oleh: Mat Zain Mat Isa
Belum apa-apa lagi, kemasukan sekumpulan anak muda lulusan agama ke dalam Umno minggu lalu telah mencalitkan imej negatif kepada parti itu. Biar pun media arus perdana kroni Barisan Nasional (BN) sedaya mungkin cuba memanipulasi peristiwa itu bagi memberikan gambaran positif buat Umno, cerita dan ulasan mengenai detik dianggap bersejarah itu turut mempamerkan sebaliknya.
Jumaat (25 Jun) lalu, kumpulan yang mendakwa mewakili 40 ulama muda itu menyerahkan borang keahlian Umno kepada presiden parti, Dato’ Seri Najib Razak. Menurut jurucakap kumpulan itu, penyertaan mereka bukan berlandaskan politik, tetapi lebih didorong sikap optimis terhadap ruang-ruang disediakan Umno untuk mereka menyemarakkan lagi usaha-usaha keagamaan dalam parti sekular itu.
Secara zahirnya kehadiran kumpulan anak muda itu dialu-alukan pelbagai peringkat dalam Umno. Bagaimana pun, disedari atau tidak, berita kemasukan mereka telah menyediakan modal dan ruang lebih luas buat parti lawan kembali menempelak Umno.
Pertama, tidak sebagaimana diuar-uarkan sebegitu hebat sebelumnya, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin tidak ikut serta bersama kumpulan tersebut. Meski pun beliau tetap diura-urakan bakal menjejaki kumpulan ini menyertai parti asabiyyah itu, Asri sendiri dalam reaksinya tetap menegaskan pendiriannya yang belum terfikir menyertai mana-mana parti politik.
Biar pun kemasukan 40 ulama muda itu suatu kejutan buat Umno, ia sudah jadi anti-klimaks. Secara psikologinya Umno sudah kalah, imejnya yang sedikit melonjak dengan ura-ura kemasukan Asri beberapa hari sebelum itu kembali merudum. Berapa orangkah di antara mereka itu dianggap tokoh dan ilmuan Islam yang dikenali dan disegani masyarakat dan mampu dimanipulasi Umno untuk melonjakkan imej Islamnya?
Kedua, kumpulan ulama muda itu juga secara tidak sengaja mengakui bahawa PAS dibanjiri para pemimpin dan pendokong dari kalangan ulama. Ditanya mengapa mereka tidak memilih untuk menyertai PAS, jurucakap kumpulan itu menjawab: “Dalam PAS sudah banyak ulama”.
Ketiga, hujah sama juga memberi makna sebaliknya, iaitu Umno masih ketandusan ulama dan agamawan. Kalau pun golongan itu ada dalam Umno, mereka macam tidak ada. Kehadiran mereka tidak dirasai atau tidak tertonjol. Mereka tidak diberikan kedudukan dan peranan penting dalam parti mahu pun kerajaan.
Sebab itu anak muda ini memilih Umno. Barangkali mereka akui, ruang untuk kerja dakwah dan mendaulatkan Islam lebih banyak perlu dilakukan dalam Umno berbanding PAS. Sedangkan di dalam PAS, ruang untuk berdakwah sesama sendiri sudah dipenuhi ulama lebih berwibawa. Apakah Umno dapat membaca maksud tindakan mereka itu sebegitu?
Kesimpulannya, kemasukan 40 ulama muda ke dalam Umno setakat ini gagal membawa kesan positif buat parti yang kelemasan itu. Bagaimana pun kita percaya Umno pastinya akan terus memanfaatkan kehadiran mereka.
Paling tidak pun untuk mendakwa kesediaan ulama muda ini menyertai Umno membuktikan parti itu diiktiraf kalangan lulusan agama. Pengiktirafan itu penting terutama bagi mengikis pertikaian umat Islam berhubung pegangan dan perjuangan Umno terhadap agama.
Di masa sama, ia diharap dapat menempelak PAS yang selama ini dianggap memboloti dasar dan perjuangan Islam. Bahawa kemasukan sekumpulan ulama muda ke dalam Umno membuktikan tidak semua golongan itu bersetuju dengan perjuangan PAS.
“Sekarang ulama telah kembali kepada Umno. Kita akan beri peranan besar kepada mereka. Mereka ini semuanya berkelulusan tinggi,” media memetik kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Seri Shahidan Kassim.
Bekas Menteri Besar Perlis itu kelihatan selaku orang utama di sebalik kemasukan kumpulan ulama muda itu. Beliau jugalah yang mengura-urakan kemasukan Asri bersama 100 ulama sebelumnya.
Janji Shahidan kononnya Umno bakal memberikan sesuatu yang istimewa kepada kumpulan ulama muda itu bagaimana pun seakan disanggah Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein. Beliau menegaskan Umno tidak akan meletakkan mana-mana golongan yang baru menyertai parti itu termasuk ulama pada kedudukan istimewa.
“Tidak perlu (mereka ditempatkan di tempat istimewa), ia sama saja kerana dalam perjuangan Umno apa yang penting adalah pegangan nilai setiap ahli adalah sama. Tidak kira latar belakang agama atau cara dibesarkan, tiada beza,” ujarnya sepertimana dipetik sebuah akhbar kroni Barisan Nasional (BN), Isnin lalu.
Tidak syak lagi kenyataan Hishammuddin itu bukan kata alu-aluan yang enak buat kumpulan pendatang baru itu. Keadaan semakin tidak menjanjikan keselesaan buat mereka di dalam Umno, jauh sekali jika mengharapkan mereka ini mengubah dasar parti itu kepada lebih Islamik.
Mereka ini cetek politik. Kenyataan bahawa kemasukan mereka bukan berlandaskan politik mendedahkan bahawa mereka terlalu mentah tentang asam garam manipulasi kuasa dalam Umno. Mereka belum faham betapa tanpa kedudukan politik, suara mereka tidak akan diterima pakai.
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1553, 2 Julai 2010 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment