oleh: Mat Zain Mat Isa
Pada dasarnya kita mengalu-alukan keputusan kerajaan membenarkan semula pegawai perkhidmatan pendidikan bergiat aktif di dalam politik. Bagaimana pun, kita juga ada sebab amat wajar untuk meragui keputusan tersebut.
Sebagai parti yang sangat masak dengan sepak terajang politik Barisan Nasional (BN) dan berpengalaman pula menanggung pelbagai tribulasi ditimpakan parti pemerintah itu, tentu tidak mudah bagi PAS menerima tanpa prasangka sebarang peraturan atau keputusan diperkenalkan kerajaan.
“Kita berharap perkara ini bukan hanya agenda jangka pendek mereka (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum,” media pada Khamis (29 Julai) memetik terjahan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
Beliau mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada Selasa bahawa guru-guru siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan semula membabitkan diri dalam politik. Katanya, kerajaan meminda Peraturan 12 (2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan kira-kira 140,000 guru kategori berkenaan bertanding, dilantik atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik, berkuatkuasa 1 Ogos.
Tidak sukar diterima umum bahawa BN pada prinsipnya tidak akan melulus atau memperkenalkan apa-apa peraturan sekiranya keputusan itu tidak menguntungkannya. Dalam ertikata lain, apa jua kelonggaran atau keterbukaan BN hanya terbatas dalam ruang lingkup sejauh mana ia tidak menggugat kepentingan BN atau mencabar kekuatannya.
Sebab itu kita berpandangan usaha terbaru melonggarkan peraturan agar guru berpolitik tidak akan sampai ke peringkat mereka bebas berpolitik menentang BN. Sebaliknya, ada kemungkinan sangat besar keputusan ini didorong kepentingan terdesak BN meningkatkan semula pengaruhnya yang semakin merosot, terutama di kalangan penjawat awam.
Mungkin agak prejudis, tetapi apakah tidak mungkin keputusan ini bermatlamat memerangkap guru tertentu secara paksa rela? Maksudnya, kita tahu di luar sana ramai guru yang semakin meluat dengan BN-Umno. Bagaimana pun, atas beberapa hakikat peribadi, tidak semua mereka berupaya menzahirkan sikap itu.
Lebih malang lagi, sebilangan mereka terlalu naif untuk menolak pelawaan Umno agar aktif dalam parti itu. Selama ini golongan sebegini berdalih atas peraturan menghalang mereka berpolitik.
Kini, dengan terhapusnya halangan itu, nantinya tiada lagi alasan kukuh untuk guru-guru sebegitu menolak desakan dan tekanan pemimpin Umno agar membantu parti mereka. Kita bimbang ia menjadi tiket bermakna buat BN-Umno melaksanakan strategi menekan dan memaksa penjawat awam menuruti agenda mereka.
“Mereka (BN) perlu buktikan keikhlasan supaya jaminan berkenaan benar-benar bebas dengan tidak menghadkan guru hanya boleh aktif dalam Umno,” kata Salahuddin.
Sebenarnya apa disebutnya itu bukan sekadar mempersoalkan keikhlasan BN berhubung keputusan terbaru itu. Bagi kita ia lebih bermaksud menyindir parti pemerintah itu, mengambilkira rekod buruk BN selama ini yang gemar menekan dan memaksa penjawat awam tunduk kepada kehendak dan kepentingannya sahaja.
Apatah lagi di sana masih wujud ruang yang memungkinkan berlakunya salah guna kuasa atau pertimbangan berat sebelah yang memihak parti pemerintah itu. Dimaklumkan setiap guru yang berhasrat aktif dalam politik itu disyaratkan terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran. Apakah ada jaminan tidak akan berlaku ‘hanky-panky’ di situ?
Kebenaran untuk guru-guru berpolitik tadi juga disertakan syarat ketat. Bahawa tugas dan fokus utama guru mendidik anak-anak tidak terjejas dengan pembabitan dalam politik.
Tidak syak lagi soal terjejas atau tidak itu bergantung kepada pengesahan pihak yang menilai prestasi kerja guru berkenaan. Sekali lagi, ruang itu juga tidak terlepas daripada kemungkinan salah guna kuasa berasaskan pengaruh politik pemerintah ke atas pihak atasan guru-guru terbabit.
Biar pun BN mendakwa kebenaran tadi membuktikan keterbukaan kerajaan yang tidak pernah menghalang penjawat awam berpolitik, rakyat tidak seharusnya begitu selesa dengan sikap terbuka itu. Ada kemungkinan ia juga perangkap terhadap guru-guru terbabit.
Pengalaman sebilangan pendukung dan aktivis PAS bergabung seketika dengan parti serpihan Umno, Semangat 46 dulu wajar direnung semula. Ada cerita menimpa sebilangan aktivis PAS yang sebelum itu terpaksa bergiat di belakang tabir di atas sebab-sebab kekangan peraturan. Mereka bagaimana pun tidak dapat mengelak mendedahkan pendirian politik kepada rakan-rakan baru dari parti sahabat itu, sama ada menerusi mesyuarat bersama mahu pun program khas dalaman peringkat masing-masing.
Malangnya, setelah rakan baru itu kembali semula kepada Umno, dia menjadi pelapor dan saksi utama membolehkan tindakan tata tertib berasaskan politik dikenakan ke atas aktivis PAS berkenaan.
Tidak mustahil kebenaran terbaru kerajaan tadi juga nantinya mendorong sejumlah besar guru menzahirkan diri dalam kepimpinan PAS. Apakah ada jaminan peraturan itu kekal selamanya?
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1561, 2 Ogos 2010 di ruangan 'EDITORIAL', N4 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment