oleh: Mat Zain Mat Isa
Sehingga rencana ini ditulis (Khamis), belum ada kata putus dari pihak keselamatan berhubung siapa sebenarnya bertanggungjawab mengadakan kain rentang yang mengundang kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, minggu lalu.
“Ada pihak cuba memecah belah perpaduan di kalangan rakyat demi untuk kepentingan peribadi. Contohnya, baru-baru ini di Batu Pahat, ada pihak cuba untuk mengheret saya ke dalam kancah politik dengan memaparkan gambar saya sebagai suatu kempen politik. Perbuatan ini adalah biadab dan kurang ajar,” titah baginda di Kota Tinggi, pada Isnin (9 Ogos).
Baginda mengulas penyebaran kain rentang memaparkan gambar baginda bersama Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Johor, Datuk Chua Jui Meng dan Penasihat Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Kain rentang itu dikatakan dinaikkan bersempena majlis ceramah anjuran Keadilan di Batu Pahat. Di atas kain rentang itu turut dinyatakan sokongan kepada Jui Meng sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Rakyat (Pakatan) memenangi pilihan raya umum nanti.
Sepintas lalu, mungkin ada yang terpengaruh untuk percaya bahawa kain rentang itu dihasilkan Keadilan. Kecenderungan itu dibuakkan lagi oleh eksploitasi rakus para pemimpin Umno. Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menyifatkan perbuatan menggunakan gambar Sultan dalam kempen politik sebagai keterlaluan dan melampau. Tempelak itu ditujukan kepada pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ikut menerjah. Beliau mendesak kepimpinan Pakatan memohon ampun dan maaf kepada Sultan Johor. Baginya perbuatan itu jelas tidak menghormati institusi istana selain boleh disifatkan sebagai menjatuhkan maruah serta martabat institusi tersebut.
“Sebagai rakyat Malaysia, adat kita apabila raja murka ialah mendapatkan ribuan kemaafan dan keampunan daripada baginda dan pastikan perbuatan itu tidak diulangi pada masa akan datang,” katanya.
Sementara pemimpin Umno seakan terlalu yakin tiada ahli dan pendukung parti itu terlibat mengadakan kain rentang provokatif itu, Keadilan juga meluahkan pendirian serupa. Jui Meng dengan tegas menafikan partinya menerbit dan menyebarkan kain rentang tersebut, sebaliknya mendakwa ia didalangi seorang pemimpin Umno yang juga bekas Menteri Besar negeri itu.
Beliau juga mendakwa mendapat maklumat kain rentang itu dicetak di sebuah premis di bandaraya Johor Bahru.
"Nama bekas Menteri Besar itu ada disebut di dalam maklumat yang saya terima. Nampaknya dia cuba untuk menjadi jaguh dan cuba untuk memulihkan imejnya yang satu ketika dulu tercemar kerana terlibat dalam krisis dengan Raja-raja Melayu sehingga imuniti Raja-raja Melayu dihapuskan”, katanya.
Menurut Jui Meng, tindakan pihak tertentu memasang kain rentang provokaif di sepanjang laluan perjalanan Sultan Johor dalam program siri jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) II bertujuan menimbulkan kemarahan rakyat dan percubaan untuk melaga-lagakan Keadilan dengan pihak istana.
Beliau berharap pihak polis segera menjalankan siasatan yang mendalam dan mendakwa dalang di belakang perbuatan itu. Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor turut membuat laporan polis mendesak dilakukan siasatan terperinci berhubung penyebaran kain rentang yang dianggap sengaja bermaksud mencemarkan imej Pakatan itu.
Setakat Rabu, polis dilaporkan telah mengambil keterangan daripada tidak kurang 40 individu, termasuk Jui Meng sendiri, bagi membantu siasatan kes tersebut. Polis Johor turut memaklumkan telah menerima sembilan laporan polis berhubung kes itu sejak 31 Julai.
Sementara teka-teki berhubung siapa sebenarnya bajingan di sebalik kes ini masih belum berjawab, tidak saguyia kita mendahului hasil siasatan pihak berkuasa. Bagaimana pun, sebagai makhluk politik yang amat masak dengan taktik dan strategi Umno-BN dalam memprovokasi keadaan dan membangkitkan sentimen negatif terhadap pembangkang, kita sukar menolak kemungkinan ianya satu lagi perbuatan ‘baling batu sembunyi tangan’ oleh Umno.
Kita ada senarai agak panjang kes-kes sebegitu. Contohnya, kes yang terjadi dalam satu kempen pilihan raya kecil di Kedah kira-kira sedekad lalu. Petugas BN didakwa diracun di markas parti itu.
Media talibarut BN memanipulasinya dengan memberi gambaran seolah-olah ia kerja sabotaj pembangkang. Akhirnya, ia terbukti angkara sesama mereka dan kes itu senyap begitu saja.
Kegemaran pemimpin Umno memfitnah tidak terbatas hanya kepada parti lawan. Mereka tergamak melakukannya antara sesama mereka sendiri.
Contohnya, kes sms (servis mesej singkat) ugutan bunuh diterima tiga Adun BN Terengganu. Seorang pemimpin Umno Marang yang juga setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu sedang dibicarakan atas dakwaan itu.
Umum percaya di sana telah berlaku ‘baling batu sembunyi tangan’. Seorang penjawat awam difitnah kononnya menghantar sms mengugut tiga Adun BN itu. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said turut menjadi mangsa keadaan apabila dikaitkan sebagai dalang ugutan itu.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1565, 16 Ogos 2010 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment