Sunday, October 26, 2008

‘Wanita Besi Malaysia’ menuju penghujung kuasa


Oleh: Mohd Nasir Awang

SAYA berkongsi pandangan dengan beberapa penulis dan pengulas politik bahawa pendirian akar umbi Umno kini sudah tidak mampu ‘diikat’ lagi. Pada banyak keadaan mereka cenderung mengambil sikap bercanggah dengan keputusan atau ketetapan oleh kepimpinan lebih tinggi dalam parti itu.

Kecenderungan ini dapat dilihat dengan jelas menerusi pola pencalonan bagi pemilihan Umno, Mac depan. Terdapat bahagian-bahagian Umno yang mengenepikan keputusan perhubungan Umno negeri masing-masing tentang siapa yang perlu dicalonkan untuk jawatan-jawatan tertentu di peringkat tertinggi.

Sebelum ini ada juga bahagian yang tidak mematuhi arahan Umno negeri agar tidak diadakan pertandingan bagi jawatan-jawatan utama di peringkat masing-masing. Arahan itu dikatakan berhasrat mengelakkan perpecahan lebih parah dalam parti yang sentiasa berpecah itu. Ia bagaimana pun dibantah ahli akar umbinya sendiri dan dianggap mencabuli hak mereka untuk memilih dan dipilih.

Kemuncak kecenderungan menyanggahi ketetapan atau arahan pihak atasan itu ialah apabila kalangan kepimpinan tertinggi Umno sendiri berterusan mempertikaikan pelan peralihan kuasa diumumkan Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Julai lalu.

Kini, setelah Abdullah akur kepada desakan tersebut, pertikaian seterusnya berjangkit pula kepada sayap wanita parti itu. Pelan peralihan kuasa serupa yang turut diumumkan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, Ogos lalu nampaknya turut ditolak akar umbi pergerakan itu.

Menurut pelan tersebut, Rafidah akan menyerahkan jawatan itu kepada naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Jun 2009. Ini bermakna tidak sepatutnya ada pertandingan atau pencalonan nama selain Rafidah untuk jawatan nombor satu Wanita Umno itu.

Hasrat Rafidah itu bagaimana pun nampaknya tidak dialu-alukan akar umbinya sendiri. Setakat Rabu (22 Oktober) lalu, Rafidah telah memastikan 81 pencalonan untuknya mengekalkan jawatan Ketua Wanita Umno, jauh mengatasi kuota kelayakan 39 pencalonan ditetapkan partinya. Ia suatu yang sudah dijangkakan.

Bagaimana pun, jumlah pencalonan begitu besar bagaikan tidak lagi memberi erti penting baginya dan Wanita Umno apabila di masa sama nama Shahrizat turut dicalonkan untuk jawatan sama. Jumlah 41 pencalonan diperolehi Shahrizat membuktikan terdapat 41 bahagian Wanita Umno yang mahukannya menjadi ketua baru mereka, sekali gus mengisyaratkan agar Rafidah segera berundur. Tidak mustahil jumlah itu bertambah menjelang hari akhir persidangan perwakilan bahagian, 9 November nanti.

Protes ditunjukkan bahagian-bahagian terbabit memberikan implikasi sangat besar kepada karier politik kedua-dua tokoh utama pergerakan itu. Ia juga dibaca pelbagai pihak sebagai petanda era kekuasaan politik tokoh yang pernah digelar sebagai ‘Wanita Besi Malaysia’ itu kini sudah di penghujung.

Kewibawaan Rafidah menerajui sayap wanita Umno diakui kawan dan lawan. Kekebalan dan ketahanan politiknya dapat dinilai berdasarkan prestasinya sejak muncul dalam pentas politik negara lebih tiga dekad lalu.

Rafidah mula menyertai Umno menerusi Cawangan Bukit Bintang, Bahagian Kuala Lumpur pada 1967. Karier politik bekas pensyarah ekonomi, Universiti Malaya itu mula menyerlah apabila dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 1974.

Setahun kemudian beliau mula menduduki kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno. Beliau kekal di barisan tertinggi parti itu hingga kini.

Pada 1976, Rafidah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perusahaan Awam. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Menteri Kewangan selepas memenangi kerusi Parlimen Selayang pada Pilihan Raya Umum 1978.

Dalam rombakan Kabinet pada 1980, Rafidah pertama kali dilantik sebagai menteri penuh di Kementerian Perusahaan Awam. Sejak 1982 beliau memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan ia kekal menjadi miliknya hingga kini.

Rafidah beralih ke Kementerian Perdagangan dan Perindustrian sejak 1987 dan turut dikekalkan apabila jawatan itu ditukar nama kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Amat mengejutkan pelbagai pihak apabila beliau diketepikan Perdana Menteri dalam susunan Kabinet baru selepas pilihan raya umum, Mac lalu.

Tanpa hipokrasi wajar diakui kemampuan Rafidah mengekalkan prestasi politik selama lebih tiga dekad sebagai Ahli Parlimen dan anggota Kabinet, selain mengetuai sayap Wanita Umno sejak 1984, adalah suatu pencapaian yang sukar ditandingi calang-calang tokoh wanita negara ini.

Paling menyerlah ialah kemampuannya menebus kembali kekalahan dalam perebutan jawatan parti pada 1996. Rafidah merampas semula jawatan Ketua Wanita pada pemilihan 2000 dan berjaya mengekalkan cengkamannya ke atas pergerakan itu hingga kini.

Buat beberapa dekad kebelakangan ini, nama Rafidah sudah sinonim dengan Wanita Umno. Bahkan, meski pun terbuang dari teraju pergerakan itu dalam tempoh 1996-2000 lalu, nama Rafidah tetap dikaitkan dengan pergolakan dalaman sayap Umno itu.

Beliau dikaitkan dengan kegagalan kepimpinan penggantinya mendapatkan hak ke atas akaun Wanita Umno ketika itu. Baki wang dalam akaun itu berjumlah RM1.8 juta didakwa ‘hilang’ apabila hanya RM2,000 diserahkan kepada kepimpinan baru. Ironisnya, tindakan sekontroversi itu gagal mencalarkan imej Rafidah di kalangan Wanita Umno apabila dipilih semula mengetuai pergerakan itu kemudiannya.

Kekebalan Rafidah turut terserlah dalam menghadapi beberapa isu besar lain. Antaranya apabila beliau dipalitkan dengan unsur salah guna kuasa membabitkan pemberian kepentingan perniagaan kepada menantunya. Beliau turut menjadi bahan kecaman kawan dan lawan dalam isu kelulusan permit import (AP) yang memuncak pada September 2005 lalu.

Ketahanan menangkis ribut taufan politik itu bagaimana pun kelihatan sukar dikekalkan Rafidah untuk menghadapi angin perubahan dalam Wanita Umno kini. Barangkali masa untuknya berundur sudah sampai!

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 26 Syawal-3 Zulkaedah 1429/26 Oktober-1 November 2008 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment