Oleh: ANUWA JAMALULLAIL
SERONOK juga membaca komen sinis Pesuruhjaya PAS
Terengganu, Datuk Harun Taib, berhubung gelagat beberapa wakil rakyat Barisan
Nasional (BN) negeri itu minggu lalu. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) Manir menyifatkan kesepakatan semua Adun BN melakukan protes
senyap semasa sidang Dun Terengganu pada 25 dan 26 Ogos lalu sebagai tanda
mereka telah “bersatu” dan “bekerjasama”.
“Semua wakil
rakyat mereka nampaknya “bersatu” untuk tidak kemukakan soalan dan bagi saya
mungkin selesailah (kemelut BN Terengganu) sebab nampak macam ok serta
“bekerjasama” di antara mereka (sepakat tidak ambil bahagian)”, ujar Harun, sepertimana dipetik akhbar tempatan, 30
Ogos.
Beliau mengulas pendirian 13 Adun penyokong kerajaan yang
memilih untuk ‘membisu’ sepanjang sidang itu. Mereka dilaporkan tidak
mengemukakan sebarang soalan dan turut tidak mencelah atau mengganggu
wakil-wakil pembangkang, sepertimana tabiat mereka yang lazim.
Dun Terengganu mempunyai 32 kerusi, di mana 24 dimenangi
BN. Lapan lagi dimenangi PAS. Sebelas daripada Adun BN menjadi anggota Exco
kerajaan negeri. Manakala baki 13 lagi menjadi penyokong kerajaan yang sepatutnya
berperanan aktif mempertahankan kerajaan.
Apatah lagi dalam konteks Terengganu, sejak dulu lagi
sidang Dun-nya sentiasa panas dan tegang. Ia tidak pernah sunyi daripada
pertikaian lidah antara wakil kerajaan dengan pembangkang. Hanya bagi penggal
1978-82 keadaan itu tidak berlaku apabila BN menang mutlak di negeri itu.
Setiap isu dibangkitkan mana-mana pihak akan disanggah
pihak lawan. Pertikaian mereka selalunya melarat kepada cabar-mencabar. Pernah
beberapa kali ada Adun mengajak Adun parti lawan “bergocoh” (bertumbuk) apabila kehabisan hujah rasional. Pernah
juga menteri besar menangis semasa sidang Dun setelah gagal menepis hujah
al-Quran dan hadis oleh Adun-Adun pembangkang.
Keadaan sebegitulah yang sering mewarnai sidang Dun
Terengganu sejak dulu. Sebab itu apabila keadaan itu berubah sama sekali sejak
tahun lalu, ia suatu yang agak luar biasa.
Setakat ini tidak ada pihak, sama ada dari BN mahu pun
PAS, yang menerima secara positif sikap “bisu” ditunjukkan Adun-Adun BN itu.
Mereka sepakat bahawa perbuatan itu tidak wajar dan merugikan rakyat.
“Memang
tidak sepatutnya berlaku protes senyap dalam sidang Dun, sebaliknya wakil
rakyat (BN) kena aktif mengemukakan soalan mewakili rakyat dan berhujah
mempertahankan kerajaan”, ulas Naib Ketua
Umno Bahagian Hulu Terengganu, Yusof Awang Hitam.
Adun Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak pula menyifatkan
perbuatan kumpulan Adun BN itu sebagai tidak profesional. Seperti Yusof, Dr
Alias juga menganggap mereka itu tidak menghormati rakyat yang mengundi mereka
dan gagal menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat yang mereka wakili.
“Kalau ada
rasa tidak puas hati dan bergaduh sesama sendiri sekali pun, sebagai wakil
rakyat mereka mesti menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat dengan
mengemukakan soalan (kepada sidang Dun)”, ujarnya.
Memang apa yang disebutkan Dr. Alias itu diakui menjadi
punca utama tindakan Adun-Adun terbabit. Ia adalah kesan pergeseran dalaman
antara mereka ekoran kemelut pelantikan Menteri Besar, Mac 2008 lalu. Tindakan
mereka itu membuktikan bahawa luka parah akibat perebutan kuasa itu masih
membara ‘bagai api dalam sekam’ pada batang tubuh BN negeri.
Mungkin bagi Adun-Adun terbabit sendiri dan kalangan yang
menyokong mereka, tindakan protes senyap itu adalah langkah terbaik menzahirkan
sikap mereka terhadap kepimpinan parti dan kerajaan. Mereka seolah-olah sudah
menjadi “Adun Bebas”, menyokong PAS tidak, mempertahankan BN pun tidak.
Namun sepertimana disebutkan Dr. Alias, kita tidak boleh
halang kalau mereka mahu bergaduh sesama sendiri. Cuma hal itu tidak sepatutnya
mendorong Adun-Adun BN itu terus membuat onar sehingga mengenepikan kepentingan
rakyat.
Apatah lagi onar minggu lalu bukan kali pertama mereka
buat semasa sidang Dun berlangsung. Gelagat negatif mereka sudah dikesan sejak
sidang pertama penggal ini pada Mei 2008 lagi.
Jumlah 24 Adun BN yang membentuk tiga perempat suara
dalam Dun Terengganu tidak memberi erti apabila sebahagian besar mereka memilih
untuk mendiamkan diri, meski pun pelbagai isu dibangkitkan silih-berganti oleh
wakil-wakil PAS.
“Adun-Adun
Umno (BN) dilihat tidak bermaya walau pun mereka mempunyai jumlah yang besar
berbanding PAS. Sebaliknya, semua lapan Adun PAS tidak melepaskan peluang
bersuara dalam persidangan tersebut”, memetik
semula komen Adun PAS Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut, Mei 2008 lalu.
April lalu, kumpulan Adun sama beronar lagi. Mereka memulaukan
sidang setelah mendakwa Dun Terengganu tidak cukup selamat untuk mereka hadir.
Tiga daripada mereka menerima sistem mesej singkat (sms) ugutan gara-gara usul
undi tidak percaya terhadap menteri besar yang didesas-desuskan.
Apa pun alasan yang mungkin terfikir oleh Adun-Adun BN
bagi merasionalkan tindakan mereka membisu kali ini, rakyat tidak lagi dapat
menilainya suatu yang wajar. Mereka perlu ingat rakyat memilih mereka bukan
untuk menjadi ‘bisu’.
Rakyat mengharapkan mereka berperanan sebaik mungkin di
mesyuarat tertinggi negeri itu. Tindakan mereka mengutamakan politik peribadi
sehingga membelakangkan kepentingan rakyat adalah pengkhianatan nyata terhadap
amanah yang dipikul.
Cuma perlu diingat, onar yang berlaku itu tidak boleh
dipersalahkan ke atas mereka seratus-peratus. Yang silap besar ialah rakyat
juga kerana memilih pemimpin beronar dari parti yang sentiasa beronar menjadi
wakil rakyat mereka.
Rakyat Terengganu mesti perbetulkan kesilapan itu. “Bor-bor lah” (cukup-cukuplah) pilih
pari beronar lain kali!
(Artikel ini
disiarkan tabloid mingguan Siasah, 6-12 September 2009 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment