Tuesday, April 30, 1991

Antara perancangan manusia dan janji Allah


SELURUH alam buana ini adalah milik Allah Subhanahu Wa Ta’ala semata-mata. Manusia hanya berperanan mentadbir dan memakmurkan dunia ini, sebagaimana yang diarahkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud:
Dan apabila telah berkata Tuhanmu kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku akan jadikan di atas mukabumi itu khalifah (pentadbir). (Maksud al-Quran Surah Al-Baqarah ayat 30)

Bahkan istilah khalifah itu mengandungi makna yang jauh lebih luas daripada sekadar ‘pentadbir’. Di antara pengertian khalifah yang diberikan oleh beberapa ulama Islam ialah: Menggalang-ganti pengutusan para anbiya’ dalam menegakkan agama dan mentadbirkan dunia dengannya (agama).

Ertinya, bagi memenuhi tugas dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah di atas mukabumi ini, seseorang yang diamanahkan untuk mengurus dan mentadbir itu mestilah tahu selok-belok hukum dan peraturan agama. Bahkan, bukan sekadar tahu sahaja, malah dia mestilah bersedia dan berupaya untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan agama itu.

Di antara tugas dan peranan manusia yang mentadbir atau memerintah itu dinyatakan oleh Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud:
Mereka yang Kami menangkan di atas mukabumi, mereka itu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menyeru kepada perkara maaruf dan mencegah daripada perkara mungkar. (Maksud Al-Quran Surah Al-Hajj ayat 41)

Allahyarham Professor Zulkiflee Muhammad, bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, sewaktu memberikan ‘Amanat Terakhir’ beliau kepada Anggota-anggota Kerajaan PAS Negeri Kelantan yang baru dipilih dalam Pilihan Raya Umum Mei 1964, ada menghuraikan ayat di atas. Antara lain, beliau mengemukakan pengertian yang lebih luas terhadap ungkapan ‘mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat’ yang disebutkan itu. Beliau menyebutkan:
“Dengan ayat-ayat ini dapatlah tuan-tuan membayangkan bahawa orang yang telah ditolong (diberi kemenangan) oleh Allah SWT itu tugasnya telah dinyatakan oleh Al-Quran - menjaga kedaulatan agama; menjaga khidmat-khidmat masyarakat; melakukan sesuatu yang baik dan mencegah sesuatu yang jahat”.

Semua ini, terutama dalam hal menjaga kedaulatan agama, tidak akan dapat dilaksanakan kecuali dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Dan, jika ia dapat dilaksanakan, nescaya bantuan daripada Allah SWT akan sampai. Itulah apa yang dijanjikan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud:
Dan kalau sekiranya penduduk sesuatu negeri itu beriman serta bertaqwa, pasti akan Kami bukakan kepada mereka (pintu kurniaan yang melimpah-limpah) berkatnya dari langit dan bumi. (Maksud al-Quran Surah Al-A’raf ayat 96)

Ternyata Allah SWT itu amat menepati segala apa yang dijanjikan-Nya. Perkara ini jelas kelihatan jika kita perhatikan keadaan-keadaan yang berlaku di negeri Kelantan, terutama sejak wujud perpecahan dalam parti Umno yang akhirnya membawa kepada pengharaman parti itu pada 4 Februari 1988 lalu. Perubahan dalam masyarakat negeri ini lebih menyerlah lagi bilamana wujudnya perpaduan berteraskan Islam di kalangan rakyatnya, yang diterajui oleh PAS.

Banyak perkara yang tidak disangka-sangka, dan di luar perancangan manusia, berlaku tatkala Allah mula menurunkan berkat-Nya kepada manusia. Segala-galanya bermula apabila penduduk negeri berkenaan menzahirkan kesediaan mereka untuk bersatu di bawah kepimpinan ulama, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat.

1.      Kemenangan ‘sapu bersih’

Tidak siapa menyangka PAS beserta rakan-rakannya dalam Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) berupaya menang secara ‘sapu bersih’ di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum (PRU), 21 Oktober 1990 lalu. Walau pun sudah ada tanggapan dan agakan bahawa Barisan Nasional-Umno akan kecundang di negeri itu, tetapi hasil siasatan dan kajiselidik manusia menjangkakan parti pemerintah Umno-BN masih berupaya bertahan di beberapa buah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan juga Parlimen.

Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad sendiri dalam kempen pilihan raya umum lalu ada menyebutkan kepada para pemberita bahawa partinya Umno-BN dijangkakan tidak dapat bertahan di Kelantan. Namun, beliau berkeyakinan partinya itu masih mampu memenangi beberapa kawasan.

Tetapi apa yang berlaku benar-benar di luar dugaan semua pihak, kecuali Allah SWT Yang Maha Mengetahui. Mursyidul Am PAS, Tuan Haji Yusof Rawa sewaktu memberikan komentar tentang kejayaan Angkatan di Kelantan dalam PRU, Oktober 1990 lalu menyebutkan:
“Kemenangan ini adalah kemenangan yang tidak disangka-sangka dan juga merupakan kemenangan dari Allah SWT bagi menguji sejauh mana tingkat kesyukuran dan keinsafan kita atas nikmat yang dikurniakan.”

Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri turut tidak menyangka keputusan pilihan raya umum tersebut sedemikian rupa (sapu bersih).

“Kemenangan itu satu pertolongan dari Allah. Seperti ada kuasa ghaib yang menolong kita. Kerana sebelum (pilihan raya) ini penyokong-penyokong kita menunaikan sembahyang hajat dan membaca qunut nazilah, dan Allah telah mewujudkan kerjasama antara malaikat di langit dengan para pengundi di bumi”, jelas Tuan Guru.

Rakyat Kelantan semacam sudah tidak sabar lagi untuk mengecapi nikmat hidup di bawah naungan Islam dengan diterajui oleh seorang ulama dan tok guru mereka, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka telah menzahirkan keinginan hati mereka itu dengan menolak kepimpinan Umno-BN secara total pada 21 Oktober 1990 lalu dan memilih untuk hidup di bawah kepimpinan ulama.

2.      Sindiran Jadi Kenyataan

Dalam kempen pilihan raya, hatta sebelum diisytiharkan pilihan raya lagi, para pemimpin, ahli dan penyokong Angkatan – khususnya daripada PAS – sentiasa menyebutkan kepada masyarakat bahawa mereka bercita-cita untuk mendaulatkan Islam. Untuk itu, mereka mengajak masyarakat bersama-sama Angkatan menukarkan kerajaan yang ada bagi digantikan dengan sebuah kerajaan baru yang berhasrat dan bersedia melaksanakan tuntutan-tuntutan pentadbiran secara Islam.

Berbagai reaksi dari segenap lapisan masyarakat timbul. Rakyat Kelantan yang sudah semakin jemu dengan tindak-tanduk Kerajaan BN pimpinan Umno di negeri mereka, mula menampakkan bunga-bunga perubahan. Semakin lama bunga-bunga perubahan itu semakin menampakkan putik-putik hasilnya. Sehinggalah hasil itu masak dan dipetik buahnya pada 21 Oktober 1990 lalu.

Dalam pada itu, kedengaran juga suara-suara sumbang terhadap seruan-seruan Islam yang diutarakan oleh para pendakwah PAS itu. Seruan mengajak mereka kembali kepada Islam dan tampil ke hadapan bersama-sama Angkatan bagi menjayakan cita-cita Islam diterima dengan penuh ejekan dan sindiran.

Golongan ini tidak menyedari bahawa yang mereka sindir dan ejek itu bukanlah PAS, atau Semangat 46 atau Angkatan Perpaduan Ummah. Yang mereka sindir itu ialah risalah yang dibawa oleh gagasan tersebut. Menyindir dan mengejek risalah itu, secara sedar atau tidak, bererti menyindir dan memperkelehkan Islam itu sendiri.

Di antara suara-suara sumbang yang kedengaran di kalangan rakyat Kelantan sebelum dan sepanjang tempoh pilihan raya umum lalu ialah: “Kalau Islam memerintah, kayalah negeri kita ini!”, “Kalau PAS menang, kenduri besarlah rakyat negeri ini!”, “Kalau Islam memerintah, nyiur (kelapa) kita naik hargalah!” dan lain-lain lagi.

Kata-kata sedemikian, jika ia datangnya daripada para penyokong Angkatan, tentu sekali menggambarkan keghairahan dan kegembiraan mereka untuk menerima kemenangan. Yang mendukacitakan ialah kata-kata tersebut lahir daripada mereka yang diketahui dan dikenali umum sebagai ‘orang kuat Barisan’.

Sebab itulah amat sukar untuk ditolak hakikat bahawa kata-kata itu sebenarnya mengandungi maksud menyindir, memperli dan mengejek kewibawaan Islam mentadbir negeri. Mereka yang mengatakan itu agaknya merasa yakin bahawa perjuangan Islam yang dibawa oleh Angkatan tidak akan berupaya menundukkan parti dan pemerintahan kesayangan mereka (BN-Umno) di Kelantan.

Suara-suara sedemikian amat pahit untuk diterima oleh telinga-telinga para penyokong Angkatan. Namun, mereka menerimanya juga dengan penuh kesabaran, sambil mengharapkan agar Allah Ta’ala menunjukkan sesuatu kepada si pengucap berkenaan. Mereka bersembahyang hajat dan membaca qunut nazilah memohon pertolongan daripada Allah.

Islam adalah milik Allah. Perjuangan Islam sudah dijanjikan kemenangan oleh Allah. Pejuang kebatilan dan pencela kebenaran lambat-bangat akan menerima padahnya. Siapa menyangka apabila Islam benar-benar diberi pertolongan oleh Allah dengan kemenangan yang dicapai pada Oktober 1990, maka segala yang diejek dan diperlikan itu benar-benar berlaku sebagai suatu kenyataan. Semacam suatu amaran dari Allah SWT agar manusia jangan terlalu ‘celupar’ dengan agama Allah.

Antara perkara yang benar-benar berlaku ialah kenaikan mendadak harga buah kelapa. Diketahui umum bahawa harga untuk seratus (100) biji kelapa di negeri Kelantan sebelum daripada pilihan raya umum lalu ialah hanya di sekitar $7.00. Selepas kemenangan Islam di negeri tersebut, Allah Ta’ala takdirkan harga kelapa melambung naik secara mendadak.

Dalam masa seratus hari pemerintahan Angkatan di bawah kepimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, harga seratus biji kelapa meningkat kepada antara $35 hingga $58 ringgit. Sindiran bahawa, “kalau Islam memerintah, nyiur (kelapa) kita naik hargaklah!”, nampaknya kembali menyindir orang yang mengatakan demikian itu.

Begitu juga dengan kenduri-kendara yang diejek-ejekkan itu. Dalam masa sebulan-tengah sejak Angkatan memerintah Kelantan, hampir setiap hari ada-ada sahaja kerbau dan lembu yang ‘tumbang’. Tanpa disuruh, tanpa dipaksa rakyat yang agak berada berlumba-lumba tampil ke hadapan menganjurkan majlis dan jamuan kesyukuran atas kemenangan parti kesayangan mereka.

Bahkan, ada juga berlaku perkara-perkara yang ganjil dan melucukan. Di mana ada di antara ‘orang kuat’ Umno bernazar (secara menyindir) semasa pilihan raya umum berlangsung dahulu bahawa “kalau kalah calon Umno di sini (di kawasannya), aku akan potong lembu”. Percaya atau tidak, orang kuat Umno itu benar-benar telah membayar nazarnya itu bilamana calon Umno betul-betul kalah di tempat tersebut. Sekali lagi sindiran itu telah menjadi kenyataan.

3.      Peningkatan Industri Pelancongan/Perhotelan

Negeri Kelantan terkenal sebagai salah sebuah destinasi pelancongan yang terbaik di negara ini. Panorama semulajadinya yang indah dan kesenian budaya rakyat yang berbagai-bagai cukup untuk menarik minat para pelancong dalam dan luar negeri ke Kelantan. Tempat-tempat menarik untuk istirehat antaranya ialah Pantai Cinta Berahi, Pantai Bisikan Bayu, Jeram Linang dan Jeram Pasu. Manakala tempat-tempat menarik untuk kunjungan pula amatlah banyak. Antaranya yang termasyhur ialah Balai Besar, Istana Jahar (Muzium Negeri), Gelanggang Seni, pusat-pusat batek, songket dan kraftangan dan lain-lain.

Kemudahan penginapan dan pengangkutan juga menjadi faktor utama menarik para pelancong ke Kelantan. Begitu juga dengan pertunjukan kebudayaan yang beraneka corak dan permainan rakyat yang berbagai-bagai.

Tambahan pula, kedudukan negeri Kelantan yang berjiran dengan negara Thailand banyak membantu perkembangan perniagaan yang sekaligus menjadi daya penarik para pelancong ke negeri Kelantan. Thailand sememangnya terkenal dengan penjualan barangan dan pakaian yang jauh lebih murah harganya berbanding dengan mana-mana bandar dalam negara ini. Barang-barangan dan pakaian yang murah harganya itu dibawa masuk ke negara ini melalui Kelantan. Urusniaga ini membantu menarik ramai pengunjung ke negeri itu.

Apabila Angkatan mengambil alih pemerintahan negeri Kelantan, industri pelancongan nampaknya tidak pula merosot. Sebaliknya, ia menampakkan suatu peningkatan yang membanggakan.

Islam tidak menentang pelancongan. Cuma beberapa aspek pelancongan itu yang perlu diubahsuai agar tidak mencanggahi hukum dan peraturan Islam. Maka tiada sebab industri pelancongan perlu dibekukan atau disekat.

Apa yang nyata, sepanjang seratus hari pemerintahan Angkatan di Kelantan, jumlah para pelancong yang mengunjungi negeri tersebut telah mencapai angka 30,000 orang. Angka tersebut sebenarnya suatu yang di luar jangkaan dan jauh lebih tinggi berbanding dengan mana-mana tempoh yang sama semasa pemerintahan BN sebelum itu.

Itu pun hanya diambil kira mereka yang mendaftar dengan pihak Kerajaan Negeri dan belum dikira entah beberapa puluh ribu lagi yang mungkin telah datang secara tidak rasmi dan tidak mendaftarkan diri dengan pihak Kerajaan Negeri.

Adalah dipercayai bahawa antara faktor utama yang membawa begitu ramai pelancong ke negeri Kelantan dalam masa yang singkat selepas kemenangan Angkatan ialah faktor ‘fitnah Umno’ yang tolong digembar-gemburkan oleh media massa.

Misalnya, seorang pemandu teksi (di Kelantan) menceritakan bagaimana serombongan daripada Perak dan Kedah memberitahunya bahawa tujuan utama mereka (rombongan) datang ke Kelantan ialah untuk melihat sendiri ‘kebuluran’ yang dialami oleh rakyat Kelantan. Kerana, kata mereka, telah dikhabarkan kepada mereka bahawa Kelantan kini (di bawah pemerintahan Angkatan) sudah kehabisan wang dan tidak dapat membekalkan beras yang cukup untuk rakyatnya.

Ekoran daripada tersebarnya fitnah sebegitu, maka rakyat Malaysia yang berperi kemanusiaan terdorong untuk hadir dan melihat sendiri keadaan sebenarnya. Itu hanyalah satu contoh yang menjadi faktor atau daya penarik pelancong. Manakala faktor ‘Kemenangan Islam’ dan ‘Ulama jadi MB’ juga banyak mendorong para pelancong dari luar Kelantan untuk hadir berduyun-duyun ke negeri tersebut.

Serentak dengan peningkatan kunjungan para pelancong itu, maka permintaan terhadap penginapan, makanan dan barang-barangan ‘tandamata’ juga turut bertambah. Beberapa hotel dan hostel memperkemaskinikan perkhidmatan mereka. Di samping itu, rumah-rumah tumpangan yang mengenakan kadar bayaran yang rendah juga turut dibuka di beberapa tempat sekitar Kota Bharu bagi memenuhi keperluan penginapan para pelancong.

Manakala kuih-muih dan makanan ringan tradisi rakyat Kelantan yang biasa dijadikan ‘buah tangan’ oleh para pelancong seperti dodol, gelembung buaya, putu kacang dan bepam juga turut mendapat pasaran yang baik. Satu tinjauan yang dibuat di kalangan para peniaga di pasar Kota Bharu menunjukkan bahawa dalam masa seratus hari pemerintahan Angkatan di negeri itu, bekalan makanan ringan yang disebutkan itu sering terputus. Sebab utamanya ialah permintaan untuknya yang lebih tinggi daripada jumlah yang biasa dibekalkan, ekoran kehadiran jumlah pelancong yang berlipat kali ganda.

Peningkatan drastik dalam industri pelancongan, penginapan dan juga perniagaan itu tentu sekali di luar perancangan manusia.

4.      Penemuan Galian Minyak

Allah Ta’ala telah menjanjikan bahawa apabila penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertaqwa kepada-Nya, maka Dia akan membuka pintu berkat dari langit dan juga bumi. Begitu juga, melalui ayat yang dikenali sebagai ‘Ayat Seribu Dinar’,  Allah Ta’ala menjanjikan jalan keluar (penyelesaian kepada masalah yang dihadapi) dan rezeki dari punca yang tidak disangka-sangkakan kepada sesiapa di kalangan hamba-Nya yang bertaqwa kepada-Nya.

Selama ini rakyat negara ini, termasuk rakyat negeri Kelantan dimomokkan bahawa jika Islam memerintah maka negara akan huru-hara, rakyatnya akan kebuluran dan sebagainya. Kebetulan pula negeri Kelantan Darul Naim terkenal sebagai salah sebuah negeri yang dikira miskin di negara ini.

Sebahagian besar rakyatnya bergantung hidup kepada pekerjaan tradisi seperti bertani, bersawah, berniaga kecil-kecilan, menangkap ikan, menoreh getah dan seumpamanya. Manakala lain-lain hasil negeri seperti kayu balak, industri pembuatan dan juga pelancongan masih tidak berupaya menampung Belanjawan Negeri.

Namun begitu, apabila rakyat Kelantan mula menampakkan hasrat mereka untuk hidup di bawah naungan Islam, kemudiannya mereka membuktikan kesungguhan mereka dalam hal itu pada 21 Oktober lalu, maka Allah Ta’ala “mencampakkan” rezeki kepada mereka dari dalam perut bumi negeri mereka.

Hasil carigali di beberapa daerah dalam negeri Kelantan menunjukkan bahawa perut bumi Kelantan kini mempunyai simpanan galian minyak yang agak banyak. Penemuan galian yang bernilai tinggi ini jika berjaya dipam keluar tentu sekali akan merubah corak pembangunan negeri Kelantan dalam dekad akan datang. Berapa pun jumlah royalti yang akan diterima oleh kerajaan negeri nanti, paling tidak ia sudah tentu akan dapat menampung kos pembangunan negeri berkenaan.

5.      Pelabuhan Sungai Pengkalan Petah

Apa yang berlaku terhadap pelabuhan sungai Pengkalan Petah, Bachok juga merupakan satu lagi pembangunan yang di luar perancangan manusia. Ahli Dewan Undangan Negeri Tawang, yang juga Anggota Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Idris Ahmad sewaktu menceritakan tentang pembangunan mendadak di Pengkalan Petah menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai suatu ‘pembangunan tidak dirancang yang paling pesat’ sejak kepimpinan ulama mengambilalih teraju pemerintahan negeri Kelantan.

Faktor utama kepada pembangunan pelabuhan sungai tersebut ialah kedalaman air sungainya. Ia memudahkan kapal-kapal kecil untuk keluar-masuk atau berlabuh. “Sehinggakan kapal-kapal seberat 70 hingga 120 tan tidak akan kandas”, tambah Ustaz Idris Ahmad, menceritakan perihal pelabuhan Pengkalan Petah itu.

Tambahan pula, di masa yang sama, beberapa pelabuhan nelayan di utara Pantai Timur dikatakan mengalami proses timbunan pasir. Misalnya, Pelabuhan Kuala Besut dan Beting Lintang di Terengganu, begitu juga Kuala Tak Bai di Selatan Thailand, dan beberapa pelabuhan sungai di pantai Kelantan sendiri, yang selama ini menjadi kunjungan kapal-kapal Perikanan Laut Dalam sudah semakin menyulitkan lalulintas bot-bot nelayan ekoran keadaan air sungainya yang semakin cetek.

Maka bot-bot nelayan dan kapal-kapal Perikanan Laut Dalam sudah banyak mengalihkan urusan jual-beli tangkapan mereka ke Pengkalan Petah, Bachok. Kehadiran mereka itu secara tidak langsung menyediakan permintaan untuk para peraih yang lebih ramai. Begitu juga dengan keperluan kepada gerai-gerai makanan dan minuman untuk, bukan sahaja para peraih di daratan, tetapi juga awak-awak nelayan yang mendaratkan tangkapan mereka di situ.

Keperluan kepada jeti dan tambatan juga bertambah dengan bertambahnya jumlah kapal dan bot yang berlabuh di situ. Seterusnya, apabila ada jentera berenjin, maka keperluan kepada bengkel pembaikian dan juga kedai tempat jual minyak juga perlu dipenuhi.

“Jeti bercambah, kedai tempat jual minyak dan bengkel membaiki motor (bot) juga bercambah. Ringkasnya, Pengkalan Petah sudah membangun menjadi sebuah kawasan perniagaan yang pesat”, jelas Ustaz Idris lagi.

Menurut beliau lagi, pembangunan pelabuhan sungai itu bukan sahaja membantu membangunkan kawasan berkenaan, tetapi sekaligus menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada beberapa pihak yang terlibat.

Kesimpulan
Sudah agak sukar untuk dinafikan lagi bahawa segala perubahan dan pembangunan yang tidak dirancangkan itu adalah bertitik-tolak daripada hasrat murni rakyat negeri Kelantan untuk melihat Islam didaulatkan dalam negeri mereka. Rakyat Kelantan telah diinspirasikan oleh ucapan-ucapan dan pengajaran-pengajaran yang disampaikan oleh para alim-ulama pimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Mereka sedar dan yakin bahawa pertolongan Allah akan bersama-sama mereka sekiranya mereka beriman dan bertaqwa kepada-Nya.

Lagi pun, dua belas tahun pemerintahan sebuah kerajaan yang tidak mendaulatkan Islam dalam negeri mereka terbukti tidak berupaya memberikan mereka kemewahan yang jauh lebih baik dari apa yang sebelum itu mereka kecapi (di bawah pemerintahan PAS dahulu). Sebaliknya, sebahagian rakyat menjadi mangsa tindasan dan pilih kasih politik.

Rata-rata rakyat Kelantan, terutama mereka yang ditindas dan dizalimi oleh pemerintahan BN-Umno, sentiasa ingat akan pesanan dan ingatan yang diberikan oleh pemimpin mereka. Mereka berkeyakinan bahawa sebuah pemerintahan yang zalim tidak akan bertahan lama. Itulah yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala dan itulah yang dinyatakan oleh pemimpin mereka.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam ucapannya sejurus selepas Peristiwa Pembunuhan di Memali mengingatkan ratusan rakyat Kelantan di Dewan Zulkiflee Muhammad, Kota Bharu dengan satu ayat al-Quran yang diterjemahkan sebagai:
Tak lama lagi orang yang zalim itu akan tahu di mana lurah dan lubangnya dia akan terjun! (Maksud al-Quran surah asy-Syu’ara ayat 227)

Ucapan tersebut disambut dengan laungan takbir yang bertalu-talu oleh para hadirin. Rakyat Kelantan sentiasa tertunggu-tunggu akan saat dan ketika untuk sama-sama tampil ke hadapan menumbangkan sebuah pemerintahan yang zalim itu.

Lebih meyakinkan mereka untuk menumbangkan kerajaan itu ialah melihatkan kemurnian hati seorang pemimpin yang sejak sekian lama mereka kenali, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Seorang ulama yang sudah dikenali warak dan berhemah tinggi itulah yang telah mereka angan-angankan sebagai pengganti kepada pemimpin Umno yang sedang memerintah ketika itu. Mereka yakin keberkatan dari Allah akan melimpah ruah ke atas mereka di bawah kepimpinan seorang ulama.

(Artikel ini adalah bab pertama atau pendahuluan daripada buku ‘Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat - Inspirasi Kebangkitan Ummah Serambi Mekah’ yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bharu, 1991.)

No comments:

Post a Comment