Tuesday, April 30, 1991

Penyampaian Yang Mudah Difahami


SEPERKARA yang menjadi kelaziman Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tatkala beliau memberikan kuliah, ceramah atau pun dialog ialah menggunakan perumpamaan-perumpamaan yang indah dan tepat. Seringkali Tuan Guru mengumpamakan sesuatu perkara atau hujah yang beliau kemukakan itu dengan suasana atau perkara yang diketahui oleh para pendengar.

Dalam salah satu kuliahnya yang mentafsir Surah Al-Fatihah, seorang hadirin bertanyakan: “Kenapa Allah Ta’ala menggunakan kalimah ‘KAMI’ bagi menerangkan ayat-ayat “hanya Engkau kami sembah dan hanya pada Engkau kami meminta pertolongan”. Jika kita berseorangan sahaja, tidakkah lebih tepat kita baca “hanya Engkau aku sembah dan hanya pada Engkau aku minta pertolongan”?”

Pertanyaan tersebut dijawab oleh Tuan Guru dengan pertamanya membaiki cara bertanya. Menurut beliau, tidak elok disoalkan “kenapa Allah buat itu dan ini”. Sebaliknya, cara yang baik untuk menyoal ialah “apa hikmahnya?”

Beliau terus mengumpamakan apa yang dilakukan oleh manusia. Katanya: “Banyak benda yang dibuat oleh manusia sendiri kita tidak tahu “kenapa” ia dibuat. Misalnya barang banyak harga 25 sen. Kenapa tidak ada duit sekeping bernilai 25 sen? Jadi kalau kerja yang dilakukan oleh manusia sendiri pun kita tidak tahu “kenapa”, maka apakah kuasa atau taraf kita untuk menyoal kerja-kerja Tuhan?”

Lalu bagi menghuraikan hikmat-hikmat Allah Ta’ala menggunakan kalimah “kami” dan tidak kalimah “aku” dalam ayat-ayat tersebut, Tuan Guru sekali lagi membawa perumpamaan yang menerangkan kelebihan-kelebihan apabila dilakukan sesuatu perkara itu secara berjamaah.

Katanya: “Sengaja Allah Ta’ala gunakan perkataan “kami” dan tidak “aku” bagi menunjukkan betapa Dia amat menggalakkan manusia Muslim itu berjamaah. Apabila berjamaah sembahyang misalnya, maka kelebihannya amatlah banyak. Jika sembahyang kita ada kecacatan, disebabkan kita lakukan berjamaah, maka sembahyang orang lain dapat menampung.

“Ibaratnya kita jual durian ‘pukul locong’. Kita jual sebakul dan tidak sebiji-sebiji. Tentu dalam sebakul itu ada durian yang baik dan ada juga durian yang berlubang, atau yang tidak berapa elok isinya. Tetapi disebabkan kita jual ‘pukul locong’, maka durian yang kurang baik dapat menumpang tuah durian yang baik, dan turut sama-sama dibeli orang.”

Begitu juga dalam menghuraikan keadaan seorang yang mendapat kasih sayang Allah SWT. Di mana dalam satu Hadith Qudsi ada diterangkan betapa seseorang yang telah mendapat kasih sayang Allah itu akan mendapat layanan istimewa dari-Nya. Tatkala itu, Allah Ta’ala menjadi telinganya untuk dia mendengar, matanya untuk dia melihat dan tangannya untuk dia melakukan kerja-kerja.

Bagi menerangkan keadaan ini, Tuan Guru telah mengibaratkannya dengan suatu contoh yang terdapat dalam masyarakat setempat, iaitu keadaan seorang cucu yang dikasihi oleh atoknya. “Nak makan, tangan tak payah bergerak, atok yang suapkan. Nak berjalan, kaki tak payah melangkah, atok yang dukung dan sebagainya”.

Penggunaan perumpamaan-perumpamaan yang indah dan mudah sebegitu tidak terhad kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan kuliah atau ceramahnya sahaja. Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga diketahui amat tepat dalam memberikan perumpamaan terhadap suasana politik semasa.

Misalnya, beliau pernah mengibaratkan suasana politik negara sejurus selepas berlakunya peristiwa tangkapan borong ISA, atau Operasi Lalang, Oktober 1987 lalu sebagai “Zaman Lampu Merah” bagi pergerakan jamaah Islam.

Oleh itu, katanya, pergerakan ahli-ahli serta pimpinan jamaah Islam (PAS) terpaksa berhenti (di hadapan lampu merah), tetapi tidak perlu ‘mematikan enjin’ mereka. Dengan kiasan bahawa lampu merah tidak akan kekal merah selama-lamanya. Lambat-laun lampu merah akan bertukar menjadi hijau dan pergerakan jamaah Islam akan diteruskan semula.

Setelah berlaku Peristiwa Memali bulan November 1985, bermacam-macam fitnah dilontarkan oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional kepada Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmood. Antaranya, dikatakan Ustaz Ibrahim Mahmood itu pengembang ajaran salah.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam menghuraikan fitnah tersebut menyebutkan: “Bagaimana Kerajaan nak menuduh Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya mengembang ajaran salah, sedangkan Kerajaan sendiri terang-terang menganut fahaman yang salah; fahaman kebangsaan, faham pragmatisme terang-terang bertentangan dengan Islam”.

Beliau lalu menyimpulkan hujah beliau dengan suatu perumpamaan ringkas, sebagai sindiran kepada Kerajaan Barisan Nasional, dengan katanya: “Kita nak jual ubat kurap kepada orang, kita sendiri bertepek (bertompok-tompok kurap di badan), macamana?”

Sebenarnya, penggunaan perumpamaan-perumpamaan yang indah dan mudah sebegitu bukanlah suatu yang baru dalam pengajaran Islam. Kaedah ini pernah digunakan oleh Rasulullah SAW. Bahkan, Allah Ta’ala sendiri banyak menggunakan perumpamaan dalam banyak ayat-Nya di dalam al-Quran. Misalnya, bagi golongan yang tidak mengerti dan tidak makan dinasihati diumpamakan sebagai seekor anjing. Kita panggil dia menjelir, dan kalau kita halau pun dia menjelir juga.

Misal lagi, seorang yang hanya tahu membaca kitab tetapi tidak mengerti isi kandungannya adalah ibarat seekor keldai yang hanya tahu memikul kitab itu ke hulu dan ke hilir. Begitu juga misalan yang Allah Ta’ala berikan kepada amalan infaq fi sabilillah yang dilakukan oleh manusia muslim, diibaratkan menanam sebiji benih yang tumbuh darinya sepohon pokok. Dari pokok itu kemudiannya tumbuh tujuh tangkai dan setiap tangkai itu pula menumbuhkan seratus biji. Akhirnya benih yang sebiji itu menghasilkan bijian yang tujuh ratus jumlahnya.

Begitulah Allah Ta’ala menganugerahkan keistimewaan-keistimewaan kepada hamba-Nya yang bekerja untuk-Nya. Ternyata kaedah yang digunakan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz bertepatan dengan kaedah yang ditunjuk-ajarkan oleh Allah Ta’ala dan Rasul-Nya SAW.

Manusia itu akan lebih cepat menerima sesuatu yang disampaikan sekiranya mereka dapat membandingkannya dengan sesuatu yang sudah diketahuinya. Allah SWT Maha Mengetahui hakikat itu. Begitu juga, Rasulullah SAW diajarkan oleh Allah Ta’ala akan ilmu mengenai hakikat itu. Dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, seorang ulama yang mewarisi tugas-tugas anbiya’ dalam menyampaikan Islam kepada masyarakat, tentu sekali perlu mengetahui hakikat bahawa Islam itu perlu disampaikan dalam bentuk yang semudah-mudahnya.

(Artikel ini adalah bab keempat daripada buku ‘Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat - Inspirasi Kebangkitan Ummah Serambi Mekah’ yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan, 1991)

No comments:

Post a Comment