“Syukur alhamdulillah, saya rasa sangat bertuah dengan adanya seorang guru cemerlang yang sanggup bertugas sebegitu lama. Bukan senang nak cari seorang yang ada minat dan dedikasi yang sangat tinggi seperti Cikgu Mah,” akui Pengerusi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Hayyu, Encik Aminuddin Muhammad Ali.
Guru yang beliau maksudkan ialah Puan Rosimah Salleh. Sejak PASTI Al-Hayyu di karyah Kuala Besut, Terengganu ditubuhkan pada tahun 1989 lalu, Cikgu Mah adalah salah seorang di antara tiga guru yang diambil bertugas. Kini dalam usia prasekolah itu yang sudah memasuki tahun ke 22, hanya Cikgu Mah yang masih kekal melayani karenah dan keletah anak-anak di pusat itu.
Kebetulan pula Aminuddin yang lebih mesra dipanggil ‘Paksu Min’ juga menjadi Pengerusi PASTI Al-Hayyu sejak penubuhannya. Pengalaman sebegitu lama mentadbir pusat pendidikan itu menjadikan beliau orang paling layak memperkatakan apa juga tentang prestasi dan dedikasi Cikgu Mah di sepanjang tempoh khidmatnya yang begitu lama.
“Tiada perkataan paling sesuai nak saya gambarkan perasaan gembira dan puas saya kerana dapat beri khidmat kepada Islam ini. Bagi saya, ini (PASTI) adalah tempat paling baik untuk kita lahirkan generasi yang ditanam dengan asas-asas ilmu Islam sejak usia awal mereka,” Cikgu Mah memulakan bicara, disulami reaksi malu-malu kucing.
Lepasan Institut Berakan, Kuala Terengganu itu menegaskan demikian apabila ditanya mengapa memilih kerjaya sebagai seorang guru prasekolah berbanding pelbagai kerja lain yang mampu beliau perolehi. Jawaban diberikannya tadi sekali gus menggambarkan minat dan komitmen tinggi beliau terhadap kerjaya pilihannya ini.
Meski pun pada raut wajahnya tergambar jiwa yang serius dan kental, tutur bicara wanita berusia 40 tahun ini penuh lemah-lembut dan amat bersopan. Ketinggian akhlak itu amat bersesuaian dengan peranannya sebagai seorang yang diamanahkan mendidik anak-anak kecil dengan adab dan akhlak Islam.
Menurut Paksu Min, pada awal khidmatnya lebih dua dekad lalu, Cikgu Mah dan rakan-rakan setugasnya diberikan elaun bulanan hanya RM80. Tiada lagi elaun atau bonus lain sebagai tambahan kepada elaun pokok itu.
Apa yang amat mengharukan pengusaha kedai batik itu ialah tidak pernah walau pun sekali Cikgu Mah menyuarakan rasa tidak senangnya dengan jumlah bayaran yang amat tidak sepadan itu. Ya lah, bukan saja Paksu Min, malah penulis sendiri dan para pembaca juga mungkin tahu di ketika itu rakan-rakan setugas Cikgu Mah di tempat lain, terutama di Pantai Barat menerima elaun bulanan berkali ganda daripada RM80 itu.
Memandangkan kos operasi PASTI Al-Hayyu banyak ditampung menerusi kutipan yuran bulanan daripada murid-muridnya dan sedikit sumbangan tidak berkala daripada anggota karyah, maka pihak pentadbir hanya mampu menawarkan elaun sekadar kemampuan kewangannya.
“Sebab itu saya kata bukan senang nak cari seorang guru yang sededikasi itu. Saudara bayangkan saja, berapa ramai wanita kita sanggup hidup dengan bayaran hanya RM80 sebulan? Jika dia sendiri redha pun, belum tentu ibu bapa atau suami dia berkongsi komitmen yang sama,” luah Paksu Min, dengan raut wajah gembira bercampur sayu.
Allah Ta’ala Maha Kaya dan Maha Mengasihani. Niat ikhlas dan hasrat murni para pencinta pendidikan Islam untuk menjayakan pusat asuhan ini akhirnya dipermudahkanNya. Berbekalkan kecekalan sekumpulan individu beserta sokongan padu anggota karyah Kuala Besut, PASTI Al-Hayyu berjaya membeli sebidang tanah dan membina sebuah bangunannya sendiri. Rezeki pusat ini dimurahkan lagi oleh Allah Ta’ala apabila ada pihak bersetuju menyewa sebahagian tanah miliknya untuk urusan perniagaan.
“Alhamdulillah, dengan sumber ekonomi yang tetap itu kita lebih selesa menjaga kebajikan guru dan murid-murid. Elaun bulanan Cikgu Mah kita naikkan dari masa ke masa. Daripada 80 rial (RM80), naik seratus, kemudian 120, 200, dan 270. La (sekarang) ni kita alhamdulillah bagi dia RM350 sebulan. Kelengkapan pengajaran dan pembelajaran juga kita berjaya pertingkatkan,” cerita Paksu Min lagi.
Untuk rekod, PASTI Al-Hayyu pernah menerima anugerah sebagai PASTI Terbaik Kawasan Besut sempena Ijtimak PASTI Besut 1989. Cikgu Mah pula pernah beberapa kali menerima anugerah khidmat cemerlang. Antaranya Anugerah Tokoh Guru PASTI Besut kira-kira sedekad lalu dan Anugerah Guru PASTI Cemerlang 2009.
Namun bukan pengiktirafan atas peribadinya yang ditagih. Yang lebih membanggakan Ketua Nisa’ Besut itu ialah apabila anak didiknya berjaya meraih kecemerlangan dan kejayaan.
“Saat paling membanggakan saya sepanjang khidmat di sini ialah apabila murid saya, Nurlailatul Jaa’izah Mohd Nadzri dinobatkan sebagai juara pertandingan pidato peringkat kebangsaan sempena perhimpunan PASTI Pusat di Langkawi, Kedah, tahun 2008 lalu. Bagi saya itulah pengiktirafan paling bermakna untuk saya dan juga PASTI Al-Hayyu,” akui Cikgu Mah.
Kini, walau pun rumahtangga yang didirikannya dengan Encik Zainuddin Seman masih belum dimeriahkan dengan kehadiran cahaya mata, Cikgu Mah tetap berbangga setelah berjaya mengasuhdidik lebih 1,000 lepasan pusat itu. Sebilangan bekas anak didiknya pula berjaya menjadi warga berguna dalam masyarakat. Malah, ada bekas anak didiknya berjaya melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah, manakala sebilangan lagi mendapat tempat di pusat pengajian dalam negara.
“Saya juga tumpang rasa syukur dapat menyumbang khidmat bersama Cikgu Mah. Walau pun ada ibu bapa kata dia bengkeng (garang) dengan anak murid, sikap tegas tu sebenarnya amat penting untuk disiplinkan budak-budak ni,” celah Ismazulrina Hassan pula.
Wanita berusia 35 tahun yang murah dengan senyuman ini baru lebih setahun bertugas sebagai pembantu Cikgu Mah. Namun beliau amat mengagumi kemahiran guru itu melayani karenah anak-anak kecil saban hari. Katanya, tahap kepatuhan murid-murid di situ kepada Cikgu Mah amat tinggi dan kekadang sukar digambarkan.
(Artikel Nuwa Aitawa ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Ogos 2010 dengan tajuk sama di ruangan Syukur Ada Mereka)
No comments:
Post a Comment