Oleh: Mohd Nasir Awang
Kes 1: Sebuah keluarga dilanda konflik dalaman agak serius. Semuanya ekoran salah
seorang ahli keluarga melangsungkan majlis pernikahan anak perempuannya
disertakan adat persandingan. Adik-beradik dan ipar-duai membantah. Tradisi itu
sudah lama terkubur dalam keluarga, mengambil kira tuntutan hukum Islam.
Majlis perkahwinan berlangsung agak hambar. Ia dibauri
pertikaman lidah dan perasaan tidak senang majoriti anggota keluarga. Mereka
hadir juga, tetapi dalam keadaan amat terpaksa.
Mereka tidak redha persandingan diadakan.
“Apa sangat yang tidak kena dengan persandingan? Bukan
ada buat maksiat apa pun!” bentak tuan empunya rumah mempertahankan
keputusannya.
Kes 2: Pihak berkuasa agama akhirnya terpaksa campurtangan
apabila para pengguna dan beberapa pihak lain mengadu mengenai satu
pertandingan menjanjikan hadiah lumayan. Hanya menerusi undian SMS (sistem
mesej singkat), pengguna berpeluang dipilih pemenang. Bagaimana pun lain-lain
syarat mendapatkan hadiah itu menyusul. Para pengguna merasa tertipu.
Peraduan itu dikaitkan dengan
unsur-unsur perjudian dan penipuan. Syarikat telekomunikasi bertanggungjawab menganjurkannya
bagaimana pun mempertahankan tindakan mereka.
“Apa yang kami buat ini
hanyalah peraduan, bukannya satu perjudian”, kata mereka.
Kes 3: Konsert oleh artis Barat mendapat bantahan beberapa
kumpulan Islam. Mereka mendemonstrasi dan berarak menyerahkan memorandum
bantahan kepada penganjur. Salinan memo itu turut diajukan kepada menteri yang
bertanggungjawab menjaga berkaitan hiburan.
Kumpulan pembantah ini mewakili
umat Islam yang menilai konsert sebegitu sesuatu yang mendorong maksiat dan
mengundang kebejatan sosial. Lain pula hujah diberikan penganjur yang
mempertahankan tindakan mereka.
Paling menyedihkan ialah
apabila pemimpin terbabit seakan membela hujah penganjur. Katanya, “saya tidak nampak apa salahnya
mereka berhibur, terutama bagi menenangkan fikiran setelah penat bekerja”.
Ketiga-tiga kes yang disebutkan
itu mewakili tiga kelompok berbeza. Kes pertama berkaitan individu atau
keluarga. Isunya hanya memberi impak kepada keluarga terbabit. Atau mungkin
masyarakat kecil sekeliling mereka.
Kes kedua pula dilakukan sebuah
organisasi dan kesannya agak menyeluruh. Manakala kes ketiga melibatkan
institusi awam dan kerajaan. Kesannya sudah tentu sangat menyeluruh.
Meski pun berbeza tahap,
ketiga-tiga kes itu memaparkan satu persamaan, iaitu kekeliruan mengenai
definisi maksiat. Garis pemisah pelanggaran hukum Islam dalam setiap kes tadi
tidak dilukis dengan jelas.
Puncanya sama. Ketiga-tiga
pelaku tidak merujuk kepada pihak yang arif dan berautoriti dalam bab agama
sebelum membuat keputusan masing-masing. Sebaliknya, mereka lebih mengguna
pendekatan akal dan pendapat sendiri bagi merasionalkan apa yang mereka mahu
buat.
Itulah masalah utama umat Islam
dewasa ini. Mereka cenderung menggunakan pertimbangan akal tanpa pengetahuan
jelas mengenai hukum Islam. Kejahilan akhirnya menjerumuskan mereka ke lembah
maksiat.
Masakan anda tidak pernah
mendengar cerita pasangan yang dicekup berdua-duaan di tempat sunyi dalam aksi
mencurigakan? Antara mereka masih sempat berhujah balas, “apasal pula marah
kami, kami bukan buat apa-apa pun!”.
Nampak tahap kejahilan mereka
itu? Tidak syak lagi orang yang berkata itu menilai hukum Islam berdasarkan
logik akalnya sendiri semata. Dia kira tidak ada salahnya berpegangan tangan
atau berpelukan antara wanita dan lelaki bukan mahram.
Barangkali dia ingat operasi
pencegahan maksiat hanya bagi pasangan yang melakukan persetubuhan. Sedangkan
hakikatnya perbuatan berduaan di tempat sunyi itu pun sudah memadai dinamakan
maksiat.
Begitu juga hukum meminum arak.
Ia adalah haram dan arak itu sendiri disifatkan sebagai najis walau pun sekadar
menyentuhnya. Asas utama keharaman arak ialah kerana sifatnya yang memabukkan.
Maka bagaimana jika arak itu
tidak lagi memabukkan seseorang? Katakanlah ada seorang yang sangat terbiasa
minum arak. Disebabkan terlalu biasa itu, maka sekadar dua tiga gelas arak
sudah tidak memberi apa-apa kesan kepada mentalnya.
Maka bolehkah bagi orang
seumpama itu mengatakan arak tidak haram baginya kerana ia sudah hilang sifat
memabukkan itu? Jika logik akal seumpama itu diterima, nescaya ia akan membuka
ruang kepada lebih banyak pertikaian hukum yang telah putus dalam Islam. Bahaya,
bukan?
Di sinilah perlunya bagi umat
Islam ingat bahawa agama ini bukan tertegak dengan akal dan logik. Banyak hukum
dan permasalahan dalam Islam tidak mampu digarap semata-mata dengan akal.
Dalam hal ini, kata-kata
Saidina Ali karramallahuwajhah wajar direnung kembali. Katanya, “kalaulah agama
itu dengan akal, nescaya bahagian bawah khuf
(stokin kulit) itu lebih layak disapu dari belakangnya”.
Khuf ialah sejenis stokin atau sarung kaki diperbuat daripada
kulit yang dipakai oleh masyarakat di negara-negara yang mengalami musim sejuk.
Islam mengharuskan umatnya tidak menanggalkan khuf tatkala mengambil wuduk. Sedangkan salah satu rukun wuduk
ialah membasuh dua kaki hingga ke buku lali.
Bagi mengelakkan mudarat dari
kesejukan, Islam membolehkan air disapu hanya di bahagian luar khuf dengan syarat kaki yang memakainya
suci dari najis. Anehnya, Islam mensyariatkan disapu bahagian belakang (atas
kaki) khuf itu dan bukannya bahagian
bawah yang digunakan untuk berpijak.
Sebab itu Saidina Ali kaw
berkata, jika menurut logik akal manusia, sudah tentu bahagian bawah lebih
patut dibasuh, memandangkan ia digunakan untuk berpijak dan mungkin dijangkiti
kekotoran.
Ternyata logik akal manusia
tidak dapat menyelami hikmah di sebalik hukum-hukum ditetapkan Tuhan.
(Artikel ini
disiarkan majalah bulanan al-Muslimah, Bil: 208, Oktober 2008 di ruangan ‘Pendapat’
dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment