Sunday, September 6, 2009

Penulisan sejarah perlu fakta lebih luas, objektif


Oleh: Mohd Nasir Awang

SEMACAM ada kesepakatan di kalangan beberapa tokoh negara mengenai kelemahan dalam catatan sejarah negara selama ini. Bagi memperbetulkannya, beberapa pemimpin politik dan tokoh akademik menyarankan penulisan semula yang lebih adil dan objektif, terutama berkaitan perjuangan menuntut kemerdekaan negara.

“Sejarah mencatatkan perjuangan menuntut (kemerdekaan) negara ini disertai oleh pelbagai pihak tidak mengira agama dan bangsa serta kumpulan, (fakta) yang selama ini cuba disorokkan oleh Umno dan BN (Barisan Nasional),” terjah Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Pengkaji dan penulis sejarah itu kesal apabila para pejuang kemerdekaan yang tidak sealiran dengan parti pemerintah sering dilupakan. Nama mereka hampir tidak disebut atau dikenang sebagai tokoh kemerdekaan negara.

Baginya sejarah kemerdekaan perlu ditulis kembali bagi membolehkan rakyat mengetahui fakta dan tokoh sebenar yang turut berjuang menentang penjajah yang selama ini disembunyikan.

Dari perspektif sama, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap semangat kemerdekaan yang diraikan kini tidak harus dibelenggu bahana politik sempit dan kelam kabut parti politik tertentu. Tidak sukar difahami, parti kelam kabut yang beliau maksudkan itu ialah Umno.

Menurut Anwar, semangat kemerdekaan perlu dilihat dari perspektif rakyat secara keseluruhan, merangkumi perjuangan pelbagai kaum, wadah dan aliran pemikiran.

“Jika dilihat kepada sejarah, Umno bukanlah pejuang tulen menuntut kemerdekaan. Golongan yang lebih awal menuntut kemerdekaan ialah golongan nasionalis seperti PKMM (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya), Angkatan Pemuda Insaf (API) yang diketuai Ahmad Boestamam, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang diketuai Shamsiah Fakeh dan juga PKM (Partai Komunis Malaya). Umno hanya menuntut kemerdekaan apabila Tunku (Abdul Rahman Putra al-Haj) menjadi presiden parti,” itu pula pendedahan tokoh media, Said Zahari.

Katanya, adalah tidak benar jika Umno mendakwa hanya mereka pejuang tulen kemerdekaan, sedangkan terdapat kumpulan lain yang terlebih dahulu memperjuangkannya.

Isnin, 31 Ogos lalu, negara kita menyambut kemerdekaan ke-52. Bermakna sudah 52 tahun tanahair tercinta ini bebas dari belenggu dan kongkongan penjajahan. Malangnya tanpa disedari, selama itu juga rakyat sebenarnya tidak dididik dan negara tidak dibina di atas asas sejarah yang betul. Kita masih dibelenggu dan dikongkong oleh penulisan sejarah yang membelakangkan fakta sebenar.

Hal ini diakui sejarawan dan tokoh akademik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim. Beliau mengaitkan kegagalan membina minda masyarakat mengenai pembinaan negara-bangsa dengan kelemahan sukatan pelajaran, terutama penyediaan buku sejarah dengan fakta yang betul.

“Buku sejarah yang ada ditulis oleh orang yang tidak mengkaji sejarah Malaysia secara keseluruhannya. Ini menyebabkan pemikiran generasi muda tidak diberi maklumat benar,” tegasnya (Berita Harian, 31 Ogos).

Paling malang ialah apabila sejarah yang dibentangkan kepada kita menampakkan seolah-olah hanya Umno pihak yang berjasa dan bertanggungjawab memerdekakan negara.

Bagi saya penulisan sejarah yang membelenggu pemikiran rakyat dengan politik sempit itu sebenarnya membuktikan betapa pelakunya masih belum beutl-betul merdeka. Sikap itu malah lebih mirip mengulangi pendekatan dibuat oleh penjajah.

Walau pun pada zahirnya penjajah asing telah berambus dari negara kita, warisan penjajahannya kekal terpampang di sana-sini. Selain tinggalan fizikal dalam bentuk bangunan kediaman, monumen, kubu, tembok, rumah ibadat dan sebagainya, antara warisan penjajah paling mengesankan minda rakyat ialah pemalsuan sejarah negara.

Perlu diakui sejarah kita, sama ada berkaitan penjajahan atau perjuangan kemerdekaan, ditulis mengikut acuan penjajah. Melaluinya penjajah berjaya mengindoktrinasi pemikiran kita mengikut acuan pemikiran yang mereka kehendaki. Antaranya, mereka berjaya menggambarkan keagungan dan kehebatan bangsa penjajah.

Pemalsuan itu bermula sedari awal lagi. Tujuan kedatangan mereka diserlahkan hanya sebagai memburu rempah-ratus dan hasil mahsul negara. Sedangkan penjahahan mereka bermaksud serampang dua mata. Selain peluasan kuasa politik dan ekonomi, mereka juga ada agenda mengembangkan agama mereka.

Sebab itu di saat ketua-ketua gerombolan penjajah menumpukan penguasaan politik serta sibuk memunggah hasil bumi dan khazanah tanahair kita, gerombolan paderi dan mubaligh terlatih dari negara mereka memainkan peranan berasingan, terutama di bidang pendidikan. Pengembangan ajaran Kristian dilaksanakan tanpa gangguan.

Penulisan sejarah oleh penjajah juga membataskan peranan kerajaan Melaka hanya sebagai pelabuhan dagang yang strategik. Pernahkah kita diajar di dalam kelas bahawa kerajaan Melaka yang jatuh ke tangan Portugis pada 1511 itu adalah sebuah kuasa besar Islam di Asia Tenggara?

Tahukah kita bahawa ketika berita penaklukan Melaka oleh Portugis sampai ke Eropah, perayaan besar-besaran menyambut kemenangan itu dilakukan di bandar Vatican? Fikirkan saja apa logiknya bandar suci Kristian itu yang dipilih untuk meraikannya, bukan di Lisbon (ibu negara Portugal)?

Itu menunjukkan bahawa yang dirayakan mereka bukannya semata-mata perluasan kuasa penjajahan, tetapi kemenangan mereka menjatuhkan sebuah kerajaan Islam.

Banyak lagi fakta sejarah negara yang dipesongkan. Antaranya kedatangan orang-orang Jawa ke Johor yang ditulis hanya untuk menanam kelapa. Orang-orang Sumatera pula dikatakan datang ke Negeri Sembilan hanya untuk berkebun. Hakikat bahawa kedatangan mereka ke Tanah Melayu bagi membantu menentang penjajah atas nama Islam telah dipadamkan.

Elok benar jika sejarah negara ditulis semula. Semoga kesempatan itu dimanfaatkan secara bertanggungjawab bagi memasukkan fakta-fakta sebenar yang lebih luas dan objektif dari sumber yang lebih pelbagai.

(Artikel ini disiarkan tabloid Siasah, edisi 9-15 Ramadhan 1430/6-12 September 2009 di kolum ‘Perspektif’ dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment