“Tuntutan itu dilihat lebih kepada hasrat mendesak
Abdullah berundur”
Oleh: Anuwa Jamalullail
MELAINKAN berlaku perubahan besar dalam politik negara
yang sama sekali di luar perancangan serta kawalan Umno dan Barisan Nasional
(BN) sebelum Mac depan, maka menurut sifir politik semasa sudah pasti Datuk
Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bakal mengambil alih teraju kepimpinan parti
itu daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Pengumuman dibuat Abdullah pada 8 Oktober lalu bahawa
beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno dalam pemilihan partinya
Mac nanti menjadi pengesahan awal tentang tuah politik Najib itu.
Di masa sama, Abdullah turut membuktikan bahawa beliau
tidak berupaya menghadapi asakan anak-anak buahnya agar segera berundur. Meski
pun Julai lau beliau mengumumkan pelan peralihan kuasa yang dikatakan telah
diterima dan diluluskan Majlis Tertinggi Umno, pelan itu akhirnya terpaksa
dipercepatkan.
Menurut pelan asal, Abdullah hanya akan menyerahkan
jawatan Presiden Umno, Pengerusi BN dan Perdana Menteri kepada timbalannya itu
menjelang Jun 2010. Ia bukan sahaja dipersetujui para pemimpin Umno, malah
sesiapa sahaja di kalangan mereka yang mempertikaikannya turut menerima kecaman
dan kritikan hebat.
Ternyata desakan berubi-tubi beberapa pemimpin Umno
sendiri, terutama Naib Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin, agar Abdullah
mengkaji semula tempoh peralihan tersebut akhirnya membuahkan hasil. Abdullah
akur dan tarikh Jun 2010 teranjak 15 bulan lebih awal kepada Mac 2009.
Laluan untuk Najib ke kerusi Presiden Umno dirasakan
tidak akan dicabar lagi. Dalam keadaan yang ada sekarang, khalayak Umno dilihat
tidak ada calon alternatif kepada Najib. Justeru, meski pun pengumuman Abdullah
tentang kekosongan jawatan nombor satu itu dibuat sebelum bermulanya mesyuarat
agung bahagian-bahagian Umno, pencalonan untuk jawatan tersebut dijangka tidak
akan membabitkan nama selain Najib.
Andaian itu dibuat berdasarkan suara lantang mendesak
diadakan pertandingan untuk dua jawatan tertinggi Umno sebelum ini pun bukan
sangat bertujuan mencabar kedudukan Najib. Tuntutan itu dilihat lebih kepada
hasrat mendesak Abdullah berundur. Kesediaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku
Tan Sri Razaleigh Hamzah, untuk dicalonkan sebagai Presiden Umno juga dikatakan
seiring dengan hasrat tersebut.
Dengan mengandaikan bahawa tidak akan ada pertembungan
untuk Najib dalam mengisi kekosongan jawatan Presiden Umno nanti, maka
kemenangan beliau itu juga bakal mengesahkannya sebagai Perdana Menteri
Malaysia ke-6. Andaikata itu yang bakal berlaku lima bulan nanti, bermakna sudah
sempurna urutan kepemimpinan negara yang disebut sebagai Teori R.AH.M.A.N.
Sama ada ianya suratan takdir atau sekadar kebetulan,
perlu diakui bahawa ada kemunasabahan agak menarik di sebalik teori berkenaan.
Penulis sendiri tidak sempat mengamati siapa yang memulakan teori berkenaan dan
bila ia mula dilontarkan. Cuma yang penulis ingat, ia hangat diperkatakan di
zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.
Menurut Teori R.AH.M.A.N., huruf ‘R’ itu merujuk kepada
Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Memandangkan baginda menjadi pemula kepimpinan, maka namanya turut digunakan
untuk urutan seterusnya.
Huruf ‘A’ selepasnya dipadankan kepada pangkal nama
Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak. Sudah tentu huruf ‘H’ kena
dengan kehadiran Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn. Manakala huruf ‘M’
menjadi milik Dr Mahathir.
Kemuncak perbahasan Teori R.AH.M.A.N. tercetus kira-kira
dua dekad lalu tatkala khalayak politik tanahair mencaturkan siapa bakal
menggantikan Dr Mahathir. Sejarah mencatatkan bagaimana kemunculan beliau
adalah bersama gandingan 2M, merujuk kepada timbalannya, Tun Musa Hitam.
Meski pun gandingan kedua-dua mereka kelihatan amat mantap
dan berwibawa, sudah ada ketika itu kesangsian bahawa Musa tidak akan menerajui
negara selepas Dr. Mahathir. Di antara faktor mendorong kesangsian itu ialah
huruf pangkal nama Musa tidak sealiran dengan Teori R.AH.M.A.N. Fokus pencarian
ialah kepada pemimpin dengan nama berpangkal huruf ‘A’.
Suratan atau kebetulan, kesangsian itu terbukti benar
akhirnya. Musa tidak kekal sebagai Timbalan Perdana Mneteri. Justeru, apabila
tempat Musa digantikan Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, banyak pihak
merasakan beliaulah pemimpin ‘A’ yang dimaksudkan itu.
Malangnya, Dr Mahathir memilih untuk kekal lebih lama di
kerusi Perdana Menteri sebelum sempat Ghafar mengambil alih daripadanya. Tempat
Ghafar digantikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sekali lagi khalayak politik
negara menganggap kehadiran pemimpin berhuruf pangkal nama ‘A’ itu menepati
urutan R.AH.M.A.N. tadi.
Di ketika sama, kebangkitan parti-parti pembangkang,
khususnya PAS turut menggegarkan pentas politik negara. Kemaraannya begitu
hebat sehingga dibayangkan akan ada peralihan kerajaan daripada BN kepada parti
tersebut ketika itu. Maka nama-nama para pemimpin parti itu turut dikaitkan dalam
kesinambungan teori berkenaan.
Nama Presiden PAS, Almarhum Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor,
misalnya turut disebut sebagai Perdana Menteri kelima di atas kejatuhan Dr
Mahathir. Bagaimana mungkin pemimpin berpangkal huruf ‘F’ boleh masuk dengan urutan
R.AH.M.A.N.? Jawabnya ialah kerana nama lain Almarhum ialah Ali.
Selain itu, nama Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul
Hadi Awang turut disebut. Teorinya malah dipanjangkan lagi dengan mengandaikan
pemerintahan diterajui PAS dapat dikekalkan. Maka huruf ‘N’ itu dipadankan pula
dengan Datuk Nakhaie Ahmad, yang ketika itu menjadi salah seorang Naib Presiden
PAS.
Sejarah mencatatkan bahawa segala telahan itu tidak
menjadi. Huruf ‘A’ selepas Dr Mahathir itu tidak menjadi milik Abdul Ghafar, Anwar,
Ali mahu pun Abdul Hadi. Anwar juga menerima nasib serupa Musa dan Ghafar.
Akhirnya munculllah Abdullah sebagai pemimpin berhuruf ‘A’
yang benar-benar menepati kedudukan kelima dalam Teori R.AH.M.A.N. itu. Urutan
itu kini bagaikan hampir pasti menemui pelengkapnya apabila Najib pula bakal
menyumbang huruf ‘N’ lima bulan lagi.
Terlanjur berbicara soal teori, andaian seterusnya ialah
tentang siapa pula selepas Najib nanti. Jika digunapakai Teori Domino atau teknik
permainan Sahibba, maka nama menggantikan R.AH.M.A.N. nanti ialah N.A.J.I.B.,
iaitu mengambil nama Perdana Menteri keenam. Jika tuah Teori R.AH.M.A.N. turut
sama diwarisi teori kedua ini, maka pemimpin negara selepas Najib ialah yang
namanya berpangkal huruf ‘A’.
Mungkinkah ia Ahmad Zahid Hamidi atau Ali Rustam? Ataukah
ketika itu ia benar-benar menjadi milik Anwar? Dengan kehendak Allah, segalanya
boleh berlaku!
(Artikel ini
disiarkan akhbar Mingguan Wasilah edisi 19-24 Oktober 2008)
No comments:
Post a Comment