Monday, September 1, 2008

‘Doktor’ Helmi beri khidmat di pasar tani


Oleh: Nuwa Aitawa

DIA bukan pemimpin popular atau pakar perubatan. Tidak juga seorang usahawan yang kaya-raya atau tauke yang membawa barang perniagaan penuh muatan lori. Tetapi kelibat lelaki berasal dari Kampung Telipot, Pasir Putih, Kelantan ini sentiasa dinanti-nanti pengunjung Pasar Tani Bandar Jerteh, Terengganu setiap Khamis.

Berbekalkan tiga buah bangku plastik, sebuah meja lipat berpayungkan kanopi, Encik Helmi Mahmud menjadi antara orang paling dikenali di pasar berkenaan. Ada yang memanggilnya Ustaz Helmi, berdasarkan aktiviti keagamaannya dalam masyarakat.

Namun ramai yang lebih gemar menggelarkannya ‘Doktor’ termasuk mereka yang tidak mengetahui nama sebenarnya. Gelaran itu pula bukan kerana sijil perubatan dimilikinya, tetapi kerana khidmat kesihatan disediakannya.

“Kita buat khidmat percuma untuk bantu orang. Dan kita ambil (caj) kalau untuk cek (periksa) gula dalam darah, kita ambil kos begitu rendah, sebagai khidmat perniagaan kebajikan, ambil kos tiga ringgit untuk membantu masyarakat”, tegas Helmi, membuka bicara mengenai perkhidmatan yang disediakannya.

Disebabkan caj yang rendah itu, berserta pemilihan lokasi di tempat tumpuan awam, gerai ‘Doktor’ Helmi mudah dikunjungi. Sebaik gerainya dibuka, beliau bagaikan tidak menang tangan malayani orang ramai yang hampir tidak putus-putus mendambakan khidmatnya.

“Ikut kiraan, yang ambil khidmat kencing manis (pemeriksaan gula dalam darah) sekitar 50 orang. Kalau darah tinggi sekitar 80 orang”, katanya, apabila ditanya jumlah pengunjung gerainya setiap hari.

Selain yang datang memeriksa tekanan darah, degup jantung atau tahap kandungan gula dalam darah, ada juga yang membeli pelbagai ubat-ubatan herba dalam bentuk kapsul dan tonik yang dijualnya, terutama untuk penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit urat. Ada juga yang menggemari beberapa jenis kopi herba yang diprosesnya sendiri.

“Paling top sekali barang kita ialah Kopi Tok Janggut, terkenal di Kelantan. Berkhasiat, kopi herba yang dimasukkan akar-akar kayu, herba terbaik. Kita masuk Misai Kucing, Tebu Gajah, Mas Cotek, ada tujuh herba terbaik. Tongkat Ali, Ubi Jaga, Payung Ali....kalau minum dia berkhasiat”, terang Helmi tentang produk terbaiknya  itu.

Bekas Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Pasir Puteh ini, memulakan perniagaan ubat-ubatan tradisional secara sepenuh masa sejak lebih empat tahun lalu. Sebelum itu beliau pernah berkhidmat di Bahagian Dakwah, Majlis Agama Islam Kelantan. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Whip Ahli-Ahli Majlis Daerah Pasir Puteh selama beberapa tahun.

Start (mula berniaga) tahun 2004, pada asalnya di sebelah Thailand, iaitu tempat kuliah agama Yala, Pattani. Di samping itu juga buat (buka gerai) di Medan Ilmu (Kota Bharu), tempat Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) mengajar. Di situ sambutan hangat”, Helmi menceritakan pengalaman awalnya memulakan perniagaan.

Bermula dari situ minatnya mendalami ilmu perubatan tradisional semakin bertambah. Beliau mengakui banyak mendapat tunjuk ajar daripada seorang pakar perubatan terkenal di Kelantan yang kini menjadi seorang ahli politik.

Helmi juga pernah mengikuti kursus perubatan Islam jangka pendek di Universiti Malaya di bawah bimbingan Asy-Syifa’. Penglibatan aktifnya sebagai Bendahari Koperasi Pekebun-Pekebun Kecil Risda Daerah Pasir Puteh turut mendedahkan beliau dengan kursus-kursus anjuran berbagai agensi termasuk Risda sendiri.

Ilmu diperolehinya menambahkan keyakinan untuk beliau terus aktif mengembangkan khidmatnya ke tempat-tempat lain. Kini jadual perkhidmatannya penuh sepanjang minggu.

“Jadual saya hari-hari; Jumaat di tempat Tok Guru (Kota Bharu), Sabtu di Pasar Tani Kuala Krai, Ahad di kedai dekat Masjid Pasir Puteh, ini kira untuk masyarakat tempat kita. Hari Isnin di pasar minggu Machang, Selasa di pasar minggu Jeli. Hari Rabu di Kuala Berang (Terengganu) dan Khamis di Pasar Tani Jerteh. Kira penuh seminggu”, terang Helmi, yang kelihatan sentiasa bertenaga.

Ditanya apakah faktor utama menyebabkan gerainya mendapat sambutan, bahkan kehadirannya sentiasa dinantikan orang ramai, Helmi menjawab, “target utama kita berniaga ialah kebajikan, sebab kita pilih bahan terbaik, kita jual dengan harga yang cukup munasabah dan mampu dibayar masyarakat”.

Beliau mengakui sebab utama membolehkan beliau menawarkan harga munasabah ialah kerana tidak menggunakan khidmat orang tengah. Bahan-bahan herba untuk memproses ubat diperolehi secara terus daripada pembekal.

“Akar-akar kayu kita dapatkan dari pengusaha di Jeli, terus daripada orang yang mencari di hutan. Kita proses dan hantar ke kilang yang dapat pengiktirafan kerajaan dan kementerian di Pengkalan Chepa”, ujarnya.

Sewajarnya anggota masyarakat bersyukur kerana adanya peniaga seperti Encik Helmi ini. Rata-rata pengunjung dan peserta Pasar Tani Jerteh yang ditemui penulis mengakui merasa amat bermanfaat dengan kehadiran ‘Doktor’ ini.

“Caj yang dikenakan tidak mahal, tambahan pula kami tidak perlu meninggalkan perniagaan kalau hendak periksa darah atau jantung. Pelanggan juga boleh terus membuat pemeriksaan sambil membeli barang”, ujar seorang peserta pasar tani itu yang dikenali sebagai Abang Din.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 207, September 2008 di ruangan ‘Syukur Ada Mereka’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment