidupan dalam tasik. Tentu akan ada ikan yang pening. Tentulah air tasik akan melimpah ke tepi dan akan ada anak-anak ikan yang mendiami tasik itu turut bersama air limpah ke tepi. Tetapi gelora tasik itu tidak akan lama. Ia akan kembali tenang dan air limpah itu akan tetap kembali semula ke dalam tasik. Jika anak-anak ikan itu tidak mahu lemas di darat dan mahu terus hidup, perlulah dia mengikuti air limpah itu kembali surut ke dalam tasik”.

Begitulah perumpamaan yang agak tepat yang dikemukakan oleh Tuan Guru yang menggambarkan suasana politik dalaman PAS di awal pembentukan Angkatan Perpaduan Ummah dahulu.

Perumpamaan itu jelas sekali mengandungi ajakan dan juga nasihat kepada “anak-anak ikan” agar jangan terlalu leka bermain di tepi air limpah. Untuk keselamatan dan kebaikan, mereka hendaklah kembali semula ke dalam tasik.

Tidak keterlaluan jika disebutkan bahawa disebabkan keperibadian dan akhlak yang telah ditunjukkan oleh Tuan Guru itulah, yang telah banyak membawa kejayaan kepada PAS, khususnya di negeri Kelantan. Masyarakat semakin tertarik untuk mengenali dan mendampingi PAS apabila semakin terserlah kebaikan Islam, melalui apa yang diamal dan dicernakan dalam kehidupan para pemimpin part itu.

Mungkin juga, melihatkan kehidupan, pemikiran dan akhlak seorang ulama inilah, rakyat Kelantan mendapat inspirasi untuk bangkit melakukan suatu ‘revolusi’ menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pada 21 Oktober lalu.

Allah jua Yang Maha Mengetahui segala-galanya.

(Artikel ini adalah bab ketiga daripada buku ‘Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat - Inspirasi Kebangkitan Ummah Serambi Mekah’ yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan, 1991)

No comments:

Post a Comment