Sunday, October 4, 2009

Implikasi pemilihan Isa Samad di Bagan Pinang


Oleh: MOHD NASIR AWANG

SETELAH disulami perbahasan pro dan kontra, pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) akhirnya merestui bekas Naib Presiden Umno yang pernah disabitkan rasuah politik, Tan Sri Isa Samad, sebagai calonnya bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan (Dun) Bagan Pinang nanti.

Keputusan itu sekali gus memperakui pendirian Umno Bahagian Teluk Kemang yang sedari awal sebulat suara menamakan Isa, yang juga ketua bahagian itu, sebagai calon. Penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu dijadualkan pada Sabtu (3 Oktober). Manakala tarikh pengundian ditetapkan pada 11 Oktober.

Keputusan memilih Isa sebagai calon disambut bercampur-campur, terutama di kalangan para pemimpin BN sendiri. Ada yang menyambut baik, ada pula yang menerima separuh hati semata-amat atas dasar mengutamakan kemenangan parti. Ada juga terpaksa merasionalkan pemilihan Isa sebagai mendahulukan pilihan rakyat.

Berbagai hujah dituturkan para pemimpin dan pendukung BN. Semuanya positif dan muluk belaka terhadap Isa. Agak lucu apabila diperhatikan sebahagian suara sokongan itu bercanggah dengan luahan sebilangan mereka sendiri seminggu dua lalu.

Lebih-lebih lagi mengenangkan ulasan beberapa pemimpin BN dan wartawan akhbar arus perdana yang sebelum ini begitu beriya-iya mendesak BN mengemukakan seorang tokoh yang bersih, berintegriti, tidak tercemar oleh rekod buruk serta berusia muda sebagai calon. Sanggupkah mereka ini menjilat semula muntah dan air ludah itu?

Apa pun justifikasi diluahkan para pemimpin BN atas pemilihan Isa, ikhlas mahu pun terpaksa, kita sudah dapat menyimpulkan beberapa pemerhatian ekoran episod itu. Pertama, pemilihan Isa sebagai calon BN membuktikan Umno ketandusan pelapis berkaliber. Parti itu gagal menonjolkan tokoh lebih muda bersesuaian dengan hasratnya meremajakan perjuangan. Ia terpaksa kitar semula pemimpin yang sudah dilumuri kekotoran politik.

Kedua, pilihan BN itu mengukuhkan dakwaan kesebatian Umno dengan rasuah politik. Umno hilang upaya menolak pemimpin rasuah. Rekod Isa yang dibuktikan bersalah dalam politik wang sehingga digantung keahlian dan dilucutkan jawatan parti bagaikan tidak membawa apa-apa erti.

Umno terlalu lemah untuk bertegas membersihkan dalamannya dari rasuah politik. Ia juga ibarat membenarkan dakwaan bahawa Umno sebenarnya terlalu sukar mencari pemimpin bersih.

Seolah-olahnya untuk mencari pemimpin berintegriti dalam Umno seperti mengharapkan bertemu antah dalam beras Siam Super! Ataukah rasuah politik sudah diterima sebagai asam garam perjuangan Umno? Kesebatian antara keduanya sukar dipisahkan, macam isi dengan kuku, bagai tahi dengan kentut. Begitu?

Ketiga, pemilihan Isa sebagai calon BN secara tidak langsung menghina bekas pemimpin utamanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Keputusan itu menolak mentah-mentah pendirian bekas Presiden Umno itu.

Keadaan agak berbeza sekiranya Dr. Mahathir tidak begitu berterus-terang tentang sikap menolak Isa. Sedangkan dalam soal ini, sedari awal ianya diura-urakan, Dr. Mahathir telah menjelaskan pendiriannya.

Beliau malah secara spesifik menyebutkan sekiranya beliau adalah Isa, beliau akan menolak namanya dicalonkan, sebaliknya secara bertanggungjawab menyokong calon lain. Kelantangan bekas Perdana Menteri itu bagaimana pun ibarat mencurah air ke daun keladi. Atau ibarat masuk telinga kanan keluar telingan kiri para pemimpin Umno.

Bagi saya cara Umno melayan teguran Dr. Mahathr itu amat menghinakan. Ia malah lebih hina dan menyedihkan berbanding saranan mengalungkan selipar pada gambar Dr. Mahathir oleh seorang perwakilan MIC tempoh hari.

Kes kalungan selipar itu hanya saranan. Ia hanya suara individu dalam sebuah parti yang tidak pernah dipimpin Dr. Mahathir. Saranan itu juga tidak disambut MIC, bahkan orang itu dikecam segenap lapisan BN.

Berbanding pemilihan Isa ini, ia direstui pucuk pimpinan tertinggi BN terutama Umno sendiri. Sedangkan ia amat bertentangan dengan pendirian Dr. Mahathir. Ertinya, segenap lapisan BN dan Umno secara terbuka menolak pendirian dan saranan beliau.

Barangkali ada baiknya selepas ini Dr. Mahathir mengurangkan komennya mengenai urusan BN dan Umno. Lupakanlah cadangan berunsur ampu oleh jaguh lompat dari Pasir Mas yang mahu Dr. Mahathir dinobatkan sebagai penasihat BN dan kerajaan. Apa wibawanya menjadi penasihat jika air liur orang tua itu sudah “tawar”, cakap dan nasihatnya ditolak mentah-mentah oleh bekas anak-anak buahnya sendiri?

Keempat, pemilihan Isa membuktikan pengaruh tokoh itu masih mencengkam kekuatan Umno, bukan sahaja di bahagiannya malah di seluruh negeri. Ia menjadi isyarat kebangkitan semula Isa.

Namun harus ditelah bahawa kemunculan semula beliau itu ibarat bebasnya singa lapar yang telah lama terkurung. Amukannya berpotensi menghuru-harakan politik, khususnya dalaman Umno sendiri.

Kudis pergeseran antara beliau dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan bukan lagi rahsia. Andaikan saja pemulihan pengaruh Isa bakal mengubah kudis itu menjadi tokak.

Ia juga memberi inspirasi kepada mana-mana pemimpin Umno yang selama ini menyembunyikan penentangan atau perasaan tidak sebulu dengan Mohamad. Dari perspektif itu, Isa mungkin dijadikan nukleas kepada usaha penentangan lebih berencana terhadap Mohamad selepas ini.

Keadaan dijangka semakin sulit dan kusut buat Umno sekiranya Isa menang pada 11 Oktober nanti. Tiket sebagai wakil rakyat memberi kuasa tambahan buatnya menggembleng kekuatan politik.

Kesimpulannya, pemilihan Isa sebagai calon BN sudah meletakkan parti itu dalam keadaan “kalah-kalah”. Sama ada Isa menang atau kalah dalam pilihan raya kecil minggu depan, kedua-dua keadaan itu sudah memberikan keuntungan kepada Pakatan Rakyat.

Jika Isa kalah, ia kemenangan jangka pendek PR. Jika Isa menang, ia pula akan membuka ruang keuntungan jangka panjang hasil pergolakan dalaman Umno yang dijangka lebih parah.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 168, 4-10 Oktober 2009 di ruangan ‘KOLUM’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment