Oleh: Mohd Nasir Awang
BUKAN suatu yang menghairankan jika penentangan PAS
terhadap kewujudan undi pos di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bagan Pinang
kini dipersendakan. Bertalu-talu komen dan ulasan sinis terhadap usaha parti
itu menuntut agar kewujudan pengundi kategori itu dikaji semula, khususnya bagi
melihat proses pilihan raya lebih telus dan adil.
Negara akan menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil dalam
masa terdekat. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 September memutuskan
bahawa tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang, Negeri Sembilan
adalah pada 3 Oktober nanti. Sekiranya ada pertandingan maka pembuangan undinya
akan disempurnakan pada 11 Oktober.
Pilihan raya kecil itu bakal diadakan ekoran kematian
wakil rakyatnya dari Barisan Nasional (BN), Azman Mohd Nor akibat jangkitan
dalam darah pada 4 September lalu. Pada pilihan raya umum lalu Azman
mengalahkan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi. Beliau
memperolehi 6,430 undi berbanding Ramli yang mendapat 4,097 undi.
Kemenangannya itu bagaimana pun dikaitkan dengan undi pos
yang sangat jelas memihak kepada BN. Dikatakan daripada lebih 4,000 undi pos,
lebih tiga ribu diperolehi BN dan hanya tidak sampai seribu diraih PAS.
Agak ketara tanpa undi pos kekuatan kedua-dua parti di medan
pertarungan sebenar adalah seimbang. Boleh dicongak bahawa masing-masing
berjaya mengutip sekitar tiga ribu undi warga awam.
Justeru tidak salah, bahkan ada justifikasinya, jika
disimpulkan bahawa undi pos menjadi “talian hayat” BN di Bagan Pinang dalam
pilihan raya umum lalu. Logiknya, tanpa lebih 3,000 undi pos, majoriti lebih
2,300 itu bukan lagi miliknya.
Kekuatan bonus buat BN itu kini masih wujud. SPR mengesahkan
terdapat 4,604 pemilih pos di Dun berkenaan. Sementara BN akan mengemukakan
seribu alasan dan rasional mempertahankan kewujudan mereka, PAS pula berusaha
meyakinkan SPR bahawa wujud ketidaktelusan dan halangan kebebasan terhadap para
pengundi kategori berkenaan.
Suara ini bukan semata-mata untuk menghadapi Bagan
Pinang. Ia sudah lama dikumandangkan PAS atas hasrat melihat ketelusan
perjalanan pilihan raya dan ketelusan penghayatan demokrasi.
Kenyataan beberapa pemimpin BN yang menyifatkan bantahan
terhadap undi pos sebagai isu lapuk mengesahkan ia memang isu yang sudah lama
dibangkitkan. Justeru, bantahan PAS ini tidak wajar dilihat sebagai alasan
takut malu akan kalah.
Namun, bagai diduga, bukan suatu perkara mudah buat SPR
untuk mengubah sesuatu yang telah wujud. Lebih-lebih lagi untuk dilihat tunduk kepada
desakan dan tuntutan parti pembangkang. Penghalang utama ialah kerana kewujudan
undi pos buat masa ini amat menyelesakan BN.
Sepertimana disebut mutakhir ini, ia ibarat “deposit
tetap” buat BN. Undi pos menjadi penyelamat buatnya di banyak konstituensi. Adalah
tidak masuk akal dalam keadaan itu BN akan menyetujui penghapusannya.
Apa dipedulikannya soal ketelusan atau halangan kebebasan
terhadap pengundi pos, sepertimana didakwa dan dibuktikan pelbagai pihak. BN
tidak kisah dicemuh sebagai takut bertarung secara ‘anak jantan’ (berhadapan
pengundi secara bebas). Katalah apa nak kata pun, yang dipentingkan BN ialah
kemenangan memihak kepadanya.
Bagi saya kedegilan BN dalam melayani bantahan isu undi
pos ini satu lagi bukti bahawa parti itu selalu lambat belajar dari kesilapan
sendiri. Apa yang baru saja dialaminya di Permatang Pasir sepatutnya menyedarkan
BN bahawa apa-apa tuntutan dari pembangkang untuk melihat perjalanan pilihan
raya lebih telus dan adil tidak wajar diremehkan sebegitu mudah.
Permatang Pasir bulan lalu menyaksikan giliran BN merasai
keperitan dari apa yang diistilahkan sebagai ‘pengundi hantu’. Ia mendakwa
kewujudan pengundi hantu antara faktor membantu kemenangan PAS.
Sejauh mana kebenaran dakwaan itu masih tertakluk kepada
kajian dan pembuktian. Namun suatu hakikat terserlah, pemimpin BN yang selama
ini membisu terhadap isu pengundi hantu serta-merta bertukar lantang
membantahnya.
Tidak terfikir oleh kita sebelum ini BN akan menuntut SPR
memutihkan daftar pemilih. Hanya setelah tidak menemui alasan lain untuk
justifikasi kekalahan di Permatang Pasir, BN terpaksa akur bahawa daftar
pemilih yang ada tidak bersih. Bukankah itu antara tuntutan Bersih dua tahun
lalu dan perjuangan parti-parti pembangkang sejak sekian lama?
Permatang Pasir membuktikan keselesaan BN dengan pengundi
hantu mampu bertukar menjadi “senjata makan tuan”. BN yang terlalu ego untuk
mengakui dakwaan pembangkang akhirnya terngadah setelah terhantuk. Apabila terkena
batang hidung sendiri barulah ia merungut dan menuntut pengundi hantu
dihapuskan.
Kini BN berpaut kukuh pada undi pos. Para pemimpin BN,
pengalasis politik berat sebelah serta pengulas dan penulis politik pro-BN kini
giat mengemukakan rasional dan justifikasi betapa wajarnya undi pos dikekalkan.
Bayangkan suatu hari nanti undi pos tidak lagi memihak
kepada BN. Tatkala itu barulah dapat kita lihat giliran BN pula menjuarai
tuntutan agar ia dimansuhkan.
Saya yakin masa untuk itu pasti tiba. Tidak ada yang
mustahil dalam politik. Jika sebelum ini tidak terfikir oleh kita pengundi
hantu menguntungkan pembangkang, ia didakwa BN telah menjadi realiti di
Permatang Pasir.
Begitu juga kes persempadanan pilihan raya. BN sengaja
memperbanyakkan ‘kawasan campuran’ ketika ia terlalu yakin dengan sokongan
bukan Melayu. Tiba-tiba strategi itu menjadi ‘senjata makan tuan’ pada 2008,
apabila undi kaum itu menenggelamkan BN.
BN juga pernah ghairah menaja kepulangan pengundi luar
sebagai aset penting membantu kemenangannya, tetapi pengalaman memalukan di
Kelantan pada pilihan raya lalu menyebabkan BN serik mengulanginya lain kali.
Jangan ingat mustahil bagi “penguasa” pengundi pos suatu
masa nanti dibolak-balikkan hati oleh Allah Taala untuk bersepakat menolak BN. Ketika
itu barulah BN berputih mata!
(Artikel ini
disiarkan tabloid Siasah, edisi 1-7 Syawal 1430/20-26 September 2009 di kolum ‘Perspektif’
dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment