Sunday, August 22, 2010

Tabiat Umno hanya tahu desak PAS laksana Islam


Ada benarnya persepsi umum selama ini bahawa masalah utama berhubung pelaksanaan Islam di negara kita sebenarnya terletak pada pendirian dan perhitungan Umno sendiri. Selaku parti yang menerajui pemerintahan negara dan sebahagian besar negeri-negeri sejak lebih separuh abad lalu, parti Melayu itu sebenarnya sudah tidak ada alasan. Dia memiliki kuasa, kekuatan dan segala peluang diperlukan untuk memastikan hukum dan peraturan Islam terlaksana dengan sempurna jika dia mahu.

Sepertimana kata pepatah Melayu, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Maksudnya, jika Umno memang ada azam untuk melihat Islam didaulatkan di negara kita, maka tempoh lebih 50 tahun menjadi tuan politik negara ini sudah lebih dari cukup untuk rakyat melihat kejayaannya.

Pepatah juga ada menyebut, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Ertinya, kalau mahu, macam-macam usaha boleh dilakukan bagi mendapat atau menjayakan sesuatu. Tetapi kalau sudah tidak mahu, macam-macam alasan pula boleh dikemukakan.

Alasan atau dalih paling lumrah dijaja Umno tatkala dipersoalkan mengapa tidak menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan ialah kerana negara kita bermasyarakat majmuk. Justeru, dalam banyak hal, kehendak dan kepentingan masyarakat bukan Islam juga perlu dijaga dan diraikan.

Hujah itu bagaimana pun semakin sukar diterima rakyat, terutama kalangan umat Islam. Mereka tahu ia semata-mata dalih Umno untuk melepaskan diri dari tanggungjawab melaksanakan Islam.

Sesiapa juga yang berfikiran waras, tidak buta dan tuli pastinya dapat menilai gelagat pengelat Umno dalam banyak kes membabitkan isu-isu pelaksanaan Islam. Kes judi bola sepak yang memuncak pada Jun lalu adalah contoh.

Nampak sangat Umno sebenarnya yang lebih beriya-iya mempertahankan kelulusan lesen pertaruhan sempena pesta bola sepak Piala Dunia 2010 itu. Berbanding parti-parti rakan komponen Barisan Nasional (BN) lain yang sekurang-kurangnya mempertikaikan kewajaran pemberian lesen tersebut, para pemimpin parti Melayu itu pula amat bersungguh merasionalkan tindakan kerajaan itu.

Suatu ketika, para pemimpin Umno berhujah bahawa alasan utama kerajaan menimbangkan permohonan sebuah syarikat judi untuk lesen itu ialah agar aktiviti perjudian dan pertaruhan haram dapat dikawal dan dipantau pihak berkuasa.

Setelah hujah berkenaan jenuh dikritik, Umno menyandarkan pula tindakan haram itu kononnya atas dasar meraikan kehendak dan menghormati hak orang bukan Islam. Seorang menteri Umno malah mendakwa amalan bertaruh adalah sebahagian cara hidup masyarakat bukan Islam.

Dakwaan itu bagaimana pun kembali menempelak Umno apabila para pemimpin parti berasaskan kaum Cina sendiri tidak sebegitu lantang mempertahankan kelulusan lesen judi bola berbanding Umno. Pemimpin DAP yang memerintah Pulau Pinang mengumumkan kerajaannya tidak meluluskan lesen untuk itu.

Presiden Gerakan pula menegaskan kegiatan berjudi boleh mendatangkan kesusahan hidup, termasuk masalah moral dan sosial, kepada sesiapa yang terlibat.

Malunya muka orang-orang Umno, bukan? Justeru, bagi mengelakkan terus dikeji atas hal itu, Umno menggunakan taktik memperlekeh pihak yang menentang judi. Parti lawan, terutamanya PAS, yang menjuarai bantahan lesen judi bola disifatkan sebagai sekadar beretorik, bersikap dwi-piawai dan hanya mempolitikkan isu tersebut.

Mereka mempersoalkan, mengapa hanya bantah judi diluluskan BN, sedangkan di negeri diperintah PAS sendiri (menerusi Pakatan Rakyat) kegiatan itu masih berterusan? Mereka lalu membuat ‘counter attack’ dengan mendesak agar kerajaan-kerajaan negeri dikuasai PR (selain Kelantan yang telah mengharamkan judi secara total) terlebih dahulu menunjukkan contoh mengharamkan judi.

Itulah tabiat Umno. Ia hanya tahu mendesak PAS membuktikan ketulenan Islam yang diperjuangkan. Keghairahannya itu sengaja diperbesarkan sehingga ia lupa bahawa Umno juga bertanggunjawab terhadap Islam.

Islam ini milik semua, bukan hanya untuk PAS sahaja. Justeru, tanggungjawab memastikan Islam terlaksana tidak sayugia dilambakkan ke atas bahu PAS semata-mata.

Keseronokan Umno mengganyang PAS kerana gagal mencapai cita-cita mendaulatkan Islam dalam pemerintahan memang sudah bertabiat. Sebab itu semasa Terengganu diperintah PAS dulu, Umno lah juara mendesak agar hukum hudud dilaksanakan.

Mereka bukan setakat berceramah dan menyebarkan risalah mengenai tuntutan itu, tetapi turut berbelanja besar menaikkan pemidang di seluruh negeri. ‘Bila lagi nak laksanakan hudud?’, ‘Mana janji PAS nak buat hukum hudud?’ dan berbagai lagi ungkapan tertera di segenap lokasi strategik.

Sekali imbas, kelihatannya seolah-olah Umno sangat mahukan hukum Islam itu dikuatkuasakan. Sedangkan hakikatnya, parti itulah penentang nombor satu terhadap usaha PAS melaksanakannya. Memang lidang bercabang sungguh Umno ini, bukan?

Dua isu terbaru yang masih hangat diperkatakan kini lebih menjelaskan lagi tabiat buruk Umno itu. Pemimpin Umno, terutama di Selangor mendesak PAS agar menggunakan kuasanya sebagai komponen pemerintah negeri itu untuk menutup pusat hiburan bersempena kedatangan bulan Ramadhan.

Sekali lagi Umno mahu menggambarkan kononnya ia sangat bencikan maksiat. Sedangkan selama berpuluh tahun ia menerajui kerajaan, mengapa tindakan tersebut tidak diambil? Bahkan, di beberapa negeri lain yang masih dikuasainya, apakah tindakan sama turut diambil?

Isu kilang arak juga berkumandang minggu lalu. Sekali lagi Umno menjadikan PAS sebagai sasaran dan menganggap parti Islam itu gagal menunaikan janji menutupnya. Kegagalan Umno selama ini untuk melakukan perkara itu sengaja disembunyikan.

Apakah kilang arak itu hanya wujud setelah PAS berkongsi pemerintahan di Selangor, lalu hanya PAS yang perlu dipersalahkan jika gagal menutupnya? Apakah peranan Umno hanya sekadar pendesak? Kalau macam itu, elok Umno jadi pembangkang sudah lah!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0214, 22 Ogos 2010 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment