oleh: Mat Zain Mat Isa
Sekalung tahniah buat Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Dalam seminggu dua ini, beliau ditakdirkan melalui beberapa detik membanggakan sebagai peneraju negeri yang tidak sunyi dari gugatan dan gigitan para pendukung partinya sendiri.
Mendahului senarai pencapaian positif itu tentunya anugerah Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang diterimanya sempena ulang tahun ke-48 Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 20 Julai lalu. Istiadat penganugerahan disempurnakan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah, Kuala Terengganu, Khamis (5 Ogos).
Dengan darjah diterimanya itu, beliau kini bergelar “Datuk Seri”. Beliau adalah satu-satunya pemimpin politik yang diberikan gelaran “datuk”. Lebih bermakna lagi, majlis penganugerahan darjah kebesaran ini adalah yang pertama dalam masa tiga tahun, juga yang pertama sejak Ahmad menjadi Menteri Besar.
Kebetulannya anugerah itu tiba ketika beliau mengorak langkah positif memperbaiki imejnya, terutama di kalangan anak-anak buahnya sendiri. Dalam tempoh beberapa minggu lalu, satu demi satu penyelesaian dicapai kerajaannya dalam menangani beberapa projek bermasalah tinggalan menteri besar digantinya.
Contohnya, kerja membersihkan sisa runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dijadualkan bermula 26 Julai lepas, setelah ia terbiar sejak runtuh pada 2 Jun 2009.
Membiarkan sisa runtuhan dalam keadaan begitu sebegitu lama telah memberikan imej negatif kepada negeri. Ia sesuatu yang memalukan, apatah lagi stadium itu terletak hanya sepadang dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Setiap pesawat yang turun-naik di situ, termasuk yang membawa pelancong dan pemimpin luar seakan menyediakan perkhidmatan percuma meneliti runtuhan itu dari udara
Hal itu turut menjadi isu politik. Cakap-cakap yang laris kedengaran mendakwa Ahmad sengaja melengah-lengahkan kerja pembersihan sisa runtuhan dan pembaikian bumbung itu. Kononnya beliau berhasrat memalukan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga seteru utamanya dalam politik negeri.
Projek menelan belanja hampir RM300 juta itu memang perancangan Idris. Beliau malah sering menobatkan kemunculan stadium itu sebagai salah satu “Impian Menjadi Realiti” oleh kerajaan pimpinannya dulu.
Justeru, ada yang mendakwa, bertolak daripada sentimen anti-Idris, Ahmad sengaja membiarkan sisa runtuhan itu disaksikan sepuasnya oleh semua pihak. Ahmad dikatakan sengaja melambatkan usaha membaikpulihnya agar ia diingati sebagai bukti kegagalan projek dirancang Idris.
Bagaimana pun persepsi negatif itu sedikit terpadam baru-baru ini apabila kerajaan negeri akhirnya memberi kontrak kepada sebuah syarikat pembinaan dari Setiu, Syarikat Azimat Berkat Sdn Bhd untuk melaksanakan kerja pembersihan sisa runtuhan itu secara percuma.
Kerajaan hanya memberi sisa runtuhan itu sebagai kos gantian tanpa melibatkan sebarang bayaran.
Kehadiran Ahmad ke Besut minggu lalu juga menambah nilaian positif kepada usahanya mengikis imej anti-Idris. Selaku pangkalan kekuatan bekas menteri besar itu, tidak semua pendukung Umno di Besut dapat menerima kepemimpinan Ahmad, sama ada dalam parti mahu pun kerajaan, hingga kini.
Bagaimana pun persepsi itu dikatakan semakin berubah. Dalam kunjungannya ke bandar Jertih, pusat ekonomi daerah Besut pada Selasa (3 Ogos), Ahmad merasmikan Medan Selera Jertih yang baru dinaiktaraf dengan kos RM3 juta.
Di kesempatan itu juga beliau membuat lawatan ringkas ke Jertih Souq, projek bazaar moden di tengah bandar itu yang terbengkalai sejak lebih setahun lalu. Media mendedahkan bahawa kerja-kerja pembinaannya telah pun dimulakan semula.
Isu utama di sini ialah projek disantuni Ahmad hari itu merupakan tinggalan Idris. Sepertimana kes runtuhan stadium tadi, terbengkalainya pembinaan Jertih Souq juga dibauri dakwaan kononnya ia disengajakan Ahmad, di atas sentimen anti-Idris. Lebih setahun ia terbiar menjadi bahan tutur warga setempat, selama itu jugalah sentimen anti-Ahmad di kalangan penyokong kuat Idris disemarakkan.
Kunjungan Ahmad minggu lalu boleh dianggap perkembangan positif baginya mengikis imej anti-Idris, terutama yang bersarang di fikiran pendukung Umno Besut. Bagaimana pun, ia masih jauh dari mendamaikan kekecewaan anak-anak buahnya di daerah itu.
Idris sendiri secara terbuka pernah mendakwa Ahmad sengaja meminggirkan projek dicetuskannya. Selain Jerteh Souq, beliau turut menyebut ura-ura kerajaan negeri membatalkan hasrat membina kampus Universiti Darul Iman Malaysia (UDM – kini UniSZA) yang dirancangnya di Taman Ilmu Besut.
Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Besut pada 11 Julai 2010 pula menyentuh satu lagi projek yang menjadi bahan pertembungan hasrat antara Ahmad dan Idris, iaitu isu Kompleks Imtiaz di Bukit Keluang, Besut. Umno Besut mendesak kerajaan negeri mengekalkan kompleks tersebut sebagai premis baru Sekolah Menengah Imtiaz Besut, sedangkan Ahmad dikatakan berhasrat menjadikannya kolej Yayasan Terengganu.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1563, 9 Ogos 2010 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment