Kemajuan teknologi komunikasi maklumat (ICT) menyaksikan semakin ramai orang bergantung kepadanya dalam urusan seharian mereka. Penggunaan ICT, khususnya Internet kini sudah menjadi antara keperluan utama kehidupan rakyat, termasuk di negara kita.
Dewasa ini Internet sudah digunakan secara meluas dan diakui berkemampuan mempengaruhi pemikiran rakyat. Internet dijadikan medan mendapatkan maklumat, belajar, menjual barangan dan perkhidmatan, menghantar mesej, bersembang, menyiar, menerbit dan berbagai lagi aktiviti.
Sehubungan itu berbagai kemudahan disediakan pelbagai pihak bagi membolehkan perkhidmatan Internet dicapai segenap lapisan masyarakat. Internet bukan lagi menjadi keistimewaan yang hanya mampu dilayari golongan elit dan berada. Ia sebaliknya sudah menjadi media yang mampu dimanfaatkan golongan berpendapatan rendah.
Kemajuan teknologi itu bagaimana pun turut mempunyai sisi gelapnya. Di samping kecenderungan mewujudkan tabiat penggunaan negatif, Internet turut dicemari bahan-bahan yang merosakkan kehidupan.
Di China, tabiat ketagihan Internet kini menjadi satu masalah besar. Dilaporkan lebih dua juta remaja dikenalpasti mengalami masalah ketagihan yang serius.
Ia juga dikatakan menjadi punca jumlah kematian tingi dan peningkatan masalah jenayah remaja berkaitan Internet. Keadaan itu memaksa kerajaan mengambil berbagai langkah mengatasi masalah itu. Antaranya dengan mengharamkan pembukaan kafe-kafe siber baru.
Kerajaan China juga terpaksa menimbang untuk mengenakan sekatan terhadap permainan-permainan komputer yang mempunyai unsur-unsur keganasan. Keseriusan masalah itu turut mendorong China mewujudkan pusat khas bagi merawat remaja yang dilanda ketagihan itu.
Tabiat buruk menimpa remaja China itu turut membimbangkan India. Sebuah institusi kejuruteraan terkenal di benua kecil itu akhirnya terpaksa mengehadkan pelajarnya melayari Internet apabila ramai daripada mereka didapati menggunakannya untuk bermain ‘game’ dan memulakan blog hingga menjejaskan prestasi pelajaran.
Institut Teknologi India (IIT) di Mumbai adalah antara tujuh IIT di seluruh India yang dianggap antara institut kejuruteraan terbaik di dunia. Ia juga menjadi tempat firma teknologi dunia mencari bakat tenaga kerja berpotensi.
Pelajarnya sebelum ini diberi kebebasan penuh melayari internet di bilik asrama bagi membantu pelajaran mereka. Malangnya ramai menyalahgunakan kemudahan itu untuk bersembang, memuat turun filem dan muzik selain memulakan blog dan bermain ‘game’.
Pentadbir institut itu mengesahkan pelajar yang ketagih Internet juga ramai yang lewat masuk kelas atau tidur dalam bilik kuliah. Mereka bahkan cenderung untuk tidak bergaul dengan orang lain malah menjadi punca kemurungan dan kes bunuh diri.
Kajian oleh sebuah firma kajian pasaran bebas baru-baru ini juga mendapati sebanyak 87 peratus kanak-kanak di Malaysia mengalami pengalaman negatif ketika melayari Internet yang memberi kesan kuat terhadap emosi mereka.
Selain melahirkan tabiat penggunaan yang buruk, Internet juga mendedahkan pengguna kepada bahan-bahan berunsur negatif dan berupaya meruntuhkan nilai hidup manusia.
Teknologi Internet yang wujud hari ini membolehkan sesiapa sahaja menjadi penulis sekali gus sebagai penerbit dan pencetak. Mewujudkan laman web di Internet tidak memerlukan kebenaran dari sesiapa pun di dunia ini.
Kerajaan pula tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk menapis atau menghalang penyiaran apa jua maklumat melalui Internet. Akta berkaitan penapisan berita di negara ini hanya boleh digunakan ke atas media cetak dan elektronik, bukan terhadap media siber.
Kesempatan ini cenderung disalahgunakan pihak tertentu bagi memenuhi agenda dan hasrat masing-masing. Internet yang sepatutnya menjadi medan bermanfaat menimba maklumat dan ilmu berguna, akhirnya bertukar menjadi racun berbisa yang merosakkan pemikiran masyarakat.
Negara kita sendiri pernah suatu ketika dicemaskan dengan kes e-mel palsu. Antaranya yang mendakwa berlakunya serangan bom di beberapa tempat di ibu negara. Kes yang memuncak pada hujung 2002 itu akhirnya memaksa kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negera (ISA) bagi memburu dan menahan mereka yang terbabit menyebarkan berita palsu itu.
Pada Oktober 2006 pula, negara dikejutkan dengan penangkapan 13 orang termasuk empat pelajar universiti kerana terlibat dalam kegiatan mencipta laman web palsu bank-bank tempatan. Sepanjang menjalankan kegiatan tersebut, kumpulan berkenaan dikatakan telah melesapkan RM36,000 wang pelanggan yang menggunakan perkhidmatan dalam talian.
Internet juga menjadi medan pelanggaran hak cipta, terutama membabitkan karya seni. Umpamanya kweujudan laman web yang menawarkan akses percuma untuk menonton tayangan filem dicetak rompak dan membuat untung dengan menjual ruang iklan atau meminta sumbangan.
Laporan media Julai lalu pula merumuskan laman sosial seperti Facebook, MySpace dan Twitter menjadi punca utama berlakunya perceraian di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Perkongsian maklumat yang berlebihan, termasuk kenyataan menggoda, penyiaran gambar, maklumat peribadi dan ruang memburukkan pasangan akhirnya menukar realiti virtual menjadi kes perceraian sebenar.
Kecenderungan serupa turut dipandang berat oleh China apabila ia melarang tenteranya daripada bercinta secara dalam talian. Ia khuatir keghairahan mereka bercinta akan mendorong mereka secara tidak sedar membocorkan maklumat yang sensitif dan boleh mengancam keselamatan negara.
Kita percaya penyalahgunaan di Internet akan tetap berlaku walau bagaimana pun kita cuba mengawalnya. Internet merupakan rangkaian sangat besar sehinggakan bagaimana pun peraturan dikenakan ke atasnya, masih ada pihak boleh menyalahgunakannya.
Pun begitu, kemajuan ICT menyaksikan semakin ramai rakyat Malaysia celik teknologi tersebut. Banyak institusi pengajian tinggi swasta turut menawarkan pelbagai kursus berkaitan. Hasilnya, kita telah berjaya melahirkan ramai pakar ICT.
Justeru, dalam konteks negara kita mengapa tidak kita manfaatkan kepakaran mereka untuk, misalnya, mencipta perisian khas yang boleh menapis kandungan disiarkan Internet. Contohnya, dengan menggunakan perisian khas itu pengguna Internet akan secara aotumatik terhalang daripada memasuki laman web yang tidak bersesuaian atau dipenuhi bahan tidak berguna.
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Ogos 2010 dengan tajuk sama di ruangan Pendapat)
No comments:
Post a Comment