Sunday, October 26, 2008

‘Wanita Besi Malaysia’ menuju penghujung kuasa


Oleh: Mohd Nasir Awang

SAYA berkongsi pandangan dengan beberapa penulis dan pengulas politik bahawa pendirian akar umbi Umno kini sudah tidak mampu ‘diikat’ lagi. Pada banyak keadaan mereka cenderung mengambil sikap bercanggah dengan keputusan atau ketetapan oleh kepimpinan lebih tinggi dalam parti itu.

Kecenderungan ini dapat dilihat dengan jelas menerusi pola pencalonan bagi pemilihan Umno, Mac depan. Terdapat bahagian-bahagian Umno yang mengenepikan keputusan perhubungan Umno negeri masing-masing tentang siapa yang perlu dicalonkan untuk jawatan-jawatan tertentu di peringkat tertinggi.

Sebelum ini ada juga bahagian yang tidak mematuhi arahan Umno negeri agar tidak diadakan pertandingan bagi jawatan-jawatan utama di peringkat masing-masing. Arahan itu dikatakan berhasrat mengelakkan perpecahan lebih parah dalam parti yang sentiasa berpecah itu. Ia bagaimana pun dibantah ahli akar umbinya sendiri dan dianggap mencabuli hak mereka untuk memilih dan dipilih.

Kemuncak kecenderungan menyanggahi ketetapan atau arahan pihak atasan itu ialah apabila kalangan kepimpinan tertinggi Umno sendiri berterusan mempertikaikan pelan peralihan kuasa diumumkan Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Julai lalu.

Kini, setelah Abdullah akur kepada desakan tersebut, pertikaian seterusnya berjangkit pula kepada sayap wanita parti itu. Pelan peralihan kuasa serupa yang turut diumumkan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, Ogos lalu nampaknya turut ditolak akar umbi pergerakan itu.

Menurut pelan tersebut, Rafidah akan menyerahkan jawatan itu kepada naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Jun 2009. Ini bermakna tidak sepatutnya ada pertandingan atau pencalonan nama selain Rafidah untuk jawatan nombor satu Wanita Umno itu.

Hasrat Rafidah itu bagaimana pun nampaknya tidak dialu-alukan akar umbinya sendiri. Setakat Rabu (22 Oktober) lalu, Rafidah telah memastikan 81 pencalonan untuknya mengekalkan jawatan Ketua Wanita Umno, jauh mengatasi kuota kelayakan 39 pencalonan ditetapkan partinya. Ia suatu yang sudah dijangkakan.

Bagaimana pun, jumlah pencalonan begitu besar bagaikan tidak lagi memberi erti penting baginya dan Wanita Umno apabila di masa sama nama Shahrizat turut dicalonkan untuk jawatan sama. Jumlah 41 pencalonan diperolehi Shahrizat membuktikan terdapat 41 bahagian Wanita Umno yang mahukannya menjadi ketua baru mereka, sekali gus mengisyaratkan agar Rafidah segera berundur. Tidak mustahil jumlah itu bertambah menjelang hari akhir persidangan perwakilan bahagian, 9 November nanti.

Protes ditunjukkan bahagian-bahagian terbabit memberikan implikasi sangat besar kepada karier politik kedua-dua tokoh utama pergerakan itu. Ia juga dibaca pelbagai pihak sebagai petanda era kekuasaan politik tokoh yang pernah digelar sebagai ‘Wanita Besi Malaysia’ itu kini sudah di penghujung.

Kewibawaan Rafidah menerajui sayap wanita Umno diakui kawan dan lawan. Kekebalan dan ketahanan politiknya dapat dinilai berdasarkan prestasinya sejak muncul dalam pentas politik negara lebih tiga dekad lalu.

Rafidah mula menyertai Umno menerusi Cawangan Bukit Bintang, Bahagian Kuala Lumpur pada 1967. Karier politik bekas pensyarah ekonomi, Universiti Malaya itu mula menyerlah apabila dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 1974.

Setahun kemudian beliau mula menduduki kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno. Beliau kekal di barisan tertinggi parti itu hingga kini.

Pada 1976, Rafidah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perusahaan Awam. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Menteri Kewangan selepas memenangi kerusi Parlimen Selayang pada Pilihan Raya Umum 1978.

Dalam rombakan Kabinet pada 1980, Rafidah pertama kali dilantik sebagai menteri penuh di Kementerian Perusahaan Awam. Sejak 1982 beliau memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan ia kekal menjadi miliknya hingga kini.

Rafidah beralih ke Kementerian Perdagangan dan Perindustrian sejak 1987 dan turut dikekalkan apabila jawatan itu ditukar nama kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Amat mengejutkan pelbagai pihak apabila beliau diketepikan Perdana Menteri dalam susunan Kabinet baru selepas pilihan raya umum, Mac lalu.

Tanpa hipokrasi wajar diakui kemampuan Rafidah mengekalkan prestasi politik selama lebih tiga dekad sebagai Ahli Parlimen dan anggota Kabinet, selain mengetuai sayap Wanita Umno sejak 1984, adalah suatu pencapaian yang sukar ditandingi calang-calang tokoh wanita negara ini.

Paling menyerlah ialah kemampuannya menebus kembali kekalahan dalam perebutan jawatan parti pada 1996. Rafidah merampas semula jawatan Ketua Wanita pada pemilihan 2000 dan berjaya mengekalkan cengkamannya ke atas pergerakan itu hingga kini.

Buat beberapa dekad kebelakangan ini, nama Rafidah sudah sinonim dengan Wanita Umno. Bahkan, meski pun terbuang dari teraju pergerakan itu dalam tempoh 1996-2000 lalu, nama Rafidah tetap dikaitkan dengan pergolakan dalaman sayap Umno itu.

Beliau dikaitkan dengan kegagalan kepimpinan penggantinya mendapatkan hak ke atas akaun Wanita Umno ketika itu. Baki wang dalam akaun itu berjumlah RM1.8 juta didakwa ‘hilang’ apabila hanya RM2,000 diserahkan kepada kepimpinan baru. Ironisnya, tindakan sekontroversi itu gagal mencalarkan imej Rafidah di kalangan Wanita Umno apabila dipilih semula mengetuai pergerakan itu kemudiannya.

Kekebalan Rafidah turut terserlah dalam menghadapi beberapa isu besar lain. Antaranya apabila beliau dipalitkan dengan unsur salah guna kuasa membabitkan pemberian kepentingan perniagaan kepada menantunya. Beliau turut menjadi bahan kecaman kawan dan lawan dalam isu kelulusan permit import (AP) yang memuncak pada September 2005 lalu.

Ketahanan menangkis ribut taufan politik itu bagaimana pun kelihatan sukar dikekalkan Rafidah untuk menghadapi angin perubahan dalam Wanita Umno kini. Barangkali masa untuknya berundur sudah sampai!

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 26 Syawal-3 Zulkaedah 1429/26 Oktober-1 November 2008 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

Sunday, October 19, 2008

Najib lengkapkan Teori R.A.H.M.A.N., Anwar masih berpeluang?


“Tuntutan itu dilihat lebih kepada hasrat mendesak Abdullah berundur”

Oleh: Anuwa Jamalullail

MELAINKAN berlaku perubahan besar dalam politik negara yang sama sekali di luar perancangan serta kawalan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebelum Mac depan, maka menurut sifir politik semasa sudah pasti Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bakal mengambil alih teraju kepimpinan parti itu daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pengumuman dibuat Abdullah pada 8 Oktober lalu bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam pemilihan partinya Mac nanti menjadi pengesahan awal tentang tuah politik Najib itu.

Di masa sama, Abdullah turut membuktikan bahawa beliau tidak berupaya menghadapi asakan anak-anak buahnya agar segera berundur. Meski pun Julai lau beliau mengumumkan pelan peralihan kuasa yang dikatakan telah diterima dan diluluskan Majlis Tertinggi Umno, pelan itu akhirnya terpaksa dipercepatkan.

Menurut pelan asal, Abdullah hanya akan menyerahkan jawatan Presiden Umno, Pengerusi BN dan Perdana Menteri kepada timbalannya itu menjelang Jun 2010. Ia bukan sahaja dipersetujui para pemimpin Umno, malah sesiapa sahaja di kalangan mereka yang mempertikaikannya turut menerima kecaman dan kritikan hebat.

Ternyata desakan berubi-tubi beberapa pemimpin Umno sendiri, terutama Naib Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin, agar Abdullah mengkaji semula tempoh peralihan tersebut akhirnya membuahkan hasil. Abdullah akur dan tarikh Jun 2010 teranjak 15 bulan lebih awal kepada Mac 2009.

Laluan untuk Najib ke kerusi Presiden Umno dirasakan tidak akan dicabar lagi. Dalam keadaan yang ada sekarang, khalayak Umno dilihat tidak ada calon alternatif kepada Najib. Justeru, meski pun pengumuman Abdullah tentang kekosongan jawatan nombor satu itu dibuat sebelum bermulanya mesyuarat agung bahagian-bahagian Umno, pencalonan untuk jawatan tersebut dijangka tidak akan membabitkan nama selain Najib.

Andaian itu dibuat berdasarkan suara lantang mendesak diadakan pertandingan untuk dua jawatan tertinggi Umno sebelum ini pun bukan sangat bertujuan mencabar kedudukan Najib. Tuntutan itu dilihat lebih kepada hasrat mendesak Abdullah berundur. Kesediaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah, untuk dicalonkan sebagai Presiden Umno juga dikatakan seiring dengan hasrat tersebut.

Dengan mengandaikan bahawa tidak akan ada pertembungan untuk Najib dalam mengisi kekosongan jawatan Presiden Umno nanti, maka kemenangan beliau itu juga bakal mengesahkannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6. Andaikata itu yang bakal berlaku lima bulan nanti, bermakna sudah sempurna urutan kepemimpinan negara yang disebut sebagai Teori R.AH.M.A.N.

Sama ada ianya suratan takdir atau sekadar kebetulan, perlu diakui bahawa ada kemunasabahan agak menarik di sebalik teori berkenaan. Penulis sendiri tidak sempat mengamati siapa yang memulakan teori berkenaan dan bila ia mula dilontarkan. Cuma yang penulis ingat, ia hangat diperkatakan di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Menurut Teori R.AH.M.A.N., huruf ‘R’ itu merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Memandangkan baginda menjadi pemula kepimpinan, maka namanya turut digunakan untuk urutan seterusnya.

Huruf ‘A’ selepasnya dipadankan kepada pangkal nama Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak. Sudah tentu huruf ‘H’ kena dengan kehadiran Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn. Manakala huruf ‘M’ menjadi milik Dr Mahathir.

Kemuncak perbahasan Teori R.AH.M.A.N. tercetus kira-kira dua dekad lalu tatkala khalayak politik tanahair mencaturkan siapa bakal menggantikan Dr Mahathir. Sejarah mencatatkan bagaimana kemunculan beliau adalah bersama gandingan 2M, merujuk kepada timbalannya, Tun Musa Hitam.

Meski pun gandingan kedua-dua mereka kelihatan amat mantap dan berwibawa, sudah ada ketika itu kesangsian bahawa Musa tidak akan menerajui negara selepas Dr. Mahathir. Di antara faktor mendorong kesangsian itu ialah huruf pangkal nama Musa tidak sealiran dengan Teori R.AH.M.A.N. Fokus pencarian ialah kepada pemimpin dengan nama berpangkal huruf ‘A’.

Suratan atau kebetulan, kesangsian itu terbukti benar akhirnya. Musa tidak kekal sebagai Timbalan Perdana Mneteri. Justeru, apabila tempat Musa digantikan Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, banyak pihak merasakan beliaulah pemimpin ‘A’ yang dimaksudkan itu.

Malangnya, Dr Mahathir memilih untuk kekal lebih lama di kerusi Perdana Menteri sebelum sempat Ghafar mengambil alih daripadanya. Tempat Ghafar digantikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sekali lagi khalayak politik negara menganggap kehadiran pemimpin berhuruf pangkal nama ‘A’ itu menepati urutan R.AH.M.A.N. tadi.

Di ketika sama, kebangkitan parti-parti pembangkang, khususnya PAS turut menggegarkan pentas politik negara. Kemaraannya begitu hebat sehingga dibayangkan akan ada peralihan kerajaan daripada BN kepada parti tersebut ketika itu. Maka nama-nama para pemimpin parti itu turut dikaitkan dalam kesinambungan teori berkenaan.

Nama Presiden PAS, Almarhum Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor, misalnya turut disebut sebagai Perdana Menteri kelima di atas kejatuhan Dr Mahathir. Bagaimana mungkin pemimpin berpangkal huruf ‘F’ boleh masuk dengan urutan R.AH.M.A.N.? Jawabnya ialah kerana nama lain Almarhum ialah Ali.

Selain itu, nama Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut disebut. Teorinya malah dipanjangkan lagi dengan mengandaikan pemerintahan diterajui PAS dapat dikekalkan. Maka huruf ‘N’ itu dipadankan pula dengan Datuk Nakhaie Ahmad, yang ketika itu menjadi salah seorang Naib Presiden PAS.

Sejarah mencatatkan bahawa segala telahan itu tidak menjadi. Huruf ‘A’ selepas Dr Mahathir itu tidak menjadi milik Abdul Ghafar, Anwar, Ali mahu pun Abdul Hadi. Anwar juga menerima nasib serupa Musa dan Ghafar.

Akhirnya munculllah Abdullah sebagai pemimpin berhuruf ‘A’ yang benar-benar menepati kedudukan kelima dalam Teori R.AH.M.A.N. itu. Urutan itu kini bagaikan hampir pasti menemui pelengkapnya apabila Najib pula bakal menyumbang huruf ‘N’ lima bulan lagi.

Terlanjur berbicara soal teori, andaian seterusnya ialah tentang siapa pula selepas Najib nanti. Jika digunapakai Teori Domino atau teknik permainan Sahibba, maka nama menggantikan R.AH.M.A.N. nanti ialah N.A.J.I.B., iaitu mengambil nama Perdana Menteri keenam. Jika tuah Teori R.AH.M.A.N. turut sama diwarisi teori kedua ini, maka pemimpin negara selepas Najib ialah yang namanya berpangkal huruf ‘A’.

Mungkinkah ia Ahmad Zahid Hamidi atau Ali Rustam? Ataukah ketika itu ia benar-benar menjadi milik Anwar? Dengan kehendak Allah, segalanya boleh berlaku!

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah edisi 19-24 Oktober 2008)

Wednesday, October 1, 2008

Bahaya menilai hukum Islam dengan akal


Oleh: Mohd Nasir Awang

Kes 1: Sebuah keluarga dilanda konflik dalaman agak serius. Semuanya ekoran salah seorang ahli keluarga melangsungkan majlis pernikahan anak perempuannya disertakan adat persandingan. Adik-beradik dan ipar-duai membantah. Tradisi itu sudah lama terkubur dalam keluarga, mengambil kira tuntutan hukum Islam.

Majlis perkahwinan berlangsung agak hambar. Ia dibauri pertikaman lidah dan perasaan tidak senang majoriti anggota keluarga. Mereka hadir juga, tetapi dalam keadaan amat terpaksa.  Mereka tidak redha persandingan diadakan.

“Apa sangat yang tidak kena dengan persandingan? Bukan ada buat maksiat apa pun!” bentak tuan empunya rumah mempertahankan keputusannya.

Kes 2: Pihak berkuasa agama akhirnya terpaksa campurtangan apabila para pengguna dan beberapa pihak lain mengadu mengenai satu pertandingan menjanjikan hadiah lumayan. Hanya menerusi undian SMS (sistem mesej singkat), pengguna berpeluang dipilih pemenang. Bagaimana pun lain-lain syarat mendapatkan hadiah itu menyusul. Para pengguna merasa tertipu.

Peraduan itu dikaitkan dengan unsur-unsur perjudian dan penipuan. Syarikat telekomunikasi bertanggungjawab menganjurkannya bagaimana pun mempertahankan tindakan mereka.

“Apa yang kami buat ini hanyalah peraduan, bukannya satu perjudian”, kata mereka.

Kes 3: Konsert oleh artis Barat mendapat bantahan beberapa kumpulan Islam. Mereka mendemonstrasi dan berarak menyerahkan memorandum bantahan kepada penganjur. Salinan memo itu turut diajukan kepada menteri yang bertanggungjawab menjaga berkaitan hiburan.

Kumpulan pembantah ini mewakili umat Islam yang menilai konsert sebegitu sesuatu yang mendorong maksiat dan mengundang kebejatan sosial. Lain pula hujah diberikan penganjur yang mempertahankan tindakan mereka.

Paling menyedihkan ialah apabila pemimpin terbabit seakan membela hujah penganjur.  Katanya, “saya tidak nampak apa salahnya mereka berhibur, terutama bagi menenangkan fikiran setelah penat bekerja”.

Ketiga-tiga kes yang disebutkan itu mewakili tiga kelompok berbeza. Kes pertama berkaitan individu atau keluarga. Isunya hanya memberi impak kepada keluarga terbabit. Atau mungkin masyarakat kecil sekeliling mereka.

Kes kedua pula dilakukan sebuah organisasi dan kesannya agak menyeluruh. Manakala kes ketiga melibatkan institusi awam dan kerajaan. Kesannya sudah tentu sangat menyeluruh.

Meski pun berbeza tahap, ketiga-tiga kes itu memaparkan satu persamaan, iaitu kekeliruan mengenai definisi maksiat. Garis pemisah pelanggaran hukum Islam dalam setiap kes tadi tidak dilukis dengan jelas.

Puncanya sama. Ketiga-tiga pelaku tidak merujuk kepada pihak yang arif dan berautoriti dalam bab agama sebelum membuat keputusan masing-masing. Sebaliknya, mereka lebih mengguna pendekatan akal dan pendapat sendiri bagi merasionalkan apa yang mereka mahu buat.

Itulah masalah utama umat Islam dewasa ini. Mereka cenderung menggunakan pertimbangan akal tanpa pengetahuan jelas mengenai hukum Islam. Kejahilan akhirnya menjerumuskan mereka ke lembah maksiat.

Masakan anda tidak pernah mendengar cerita pasangan yang dicekup berdua-duaan di tempat sunyi dalam aksi mencurigakan? Antara mereka masih sempat berhujah balas, “apasal pula marah kami, kami bukan buat apa-apa pun!”.

Nampak tahap kejahilan mereka itu? Tidak syak lagi orang yang berkata itu menilai hukum Islam berdasarkan logik akalnya sendiri semata. Dia kira tidak ada salahnya berpegangan tangan atau berpelukan antara wanita dan lelaki bukan mahram.

Barangkali dia ingat operasi pencegahan maksiat hanya bagi pasangan yang melakukan persetubuhan. Sedangkan hakikatnya perbuatan berduaan di tempat sunyi itu pun sudah memadai dinamakan maksiat.

Begitu juga hukum meminum arak. Ia adalah haram dan arak itu sendiri disifatkan sebagai najis walau pun sekadar menyentuhnya. Asas utama keharaman arak ialah kerana sifatnya yang memabukkan.

Maka bagaimana jika arak itu tidak lagi memabukkan seseorang? Katakanlah ada seorang yang sangat terbiasa minum arak. Disebabkan terlalu biasa itu, maka sekadar dua tiga gelas arak sudah tidak memberi apa-apa kesan kepada mentalnya.

Maka bolehkah bagi orang seumpama itu mengatakan arak tidak haram baginya kerana ia sudah hilang sifat memabukkan itu? Jika logik akal seumpama itu diterima, nescaya ia akan membuka ruang kepada lebih banyak pertikaian hukum yang telah putus dalam Islam. Bahaya, bukan?

Di sinilah perlunya bagi umat Islam ingat bahawa agama ini bukan tertegak dengan akal dan logik. Banyak hukum dan permasalahan dalam Islam tidak mampu digarap semata-mata dengan akal.

Dalam hal ini, kata-kata Saidina Ali karramallahuwajhah wajar direnung kembali. Katanya, “kalaulah agama itu dengan akal, nescaya bahagian bawah khuf (stokin kulit) itu lebih layak disapu dari belakangnya”.

Khuf ialah sejenis stokin atau sarung kaki diperbuat daripada kulit yang dipakai oleh masyarakat di negara-negara yang mengalami musim sejuk. Islam mengharuskan umatnya tidak menanggalkan khuf tatkala mengambil wuduk. Sedangkan salah satu rukun wuduk ialah membasuh dua kaki hingga ke buku lali.

Bagi mengelakkan mudarat dari kesejukan, Islam membolehkan air disapu hanya di bahagian luar khuf dengan syarat kaki yang memakainya suci dari najis. Anehnya, Islam mensyariatkan disapu bahagian belakang (atas kaki) khuf itu dan bukannya bahagian bawah yang digunakan untuk berpijak.

Sebab itu Saidina Ali kaw berkata, jika menurut logik akal manusia, sudah tentu bahagian bawah lebih patut dibasuh, memandangkan ia digunakan untuk berpijak dan mungkin dijangkiti kekotoran.

Ternyata logik akal manusia tidak dapat menyelami hikmah di sebalik hukum-hukum ditetapkan Tuhan.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 208, Oktober 2008 di ruangan ‘Pendapat’ dengan tajuk sama)

Sunday, September 28, 2008

Sejarah “budak-budak nakal” dalam Umno


“Budak nakal biasanya akan muncul sebagai pemimpin”

Oleh: Anuwa Jamalullail

DALAM susur galur perjuangan parti-parti politik negara ini, kehadiran tokoh yang suka melawan arus terbukti telah mencetuskan reformasi yang menarik di zaman masing-masing. Meski pun orang seperti mereka dilabelkan sebagai “budak nakal” dalam parti, kesan reformasi politik dicetuskan mereka akhirnya bukan sahaja membuahkan kebaikan untuk parti, bahkan melonjakkan mereka ke puncak karier politik masing-masing.

Beberapa pihak melihat polemik kepemimpinan Umno dicetuskan Naib Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin baru-baru ini adalah salah satu mata rantai kepada hakikat sejarah tadi. Pada 10 September lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mengejutkan pelbagai pihak apabila mengusik kembali pelan peralihan kuasa dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Julai lalu.

Menurut pelan tersebut, Abdullah akan menyerahkan jawatan Presiden Umno, Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2010.

Dalam keadaan semua pihak di dalam BN seakan sudah menerima pelan tersebut, tiba-tiba Muhyiddin muncul mendesak Abdullah memikirkannya semula. “Tahun 2010 adalah terlalu lama”, katanya.

Bagi Muhyiddin, sekiranya pelan itu diteruskan, pengganti Abdullah akan hanya mempunyai masa yang singkat untuk melakukan perubahan dan mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap Umno dan BN. Ertinya, Muhyiddin bermaksud Abdullah perlu berundur segera.

Keberanian Muhyiddin mengusik sesuatu yang telah dipersetujui Majlis Tertinggi Umno itu amat tidak disenangi rakan-rakannya. Bertalu-talu kecaman dan kritikan dihalakan ke atasnya. Beliau disifatkan menentang arus, bahkan ‘melawan tauke’.

Meski pun dikritik hebat kerana seakan-akan berperangai seperti ‘budak nakal’ yang tidak hentu-henti mengusik ketuanya, ada yang melihat kenyataan Muhyiddin itu sebagai pencetus perubahan positif dalam Umno sendiri. Bukankah ekoran kenyataan itu mendorong Najib mencadangkan agar soal peralihan kuasa dipulangkan kepada ahli akar umbi? Saranan Najib itu kemudiannya mendapat reaksi positif segenap lapisan partinya.

Setakat itu, terbukti pertikaian dicetuskan Muhyiddin tadi telah membuka kembali perbahasan mengenai hak menentukan kepemimpinan dalam Umno sendiri. Ia sekaligus bagai mengiyakan bahawa Umno memang amat memerlukan kehadiran tokoh yang lantang seperti Muhyiddin untuk memperkukuhkan parti itu.

Jika sikap lantang dan ‘melawan tauke’ sebegitu melayakkannya dilabekan sebagai ‘budak nakal’ dalam partinya sendiri, maka Muhyiddin bukanlah orang pertama seumpama itu yang pernah wujud dalam Umno. Sejarah lebih 60 tahun perjuangan parti itu menemukan kita dengan beberapa tokoh lain. Suatu hakikat yang menarik, meski pun pada satu ketika dianggap ‘melawan tauke’, kebanyakan ‘budak nakal’ ini akhirnya muncul sebagai pemimpin yang berjaya dalam Umno.

Semasa era pemerintahan Almarhum Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dulu, parti itu berhadapan dengan seorang tokoh muda bernama Dr Mahathir Mohamad. Tidak sedikit karenah dan onar dicetuskan beliau yang memeningkan kepala para pemimpin Umno ketika itu.

Dr Mahathir dianggap sebagai ‘budak nakal’ dalam Umno. Kenakalannya memuncak apabila beliau kalah dalam Pilihan Raya Umum 1969. Dr Mahathir tewas kepada calon PAS, Haji Yusof Abdullah Ar-Rawa di Parlimen Kota Star Selatan.

Kritikan Dr Mahathir terhadap kepemimpinan Tunku semakin pedas. Buku Dilema Melayu karangannya, yang sarat dengan kecaman terhadap bangsanya sendiri itu terhasil dalam tempoh itu. Dr Mahathir malah sempat menaiki pentas PAS untuk turut sama menghentam kepemimpinan Umno.

Setelah kenakalannya melampaui batasan yang dapat diterima pucuk pimpinan Umno, Dr Mahathir akhirnya dipecat daripada partinya. Semua kita tahu kesudahan karier politik ‘budak nakal’ ini. Beliau akhirnya kembali ke dalam Umno dan menjadi Perdana Menteri pada 1981.

Belum pun genap sedekad di tampuk kuasa, giliran Dr Mahathir sendiri pula berdepan seorang lagi ‘budak nakal’ Umno. Beliau ialah Datuk Shahrir Samad. Bekas setiausaha politik kepada Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Musa Hitam itu terkenal sangat lantang mengkritik kepemimpinan Dr Mahathir, termasuk ketika menjadi anggota kabinetnya. Dikatakan sikap kritikal Shahrir terhadap Dr Mathathir masih kekal hingga kini.

Shahrir dilantik menganggotai kabinet selepas memenangi Parlimen Johor Bahru bermula 1978. Daripada setiausaha parlimen diangkat menjadi timbalan menteri, kemudiannya menteri penuh. Bagaimana pun pada 1988 beliau meletak jawatan sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat apabila sudah tidak dapat berkompromi dengan Dr Mahathir.

Tidak cukup setakat itu, Shahrir turut mengosongkan kerusi parlimen disandangnya semata-mata untuk mencabar kekuatan pengaruh Dr Mahathir dan BN. Dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Johor Bahru pada 25 Ogos 1988, Shahrir yang bertanding sebagai calon Bebas menang dengan majoriti lebih 12,000 menewaskan calon BN. ‘Kenakalan’ Shahrir terbukti tidak dapat ditangani Dr Mahathir ketika itu.

Banyak pihak menganggap kejayaan Shahrir itu menjadi pendorong utama penubuhan Parti Semangat 46 oleh Team B Umno. Ia diketuai Tengku Razaleigh Hamzah yang kalah tipis kepada Dr Mahathir dalam pertandingan merebut jawatan Presiden Umno.

Tiada siapa menyangka selepas sekian lama ditenggelamkan politik dalaman Umno, Shahrir masih berupaya bangkit semula. Beliau direhatkan daripada jawatan parti dan menjadi calon selama beberapa penggal. Tiba-tiba Shahrir muncul semula di Parlimen pada 2004 dan kini dilantik menganggotai Kabinet.

Seorang lagi ‘budak nakal’ dalam Umno ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Beliau sebelum ini memang terkenal agak celupar dan sering menjadi senjata BN bagi menghadapi PAS.

Bagaimana pun, sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-12, Mac lalu, ‘kenakalan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal itu bukan lagi memberikan masalah kepada pembangkang. Ahmad telah mencetuskan kemelut agak menggawatkan politik negara apabila memilih untuk melawan arus dalam partinya sendiri. Ketika itu arus utama partinya ialah melantik semula Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu.

Hanya Ahmad seorang dari kalangan 23 Adun BN selain Idris yang berani menawarkan diri menjadi calon alternatif kepada Idris. Pendiriannya itu mendapat kecaman segenap peringkat kepimpinan Umno dan BN. Bagaimana pun semua kita tahu kesudahannya dan beliau kini antara menteri besar paling berjaya memperbetulkan kepincangan dalam pemerintahan yang diwarisinya.

Kini ramai beranggapan ‘kenakalan’ Muhyiddin bakal melonjakkan nasibnya sepertimana ‘budak-budak nakal’ tadi. Itu pun kalau hayat pemerintahan BN masih panjang dan Umno boleh direlevankan semula.

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 28 September – 4 Oktober 2008 dengan tajuk sama)

Sunday, September 21, 2008

Mampukah kehadiran DAP ubah lanskap politik Terengganu?


“Kehadiran DAP ke negeri ini hanya akan memecahbelahkan parti yang disertai oleh orang Melayu” – MB Terengganu

Oleh: Anuwa Jamalullail

PADA 7 September lalu satu lagi sejarah poliik negara tercatat apabila DAP secara rasmi menubuhkan dua cawangan serentak di Terengganu. Dua cawangan tersebut ialah di Kampung Cina dalam Parlimen Kuala Terengganu dan Sungai Tong di Setiu. Penubuhan kedua-dua cawangan itu disempurnakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Bagi Cawangan Kampung Cina, Pengerusi Penajanya ialah Ng Chai Hing. Beliau adalah bekas Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu yang meletakkan jawatannya dalam parti itu pada 28 Ogos lalu. Manakala Cawangan Sungai Tong pula diterajui seorang berbangsa Melayu, Mad Zaki Mamat.

Meski pun dari segi sejarah ia bukanlah cawangan pertama DAP di negeri tersebut, penubuhannya dilihat membuka satu lembaran baru bagi percaturan politik lebih rencam dan sengit dalam masa terdekat.

Apatah lagi mengambil kira kekuatan DAP kini sudah semakin terserlah di seluruh negara. Parti itu menerajui pemerintahan Pulau Pinang, selain berkongsi kuasa dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat (PR) di Perak dan Selangor.

Ia juga mengetuai barisan pembangkang di beberapa negeri lain, di samping menakluki 28 kerusi Parlimen dan sedang menuju ke puncak kuasa bersama PR di peringkat nasional. Barangkali fakta kekuatan itu mendorong DAP melebarkan semula sayapnya ke Terengganu.

Difahamkan DAP pernah bertapak dan mempunyai cawangannya di Kampung Cina sejak akhir 80-an dulu. Penulis sendiri pernah melihat papantanda sebuah cawangan parti itu di pusat bandar Kuala Terengganu awal 90-an dulu.

Cawangan itu bagaimana pun menghadapi masalah survival pada tahun 2000 apabila Chai Hing selaku pengerusinya dilantik oleh kerajaan PAS Terengganu sebagai Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Meski pun pada awal pembentukan kerajaan negeri itu DAP bersama-sama PAS, parti itu tidak kekal lama dalam Barisan Alternatif (BA). Apabila PAS mempertegaskan kembali hasratnya menubuhkan Negara Islam sekiranya diberi peluang memerintah negara, DAP mengisytiharkan keluar daripada pakatan tersebut.

Parti itu malah turut memberi kata dua kepada 16 ahlinya yang ketika itu sedang menjawat berbagai jawatan lantikan politik di bawah kerajaan PAS Terengganu. Mereka diminta memilih sama ada melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri atau dipecat daripada parti.

Difahamkan hanya seorang yang akur untuk kekal bersama DAP. Kesemua yang lain mahu bersama kerajaan PAS. Meski pun DAP kemudiannya menarik balik ugutan tersebut, Chai Hing dan beberapa yang lain dikatakan mengambil keputusan meninggalkan DAP dan menyertai PKR (ketika itu Parti Keadilan Nasional).

Kini Chai Hing mengambil keputusan untuk kembali semula menganggotai DAP sekaligus menghidupkan semula cawangan yang pernah diterajuinya dulu. Tidak syak lagi keputusan itu memberikan kelebihan kepada DAP.

Namun, persoalan yang banyak diperkatakan di Terengganu kini ialah sejauh manakah kemasukan semula DAP ke negeri itu mampu memberi kesan kepada lanskap politik setempat.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said memberikan komen agak pesimis. Katanya, kehadiran DAP ke negerinya hanya akan memecahbelahkan parti yang disertai oleh orang Melayu.

“DAP sudah pasti bakal menghadapi laluan sukar untuk mencari pengaruh di negeri ini, walau pun ia mungkin mendapat sokongan daripada segelintir orang Melayu,” katanya.

Sememangnya suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah DAP sering dikaitkan dengan perjuangan cauvinis Cina. Walau pun antara pemimpin yang pernah menempa nama dalam DAP terdapat tokoh-tokoh Melayu dan India, seperti Ahmad Nor, Fadzlan Yahya, Daeng Ibrahim, Karpal Singh, P. Patto dan V. David, parti itu tetap tidak berupaya mengikis imejnya yang lebih didominasi kaum Cina.

Sebab itu ia hanya mampu bertapak kukuh dan mendapat sokongan di kawasan majoriti pengundi Cina, khususnya di bandar-bandar utama. Isu-isu yang diketengahkan parti itu juga banyak berkaitan hak dan kepentingan masyarakat Cina.

Fenomena serupa berlaku dalam sejarah pertapakan DAP di Terengganu. Fokus utama parti itu ialah di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bandar, iaitu pangkalan terbesar masyarakat Tionghua Terengganu.

Menurut fakta Pilihan Raya Umum 2008, Dun Bandar mempunyai jumlah pengundi Cina tertinggi di Terengganu, iaitu melebihi 37 peratus.

Peratusan pengundi Cina di lain-lain Dun ialah Chukai (15.0 peratus), Sura (9.4), Ladang (7.2), Paka (4.8), Kemasek (4.6), Pengkalan Berangan (4.2), Jertih (4.0), Alor Limbat (3.2), Air Putih (2.8) dan Kijal (2.1). Ada pun di lain-lain Dun jumlah mereka hanya antara 0.1 hingga 1.4 peratus.

Dun Bandar adalah satu-satunya kerusi yang pernah ditandingi DAP. Parti itu meletakkan Chai Hing sebagai calonnya dalam Pilihan Raya Umum 1990. Beliau berjaya memungut undi agak besar, iaitu 1,519 walau pun tidak berupaya menandingi undi diperolehi calon MCA, Wong Foon Meng, sebanyak 3,956 undi.

Jumlah undi kaum Cina yang ditarik DAP itu bagaimana pun cukup untuk membantu calon PAS, Haji Harun Jusoh memenangi kerusi Dun Bandar. Beliau yang mendapat 4,682 undi undi menewaskan Foon Meng dengan majoriti 726 undi.

Barangkali DAP agak terpukul dengan percubaan sulungnya itu. Kehadiran calonnya secara tidak sengaja telah menyebabkan satu-satunya kerusi dikhaskan untuk calon Cina di Terengganu terlepas ke tangan PAS. Sebab itu barangkali sejak itu DAP tidak lagi meletakkan calonnya bertanding di negeri itu.

Sejarah itu bagaimana pun mungkin dapat diperbaiki sekiranya hasrat DAP menerusi penubuhan cawangan baru kini dapat dicapai. Parti itu telah meletakkan sasaran menghantar wakil rakyatnya ke Dun Terengganu bagi menyuarakan perjuangannya. Mungkin DAP mengambilkira PAS akan berkompromi memberi laluan kepadanya berhadapan satu lawan satu dengan calon BN. Apakah PAS bersedia untuk itu?

Lebih dipersoalkan lagi, apakah relevan bagi maksud itu untuk DAP menubuhkan cawangan di Sungai Tong? Pekan itu ialah nadi utama bagi Dun Langkap. Menurut fakta pilihan raya umum Mac lalu, jumlah pengundi Cina dalam Dun berkenaan hanya 0.1 peratus daripada lebih 13,000 pengundi. Jumlah itu jika dikira secara kasar hanya sekitar 13 orang.

Mengulas penubuhan cawangan di Sungai Tong itu, Mad Zaki menyebut ia salah satu usaha untuk memastikan parti itu mendapat sokongan di negeri itu, sekaligus mampu membela kesamarataan yang diperjuangkannya.

“Orang Melayu menyertai pembangkang termasuk DAP disebabkan BN gagal dan tidak telus memberi jaminan kepada rakyat untuk menikmati kehidupan lebih baik,” katanya.

Soalnya, apakah DAP mampu menarik sokongan orang Melayu di Terengganu? Ataukah masyarakat negeri itu akan kekal setia dengan “sistem dua parti” iaitu antara PAS dan Umno sahaja?

(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 21-27 September 2008 dengan tajuk sama)

Monday, September 1, 2008

‘Doktor’ Helmi beri khidmat di pasar tani


Oleh: Nuwa Aitawa

DIA bukan pemimpin popular atau pakar perubatan. Tidak juga seorang usahawan yang kaya-raya atau tauke yang membawa barang perniagaan penuh muatan lori. Tetapi kelibat lelaki berasal dari Kampung Telipot, Pasir Putih, Kelantan ini sentiasa dinanti-nanti pengunjung Pasar Tani Bandar Jerteh, Terengganu setiap Khamis.

Berbekalkan tiga buah bangku plastik, sebuah meja lipat berpayungkan kanopi, Encik Helmi Mahmud menjadi antara orang paling dikenali di pasar berkenaan. Ada yang memanggilnya Ustaz Helmi, berdasarkan aktiviti keagamaannya dalam masyarakat.

Namun ramai yang lebih gemar menggelarkannya ‘Doktor’ termasuk mereka yang tidak mengetahui nama sebenarnya. Gelaran itu pula bukan kerana sijil perubatan dimilikinya, tetapi kerana khidmat kesihatan disediakannya.

“Kita buat khidmat percuma untuk bantu orang. Dan kita ambil (caj) kalau untuk cek (periksa) gula dalam darah, kita ambil kos begitu rendah, sebagai khidmat perniagaan kebajikan, ambil kos tiga ringgit untuk membantu masyarakat”, tegas Helmi, membuka bicara mengenai perkhidmatan yang disediakannya.

Disebabkan caj yang rendah itu, berserta pemilihan lokasi di tempat tumpuan awam, gerai ‘Doktor’ Helmi mudah dikunjungi. Sebaik gerainya dibuka, beliau bagaikan tidak menang tangan malayani orang ramai yang hampir tidak putus-putus mendambakan khidmatnya.

“Ikut kiraan, yang ambil khidmat kencing manis (pemeriksaan gula dalam darah) sekitar 50 orang. Kalau darah tinggi sekitar 80 orang”, katanya, apabila ditanya jumlah pengunjung gerainya setiap hari.

Selain yang datang memeriksa tekanan darah, degup jantung atau tahap kandungan gula dalam darah, ada juga yang membeli pelbagai ubat-ubatan herba dalam bentuk kapsul dan tonik yang dijualnya, terutama untuk penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit urat. Ada juga yang menggemari beberapa jenis kopi herba yang diprosesnya sendiri.

“Paling top sekali barang kita ialah Kopi Tok Janggut, terkenal di Kelantan. Berkhasiat, kopi herba yang dimasukkan akar-akar kayu, herba terbaik. Kita masuk Misai Kucing, Tebu Gajah, Mas Cotek, ada tujuh herba terbaik. Tongkat Ali, Ubi Jaga, Payung Ali....kalau minum dia berkhasiat”, terang Helmi tentang produk terbaiknya  itu.

Bekas Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Pasir Puteh ini, memulakan perniagaan ubat-ubatan tradisional secara sepenuh masa sejak lebih empat tahun lalu. Sebelum itu beliau pernah berkhidmat di Bahagian Dakwah, Majlis Agama Islam Kelantan. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Whip Ahli-Ahli Majlis Daerah Pasir Puteh selama beberapa tahun.

“Start (mula berniaga) tahun 2004, pada asalnya di sebelah Thailand, iaitu tempat kuliah agama Yala, Pattani. Di samping itu juga buat (buka gerai) di Medan Ilmu (Kota Bharu), tempat Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) mengajar. Di situ sambutan hangat”, Helmi menceritakan pengalaman awalnya memulakan perniagaan.

Bermula dari situ minatnya mendalami ilmu perubatan tradisional semakin bertambah. Beliau mengakui banyak mendapat tunjuk ajar daripada seorang pakar perubatan terkenal di Kelantan yang kini menjadi seorang ahli politik.

Helmi juga pernah mengikuti kursus perubatan Islam jangka pendek di Universiti Malaya di bawah bimbingan Asy-Syifa’. Penglibatan aktifnya sebagai Bendahari Koperasi Pekebun-Pekebun Kecil Risda Daerah Pasir Puteh turut mendedahkan beliau dengan kursus-kursus anjuran berbagai agensi termasuk Risda sendiri.

Ilmu diperolehinya menambahkan keyakinan untuk beliau terus aktif mengembangkan khidmatnya ke tempat-tempat lain. Kini jadual perkhidmatannya penuh sepanjang minggu.

“Jadual saya hari-hari; Jumaat di tempat Tok Guru (Kota Bharu), Sabtu di Pasar Tani Kuala Krai, Ahad di kedai dekat Masjid Pasir Puteh, ini kira untuk masyarakat tempat kita. Hari Isnin di pasar minggu Machang, Selasa di pasar minggu Jeli. Hari Rabu di Kuala Berang (Terengganu) dan Khamis di Pasar Tani Jerteh. Kira penuh seminggu”, terang Helmi, yang kelihatan sentiasa bertenaga.

Ditanya apakah faktor utama menyebabkan gerainya mendapat sambutan, bahkan kehadirannya sentiasa dinantikan orang ramai, Helmi menjawab, “target utama kita berniaga ialah kebajikan, sebab kita pilih bahan terbaik, kita jual dengan harga yang cukup munasabah dan mampu dibayar masyarakat”.

Beliau mengakui sebab utama membolehkan beliau menawarkan harga munasabah ialah kerana tidak menggunakan khidmat orang tengah. Bahan-bahan herba untuk memproses ubat diperolehi secara terus daripada pembekal.

“Akar-akar kayu kita dapatkan dari pengusaha di Jeli, terus daripada orang yang mencari di hutan. Kita proses dan hantar ke kilang yang dapat pengiktirafan kerajaan dan kementerian di Pengkalan Chepa”, ujarnya.

Sewajarnya anggota masyarakat bersyukur kerana adanya peniaga seperti Encik Helmi ini. Rata-rata pengunjung dan peserta Pasar Tani Jerteh yang ditemui penulis mengakui merasa amat bermanfaat dengan kehadiran ‘Doktor’ ini.

“Caj yang dikenakan tidak mahal, tambahan pula kami tidak perlu meninggalkan perniagaan kalau hendak periksa darah atau jantung. Pelanggan juga boleh terus membuat pemeriksaan sambil membeli barang”, ujar seorang peserta pasar tani itu yang dikenali sebagai Abang Din.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 207, September 2008 di ruangan ‘Syukur Ada Mereka’ dengan tajuk sama)

Rendahnya maruah dan mentaliti wanita kita


Oleh: Mohd. Nasir Awang

JABATAN Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkemungkinan besar akan mencadangkan kepada kerajaan agar membenarkan Mahkamah Syariah beroperasi pada hujung minggu.  Tindakan itu dirasakan cara terbaik untuk memastikan kes-kes khalwat di seluruh negara dapat dibicarakan walau pun pada hari cuti mingguan itu, bagi memastikan mereka yang tertangkap tidak terlepas.

Ketika mengumumkan hasrat itu, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie JKSM, Datuk Ibrahim Lembut berkata, pihaknya memandang serius pendekatan itu setelah mengesan wujudnya kecenderungan baru yang membimbangkan di kalangan remaja masa kini.

Mereka didapati semakin gemar berkhalwat dengan pendatang asing di hujung minggu.  Menurutnya, kes-kes sebegitu semakin membimbangkan kebelakangan ini terutama di sekitar ibu negara dan Lembah Kelang.

“Orang pendatang dibebaskan keluar (bercuti) pada Sabtu dan Ahad, merayau di Kuala Lumpur, bawa lari perempuan Islam. Dia mengorat dan sebagainya. Di situlah yang terjadinya khalwat.  Perkara ini kita tidak boleh bawa (bicara) sebab mahkamah kita tutup hari Sabtu dan Ahad. Beri jaminan (ikat jamin), dia (pendatang asing) lesap”, katanya.

Ibrahim berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Mahabbah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Bersama Masyarakat Peringkat Negeri Terengganu 2008 yang diadakan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, 4 Ogos lalu.

Secara umum dapat kita andaikan betapa kegagalan menghadapkan warga asing yang tertangkap itu ke mahkamah meninggalkan kesan sangat negatif terhadap proses penguatkuasaan undang-undang negara. Paling nyata keadaan itu menyebabkan rakan-rakan mereka semakin berani melakukan kesalahan sama.

Barangkali juga sudah wujud tanggapan di kalangan mereka bahawa mereka akan terlepas daripada sebarang perbicaraan atau dijatuhkan hukuman, terutama disebabkan kedudukan mereka yang sukar dikesan pihak berkuasa.

Menurut Ibrahim lagi, kes-kes khalwat yang berlaku antara wanita Melayu/Islam tempatan dengan lelaki warga asing beragama Islam kini semakin turut menampakkan kecenderungan baru yang menakutkan. Mereka didapati semakin berani melakukan perbuatan terkutuk itu secara berkumpulan sehingga menakutkan pegawai agama untuk bertindak.

Lebih memalukan, kata Ibrahim lagi, pasangan yang melakukan persetubuhan haram itu turut meninggalkan ‘benih’.

“Kalau dulu berkhalwat tidak tinggal ‘benih’, sekarang ini banyak tempat tinggal ‘benih’.  Sehinggakan bila wanita Islam lahirkan anak, rambut dia kerinting, kulit hitam. Sudah pasti bapa dia Afrika (pendatang asing)”, katanya.

Meski pun amat menyedihkan hati dan memalukan, pendedahan ini rasanya bukan lagi suatu yang mengejutkan. Ia hanyalah satu lagi maklumat daripada ribuan kes sebegitu yang sudah acapkali diperkatakan umum.

Mengambilkira hakikat itu, kita tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak jika ada yang mengatakan bahawa maruah dan mentaliti wanita kita kini sangat rendah. Mereka ini ternyata sanggup menggadai harga diri untuk sesuatu yang sukar dirasionalkan. Apa sebenarnya yang mereka harapkan daripada warga asing yang rata-rata berpendapatan rendah itu?

Umum mengetahui bahawa pendatang asing yang membanjiri beberapa lokasi tertentu sekitar ibu negara setiap hujung minggu hanyalah bagi berhibur dan melepak bersama rakan-rakan senegara. Majoriti mereka ini adalah pekerja am di sektor pembinaan, di gedung perniagaan, perladangan mahu pun perindustrian. Mereka bukan kalangan berpendapatan tinggi atau golongan profesional.

Sebab itu agak sukar dirasional apa sebenarnya yang mendorong wanita kita begitu mudah menuruti ajakan dan godaan mereka. Tentu sekali bukan semata-mata dorongan kebendaan, bukan?

Tambah membingungkan, jika kenyataan Ibrahim tadi diambilkira, ternyata wanita kita yang terjebak dengan hubungan sumbang itu bukan setakat menikmati keseronokan sementara.  Mereka malah turut merelakan diri ‘termengandungkan’ anak warga asing terbabit. Apa sebenarnya yang mereka mahukan daripada hubungan haram itu?

Sebab itu tidak salah jika diulangsebut bahawa itulah gambaran betapa rendahnya maruah dan mentaliti sebilangan wanita kita.

Apatah lagi cerita dan kes wanita Melayu/Islam tempatan terpengaruh atau terpedaya dengan pujukan rayu dan ajakan lelaki warga asing bukan lagi suatu cerita baru dalam masyarakat kita.  Sejak beberapa bulan kebelakangan ini ada-ada saja cerita dipaparkan media berkaitan keterlanjuran wanita tempatan yang mendakwa diri mereka ditipu sehingga terjebak menjadi agen penghantar dadah oleh sindiket pengedaran antarabangsa.

Secara rasional, kes-kes ini jauh lebih tidak munasabah berbanding kes hubungan tidak bermoral tadi. Jika kes didedahkan Ibrahim itu banyak melibatkan wanita kelas bawahan, sebilangan wanita yang tertipu dengan sindiket dadah antarabangsa itu pula mempunyai latar belakang pendidikan agak tinggi, termasuk lepasan menara gading.

Amat malang dan mendukacitakan kes-kes seumpama ini berlaku di saat kita melaungkan hasrat menjulang bangsa Malaysia sebagai bangsa bertamadun, yang bermentaliti kelas pertama atau bertaraf antarabangsa.

Bahkan pernah seorang pemimpin negara bercakap soal mengangkasakan bangsa Melayu. Bagi beliau, kejayaan dicapai orang Melayu kini perlu ditingkatkan ke tahap lebih tinggi dan melampaui pencapaian biasa. ‘Bangsa angkasa’, katanya, adalah bangsa yang mempunyai tamadun hebat dan mampu mencipta kejayaan luar biasa.

Tidak salah untuk kita meletakkan cita-cita setinggi angkasa. Soalnya, sejauh manakah cita-cita tinggi itu bertepatan dengan realiti kehidupan rakyat terbanyak? Apakah kerendahan maruah dan mentaliti wanita kita yang dibicarakan tadi memberikan gambaran yang tepat kepada tamadun hebat ‘bangsa angkasa’ sebagaimana diimpikan pemimpin itu?

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 207, September 2008)