Sunday, August 29, 2010

Jangan sukarkan bukan Islam fahami ajaran Islam

Perbetulkan saya sekiranya tersilap. Namun rasanya belum ada mana-mana pertubuhan Islam di negara kita yang menggunapakai pendekatan dakwah sepertimana dilaksanakan Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) baru-baru ini. Menerusi kempen berkongsi al-Quran yang dilancarkan, pertubuhan itu berhasrat mengedarkan 100,000 naskhah kitab suci itu kepada bukan Islam, terutama di sepanjang Ramadhan ini.

“Ramadhan merupakan waktu paling sesuai untuk mendidik masyarakat bahawa Islam adalah agama untuk keamanan dan tidak pernah sama sekali menganjurkan keganasan,” kata Pengarah Komunikasi CAIR, Ibrahim Hooper, dalam kenyataan akhbar yang disiarkan laman web rasmi pertubuhan itu minggu lalu.

CAIR merupakan antara pertubuhan Islam terbesar di Amerika Syarikat (AS). Tujuan utama penubuhannya untuk mempertingkatkan kefahaman masyarakat negara kuasa besar itu terhadap Islam, di samping mengikis salah tanggapan atau Islamofobia yang menjadi ancaman utama terhadap agama suci ini mutakhir ini.

Bagi mencapai maksud itu, CAIR menggalakkan dialog dan menuntut keadilan untuk penganut semua agama. Pendekatan itu amat penting bagi masyarakat Islam di AS yang hingga kini masih terbelenggu oleh Islamofobia, terutama sejak serangan berani mati, 11 September 2001. Peristiwa dikenali sebagai 9/11 itu meranapkan menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York. Ia turut mengorbankan kira-kira 2,700 nyawa, termasuk lebih 300 orang Islam.

Peristiwa mengejutkan dunia itu dijadikan bahan paling laris oleh golongan kuffar menyerang dan memburukkan Islam. Seluruh dunia diberikan gambaran seolah-olah pelaku tindakan kejam itu sudah dikenalpasti sebagai pengganas Islam.

Yang kemudiannya menjadi mangsa layanan negatif masyarakat ialah umat Islam. Serangan terhadap agama ini kian memuncak. Banyak masjid diserang dan dirosakkan. Penganut Islam diejek, dipulau dan dikenakan layanan buruk.

Saban tahun, majlis memperingati ulang tahun peristiwa 9/11 menjadi medan terbuka untuk sebilangan pihak meluahkan rasa marah dan benci terhadap Islam. Untuk tahun ini pula sebuah gereja di Florida, AS, baru-baru ini telah pun mengumumkan akan menganjurkan Hari Membakar al-Quran Anntarabangsa di premisnya pada petang 9 September nanti.

Jelas sekali mereka menyalahkan ajaran kitab suci itu atas keganasan yang berlaku itu. Sedangkan mereka sendiri barangkali tidak pernah meneliti dan mendalami kandungan al-Quran. Sebagai reaksi kenyataan itu, CAIR tampil memberi peluang masyarakat bukan Islam melihat sendiri apa yang ada dalam kitab suci itu.

“Umat Islam perlu bersama-sama menyokong kempen yang bertujuan menghilangkan perasaan Islamofobia ini dengan mengedarkan al-Quran kepada jiran, kakitangan awam dan swasta serta wartawan,” kata kenyataan itu lagi.

Bagi menjayakan kempen itu, sasaran CAIR bukan sahaja anggota masyarakat awam, tetapi juga para pemimpin bukan Islam di peringkat daerah, negeri dan pusat di serata AS.

Sepintas lalu, kita rasa terpanggil untuk ikut melaksanakan pendekatan dakwah serupa di tempat kita. Apatah lagi masalah Islamofobia bukan saja bergema di AS, malah ikut berkumandang di negara kita. Jangan dikatakan di kalangan masyarakat bawahan yang ada interaksi paling minima dengan orang Islam sahaja, di kalangan para pemimpin negara yang “tidur sebantal” dengan pemimpin Islam pun salah tanggapan itu masih menebal.

Justeru, mengapa tidak kita berikan setiap mereka ini senaskhah al-Quran untuk mereka baca dan hayati kandungannya? Mudah-mudahan pandangan serong terhadap Islam yang bersarang di benak fikir mereka selama ini boleh cair dan terhakis.

Secara positifnya kita mungkin terfikir begitu. Namun awas, jangan terlupa bahawa kita sedang berada di Malaysia, sebuah negara yang mendakwa sebagai contoh bagi negara-negara Islam seluruh dunia. Kononnya Islam yang diamalkan di negara kita adalah yang terbaik, paling disenangi negara-negara lain dan sangat menepati ajaran Islam sebenar.

Mengikut ajaran Islam yang dipegang erat masyarakat negara ini, al-Quran adalah hak eksklusif dan mutlak umat Islam sahaja. Perbetulkan saya sekiranya tersilap. Namun jika kes pembacaan beberapa potong ayat al-Quran oleh seorang pemimpin DAP Perak tahun dijadikan bukti, kesimpulan saya ini bukan lagi satu kesilapan.

Masakan kita sudah lupa betapa gegak gempitanya seluruh negara dek kerana ada pemimpin bukan Islam mengambil peluang berceramah di khalayak umum dengan memetik ayat al-Quran? Kegagalannya menyebut ayat itu dengan makhraj Arab yang betul dijadikan alasan kononnya dia telah mempersendakan al-Quran.

Ada juga yang mempersoalkan niat sebenar pemimpin DAP itu memetik ayat suci itu. Kononnya ia bertujuan memperalatkannya bagi kepentingan politik.

Ekoran episod itu pelbagai pihak sealiran dengan parti pemerintah negara mengemukakan bantahan. Kutukan terhadap pemimpin DAP itu disemarakkan lagi oleh manipulasi media talibarut pemerintah yang mengapikan tanggapan kononnya beliau mempermainkan ayat-ayat suci orang Islam.

Para penjuak parti pemerintah bahkan membuat laporan polis terhadap beliau. Pandangan beberapa tokoh agama yang secara mudah menghukum (berdasarkan apa yang dilaporkan media) apa yang dibuat pemimpin bukan Islam itu suatu persendaan terhadap ayat al-Quran bagaikan mencurah minyak ke dalam api yang bernyala.

Pengajarannya, itulah ajaran Islam yang dipegang masyarakat negara kita, terutama khalayak penguasa politik. Islam yang meletakkan bahawa orang bukan Islam tidak boleh sama sekali membaca ayat-ayat suci al-Quran. Ia dianggap persendaan.

Justeru, jika untuk melafazkan beberapa potong ayatnya pun sudah dianggap pantang larang, bagaimana mungkin untuk kita serahkan naskhah al-Quran untuk dipegang, ditatap dan diteliti oleh orang bukan Islam?

Akuilah, pegangan silap itu menyukarkan bukan Islam memahami ajaran Islam.

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0215, 29 Ogos 2010 dengan tajuk sama)

Friday, August 27, 2010

Berilah peluang Islam tangani penyakit masyarakat

oleh: Mat Zain Mat Isa

Bagaikan bermusim, kes-kes pembuangan bayi kembali menjadi sajian harian di dada media. Pelbagai pihak yang prihatin tentang penyakit sosial yang semakin kronik itu seolah buntu dan mati akal memikirkan kaedah menanganinya.

Penubuhan pusat bayi terbuang bagaikan tidak memberikan apa-apa kesan mengurangkan gejala itu. Sebaliknya, semakin kerap rayuan mendayu-dayu para artis kita diulangsiar lewat media elektronik, semakin menjadi-jadi pula kes penemuan bayi terbuang.

Keputusan Kabinet minggu lalu agar kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh juga tidak cukup menggerunkan pelakunya. Buktinya, di luar sana saban hari ada bayi dibuang. Ada dicampak ke dalam longkang atau tong sampah, disumbat dalam pembetung atau mangkuk tandas.

Ada dijumpai terapung di sungai, dibungkus dalam beg plastik dan disangkut di pagar, ditinggal di atas rumput, dihurung semut dan diratah nyamuk. Malah ada yang ditemui sisa sahaja dipercayai telah dibaham anjing.

Mengikut fakta terkini dilaporkan media, sepanjang lima tahun ini 472 kes pembuangan bayi direkodkan. Sebahagian besar bayi ditemui itu sudah mati. Anggaplah jumlah yang tidak ditemui jauh lebih besar. Ada yang mungkin sudah ditanam, dibakar atau hancur dimamah faktor alam.

Tahun ini saja, setakat minggu lalu sudah tercatat 65 kes pembuangan bayi. Ia peningkatan ketara berbanding 79 kes sepanjang setahun lalu. Kita masih ada lebih empat bulan berbaki. Tidak mustahil jumlah tahun ini mampu mencecah 100 kes.

Terbukti setakat ini apa jua kaedah penyelesaian dicuba gagal membendung peningkatan gejala ini. Sebagai penganut Islam, mengapa tidak kita akui bahawa unsur yang ‘hilang’ (the missing elemen) dalam merangka kaedah penyelesaian kes buang bayi ini ialah ajaran Islam itu sendiri.

Masalah utama kita dengan pelaksanan Islam ialah apabila penganut agama ini sendiri cuak dan ragu dengan keupayaan Islam menyelesaikan masalah masyarakat. Keraguan itu mungkin timbul ekoran kelemahan dan kesilapan manusia yang sebelum ini melaksana atau mencuba formula Islam, tetapi gagal. Ia juga mungkin satu strategi terancang musuh Islam membentengi masyarakat daripada menaruh keyakinan terhadap kaedah penyelesaian dianjurkan agama suci ini.

Negara kita tidak kurang pakar dalam pelbagai bidang, termasuk pakar sosiologi, psikologi dan segala macam ilmu berkaitan kecenderungan manusia. Kita juga ada ilmuan Islam yang mampu menggarap lautan sumber hukum dan merumuskan pendekatan Islam ke atas setiap permasalahan. Kepakaran mereka boleh digabung-jalin bagi mencari formula terbaik.

Setakat ini langkah-langkah dikemukakan pelbagai pihak lebih ke arah merawat atau membasmi gejala membuang bayi, bukannya mencegah puncanya. Sedangkan masalah sebenar ialah punca yang membawa kepada kewujudan anak yang tidak diingini itu.

Secara rasional kita boleh bersetuju bahawa 100 peratus bayi yang menjadi mangsa pembuangan ialah yang dilahirkan tanpa nikah. Maka secara logiknya pembuangan bayi boleh dibanteras dengan mencegah kehamilan luar nikah.

Bagi umat Islam, langkah utama pencegahan itu ialah dengan kembali kepada kehidupan beragama. Islam bukan sahaja mengharamkan perbuatan zina (seks luar nikah), malah melarang umatnya menghampiri zina. Ini menunjukkan bahawa sebarang perkara yang boleh menjurus kepada menghampiri zina mestilah dijauhi atau ditiadakan.

Di antara perbuatan menghampiri zina ialah pergaulan bebas. Di antara medan paling subur untuk pergaulan bebas dan seks luar nikah ialah konsert dan pusat hiburan.

Selagi ada hiburan tanpa batasan, akan ada pergaulan bebas yang selalunya diiringi penyalahgunaan dadah dan berakhir dengan seks bebas. Gejala itu bakal menyumbang kepada meningkatnya kes kelahiran anak luar nikah.

Jika diteliti fakta anak luar nikah didedahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) awal tahun ini, jumlah 17,303 untuk setahun lalu bersamaan kira-kira 48 kes sehari. Itu bermakna kes kelahiran anak luar nikah di negara kita sepanjang tahun lalu secara purata berlaku setiap 30 minit.

Akuilah bahawa membendung perkara ini memerlukan komitmen semua pihak, terutama pihak berkuasa. Ia tidak mampu dibuat menerusi gigi dan lidah sahaja, tetapi memerlukan tindakan tangan yang menggenggam kuasa.

Hanya dengan kuasa pemerintahan dapat diperbetulkan kepincangan masyarakat. Antaranya, meminda undang-undang yang menganggap melakukan hubungan seks haram dengan kerelaan kedua-dua pihak bukanlah suatu jenayah.

Sudah lebih 50 tahun rakyat memberi peluang kepada Umno mengurus negara. Gejala sosial dan masalah merosakkan akidah umat Islam nampaknya bukan sahaja tidak dapat diatasi, malah semakin meruncing.

Fahaman memisahkan agama dengan politik dianuti parti itu menyebabkan pemimpin negara tidak berfikir sebagai orang beragama. Sebaliknya mereka menjadi penganjur acara hiburan dan pergaulan bebas. Mereka juga mempertahankan undang-undang yang tidak kondusif terhadap pencegahan maksiat dan hubungan terlarang.

Rakyat sepatutnya berhenti dari terus berharap Umno tampil dengan kaedah penyelesaian yang hakiki. Sudah sampai masanya rakyat memberi peluang kepada pihak lain pula, terutama pihak yang ikhlas mengemukakan Islam sebagai kaedah penyelesaian permasalahan masyarakat.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1568, 27 Ogos 2010 di ruangan 'kolumnis', F21 dengan tajuk sama)

Sunday, August 22, 2010

Hishammuddin bakal serah Terengganu dalam gagal


Oleh: Mat Zain Mat Isa

BUAT kali yang entah ke berapa Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein mengulangi lagi seruan agar para pemimpin Umno Terengganu berhenti berbalah sesama sendiri atau terpaksa berdepan kemungkinan parti itu ditolak rakyat.

“Saya percaya orang ramai pun sudah bosan melihat kita (pemimpin Umno Terengganu) berkelahi sesama kita. Kita ada banyak lagi kerja untuk membina negara kita yang semakin sempit dan mencabar,” katanya, sepertimana dipetik media tempatan Terengganu, Isnin (16 Ogos).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu (BPUNT) di Kuala Terengganu, pada Ahad. Pelantikan Hishammuddin untuk mengemudi Umno Terengganu adalah sebahagian penyusunan semula organisasi parti itu yang diumumkan Presidennya, Dato’ Seri Najib Razak, pada April 2009. Ia dibuat di atas asas meleraikan kekusutan dan memulihkan pergolakan dalaman melanda Umno negeri itu.

Hishammuddin mengambilalih jawatan itu daripada Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said. Ahmad yang juga Ketua Umno Bahagian Kemaman dilantik sebagai Pengerusi BPUNT pada 14 Jun 2008 menggantikan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Idris Jusoh. Bagaimana pun, parti dan kerajaan dipimpinnya tidak pernah sunyi dari digugat dan digigit oleh kalangan pemimpin sesama parti, terutama yang tidak dapat menerima pelantikan beliau sebagai peneraju kedua-dua organisasi itu.

Pada zahirnya semua pihak dalam Umno Terengganu menyambut baik pelantikan Hishammuddin dulu. Apabila Ahmad menjadi bahan pertikaian kalangan pemimpin negeri itu sendiri, sudah tentu penyelesaian terbaik ialah mengalihkan jawatan itu kepada orang lain.

Bagaimana pun, setelah lebih 15 bulan diberi tanggungjawab mengetuai Umno negeri berkenaan, terbukti kata sambutan dan aluan diterima Hishammuddin dari semua anak buahnya tidak ubah ibarat sekadar “menanam tebu di tepi bibir”. Hakikat sebenarnya, tidak semua mereka menerima baik kehadiran Hishammuddin. Apatah lagi keterbatasan waktu beliau berada di Terengganu dinilai satu pihak sebagai memberi banyak kelebihan kepada Ahmad selaku timbalannya dalam menentukan gerakerja parti di peringkat negeri.

Ertinya kehadiran Hishammuddin yang diharapkan sebagai pendamai dua kumpulan berseteruan itu tidak berjaya mencapai hasrat asalnya. Akhirnya, kumpulan yang tidak berpuas hati itu bukan sahaja melontarkan peluru ke arah Ahmad, tetapi turut mensasarkan Hishammuddin.

Luahan perasaan Hishammuddin Ahad lalu sudah tentu tidak membayangkan kepuasan hatinya berhubung perkembangan itu. Berdasarkan seruan sama yang diulang-ulang itu, tiada siapa pun yang akan percaya jika dikatakan bahawa masalah dalaman Umno Terengganu telah selesai, atau pun setidak-tidaknya menghampiri jalan damainya.

Beberapa insiden terbaru yang didedahkan kepada umum membuktikan pergolakan parti itu tidak pernah bertambah baik. Di Marang, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang juga timbalan ketua Umno bahagian itu menyerang bekas ketua Umno bahagian itu yang kini dilantik senator dan dipertanggungjawab mengendalikan peruntukan pembangunan untuk Parlimen Marang.

Dalam bahasa agak sinis, Adun berkenaan meminta kerajaan menimbangkan pengagihan peruntukan pembangunan di peringkat Parlimen ke setiap Dun. Beliau mendakwa sehingga kini peruntukan pembangunan Parlimen tidak “tumpah” ke Dun, menyebabkan peruntukan diperolehi Adun-Adun terhad.

“Tetapi apa yang terjadi sekarang, peruntukan itu diberikan kepada mereka yang bertanggungjawab menjaga kawasan Parlimen ini, tetapi wang itu tidak diagihkan kepada kawasan Dun. Jadi kita tidak tahu duit itu ke mana (dibelanjakan),” kata Adun berkenaan, sepertimana dipetik akhbar tempatan Terengganu, awal Julai lalu.

Cerita yang berlaku dalam Umno Bahagian Setiu pula memang lebih menggemparkan. Kumpulan yang tidak sehaluan dengan ketua bahagian mengambil kesempatan atas kehadiran Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan mesyuarat Umno bahagian mereka bulan lalu untuk menyatakan sikap itu. Mereka ini, termasuk empat Adun memboikot mesyuarat tersebut, sehingga menimbulkan rasa kecewa dan kesal yang amat pada Muhyiddin.

Tidak syak lagi keengganan mereka hadir meraikan kedatangan pemimpin nombor dua parti dan kerajaan itu memberikan kesan amat buruk kepada Umno. Bagaimana pun, Majlis Tertinggi Umno yang membincangkan tindakan mereka gagal memutuskan sebarang tindakan disiplin.

“Kita tidak ambil tindakan (terhadap Umno Setiu) kerana kalau mahu ambil tindakan, banyak lagi bahagian lain kena ambil tindakan,” ulas Hishammuddin, Ahad lalu.

Memang benar apa diakui beliau itu. Umno Terengganu bukan sahaja berdepan masalah perpecahan di Setiu, malah keadaan serupa turut berlaku di hampir semua bahagian lain.

Dalam keadaan sebegitulah, kedengaran suara menuntut agar kepemimpinan Umno negeri diserahkan kembali kepada pemimpin tempatan. Antara bahagian mengusulkan perkara itu ialah Kemaman yang diterajui Ahmad sendiri.

Ditakdirkan MT Umno mengambil keputusan selari dengan usul berkenaan, maka mahu tidak mahu Hishammuddin perlu akui bahawa beliau terpaksa menamatkan tugasnya di Terengganu dalam kegagalan. Misinya melaksanakan pelan damai di negeri itu tidak menampakkan hasil positif.

(Artikel ini disiarkan laman harakahdaily.net pada 22 Ogos 2010. Ia dipetik laman detikdaily.net/ pada hari sama, diikuti laman wargamarhaen.blogspot.com dan kerabubersuara.blogspot.com/ pada 23 Ogos 2010)

Tabiat Umno hanya tahu desak PAS laksana Islam


Ada benarnya persepsi umum selama ini bahawa masalah utama berhubung pelaksanaan Islam di negara kita sebenarnya terletak pada pendirian dan perhitungan Umno sendiri. Selaku parti yang menerajui pemerintahan negara dan sebahagian besar negeri-negeri sejak lebih separuh abad lalu, parti Melayu itu sebenarnya sudah tidak ada alasan. Dia memiliki kuasa, kekuatan dan segala peluang diperlukan untuk memastikan hukum dan peraturan Islam terlaksana dengan sempurna jika dia mahu.

Sepertimana kata pepatah Melayu, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Maksudnya, jika Umno memang ada azam untuk melihat Islam didaulatkan di negara kita, maka tempoh lebih 50 tahun menjadi tuan politik negara ini sudah lebih dari cukup untuk rakyat melihat kejayaannya.

Pepatah juga ada menyebut, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Ertinya, kalau mahu, macam-macam usaha boleh dilakukan bagi mendapat atau menjayakan sesuatu. Tetapi kalau sudah tidak mahu, macam-macam alasan pula boleh dikemukakan.

Alasan atau dalih paling lumrah dijaja Umno tatkala dipersoalkan mengapa tidak menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan ialah kerana negara kita bermasyarakat majmuk. Justeru, dalam banyak hal, kehendak dan kepentingan masyarakat bukan Islam juga perlu dijaga dan diraikan.

Hujah itu bagaimana pun semakin sukar diterima rakyat, terutama kalangan umat Islam. Mereka tahu ia semata-mata dalih Umno untuk melepaskan diri dari tanggungjawab melaksanakan Islam.

Sesiapa juga yang berfikiran waras, tidak buta dan tuli pastinya dapat menilai gelagat pengelat Umno dalam banyak kes membabitkan isu-isu pelaksanaan Islam. Kes judi bola sepak yang memuncak pada Jun lalu adalah contoh.

Nampak sangat Umno sebenarnya yang lebih beriya-iya mempertahankan kelulusan lesen pertaruhan sempena pesta bola sepak Piala Dunia 2010 itu. Berbanding parti-parti rakan komponen Barisan Nasional (BN) lain yang sekurang-kurangnya mempertikaikan kewajaran pemberian lesen tersebut, para pemimpin parti Melayu itu pula amat bersungguh merasionalkan tindakan kerajaan itu.

Suatu ketika, para pemimpin Umno berhujah bahawa alasan utama kerajaan menimbangkan permohonan sebuah syarikat judi untuk lesen itu ialah agar aktiviti perjudian dan pertaruhan haram dapat dikawal dan dipantau pihak berkuasa.

Setelah hujah berkenaan jenuh dikritik, Umno menyandarkan pula tindakan haram itu kononnya atas dasar meraikan kehendak dan menghormati hak orang bukan Islam. Seorang menteri Umno malah mendakwa amalan bertaruh adalah sebahagian cara hidup masyarakat bukan Islam.

Dakwaan itu bagaimana pun kembali menempelak Umno apabila para pemimpin parti berasaskan kaum Cina sendiri tidak sebegitu lantang mempertahankan kelulusan lesen judi bola berbanding Umno. Pemimpin DAP yang memerintah Pulau Pinang mengumumkan kerajaannya tidak meluluskan lesen untuk itu.

Presiden Gerakan pula menegaskan kegiatan berjudi boleh mendatangkan kesusahan hidup, termasuk masalah moral dan sosial, kepada sesiapa yang terlibat.

Malunya muka orang-orang Umno, bukan? Justeru, bagi mengelakkan terus dikeji atas hal itu, Umno menggunakan taktik memperlekeh pihak yang menentang judi. Parti lawan, terutamanya PAS, yang menjuarai bantahan lesen judi bola disifatkan sebagai sekadar beretorik, bersikap dwi-piawai dan hanya mempolitikkan isu tersebut.

Mereka mempersoalkan, mengapa hanya bantah judi diluluskan BN, sedangkan di negeri diperintah PAS sendiri (menerusi Pakatan Rakyat) kegiatan itu masih berterusan? Mereka lalu membuat ‘counter attack’ dengan mendesak agar kerajaan-kerajaan negeri dikuasai PR (selain Kelantan yang telah mengharamkan judi secara total) terlebih dahulu menunjukkan contoh mengharamkan judi.

Itulah tabiat Umno. Ia hanya tahu mendesak PAS membuktikan ketulenan Islam yang diperjuangkan. Keghairahannya itu sengaja diperbesarkan sehingga ia lupa bahawa Umno juga bertanggunjawab terhadap Islam.

Islam ini milik semua, bukan hanya untuk PAS sahaja. Justeru, tanggungjawab memastikan Islam terlaksana tidak sayugia dilambakkan ke atas bahu PAS semata-mata.

Keseronokan Umno mengganyang PAS kerana gagal mencapai cita-cita mendaulatkan Islam dalam pemerintahan memang sudah bertabiat. Sebab itu semasa Terengganu diperintah PAS dulu, Umno lah juara mendesak agar hukum hudud dilaksanakan.

Mereka bukan setakat berceramah dan menyebarkan risalah mengenai tuntutan itu, tetapi turut berbelanja besar menaikkan pemidang di seluruh negeri. ‘Bila lagi nak laksanakan hudud?’, ‘Mana janji PAS nak buat hukum hudud?’ dan berbagai lagi ungkapan tertera di segenap lokasi strategik.

Sekali imbas, kelihatannya seolah-olah Umno sangat mahukan hukum Islam itu dikuatkuasakan. Sedangkan hakikatnya, parti itulah penentang nombor satu terhadap usaha PAS melaksanakannya. Memang lidang bercabang sungguh Umno ini, bukan?

Dua isu terbaru yang masih hangat diperkatakan kini lebih menjelaskan lagi tabiat buruk Umno itu. Pemimpin Umno, terutama di Selangor mendesak PAS agar menggunakan kuasanya sebagai komponen pemerintah negeri itu untuk menutup pusat hiburan bersempena kedatangan bulan Ramadhan.

Sekali lagi Umno mahu menggambarkan kononnya ia sangat bencikan maksiat. Sedangkan selama berpuluh tahun ia menerajui kerajaan, mengapa tindakan tersebut tidak diambil? Bahkan, di beberapa negeri lain yang masih dikuasainya, apakah tindakan sama turut diambil?

Isu kilang arak juga berkumandang minggu lalu. Sekali lagi Umno menjadikan PAS sebagai sasaran dan menganggap parti Islam itu gagal menunaikan janji menutupnya. Kegagalan Umno selama ini untuk melakukan perkara itu sengaja disembunyikan.

Apakah kilang arak itu hanya wujud setelah PAS berkongsi pemerintahan di Selangor, lalu hanya PAS yang perlu dipersalahkan jika gagal menutupnya? Apakah peranan Umno hanya sekadar pendesak? Kalau macam itu, elok Umno jadi pembangkang sudah lah!

(Artikel ini disiarkan tabloid mingguan Siasah Bil: 0214, 22 Ogos 2010 dengan tajuk sama)

Monday, August 16, 2010

Isu Johor: Siapa ‘baling batu sembunyi tangan’?

oleh: Mat Zain Mat Isa

Sehingga rencana ini ditulis (Khamis), belum ada kata putus dari pihak keselamatan berhubung siapa sebenarnya bertanggungjawab mengadakan kain rentang yang mengundang kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, minggu lalu.

“Ada pihak cuba memecah belah perpaduan di kalangan rakyat demi untuk kepentingan peribadi. Contohnya, baru-baru ini di Batu Pahat, ada pihak cuba untuk mengheret saya ke dalam kancah politik dengan memaparkan gambar saya sebagai suatu kempen politik. Perbuatan ini adalah biadab dan kurang ajar,” titah baginda di Kota Tinggi, pada Isnin (9 Ogos).

Baginda mengulas penyebaran kain rentang memaparkan gambar baginda bersama Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Johor, Datuk Chua Jui Meng dan Penasihat Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Kain rentang itu dikatakan dinaikkan bersempena majlis ceramah anjuran Keadilan di Batu Pahat. Di atas kain rentang itu turut dinyatakan sokongan kepada Jui Meng sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya Pakatan Rakyat (Pakatan) memenangi pilihan raya umum nanti.

Sepintas lalu, mungkin ada yang terpengaruh untuk percaya bahawa kain rentang itu dihasilkan Keadilan. Kecenderungan itu dibuakkan lagi oleh eksploitasi rakus para pemimpin Umno. Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menyifatkan perbuatan menggunakan gambar Sultan dalam kempen politik sebagai keterlaluan dan melampau. Tempelak itu ditujukan kepada pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ikut menerjah. Beliau mendesak kepimpinan Pakatan memohon ampun dan maaf kepada Sultan Johor. Baginya perbuatan itu jelas tidak menghormati institusi istana selain boleh disifatkan sebagai menjatuhkan maruah serta martabat institusi tersebut.

“Sebagai rakyat Malaysia, adat kita apabila raja murka ialah mendapatkan ribuan kemaafan dan keampunan daripada baginda dan pastikan perbuatan itu tidak diulangi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara pemimpin Umno seakan terlalu yakin tiada ahli dan pendukung parti itu terlibat mengadakan kain rentang provokatif itu, Keadilan juga meluahkan pendirian serupa. Jui Meng dengan tegas menafikan partinya menerbit dan menyebarkan kain rentang tersebut, sebaliknya mendakwa ia didalangi seorang pemimpin Umno yang juga bekas Menteri Besar negeri itu.

Beliau juga mendakwa mendapat maklumat kain rentang itu dicetak di sebuah premis di bandaraya Johor Bahru.

"Nama bekas Menteri Besar itu ada disebut di dalam maklumat yang saya terima. Nampaknya dia cuba untuk menjadi jaguh dan cuba untuk memulihkan imejnya yang satu ketika dulu tercemar kerana terlibat dalam krisis dengan Raja-raja Melayu sehingga imuniti Raja-raja Melayu dihapuskan”, katanya.

Menurut Jui Meng, tindakan pihak tertentu memasang kain rentang provokaif di sepanjang laluan perjalanan Sultan Johor dalam program siri jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ) II bertujuan menimbulkan kemarahan rakyat dan percubaan untuk melaga-lagakan Keadilan dengan pihak istana.

Beliau berharap pihak polis segera menjalankan siasatan yang mendalam dan mendakwa dalang di belakang perbuatan itu. Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor turut membuat laporan polis mendesak dilakukan siasatan terperinci berhubung penyebaran kain rentang yang dianggap sengaja bermaksud mencemarkan imej Pakatan itu.

Setakat Rabu, polis dilaporkan telah mengambil keterangan daripada tidak kurang 40 individu, termasuk Jui Meng sendiri, bagi membantu siasatan kes tersebut. Polis Johor turut memaklumkan telah menerima sembilan laporan polis berhubung kes itu sejak 31 Julai.

Sementara teka-teki berhubung siapa sebenarnya bajingan di sebalik kes ini masih belum berjawab, tidak saguyia kita mendahului hasil siasatan pihak berkuasa. Bagaimana pun, sebagai makhluk politik yang amat masak dengan taktik dan strategi Umno-BN dalam memprovokasi keadaan dan membangkitkan sentimen negatif terhadap pembangkang, kita sukar menolak kemungkinan ianya satu lagi perbuatan ‘baling batu sembunyi tangan’ oleh Umno.

Kita ada senarai agak panjang kes-kes sebegitu. Contohnya, kes yang terjadi dalam satu kempen pilihan raya kecil di Kedah kira-kira sedekad lalu. Petugas BN didakwa diracun di markas parti itu.

Media talibarut BN memanipulasinya dengan memberi gambaran seolah-olah ia kerja sabotaj pembangkang. Akhirnya, ia terbukti angkara sesama mereka dan kes itu senyap begitu saja.

Kegemaran pemimpin Umno memfitnah tidak terbatas hanya kepada parti lawan. Mereka tergamak melakukannya antara sesama mereka sendiri.

Contohnya, kes sms (servis mesej singkat) ugutan bunuh diterima tiga Adun BN Terengganu. Seorang pemimpin Umno Marang yang juga setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Terengganu sedang dibicarakan atas dakwaan itu.

Umum percaya di sana telah berlaku ‘baling batu sembunyi tangan’. Seorang penjawat awam difitnah kononnya menghantar sms mengugut tiga Adun BN itu. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said turut menjadi mangsa keadaan apabila dikaitkan sebagai dalang ugutan itu.

Itu baru dua kes. Banyak lagi yang boleh disenaraikan.Umno telah buktikan ia memang pakar dalam kerja sebegitu. Justeru, jangan salahkan rakyat jika sukar percaya Umno tidak terlibat dalam kes kain rentang di Johor minggu lalu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1565, 16 Ogos 2010 dengan tajuk sama)

Friday, August 13, 2010

Tabiat suka adu domba burukkan imej Umno

oleh: Mat Zain Mat Isa

Patutlah mana-mana khalayak politik yang pernah menjadi mangsa fitnah dan konspirasi politik Umno sukar memaafkan parti Melayu itu. Para pemimpinnya dinilai terlalu ego untuk belajar daripada kesilapan. Mereka juga terlalu bebal untuk mengusahakan suasana lebih kondusif bagi mengendurkan kebencian pihak lain terhadapnya.

Kita biasa melihat ada orang tiba-tiba jadi geli-geleman bila disebut nama parti tua itu. Ada pula yang terus meludah, ada yang loya dan nak termuntah apabila mendengar orang memuji dan menyanjung Umno. Malah ada telinga yang berdesing dan serta-merta bertukar merah bila mendengar kalimah ‘Umno’ dituturkan.

Ada juga yang tidak keberatan menggelarkan Umno dengan berbagai nama dan sifat. Kita pernah mendengar kalangan bekas pemimpin Umno sendiri menggelarkan parti mereka tinggalkan itu sebagai pengkhianat bangsa, perompak harta negara, penggadai tanahair, penoda kesucian agama, parti rasuah, parti pecah-belah dan berbagai lagi.

Di masa wujudnya Parti Melayu Semangat 46 (S46) dulu, istilah “mahkluk perosak” sangat laris digunakan sebagai gantinama pemimpin tertentu dalam Umno. Malah ada seorang pemimpin S46 Kedah tergamak melabelkan parti ditinggalkannya itu sebagai “dajai”. Walau pun pemimpin tersebut kemudiannya kembali untuk mati di dalam parti “dajai” itu, ucapannya itu kekal dalam ingatan semua pihak yang mendengar dan menyebarkannya.

Kenapa orang yang ada masalah dengan Umno sukar menjernihkan hubungan dengan parti itu? Mengapa pula setiap yang marah dengan Umno mudah hilang sabar dan sukar mengawal lidah untuk menghamburkan kata-kata kesat terhadap pemimpinnya?

Antara punca utama ialah tabiat buruk dimiliki para pemimpin parti itu sendiri. Umno dipenuhi, dari peringkat bawahan hingga peringkat tertingginya, oleh pemimpin yang payah mengakui kesilapan sendiri di samping hanya tahu melihat kesalahan pihak lain.

Di samping itu, otak mereka ini sudah dihipnotis untuk menganggap hanya apa yang dibuat Umno sebagai betul, manakala apa dibuat parti-parti lawan semuanya tidak betul. Sehinggakan apabila ada parti lain yang menyatakan sesuatu yang bertepatan dengan apa yang diperjuangkan Umno, ia diolah penuh sinis dan prasangka.

Kita menilai kenyataan beberapa pemimpin Umno mengulas pendirian PAS berhubung isu diskaun untuk pemilikan hartanah oleh Bumiputera minggu lalu rata-rata diselubungi sikap ego dan tabiat buruk sebegitu. Biar pun keseluruhan mereka memuji ketegasan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan hak orang Melayu dalam kes berkenaan, ulasan dan reaksi para pemimpin Umno itu tidak terlepas dari kata-kata memperlekeh PAS disulami niat mengadu domba sesama parti anggota Pakatan Rakyat (Pakatan).

Kebanyakan media cetak pada Sabtu (7 Ogos) memetik kenyataan Abdul Hadi bahawa hak dan keistimewaan orang Melayu serta Bumiputera perlu dikekalkan, termasuk dasar pemberian diskaun dalam pemilikan hartanah.

Beliau dipercayai mengulas cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara daripada DAP, Tony Pua agar kerajaan memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah di Selangor.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara pemimpin paling awal mengeksploitasi reaksi Abdul Hadi itu. Beliau bukan sahaja menganggap kenyataan Presiden PAS itu amat tepat, malah mengucapkan terima kasih dan tahniah di atas ketegasan itu.

Malangnya, pujian Muhyiddin tidak terhenti di situ. Beliau juga tidak terlepas dari tabiat pemimpin Umno yang suka mengadu domba. Perbezaan pendirian antara Tony dan Abdul Hadi itu dimanipulasi untuk melaga-lagakan pula dua parti anggota Pakatan itu.

Beberapa pemimpin Umno lain ikut mengulas. Ada yang secara jahat menilai ketegasan Abdul Hadi itu sebagai isyarat kepada ahli PAS agar menolak DAP yang dilabel parti perkauman. Ada pula menafsirkan kelantangan Tony tadi sebagai bukti DAP menjadikan parti rakan Pakatan, termasuk PAS hanya sebagai ‘kuda tunggangan’.

Sudah jelas sifat durjana Umno, bukan? Ia sengaja meletakkan PAS dalam keadaan serba salah. Ibarat kata pepatah, ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Umno sengaja menyulitkan PAS menyatakan pendirian terhadap isu-isu berhubung hak dan kepentingan Melayu. Di saat ia begitu merenyam mahukan PAS berpadu dan bekerjasama dengannya, Umno bukan sahaja tidak membantu memperbaiki persepsi negatif ahlinya terhadap PAS, malah juga memburukkan lagi imej Umno di kalangan ahli PAS.

Justeru tidak hairan lah jika sebarang pelawaan Umno untuk mengajak parti lain bersatu dan bekerjasama, sama ada atas nama bangsa Melayu mahu pun agama Islam, mentah-mentah ditolak orang. Umno sendiri terlalu bangang dan tidak pandai menjaga tutur bahasa, menyebabkan jumlah orang yang meluat dengan parti itu semakin bertambah hari ke hari.

Dapat kita bayangkan, andaikata PAS membisu dan tidak bersuara mempertahankan hak Melayu itu, Umno lah juara mencanangkan kononnya PAS mengkhianati bangsa sendiri. Sebaliknya, apabila PAS berpendirian mengekalkan hak itu, Umno memutarbelitnya pula untuk memberi gambaran seolah-olah tindakan PAS itu memungkinkan perpecahan di kalangan parti-parti Pakatan.

Memang patut pun bekas pemimpin S46 Kedah dulu labelkan parti itu sebagai parti “dajai”!

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1564, 13 Ogos 2010 di ruangan 'kolumnis', F16 dengan tajuk sama)

Monday, August 9, 2010

Ahmad Said sukar kikis imej anti-Idris

oleh: Mat Zain Mat Isa

Sekalung tahniah buat Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Dalam seminggu dua ini, beliau ditakdirkan melalui beberapa detik membanggakan sebagai peneraju negeri yang tidak sunyi dari gugatan dan gigitan para pendukung partinya sendiri.

Mendahului senarai pencapaian positif itu tentunya anugerah Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang diterimanya sempena ulang tahun ke-48 Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 20 Julai lalu. Istiadat penganugerahan disempurnakan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah, Kuala Terengganu, Khamis (5 Ogos).

Dengan darjah diterimanya itu, beliau kini bergelar “Datuk Seri”. Beliau adalah satu-satunya pemimpin politik yang diberikan gelaran “datuk”. Lebih bermakna lagi, majlis penganugerahan darjah kebesaran ini adalah yang pertama dalam masa tiga tahun, juga yang pertama sejak Ahmad menjadi Menteri Besar.

Kebetulannya anugerah itu tiba ketika beliau mengorak langkah positif memperbaiki imejnya, terutama di kalangan anak-anak buahnya sendiri. Dalam tempoh beberapa minggu lalu, satu demi satu penyelesaian dicapai kerajaannya dalam menangani beberapa projek bermasalah tinggalan menteri besar digantinya.

Contohnya, kerja membersihkan sisa runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) dijadualkan bermula 26 Julai lepas, setelah ia terbiar sejak runtuh pada 2 Jun 2009.

Membiarkan sisa runtuhan dalam keadaan begitu sebegitu lama telah memberikan imej negatif kepada negeri. Ia sesuatu yang memalukan, apatah lagi stadium itu terletak hanya sepadang dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Setiap pesawat yang turun-naik di situ, termasuk yang membawa pelancong dan pemimpin luar seakan menyediakan perkhidmatan percuma meneliti runtuhan itu dari udara

Hal itu turut menjadi isu politik. Cakap-cakap yang laris kedengaran mendakwa Ahmad sengaja melengah-lengahkan kerja pembersihan sisa runtuhan dan pembaikian bumbung itu. Kononnya beliau berhasrat memalukan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga seteru utamanya dalam politik negeri.

Projek menelan belanja hampir RM300 juta itu memang perancangan Idris. Beliau malah sering menobatkan kemunculan stadium itu sebagai salah satu “Impian Menjadi Realiti” oleh kerajaan pimpinannya dulu.

Justeru, ada yang mendakwa, bertolak daripada sentimen anti-Idris, Ahmad sengaja membiarkan sisa runtuhan itu disaksikan sepuasnya oleh semua pihak. Ahmad dikatakan sengaja melambatkan usaha membaikpulihnya agar ia diingati sebagai bukti kegagalan projek dirancang Idris.

Bagaimana pun persepsi negatif itu sedikit terpadam baru-baru ini apabila kerajaan negeri akhirnya memberi kontrak kepada sebuah syarikat pembinaan dari Setiu, Syarikat Azimat Berkat Sdn Bhd untuk melaksanakan kerja pembersihan sisa runtuhan itu secara percuma.
Kerajaan hanya memberi sisa runtuhan itu sebagai kos gantian tanpa melibatkan sebarang bayaran.

Kehadiran Ahmad ke Besut minggu lalu juga menambah nilaian positif kepada usahanya mengikis imej anti-Idris. Selaku pangkalan kekuatan bekas menteri besar itu, tidak semua pendukung Umno di Besut dapat menerima kepemimpinan Ahmad, sama ada dalam parti mahu pun kerajaan, hingga kini.

Bagaimana pun persepsi itu dikatakan semakin berubah. Dalam kunjungannya ke bandar Jertih, pusat ekonomi daerah Besut pada Selasa (3 Ogos), Ahmad merasmikan Medan Selera Jertih yang baru dinaiktaraf dengan kos RM3 juta.

Di kesempatan itu juga beliau membuat lawatan ringkas ke Jertih Souq, projek bazaar moden di tengah bandar itu yang terbengkalai sejak lebih setahun lalu. Media mendedahkan bahawa kerja-kerja pembinaannya telah pun dimulakan semula.

Isu utama di sini ialah projek disantuni Ahmad hari itu merupakan tinggalan Idris. Sepertimana kes runtuhan stadium tadi, terbengkalainya pembinaan Jertih Souq juga dibauri dakwaan kononnya ia disengajakan Ahmad, di atas sentimen anti-Idris. Lebih setahun ia terbiar menjadi bahan tutur warga setempat, selama itu jugalah sentimen anti-Ahmad di kalangan penyokong kuat Idris disemarakkan.

Kunjungan Ahmad minggu lalu boleh dianggap perkembangan positif baginya mengikis imej anti-Idris, terutama yang bersarang di fikiran pendukung Umno Besut. Bagaimana pun, ia masih jauh dari mendamaikan kekecewaan anak-anak buahnya di daerah itu.

Idris sendiri secara terbuka pernah mendakwa Ahmad sengaja meminggirkan projek dicetuskannya. Selain Jerteh Souq, beliau turut menyebut ura-ura kerajaan negeri membatalkan hasrat membina kampus Universiti Darul Iman Malaysia (UDM – kini UniSZA) yang dirancangnya di Taman Ilmu Besut.

Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Besut pada 11 Julai 2010 pula menyentuh satu lagi projek yang menjadi bahan pertembungan hasrat antara Ahmad dan Idris, iaitu isu Kompleks Imtiaz di Bukit Keluang, Besut. Umno Besut mendesak kerajaan negeri mengekalkan kompleks tersebut sebagai premis baru Sekolah Menengah Imtiaz Besut, sedangkan Ahmad dikatakan berhasrat menjadikannya kolej Yayasan Terengganu.

Tidak syak lagi, dua pertembungan itu adalah antara puluhan lagi sebab yang menyukarkan Ahmad mengikis imej anti-Idris pada dirinya, sepertimana dipercayai sebahagian ahli Umno. Bukan sahaja di Besut, tetapi di seluruh Terengganu.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1563, 9 Ogos 2010 dengan tajuk sama)

Friday, August 6, 2010

Mujur PAS tidak terpesona dengan pengiktirafan MCA

oleh: Mat Zain Mat Isa

Minggu lalu MCA sekali lagi secara tidak langsung bagaikan “menepuk-nepuk bahu” PAS. Tanpa selindung presidennya, Dato’ Seri Dr Chua Soi Lek, “mengiktiraf” beberapa kelebihan dimiliki PAS berbanding parti-parti rakan dalam Pakatan Rakyat (PR).

Dalam kenyataannya selepas merasmikan Mesyuarat Agung MCA Kelantan di Kota Bharu, Jumaat (30 Julai), Soi Lek mendakwa kelebihan itu memberikan keyakinan kepadanya bahawa parti Islam itu lebih layak menerajui negara sekiranya PR berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum nanti.

“Pada hemat kami (jika PR menang), Perdana Menteri akan datang dari PAS kerana parti itu mempunyai satu organisasi yang lebih besar, ahli yang lebih ramai dan mempunyai sumber yang jauh lebih besar berbanding parti lain,” katanya, sepertimana dipetik kebanyakan media.

Pada zahirnya pengakuan agak berterus-terang itu seakan pujian buat PAS. Bagaimana pun tidak sukar dipastikan betapa ia sebenarnya bukan bermaksud pujian ikhlas terhadap keupayaan pemimpin PAS.

Mengambilkira bahawa ungkapan Soi Lek itu disertai ingatannya kepada rakyat agar tidak membiarkan pakatan pembangkang menguasai pentadbiran kerajaan Pusat, serta apa didakwanya sebagai rekod tidak baik PAS sepanjang memerintah Kelantan, maka segala diluahkannya itu bukan sesuatu yang boleh diterima secara positif.

Sejarah mengajar kita bahawa dalam pertembungan politik, pujian musuh seringkali bersirat strategi halus untuk mewujudkan suasana selesa. Perasaan itu juga berpotensi mewujudkan sikap terlalu yakin dengan kemenangan, sehingga akhirnya kita tidak berusaha keras membina kekuatan ke arah mencapainya.

Sayugia disebut bahawa ini bukan kali pertama MCA mengusik batang tubuh PAS secara khusus. Sejurus selepas pilihan raya umum 2008, parti komponen BN itu pernah mengumumkan satu kajian sebuah badan penyelidikan di bawahnya berhubung prestasi cemerlang PAS dalam pilihan raya itu.

Kajian itu menyimpulkan bahawa PAS bukan sahaja berjaya memecah benteng undi bukan Melayu yang selama ini dikuasai BN, malah turut meningkatkan sokongan di kalangan pengundi Melayu.

Dapatan kajian itu bukan sahaja membanggakan PAS, bahkan kemudiannya kerap dipetik kalangan pemimpin parti itu sendiri bagi membuktikan betapa parti itu sebenarnya masih diterima baik pengundi tradisinya.

Penerimaan selesa terhadap fakta yang sengaja dijulang MCA itu bagaimana pun mewujudkan keyakinan palsu di kalangan sebilangan pemimpin PAS. Sehinggakan mereka seakan sukar menerima hakikat bahawa tahap sokongan pengundi mampu berubah dalam masa singkat.

Perbahasan di Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Kota Bharu, Jun lalu boleh dijadikan renungan. Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat (JPP), Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman meluahkan kebimbangannya dengan kecenderungan terbaru di kalangan pengundi Melayu yang tidak memihak PAS.

Beliau memetik fakta keputusan beberapa pilihan raya kecil terkini yang secara keseluruhannya menampakkan sedikit kemerosotan undi Melayu terhadap PAS dan PR. Fakta sama dikongsi perwakilan Kelantan yang turut menyeru agar PAS jangan meninggalkan fokus kepada pengundi Melayu selaku penyokong tradisinya.

Agak mengejutkan apabila ada yang bangun menyanggah kenyataan itu. Malah ada yang memetik hasil kajian MCA tadi, bahawa sokongan pengundi Melayu terhadap PAS semakin meningkat dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya. Kata mereka, undi Melayu kepada PAS tidak pernah merosot. Justeru, PAS tidak perlu bimbang akan kehilangan sokongan kaumnya sendiri.

Kini, MCA sekali lagi “memuji” kekuatan PAS. Biar pun pada zahirnya ia kelihatan bagai mengiktiraf kemampuan PAS, niat politiknya tidak sukar ditelah. Agak terserlah tujuannya melagakan parti-parti PR, khususnya di kalangan pemimpin PAS dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan).

Apatah lagi dengan yakin beliau meramalkan Penasihat Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi Perdana Menteri sekiranya PR menguasai negara. Hakikat bahawa PAS, Keadilan dan DAP telah sepakat memilih Anwar sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen seakan tidak memberikan sebarang erti politik kepadanya.

Mujur juga para pemimpin PAS dan rakan-rakan dalam PR cepat belajar dari kesilapan. Mereka tidak mudah melatah atau terpesona dengan pengiktirafan musuh. Apatah lagi sehingga tergamak menodai persefahaman dan setiakawan yang sedia terjalin.

“Masalah rakyat lebih utama sekarang. Kita mahu menyelamatkan rakyat daripada kehancuran ekonomi negara supaya rakyat terbela dan negara terjaga. Jawatan (Perdana Menteri) itu hanya sebagai pengemudi dalam kepimpinan. Sesiapa pun tiada masalah memegang jawatan sebagai pemimpin,” media memetik reaksi tegas Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Di samping menampakkan pihaknya tidak terlalu selesa dengan pengiktirafan sebuah parti musuh itu, kenyataan Idris juga sekali gus mengingatkan pendukung PR agar tidak tergelincir dari landasan asal perjuangan.

Bahawa matlamat utama PR kini ialah untuk memastikan BN berjaya ditumbangkan dan Putrajaya ditawan PR. Untuk itu, parti-parti PR jangan dilengahkan dengan isu remeh-temeh yang mampu menimbulkan pertikaian dan kecurigaan sesama sendiri. Sebaliknya, isu yang perlu diutamakan ialah berkaitan pembelaan nasib dan masa depan rakyat.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1562, 6 Ogos 2010 di ruangan 'EDOTORIAL', N4 dengan tajuk "Mujur PAS tak terpesona pengiktirafan MCA")

Monday, August 2, 2010

Kebenaran guru berpolitik jangan jadi perangkap

oleh: Mat Zain Mat Isa

Pada dasarnya kita mengalu-alukan keputusan kerajaan membenarkan semula pegawai perkhidmatan pendidikan bergiat aktif di dalam politik. Bagaimana pun, kita juga ada sebab amat wajar untuk meragui keputusan tersebut.

Sebagai parti yang sangat masak dengan sepak terajang politik Barisan Nasional (BN) dan berpengalaman pula menanggung pelbagai tribulasi ditimpakan parti pemerintah itu, tentu tidak mudah bagi PAS menerima tanpa prasangka sebarang peraturan atau keputusan diperkenalkan kerajaan.

“Kita berharap perkara ini bukan hanya agenda jangka pendek mereka (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum,” media pada Khamis (29 Julai) memetik terjahan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Beliau mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada Selasa bahawa guru-guru siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan semula membabitkan diri dalam politik. Katanya, kerajaan meminda Peraturan 12 (2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi membolehkan kira-kira 140,000 guru kategori berkenaan bertanding, dilantik atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana parti politik, berkuatkuasa 1 Ogos.

Tidak sukar diterima umum bahawa BN pada prinsipnya tidak akan melulus atau memperkenalkan apa-apa peraturan sekiranya keputusan itu tidak menguntungkannya. Dalam ertikata lain, apa jua kelonggaran atau keterbukaan BN hanya terbatas dalam ruang lingkup sejauh mana ia tidak menggugat kepentingan BN atau mencabar kekuatannya.

Sebab itu kita berpandangan usaha terbaru melonggarkan peraturan agar guru berpolitik tidak akan sampai ke peringkat mereka bebas berpolitik menentang BN. Sebaliknya, ada kemungkinan sangat besar keputusan ini didorong kepentingan terdesak BN meningkatkan semula pengaruhnya yang semakin merosot, terutama di kalangan penjawat awam.

Mungkin agak prejudis, tetapi apakah tidak mungkin keputusan ini bermatlamat memerangkap guru tertentu secara paksa rela? Maksudnya, kita tahu di luar sana ramai guru yang semakin meluat dengan BN-Umno. Bagaimana pun, atas beberapa hakikat peribadi, tidak semua mereka berupaya menzahirkan sikap itu.

Lebih malang lagi, sebilangan mereka terlalu naif untuk menolak pelawaan Umno agar aktif dalam parti itu. Selama ini golongan sebegini berdalih atas peraturan menghalang mereka berpolitik.

Kini, dengan terhapusnya halangan itu, nantinya tiada lagi alasan kukuh untuk guru-guru sebegitu menolak desakan dan tekanan pemimpin Umno agar membantu parti mereka. Kita bimbang ia menjadi tiket bermakna buat BN-Umno melaksanakan strategi menekan dan memaksa penjawat awam menuruti agenda mereka.

“Mereka (BN) perlu buktikan keikhlasan supaya jaminan berkenaan benar-benar bebas dengan tidak menghadkan guru hanya boleh aktif dalam Umno,” kata Salahuddin.

Sebenarnya apa disebutnya itu bukan sekadar mempersoalkan keikhlasan BN berhubung keputusan terbaru itu. Bagi kita ia lebih bermaksud menyindir parti pemerintah itu, mengambilkira rekod buruk BN selama ini yang gemar menekan dan memaksa penjawat awam tunduk kepada kehendak dan kepentingannya sahaja.

Apatah lagi di sana masih wujud ruang yang memungkinkan berlakunya salah guna kuasa atau pertimbangan berat sebelah yang memihak parti pemerintah itu. Dimaklumkan setiap guru yang berhasrat aktif dalam politik itu disyaratkan terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran. Apakah ada jaminan tidak akan berlaku ‘hanky-panky’ di situ?

Kebenaran untuk guru-guru berpolitik tadi juga disertakan syarat ketat. Bahawa tugas dan fokus utama guru mendidik anak-anak tidak terjejas dengan pembabitan dalam politik.

Tidak syak lagi soal terjejas atau tidak itu bergantung kepada pengesahan pihak yang menilai prestasi kerja guru berkenaan. Sekali lagi, ruang itu juga tidak terlepas daripada kemungkinan salah guna kuasa berasaskan pengaruh politik pemerintah ke atas pihak atasan guru-guru terbabit.

Biar pun BN mendakwa kebenaran tadi membuktikan keterbukaan kerajaan yang tidak pernah menghalang penjawat awam berpolitik, rakyat tidak seharusnya begitu selesa dengan sikap terbuka itu. Ada kemungkinan ia juga perangkap terhadap guru-guru terbabit.

Pengalaman sebilangan pendukung dan aktivis PAS bergabung seketika dengan parti serpihan Umno, Semangat 46 dulu wajar direnung semula. Ada cerita menimpa sebilangan aktivis PAS yang sebelum itu terpaksa bergiat di belakang tabir di atas sebab-sebab kekangan peraturan. Mereka bagaimana pun tidak dapat mengelak mendedahkan pendirian politik kepada rakan-rakan baru dari parti sahabat itu, sama ada menerusi mesyuarat bersama mahu pun program khas dalaman peringkat masing-masing.

Malangnya, setelah rakan baru itu kembali semula kepada Umno, dia menjadi pelapor dan saksi utama membolehkan tindakan tata tertib berasaskan politik dikenakan ke atas aktivis PAS berkenaan.

Tidak mustahil kebenaran terbaru kerajaan tadi juga nantinya mendorong sejumlah besar guru menzahirkan diri dalam kepimpinan PAS. Apakah ada jaminan peraturan itu kekal selamanya?

“Jangan pula selepas ini ada guru yang ditukar tempat kerja (kerana aktif dalam PAS),” itu pula kebimbangan Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad.

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1561, 2 Ogos 2010 di ruangan 'EDITORIAL', N4 dengan tajuk sama)

Sunday, August 1, 2010

Cikgu Rosimah Salleh Temui kepuasan didik anak kecil kenal Islam

“Syukur alhamdulillah, saya rasa sangat bertuah dengan adanya seorang guru cemerlang yang sanggup bertugas sebegitu lama. Bukan senang nak cari seorang yang ada minat dan dedikasi yang sangat tinggi seperti Cikgu Mah,” akui Pengerusi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Hayyu, Encik Aminuddin Muhammad Ali.

Guru yang beliau maksudkan ialah Puan Rosimah Salleh. Sejak PASTI Al-Hayyu di karyah Kuala Besut, Terengganu ditubuhkan pada tahun 1989 lalu, Cikgu Mah adalah salah seorang di antara tiga guru yang diambil bertugas. Kini dalam usia prasekolah itu yang sudah memasuki tahun ke 22, hanya Cikgu Mah yang masih kekal melayani karenah dan keletah anak-anak di pusat itu.

Kebetulan pula Aminuddin yang lebih mesra dipanggil ‘Paksu Min’ juga menjadi Pengerusi PASTI Al-Hayyu sejak penubuhannya. Pengalaman sebegitu lama mentadbir pusat pendidikan itu menjadikan beliau orang paling layak memperkatakan apa juga tentang prestasi dan dedikasi Cikgu Mah di sepanjang tempoh khidmatnya yang begitu lama.

“Tiada perkataan paling sesuai nak saya gambarkan perasaan gembira dan puas saya kerana dapat beri khidmat kepada Islam ini. Bagi saya, ini (PASTI) adalah tempat paling baik untuk kita lahirkan generasi yang ditanam dengan asas-asas ilmu Islam sejak usia awal mereka,” Cikgu Mah memulakan bicara, disulami reaksi malu-malu kucing.

Lepasan Institut Berakan, Kuala Terengganu itu menegaskan demikian apabila ditanya mengapa memilih kerjaya sebagai seorang guru prasekolah berbanding pelbagai kerja lain yang mampu beliau perolehi. Jawaban diberikannya tadi sekali gus menggambarkan minat dan komitmen tinggi beliau terhadap kerjaya pilihannya ini.

Meski pun pada raut wajahnya tergambar jiwa yang serius dan kental, tutur bicara wanita berusia 40 tahun ini penuh lemah-lembut dan amat bersopan. Ketinggian akhlak itu amat bersesuaian dengan peranannya sebagai seorang yang diamanahkan mendidik anak-anak kecil dengan adab dan akhlak Islam.

Menurut Paksu Min, pada awal khidmatnya lebih dua dekad lalu, Cikgu Mah dan rakan-rakan setugasnya diberikan elaun bulanan hanya RM80. Tiada lagi elaun atau bonus lain sebagai tambahan kepada elaun pokok itu.

Apa yang amat mengharukan pengusaha kedai batik itu ialah tidak pernah walau pun sekali Cikgu Mah menyuarakan rasa tidak senangnya dengan jumlah bayaran yang amat tidak sepadan itu. Ya lah, bukan saja Paksu Min, malah penulis sendiri dan para pembaca juga mungkin tahu di ketika itu rakan-rakan setugas Cikgu Mah di tempat lain, terutama di Pantai Barat menerima elaun bulanan berkali ganda daripada RM80 itu.

Memandangkan kos operasi PASTI Al-Hayyu banyak ditampung menerusi kutipan yuran bulanan daripada murid-muridnya dan sedikit sumbangan tidak berkala daripada anggota karyah, maka pihak pentadbir hanya mampu menawarkan elaun sekadar kemampuan kewangannya.

“Sebab itu saya kata bukan senang nak cari seorang guru yang sededikasi itu. Saudara bayangkan saja, berapa ramai wanita kita sanggup hidup dengan bayaran hanya RM80 sebulan? Jika dia sendiri redha pun, belum tentu ibu bapa atau suami dia berkongsi komitmen yang sama,” luah Paksu Min, dengan raut wajah gembira bercampur sayu.

Allah Ta’ala Maha Kaya dan Maha Mengasihani. Niat ikhlas dan hasrat murni para pencinta pendidikan Islam untuk menjayakan pusat asuhan ini akhirnya dipermudahkanNya. Berbekalkan kecekalan sekumpulan individu beserta sokongan padu anggota karyah Kuala Besut, PASTI Al-Hayyu berjaya membeli sebidang tanah dan membina sebuah bangunannya sendiri. Rezeki pusat ini dimurahkan lagi oleh Allah Ta’ala apabila ada pihak bersetuju menyewa sebahagian tanah miliknya untuk urusan perniagaan.

“Alhamdulillah, dengan sumber ekonomi yang tetap itu kita lebih selesa menjaga kebajikan guru dan murid-murid. Elaun bulanan Cikgu Mah kita naikkan dari masa ke masa. Daripada 80 rial (RM80), naik seratus, kemudian 120, 200, dan 270. La (sekarang) ni kita alhamdulillah bagi dia RM350 sebulan. Kelengkapan pengajaran dan pembelajaran juga kita berjaya pertingkatkan,” cerita Paksu Min lagi.

Untuk rekod, PASTI Al-Hayyu pernah menerima anugerah sebagai PASTI Terbaik Kawasan Besut sempena Ijtimak PASTI Besut 1989. Cikgu Mah pula pernah beberapa kali menerima anugerah khidmat cemerlang. Antaranya Anugerah Tokoh Guru PASTI Besut kira-kira sedekad lalu dan Anugerah Guru PASTI Cemerlang 2009.

Namun bukan pengiktirafan atas peribadinya yang ditagih. Yang lebih membanggakan Ketua Nisa’ Besut itu ialah apabila anak didiknya berjaya meraih kecemerlangan dan kejayaan.

“Saat paling membanggakan saya sepanjang khidmat di sini ialah apabila murid saya, Nurlailatul Jaa’izah Mohd Nadzri dinobatkan sebagai juara pertandingan pidato peringkat kebangsaan sempena perhimpunan PASTI Pusat di Langkawi, Kedah, tahun 2008 lalu. Bagi saya itulah pengiktirafan paling bermakna untuk saya dan juga PASTI Al-Hayyu,” akui Cikgu Mah.

Kini, walau pun rumahtangga yang didirikannya dengan Encik Zainuddin Seman masih belum dimeriahkan dengan kehadiran cahaya mata, Cikgu Mah tetap berbangga setelah berjaya mengasuhdidik lebih 1,000 lepasan pusat itu. Sebilangan bekas anak didiknya pula berjaya menjadi warga berguna dalam masyarakat. Malah, ada bekas anak didiknya berjaya melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah, manakala sebilangan lagi mendapat tempat di pusat pengajian dalam negara.

“Saya juga tumpang rasa syukur dapat menyumbang khidmat bersama Cikgu Mah. Walau pun ada ibu bapa kata dia bengkeng (garang) dengan anak murid, sikap tegas tu sebenarnya amat penting untuk disiplinkan budak-budak ni,” celah Ismazulrina Hassan pula.

Wanita berusia 35 tahun yang murah dengan senyuman ini baru lebih setahun bertugas sebagai pembantu Cikgu Mah. Namun beliau amat mengagumi kemahiran guru itu melayani karenah anak-anak kecil saban hari. Katanya, tahap kepatuhan murid-murid di situ kepada Cikgu Mah amat tinggi dan kekadang sukar digambarkan.

“Saya seronok dan puas kerana mendapat peluang melahirkan pemimpin pelapis yang akan meneruskan perjuangan Islam ini. Saya harap juga moga setiap kali anak-anak ini membaca doa dan ayat al-Quran yang mereka pandai kerana saya ajarkan, mudah-mudahan pahala amalan mereka itu juga sampai kepada saya,” Cikgu Mah meluahkan harapannya.

(Artikel Nuwa Aitawa ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Ogos 2010 dengan tajuk sama di ruangan Syukur Ada Mereka)

Haji Mohd Shukri Abdullah Menahan lapar saban malam demi merahsiakan aqidah

Entah mengapa hati Robert tidak terlintas untuk meninggalkan kerusinya setiap kali diarahkan keluar dari bilik darjah sewaktu mata pelajaran Agama Islam diajar. Sementara murid-murid bukan Islam lain yang sedarjah dengannya di Sekolah Rendah Sultan Sulaiman II, Kuala Terengganu berada di luar kelas, kanak-kanak Cina ini memilih untuk terus duduk dan memasang telinga terhadap apa yang diajar oleh ustaznya kepada rakan-rakan berbangsa Melayu.

Bermula dari sikap tidak kisah terhadap perbezaan agama itu, ia sedikit demi sedikit membuahkan minat di hati Robert untuk mengikuti kelas yang dikhususkan untuk murid-murid Islam sahaja itu. Hatinya tambah tertarik dengan pengajaran didengarnya apabila sang ustaz kerap membawakan pelbagai kisah penting dan gambaran menarik berkaitan ajaran Islam.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana mulanya atau apa puncanya saya tertarik dengan Islam. Ia mari dengan sendiri, timbul minat nak dengar ustaz mengajar. Saya anggap ia semata-mata kerana Allah Ta’ala pilih saya,” ujar Robert, yang kini dikenali sebagai Haji Mohd Shukri Abdullah.

Menurutnya, kecenderungan agak pelik itu bermula sewaktu beliau berada di Darjah Enam. Tabiat menekuni kelas Agama Islam itu diteruskannya selepas memasuki Sekolah Menengah Tengku Bariah, juga di Kuala Terengganu.

Mohd Shukri dilahirkan sebagai Robert Loong Heng Seng pada 1962. Beliau merupakan anak kelima daripada 10 beradik dalam sebuah keluarga penganut agama Buddha di Air Jernih, sebuah kampung di pusat bandar Kuala Terengganu..

Pun begitu, sejak kecil beliau tidak banyak menghabiskan masa bersama kawan-kawan sebangsanya. Sama ada di sekolah atau pun di rumah, Mohd Shukri lebih berminat bergaul dengan kanak-kanak Melayu.

“Salah seorang rakan karib saya di sekolah menengah ialah Suhaimi Abdul Aziz. Saya kerap ke rumahnya di Jalan Bukit Besar, tidak jauh dari sekolah kami. Ibubapanya macam keluarga angkat saya. Semoga Allah merahmati mereka”, Mohd Shukri mengimbau kembali keakrabannya dengan keluarga itu.

Menurutnya, minatnya terhadap Islam sampai ke kemuncak ketika berada di Tingkatan Dua. Selain atas dorongan rakan-rakan, keputusan kakak sulungnya, Helen Loong memeluk Islam setahun sebelum itu membuakkan lagi hasrat Mohd Shukri mengikuti jejak syahadah itu.

“Kakak saya menukar nama kepada Haslina, kahwin dengan pemuda Melayu dan pindah duduk di tempat lain. Menariknya, Papa (ayah saya) tak kisah,” ceritanya lagi.

Lalu pada penghujung 1976, dalam usia 14 tahun, Mohd Shukri akhirnya nekad menerima Islam sebagai pegangan hidup. Di kesempatan berada di rumah Suhaimi, beliau meluahkan hasrat murninya itu kepada ibu rakannya itu, yang dipanggilnya “Umi”.

Di atas pertimbangan peribadinya, keluarga angkatnya itu membawa beliau menghadap seorang ustaz yang tinggal berjiran dengan mereka. Di hadapan ustaz itulah kalimah toyyibah dilafazkannya. Keesokannya beliau secara rasminya mengulangi ikrar syahadah di hadapan kadhi daerah.

“Bila dah masuk (Islam), saya ‘test’ Papa, tanya dia boleh tak kalau saya masuk Islam. Dia tak marah, tapi tak beri (izin). Untuk jaga hati dia, saya rahsiakan keislaman saya. Papa tak tahu saya masuk Islam sampai ke akhir hayatnya. Dia meninggal ketika saya di Tingkatan Lima,” sambung Mohd Shukri.

Alhamdulillah, berkat kesungguhannya menghayati ajaran agama barunya beserta tunjuk ajar “Umi” dan rakan-rakan, Mohd Shukri mampu belajar asas-asas hukum dan selok-belok ibadat dalam masa yang singkat.

Bagi memudahkan pembelajarannya juga, beliau meminta kawan-kawan menulis kembali ayat dan doa penting dalam solat menggunakan transliterasi rumi. Hasilnya, dalam masa tidak sampai dua bulan Mohd Shukri sudah boleh menunaikan solat dengan menyebut kebanyakan bacaannya secara betul.

Beliau juga banyak menekuni kuliah-kuliah agama yang diadakan saban malam di beberapa masjid berdekatan, terutama di Masjid Jamek Bukit Besar dan Masjid Haji Kadir.

Namun penghidupannya sebagai seorang muslim benar-benar menguji kesabaran dan ketabahannya tatkala berada di rumah sendiri. Perkara paling menyulitkannya ialah soal makan-minum. Setelah diberitahu secara jelas berhubung apa-apa yang halal dan haram dimakan, di kebanyakan masa beliau terpaksa mengelak dari menjamah hidangan keluarganya.

“Sebab kita diajar yang haram bukan setakat benda tu (daging khinzir), bekas memasak dia, pinggan yang kena (diguna untuk hidang) dia juga selagi tidak disamak, tetap ada kesan haram. Mana ada bekas tidak terkena (daging khinzir) dalam rumah saya?”, luah Mohd Shukri, seraya ketawa kecil.

Justeru, walau pun ada ketikanya Papa membeli makanan halal dari kedai orang Islam, tetapi apabila dihidangkan menggunakan pinggan yang tercemar najis mughalazah itu, Mohd Shukri terpaksa mengelak dari menjamahnya. Semata-mata mengelak rasa curiga keluarganya, beliau terpaksa berpura-pura sudah kenyang apabila diajak makan, walau pun sebenarnya dia tersangat lapar.

“Saya terpaksa tidur dalam lapar selama dua tahun lebih. Nak makan di luar (kedai), duit tak ada, sebab Papa beri belanja hanya cukup untuk waktu sekolah,” ujarnya agak sayu mengenangkan pengalaman paling perit dalam hidupnya itu.

Hanya setelah menduduki Tingkatan Lima, keazaban itu terhapus. Mohd Shukri berpeluang tinggal di rumah sewa. Selain mudah mendalami ilmu Islam kerana tinggal bersetentang dengan masjid, beliau juga tidak lagi berdepan masalah makan-minum.

Nasib semakin menyebelahinya apabila mula bekerja sebagai juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 1982. Tahun berikutnya beliau ditukarkan ke pejabat TNB Daerah Besut, di Kampung Raja. Beliau akui keprihatinan rakan-rakan sekerja banyak memudahkannya mendalami ajaran Islam, terutama mempelajari bacaan al-Quran secara lebih serius.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan kakitangan pejabatnya, Norma Aidawiah Hamat, pada 1985. Hasil perkongsian hidup itu mereka kini dikurniakan lima cahayamata.

Anak sulungnya, Mohd Syahrol Nizam, 23, malah sudah bekerja sebagai juruteknik di sebuah sekolah menengah berdekatan rumahnya. Anak kedua mereka, Nurul Izzati, 19, kini menuntut di Institut Perguruan Perlis, Kangar.

Nurul Izyan, 15, menuntut di MRSM Kuala Terengganu dan Nur Ain Sofia, 12, di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja. Manakala anak bongsunya, Nur Ain Zahra baru berusia dua tahun.

Lebih mengembirakan Mohd Shukri ialah apabila seorang demi seorang adik-beradiknya ikut memeluk Islam selepas beliau. Katanya, daripada 10 beradik, akhirnya hanya abang keduanya yang mati dalam agama asal.

“Alhamdulillah, kesemua sembilan beradik yang lain memilih agama suci ini, atas sebab-musabab masing-masing. Ibu saya juga sempat mengucap syahadah beberapa tahun sebelum meninggal dunia,” ujarnya mengakhiri bual bicara yang berlangsung dalam suasana penuh ceria di kediamannya di Kampung Gelam Mas, kira-kira dua kilometer dari pejabatnya.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Ogos 2010 dengan tajuk "Tahan lapar demi aqidah" di ruangan Hidayah)

Mudarat penyalahgunaan internet semakin membimbangkan

Kemajuan teknologi komunikasi maklumat (ICT) menyaksikan semakin ramai orang bergantung kepadanya dalam urusan seharian mereka. Penggunaan ICT, khususnya Internet kini sudah menjadi antara keperluan utama kehidupan rakyat, termasuk di negara kita.

Dewasa ini Internet sudah digunakan secara meluas dan diakui berkemampuan mempengaruhi pemikiran rakyat. Internet dijadikan medan mendapatkan maklumat, belajar, menjual barangan dan perkhidmatan, menghantar mesej, bersembang, menyiar, menerbit dan berbagai lagi aktiviti.

Sehubungan itu berbagai kemudahan disediakan pelbagai pihak bagi membolehkan perkhidmatan Internet dicapai segenap lapisan masyarakat. Internet bukan lagi menjadi keistimewaan yang hanya mampu dilayari golongan elit dan berada. Ia sebaliknya sudah menjadi media yang mampu dimanfaatkan golongan berpendapatan rendah.

Kemajuan teknologi itu bagaimana pun turut mempunyai sisi gelapnya. Di samping kecenderungan mewujudkan tabiat penggunaan negatif, Internet turut dicemari bahan-bahan yang merosakkan kehidupan.

Di China, tabiat ketagihan Internet kini menjadi satu masalah besar. Dilaporkan lebih dua juta remaja dikenalpasti mengalami masalah ketagihan yang serius.

Ia juga dikatakan menjadi punca jumlah kematian tingi dan peningkatan masalah jenayah remaja berkaitan Internet. Keadaan itu memaksa kerajaan mengambil berbagai langkah  mengatasi masalah itu. Antaranya dengan mengharamkan pembukaan kafe-kafe siber baru.

Kerajaan China juga terpaksa menimbang untuk mengenakan sekatan terhadap permainan-permainan komputer yang mempunyai unsur-unsur keganasan. Keseriusan masalah itu turut mendorong China mewujudkan pusat khas bagi merawat remaja yang dilanda ketagihan itu.

Tabiat buruk menimpa remaja China itu turut membimbangkan India. Sebuah institusi kejuruteraan terkenal di benua kecil itu akhirnya terpaksa mengehadkan pelajarnya melayari Internet apabila ramai daripada mereka didapati menggunakannya untuk bermain ‘game’ dan memulakan blog hingga menjejaskan prestasi pelajaran.

Institut Teknologi India (IIT) di Mumbai adalah antara tujuh IIT di seluruh India yang dianggap antara institut kejuruteraan terbaik di dunia. Ia juga menjadi tempat firma teknologi dunia mencari bakat tenaga kerja berpotensi.

Pelajarnya sebelum ini diberi kebebasan penuh melayari internet di bilik asrama bagi membantu pelajaran mereka. Malangnya ramai menyalahgunakan kemudahan itu untuk bersembang, memuat turun filem dan muzik selain memulakan blog dan bermain ‘game’.

Pentadbir institut itu mengesahkan pelajar yang ketagih Internet juga ramai yang lewat masuk kelas atau tidur dalam bilik kuliah. Mereka bahkan cenderung untuk tidak bergaul dengan orang lain malah menjadi punca kemurungan dan kes bunuh diri.

Kajian oleh sebuah firma kajian pasaran bebas baru-baru ini juga mendapati sebanyak 87 peratus kanak-kanak di Malaysia mengalami pengalaman negatif ketika melayari Internet yang memberi kesan kuat terhadap emosi mereka.

Selain melahirkan tabiat penggunaan yang buruk, Internet juga mendedahkan pengguna kepada bahan-bahan berunsur negatif dan berupaya meruntuhkan nilai hidup manusia.

Teknologi Internet yang wujud hari ini membolehkan sesiapa sahaja menjadi penulis sekali gus sebagai penerbit dan pencetak. Mewujudkan laman web di Internet tidak memerlukan kebenaran dari sesiapa pun di dunia ini.

Kerajaan pula tidak mempunyai sebarang bidang kuasa untuk menapis atau menghalang penyiaran apa jua maklumat melalui Internet. Akta berkaitan penapisan berita di negara ini hanya boleh digunakan ke atas media cetak dan elektronik, bukan terhadap media siber.

Kesempatan ini cenderung disalahgunakan pihak tertentu bagi memenuhi agenda dan hasrat masing-masing. Internet yang sepatutnya menjadi medan bermanfaat menimba maklumat dan ilmu berguna, akhirnya bertukar menjadi racun berbisa yang merosakkan pemikiran masyarakat.

Negara kita sendiri pernah suatu ketika dicemaskan dengan kes e-mel palsu. Antaranya yang mendakwa berlakunya serangan bom di beberapa tempat di ibu negara. Kes yang memuncak pada hujung 2002 itu akhirnya memaksa kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negera (ISA) bagi memburu dan menahan mereka yang terbabit menyebarkan berita palsu itu.

Pada Oktober 2006 pula, negara dikejutkan dengan penangkapan 13 orang termasuk empat pelajar universiti kerana terlibat dalam kegiatan mencipta laman web palsu bank-bank tempatan. Sepanjang menjalankan kegiatan tersebut, kumpulan berkenaan dikatakan telah melesapkan RM36,000 wang pelanggan yang menggunakan perkhidmatan dalam talian.

Internet juga menjadi medan pelanggaran hak cipta, terutama membabitkan karya seni. Umpamanya kweujudan laman web yang menawarkan akses percuma untuk menonton tayangan filem dicetak rompak dan membuat untung dengan menjual ruang iklan atau meminta sumbangan.

Laporan media Julai lalu pula merumuskan laman sosial seperti Facebook, MySpace dan Twitter menjadi punca utama berlakunya perceraian di Amerika Syarikat dan United Kingdom. Perkongsian maklumat yang berlebihan, termasuk kenyataan menggoda, penyiaran gambar, maklumat peribadi dan ruang memburukkan pasangan akhirnya menukar realiti virtual menjadi kes perceraian sebenar.

Kecenderungan serupa turut dipandang berat oleh China apabila ia melarang tenteranya daripada bercinta secara dalam talian. Ia khuatir keghairahan mereka bercinta akan mendorong mereka secara tidak sedar membocorkan maklumat yang sensitif dan boleh mengancam keselamatan negara.

Kita percaya penyalahgunaan di Internet akan tetap berlaku walau bagaimana pun kita cuba mengawalnya. Internet merupakan rangkaian sangat besar sehinggakan bagaimana pun peraturan dikenakan ke atasnya, masih ada pihak boleh menyalahgunakannya.

Pun begitu, kemajuan ICT menyaksikan semakin ramai rakyat Malaysia celik teknologi tersebut. Banyak institusi pengajian tinggi swasta turut menawarkan pelbagai kursus berkaitan. Hasilnya, kita telah berjaya melahirkan ramai pakar ICT.

Justeru, dalam konteks negara kita mengapa tidak kita manfaatkan kepakaran mereka untuk, misalnya, mencipta perisian khas yang boleh menapis kandungan disiarkan Internet. Contohnya, dengan menggunakan perisian khas itu pengguna Internet akan secara aotumatik terhalang daripada memasuki laman web yang tidak bersesuaian atau dipenuhi bahan tidak berguna.

Kita percaya di mana ada kemahuan, insya Allah di situ ada jalan.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan al-Muslimah edisi Ogos 2010 dengan tajuk sama di ruangan Pendapat)