Oleh: Anuwa Jamalullail
Kelantan dan Terengganu adalah dua negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia . Dua negeri yang berkongsi Laut China Selatan. Dua negeri yang walau pun berjiran tetapi berlainan selera, berlainan budaya dan berlainan pertuturan.
Di Kelantan orang bermain menora, makyong dan dikir barat yang “tidak wujud” di Terengganu. Manakala permainan rodat dan gamelan pula hanya menjadi tradisi orang-orang Terengganu, tidak di Kelantan.
Orang-orang Kelantan terkenal dengan sifat “suka memberi”, dan apabila bertemu sesame mereka, antara perkara yang diutamakan ialah mengajak makan atau minum, “seleke” (silakan) minum!”.
Orang Terengganu pula diketahui umum bersifat “suka menerima”. “Macang ge cang, rokok sebatang”. Ianya menjadi ungkapan paling laris bagi menggambarkan sifat orang Terengganu.
Perkataan “tukor” bagi orang Terengganu bermaksud “tertukar”, tetapi dengan sebutan yang sama dalam dialek Kelantan, ia memberi makna hidupan laut yang seakan-akan ikan pari. Orang Terengganu “makang ikang”, manakala orang Kelantan “make ike”.
Kesamping daripada segala perbezaan sosio-budaya itu, jauh di dalam masyarakat di kedua-dua negeri, tersimpan persamaan-persamaan warisan antara kedua-duanya. Dalam catatan sejarah, negeri Kelantan dan Terengganu pernah sama-sama diperintah oleh Kerajaan Siam – pernah menjalankan pemerintahan Islam dan kedua-dua negeri ini juga pernah berkongsi pejabat pentadbiran jabatan-jabatan kerajaan Persekutuan termasuklah “berkongsi” plet kenderaan.
Dalam sejarah politik selepas kemerdekaan, kedua-dua negeri pernah menjadi “negeri PAS”. Kedua-dua negeri juga merupakan medan paling “tegang” bagi pertembungan politik antara PAS dan Umno.
Assif Shameen, pemberita majalah Asiaweek dalam laporan beliau terbitan 14 September 1984 menyifatkan Kelantan dan Terengganu sebagai “kawasan paling hebat berpolitik di Asia ”.
“These two states of Malaysia (Kelantan and Terengganu) are possibly the most politicised places in Asia . Everyone I met talked in terms of Umno and PAS, development and Islam!”
Kekuatan PAS di dua negeri predominan Melayu ini bukan lagi suatu hal yang perlu diperkatakan. Ianya nyata menggelisahkan Umno sejak dahulu hingga kini. Dan keadaan yang paling parah dalam sepanjang sejarah Umno ialah apa yang dialami oleh parti itu dalam Pilihanraya Umum 1990 lalu di mana Umno kalah di knock-out oleh PAS di Kelantan.
Ekoran kejayaan PAS mengembalikan semula pemerintahannya di Kelantan, ramai yang meletakkan harapan agar negeri jirannya, Terengganu, akan menyusul segera ditawan oleh PAS.
Maka timbullah Gagasan 3T atau ‘Tahun Tawanan Terengganu’ yang dipelopori ideanya oleh Dewan Pemuda PAS Negeri. Maka wujud juga “Teori Domino 1994: Terengganu Selepas Kelantan” yang dipopularkan oleh seorang penulis politik tanahair, Saudara Tarmizi Mohd Jam.
Malah ada di kalangan penulis politik yang berpendapat bahawa sudah sewajarnya PAS turut menang di Terengganu setelah menang di Kelantan. Banyak rasionalnya atas argumentasi mereka itu.
Antaranya, sejarah membuktikan bahawa PAS terlebih dahulu menang di Terengganu, sebelum di Kelantan. Dengan kata lain, secara tradisi, rakyat Terengganu mampu dan pernah menolak Umno.
Begitu juga dengan suasana yang wujud di Terengganu pada pilihanraya umum lalu, yang tidak banyak beza dengan apa yang ada di Kelantan. Jika di Kelantan ada “tokoh bermasalah” seperti Tan Sri Mohammad Yaakob dan Tengku Ahmad Rithaudeen, di Terengganu juga ada Tan Sri Wan Mokhtar dan Dr. Yusof Noor.
Jika di Kelantan ada gandingan perpaduan Islam antara Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan Tengku Razaleigh, maka di Terengganu juga ada gandingan antara Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dengan Tengku Sri Paduka Raja.
Kalau di Kelantan wujud diskriminasi Umno, di Terengganu juga orang-orang PAS dinafikan hak itu dan ini oleh kerajaan Umno. Ertinya , unsur-unsur yang membantu kemenangan PAS sebenarnya sudah wujud di Terengganu, sebagaimana kewujudannya telah memenangkan PAS di Kelantan.
Soalnya, kenapakah PAS masih belum menang di Terengganu? “Sebab unsur-unsur kemenangan itu lebih banyak berada di Kelantan berbanding dengan Terengganu”, ujar seorang veteran PAS di utara Terengganu.
Untuk tujuan perbincangan dan membuka minda kita dari sekian lama tercedera, rasanya elok juga dibuat suatu perbandingan ringkas mengenai kekuatan PAS di Kelantan dan Terengganu. Unsur-unsur yang dirasakan lebih memberikan advantage ke atas PAS di Kelantan ialah:
Pertama – Institusi Istana:
Tuanku Al-Sultan dan Raja Perempuan Kelantan, kedua-dua baginda menunjukkan sikap yang positif terhadap perkembangan Islam dalam negeri. Diberitakan Tuanku Raja Perempuan sendiri adalah antara hadirat regular bagi kuliah mingguan di Masjid Muhammadi Kota Bharu.
Apabila rakyat Kelantan menyatakan hasrat melaksanakan Islam, Tuanku Al-Sultan pula adalah antara orang pertama memberi “limpah perkenan” atas hasrat itu.
Bagi rakyat Kelantan, Tuanku Al-Sultan dan Raja Perempuan adalah payung kesejahteraan. Baginda dianggap sebagai simbol perpaduan di kalangan rakyat, simbol kecintaan rakyat Darul Naim terhadap Islam. Kasih sayang mereka terhadap Al-Sultan amatlah tinggi.
Sebab itu apabila pemimpin Umno begitu celupar “menghina institusi istana” rakyat Kelantan sepakat “bangkit” menghukum Umno dalam pilihanraya umum lalu.
Apakah fenomena yang sama berlaku pada institusi istana Terengganu?
Kedua – Pegawai dan Kakitangan Kerajaan:
Kerja makan gaji sudah menjadi suatu kebanggaan tradisi masyarakat Melayu. Orang yang makan gaji dianggap berprestij dalam masyarakat. Penghormatan yang diberikan kepada orang yang makan gaji ini menyebabkan mereka menjadi perhatian masyarakat marhain. Sebahagian tindak-tanduk dan sikap mereka nyata dengan mudah dapat mempengaruhi masyarakat.
“Kalau orang-orang cerdik seperti cikgu, pegawai kerajaan pun nakkan Islam dan sokong PAS, takkan kita orang kampung ni tak nak ikut mereka?”, cerita seorang pegawai penerangan PAS Kelantan, sebagai menjelaskan salah satu bait ayat yang paling laris dipertuturkan di kedai-kedai kopi di Kelantan sebelum pilihanraya umum 1990 lalu.
Keberanian para pegawai dan kakitangan kerajaan di Kelantan untuk tampil ke depan menzahirkan dokongan mereka kepada perjuangan PAS dan semangat 46 nyata menjadi katalis kepada kemenangan PAS di negeri itu.
Bukankah kerajaan Umno Kelantan berkrisis besar dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) sejurus sebelum pilihanraya umum lalu?
Amat diragui, keberanian yang sama wujud di kalangan para pegawai kerajaan di Terengganu. “Mereka tidak berani tampil ke depan menyatakan sokongan kepada kita. Kalau adapun , menusuk-nusuk (secara sembunyi) sahaja. Mereka terlalu takut dengan tindakan pihak atasan di pejabat mereka”, kata seorang pemimpin PAS Terengganu.
Apa yang nyata, sokongan pegawai kerajaan terhadap PAS dan perjuangan Angkatan di Terengganu masih belum cukup menonjol dan bilangan mereka juga masih belum cukup ramai untuk menolong kemenangan PAS di Terengganu.
Ketiga – Semangat 46:
Di Kelantan, Semangat 46 mempunyai kualiti dan kuantiti yang lebih. Kualiti Semangat 46 terletak pada YBM Tengku Razaliegh, Rozali Isohak, Hajjah Ilani Ishak dan lain-lain pemimpinnya yang memang berpengaruh.
Kuantiti Semangat 46 di Kelantan terbukti bukan sekadar menjadi pembantu PAS untuk memenangi sebahagian besar kerusi, tetapi juga membuka jalan untuk kemenangan Angkatan secara “sapu bersih” dalam pilihanraya lalu.
Pemimpin Semangat 46 Terengganu pula tidak kurang kualitinya. Mereka ada Tengku Seri Paduka, Ustaz Ibrahim Azmi Hassan, Datuk Zakaria, Datuk Sulong, Datuk Manan dan lain-lain.
Tetapi Ku Duka bukanlah ahli politik Umno yang “topranking” sebelum 1987, jika dibandingkan dengan Ku Li di Kelantan. Maka sudah tentu pengaruhnya di kalangan Team B Umno Terengganu tidak setara Ku Li di Kelantan. Namun begitu, kelantangannya kian menyinar dikagumi oleh rakyat Terengganu.
Keempat – Kumpulan Islah:
Kewujudan Kumpulan Islah sebagai penentang utama terhadap hasrat Badan Perhubungan PAS Kelantan untuk membentuk perpaduan ummah dengan bekas-bekas ahli Umno yang nyata menjadi katalis kepada perpaduan ummah itu sendiri.
Gerak kerja proaktif mereka dalam mencabar keputusan pemimpin PAS seolah-olah memaksa PAS untuk lebih berhati-hati dalam menangani era perpaduan agar tidak gagal.
Di pihak Semangat 46 pula, penentang Kumpulan Islah menjadi cabaran untuk mereka buktikan bahawa mereka sebenarnya bukan lagi Umno yang ditentang oleh PAS itu. Bahawa Semangat 46 kini bukannya perjuangan dasar asobiyyah Melayu, bukan penentang Islam.
Di Terengganu pula, kewujudan golongan penentang perpaduan ummah tidak menjadi suatu pendesak terhadap Badan Perhubungan PAS Terengganu. “Apabila tidak ada pihak yang menentang perpaduan, maka kepada siapa kita nak buktikan yang kita benar-benar berpadu?”, soal seorang pemandu teksi di Kuala Terengganu.
Kelima – Umno/BN Yang Bermasalah:
Sudah disebut bahawa kepimpinan Umno Kelantan era pra-pilihanraya umum lalu digelumangi berbagai masalah. Mereka bermasalah dengan istana, dengan pegawai kerajaan dan dengan rakyat yang semakin muak dengan mereka.
Salahguna Perbendaharaan Negeri dan tabiat berhutang dalam mentadbir, menjadi penyebab yang meruntuhkan mereka. Berlainan pula dengan pemimpin Umno Terengganu.
Kepimpinan utama mereka lebih berupaya menonjolkan imej-imej Islam berbanding rakan-rakan mereka di Kelantan. Tan Sri Wan Mokhtar, Dr. Yusof Noor dan Awang Jabar adalah pemimpin yang dikira “bersuara Islam” dalam Umno. Imej ini berjaya menenggelamkan isu sebenar rakyat.
Dalam politik, di samping kekuatan sendiri maka kelemahan dan kegagalan Umno juga dapat menentukan “jatuh-bangun” sesuatu parti. Apabila Umno Kelantan bermasalah, lebih senang PAS memenangi hati rakyat.
Keenam – Institusi Pondok:
Secara tradisinya, asas kekuatan PAS tertumpu kepada kawasan padi dan pusat pengajian pondok. Institusi pondok lebih kesohor di Kelantan berbanding Terengganu. Di sinilah para pemimpin PAS dilahirkan dan menjadi pusat yang subur bagi majlis-majlis besar anjuran PAS.
Ketujuh – Kuasa Rakyat:
Umum mengetahui bahawa rakyat Kelantan bijak berpolitik, berbanding Terengganu. Apa yang berlaku, bilangan rakyat Terengganu yang “bijak berpolitik” tidak seramai yang “tidak bijak” berpolitik. Sebab itulah PAS belum menang.
Sifat “suka memberi” rakyat Kelantan juga menyebabkan mereka tidak mengharapkan balasan atau pemberian orang, termasuk projek atau subsidi dari BN. Perbuatan memberi dengan mengharapkan balasan dianggap tidak bermoral dalam masyarakat Kelantan.
Sifat “suka menerima” orang-orang Terengganu pula melegakan kerajaan BN yang kaya dengan “emas hitam”. Maka BN yang kaya itu tidak akan gentar dengan pengaruh PAS selagi rakyat Terengganu bersikap suka “menelan umpan” sebegitu.
Terdapat beberapa unsur lain yang dikira memberikan advantage kepada PAS di Terengganu, berbanding PAS di Kelantan. Antaranya; kepimpinan PAS Pusat lebih ramai dari Terengganu (tiga anggota Dewan Harian PAS Pusat adalah dari Terengganu berbanding hanya Ketua Dewan Ulama sahaja dari Kelantan); penyokong PAS Terengganu lebih ramai di kawasan Bandar (Jertih, Batu Burok, Bandar, Wakaf Mempelam, Bukit Tunggal) berbanding Kelantan, yang disifatkan “lagi ulu, lagi kuat PAS”.
Soalnya, mampukan para pemimpin PAS Terengganu memanfaatkan unsur-unsur positif di atas, di samping mewujudkan unsur-unsur yang masih belum cukup dimiliki sepenuhnya itu?
Mampu atau tidak, usaha mewujudkannya adalah suatu kemestian, jika PAS bercita-cita untuk menerajui tampuk pemerintahan Terengganu Darul Iman.(Artikel ini disiarkan makalah isu tidak berkala "Nafikan Tahun Sapu Bersih UMNO – Terengganu Milik Angkatan 1994”, kolaborasi diketuai Tarmizi Mohd Jam, sekitar April 1993).
No comments:
Post a Comment