Oleh: ANUWA JAMALULLAIL
BULAN Ramadhan yang diberkati Allah dan dipenuhi dengan
segala keberkatan sudah di penghujung. Sebagai umat Islam, inilah masanya untuk
kita menilai kembali secara tulus ikhlas sejauh manakah kita telah memanfaatkan
sebaiknya kedatangan bulan mulia ini untuk meningkatkan ketaqwaan dan ubudiyah
terhadap Allah Azza wa Jalla.
Ramadhan datang hanya sekali dalam setahun. Tidak syak
lagi kehadirannya bagaikan peluang keemasan buat Muslim yang beriman
menyaratinya dengan berbagai ibadat dan amalan soleh. Selain meneruskan ibadat
umum yang telah biasa dilakukan di bulan-bulan lain, Ramadhan juga dihiasi
dengan beberapa ibadat khsus.
Hanya di bulan Ramadhan kita lihat keghairahan umat Islam
sebegitu memuncak untuk mengunjungi rumah-rumah ibadat, sama ada dinamakan
surau, musolla, masjid atau balaisaf untuk solat tarawih. Di bulan mulia itu
juga sebahagian umat Islam begitu tekun mentadarus al-Quran.
Sebagai salah satu masa yang dimuliakan Allah sebagai
saat paling mustajab untuk berdoa, ramai juga umat Islam mengambil kesempatan
bermunajat dan berdoa kepada Allah di sepanjang bulan Ramadhan. Kelebihan amalan
sunat di dalamnya disamakan dengan amalan wajib di bulan lain, manakala satu
amalan wajib disamakan ganjarannya dengan 70 amalan sama di bulan lain.
Tidak syak lagi segala keistimewaan yang hanya dimiliki
oleh Ramadhan itu tidak wajar disia-siakan oleh umat Islam. Amat beruntunglah
sesiapa yang memanfaatkan bulan mulia itu untuk meraih sebanyak mungkin pahala
dan ganjaran Allah. Sebaliknya, amat rugi dan malang bagi umat Islam yang
membiarkan Ramadhan berlalu tanpa merebut peluang ibadat yang terhidang di
dalamnya.
Bagaimana pun, tidak semua umat Islam menghayati kuliah
umum mengenai kelebihan dan keistimewaan Ramadhan ini. Amat malang apabila
masih ada antara mereka yang bukan sahaja tidak memanfaatkan kedatangan
Ramadhan untuk ibadat, malah masih mengambil kesempatan melakukan kerja yang
menyalahi hukum agama.
Buktinya, bulan puasa di Terengganu tahun ini masih tidak
bebas dari kes-kes orang tidak berpuasa. Ada pula pasangan muda menjadikan
alasan mahu berbuka puasa bersama untuk berkepit ke bazar Ramadhan sebelum
memadu kasih di pantai atau tempat terpencil menjelang senja.
Kedatangan Ramadhan juga gagal menginsafkan ‘tahi-tahi
judi’. Walau pun berpuasa, mereka tidak pula meninggalkan tabiat buruk lagi
keji itu. Premis-premis judi yang beroperasi secara rahsia di bandar Kuala
Terengganu dilaporkan masih dikunjungi, sebahagian besarnya oleh penjudi
beragama Islam.
Sebahagian umat Islam lain pula, meski pun tidak
terjerumus melakukan maksiat dan kedosaan, memilih cara silap memanfaatkan
kedatangan Ramadhan. Antara mereka memilih mengisi masa malam dengan
menganjurkan pertandingan sukan, terutama dalam gelanggang.
Memang bukan suatu perkara terlarang untuk umat Islam
bersukan atau beriadah di bulan mulia ini. Namun, apa yang kita bicarakan ialah
soal meletakkan keutamaan. Telah disebutkan bahawa Ramadhan datang hanya sekali
dalam setahun. Peluang keemasan untuk mengaut kelebihan berlipat ganda daripada
sesuatu ibadat pula hanya ada ketika itu.
Justeru, adalah amat janggal melihat seorang wakil rakyat
menendang bola merasmikan pertandingan futsal di malam sepuluh terakhir bulan
Ramadhan, misalnya, sedangkan tempoh itu sepatutnya umatnya berlumba-lumba mempertingkatkan
amal ibadat, khususnya mencari kelebihan Lailatul Qadar.
Satu pihak lain pula, di Terengganu juga, mengambil kesempatan
atas ketekunan umat Islam mentadarus al-Quran untuk tujuan yang diragukan
kemuliaannya di sisi agama. Sebuah institusi pengajian tinggi di negeri itu
minggu lalu menganjurkan Program Tadarus
al-Quran 100 Jam Tanpa Henti. Program yang melibatkan seramai 200 pelajar
pelbagai jurusan dari universiti berkenaan berlanjutan selama lima hari dan
berakhir 13 September lalu.
Meski pun media memetik kenyataan pengarah program
berkenaan sebagai mengharapkan tadarus al-Quran yang dibuat itu mampu
meningkatkan kefahaman dan penghayatan peserta terhadap kandungan ayat-ayat
suci al-Quran, hasrat sebenar penganjurannya tidak disembunyikan.
“Program ini
memberi manfaat kepada semua. Namun jika ia dapat memecah rekod sebelum ini, ia
adalah satu kelebihan yang membanggakan kami”, akui pengarah berkenaan.
Dilaporkan rekod membaca al-Quran tanpa henti sebelum ini
dipegang Sekolah Menengah Matang di Sarawak. Pembacaan dibuatnya selama 50 jam
dicatatkan dalam Malaysia Book of Records
(MBoR).
Ertinya, penganjur mengakui hasrat terbesar dari
penganjuran program tadarus al-Quran di Terengganu itu atas tujuan memperbaiki
rekod semasa. Ia berjaya mencapai sasaran itu dan diiktiraf MBoR.
Namun, ia tidak berjaya memadan persoalan yang timbul. Apakah
Islam membenarkan satu ibadat dibuat untuk tujuan memecahkan rekod? Apakah pelaku
dan penganjurnya masih mendapat pahala dan keredhaan Allah, walau pun niat
mereka membaca al-Quran itu bukan lagi semata-mata kerana Allah?
Tidak dapat dipastikan apakah pandangan ulama dan ilmuan Islam
telah disorot pihak penganjur sebelum merencanakan program berkenaan. Sedangkan
bagi kita yang kurang arif tentang hukum-hakam agama pun dapat menilai bahawa
sesuatu ibadat yang dilakukan dengan niat bercampur-campur antara lillahi Taala dengan lid-dunia, ibadat itu amat dipertikaikan
keikhlasannya.
Niat mentadarus al-Quran sedari awal telah terpesong dari
tujuan ibadat. Ia terarah kepada mencari kemasyhuran dan kebanggaan duniawi. Maka
apakah ia akan ada keberkatan dan keredhaan dari Allah?
Bagi kita kes tadarus al-Quran untuk rekod itu satu
kesilapan cara pihak berkenaan memanfaatkan ibadat khusus itu.
(Artikel ini
disiarkan tabloid mingguan Siasah, 20-26 September 2009 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment