“Budak nakal biasanya akan muncul sebagai pemimpin”
Oleh: Anuwa Jamalullail
DALAM susur galur perjuangan parti-parti politik negara
ini, kehadiran tokoh yang suka melawan arus terbukti telah mencetuskan
reformasi yang menarik di zaman masing-masing. Meski pun orang seperti mereka
dilabelkan sebagai “budak nakal” dalam parti, kesan reformasi politik
dicetuskan mereka akhirnya bukan sahaja membuahkan kebaikan untuk parti, bahkan
melonjakkan mereka ke puncak karier politik masing-masing.
Beberapa pihak melihat polemik kepemimpinan Umno
dicetuskan Naib Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin baru-baru ini adalah salah
satu mata rantai kepada hakikat sejarah tadi. Pada 10 September lalu, Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri itu mengejutkan pelbagai pihak apabila mengusik
kembali pelan peralihan kuasa dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi, Julai lalu.
Menurut pelan tersebut, Abdullah akan menyerahkan jawatan
Presiden Umno, Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada
timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2010.
Dalam keadaan semua pihak di dalam BN seakan sudah
menerima pelan tersebut, tiba-tiba Muhyiddin muncul mendesak Abdullah
memikirkannya semula. “Tahun 2010 adalah terlalu lama”, katanya.
Bagi Muhyiddin, sekiranya pelan itu diteruskan, pengganti
Abdullah akan hanya mempunyai masa yang singkat untuk melakukan perubahan dan
mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap Umno dan BN. Ertinya, Muhyiddin
bermaksud Abdullah perlu berundur segera.
Keberanian Muhyiddin mengusik sesuatu yang telah
dipersetujui Majlis Tertinggi Umno itu amat tidak disenangi rakan-rakannya.
Bertalu-talu kecaman dan kritikan dihalakan ke atasnya. Beliau disifatkan
menentang arus, bahkan ‘melawan tauke’.
Meski pun dikritik hebat kerana seakan-akan berperangai
seperti ‘budak nakal’ yang tidak hentu-henti mengusik ketuanya, ada yang
melihat kenyataan Muhyiddin itu sebagai pencetus perubahan positif dalam Umno
sendiri. Bukankah ekoran kenyataan itu mendorong Najib mencadangkan agar soal
peralihan kuasa dipulangkan kepada ahli akar umbi? Saranan Najib itu
kemudiannya mendapat reaksi positif segenap lapisan partinya.
Setakat itu, terbukti pertikaian dicetuskan Muhyiddin
tadi telah membuka kembali perbahasan mengenai hak menentukan kepemimpinan
dalam Umno sendiri. Ia sekaligus bagai mengiyakan bahawa Umno memang amat memerlukan
kehadiran tokoh yang lantang seperti Muhyiddin untuk memperkukuhkan parti itu.
Jika sikap lantang dan ‘melawan tauke’ sebegitu
melayakkannya dilabekan sebagai ‘budak nakal’ dalam partinya sendiri, maka
Muhyiddin bukanlah orang pertama seumpama itu yang pernah wujud dalam Umno. Sejarah
lebih 60 tahun perjuangan parti itu menemukan kita dengan beberapa tokoh lain. Suatu
hakikat yang menarik, meski pun pada satu ketika dianggap ‘melawan tauke’,
kebanyakan ‘budak nakal’ ini akhirnya muncul sebagai pemimpin yang berjaya
dalam Umno.
Semasa era pemerintahan Almarhum Tunku Abdul Rahman
sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dulu, parti itu berhadapan dengan
seorang tokoh muda bernama Dr Mahathir Mohamad. Tidak sedikit karenah dan onar
dicetuskan beliau yang memeningkan kepala para pemimpin Umno ketika itu.
Dr Mahathir dianggap sebagai ‘budak nakal’ dalam Umno.
Kenakalannya memuncak apabila beliau kalah dalam Pilihan Raya Umum 1969. Dr Mahathir
tewas kepada calon PAS, Haji Yusof Abdullah Ar-Rawa di Parlimen Kota Star
Selatan.
Kritikan Dr Mahathir terhadap kepemimpinan Tunku semakin
pedas. Buku Dilema Melayu
karangannya, yang sarat dengan kecaman terhadap bangsanya sendiri itu terhasil
dalam tempoh itu. Dr Mahathir malah sempat menaiki pentas PAS untuk turut sama
menghentam kepemimpinan Umno.
Setelah kenakalannya melampaui batasan yang dapat
diterima pucuk pimpinan Umno, Dr Mahathir akhirnya dipecat daripada partinya. Semua
kita tahu kesudahan karier politik ‘budak nakal’ ini. Beliau akhirnya kembali
ke dalam Umno dan menjadi Perdana Menteri pada 1981.
Belum pun genap sedekad di tampuk kuasa, giliran Dr
Mahathir sendiri pula berdepan seorang lagi ‘budak nakal’ Umno. Beliau ialah
Datuk Shahrir Samad. Bekas setiausaha politik kepada Tun Abdul Razak, Tun Hussein
Onn dan Tun Musa Hitam itu terkenal sangat lantang mengkritik kepemimpinan Dr
Mahathir, termasuk ketika menjadi anggota kabinetnya. Dikatakan sikap kritikal
Shahrir terhadap Dr Mathathir masih kekal hingga kini.
Shahrir dilantik menganggotai kabinet selepas memenangi Parlimen
Johor Bahru bermula 1978. Daripada setiausaha parlimen diangkat menjadi
timbalan menteri, kemudiannya menteri penuh. Bagaimana pun pada 1988 beliau
meletak jawatan sebagai Menteri Kebajikan Masyarakat apabila sudah tidak dapat
berkompromi dengan Dr Mahathir.
Tidak cukup setakat itu, Shahrir turut mengosongkan
kerusi parlimen disandangnya semata-mata untuk mencabar kekuatan pengaruh Dr
Mahathir dan BN. Dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Johor Bahru pada 25 Ogos
1988, Shahrir yang bertanding sebagai calon Bebas menang dengan majoriti lebih
12,000 menewaskan calon BN. ‘Kenakalan’ Shahrir terbukti tidak dapat ditangani
Dr Mahathir ketika itu.
Banyak pihak menganggap kejayaan Shahrir itu menjadi
pendorong utama penubuhan Parti Semangat 46 oleh Team B Umno. Ia diketuai
Tengku Razaleigh Hamzah yang kalah tipis kepada Dr Mahathir dalam pertandingan
merebut jawatan Presiden Umno.
Tiada siapa menyangka selepas sekian lama ditenggelamkan
politik dalaman Umno, Shahrir masih berupaya bangkit semula. Beliau direhatkan
daripada jawatan parti dan menjadi calon selama beberapa penggal. Tiba-tiba
Shahrir muncul semula di Parlimen pada 2004 dan kini dilantik menganggotai
Kabinet.
Seorang lagi ‘budak nakal’ dalam Umno ialah Menteri Besar
Terengganu, Datuk Ahmad Said. Beliau sebelum ini memang terkenal agak celupar
dan sering menjadi senjata BN bagi menghadapi PAS.
Bagaimana pun, sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-12,
Mac lalu, ‘kenakalan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal itu bukan lagi
memberikan masalah kepada pembangkang. Ahmad telah mencetuskan kemelut agak
menggawatkan politik negara apabila memilih untuk melawan arus dalam partinya
sendiri. Ketika itu arus utama partinya ialah melantik semula Datuk Seri Idris
Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu.
Hanya Ahmad seorang dari kalangan 23 Adun BN selain Idris
yang berani menawarkan diri menjadi calon alternatif kepada Idris. Pendiriannya
itu mendapat kecaman segenap peringkat kepimpinan Umno dan BN. Bagaimana pun
semua kita tahu kesudahannya dan beliau kini antara menteri besar paling
berjaya memperbetulkan kepincangan dalam pemerintahan yang diwarisinya.
Kini ramai beranggapan ‘kenakalan’ Muhyiddin bakal
melonjakkan nasibnya sepertimana ‘budak-budak nakal’ tadi. Itu pun kalau hayat
pemerintahan BN masih panjang dan Umno boleh direlevankan semula.
(Artikel ini disiarkan akhbar Mingguan Wasilah, edisi 28
September – 4 Oktober 2008 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment